Thursday, December 29, 2011

Salam 2012


Kita kini berada di pinggir 2011. Sehari lagi kita akan ditinggalkan oleh tahun 2011. Maka ramailah orang yang membelek-belek kembali segala pengalaman hidup sepanjang tahun 2011. Yang gembira, yang duka, yang bahagia dan yang sengsara dikenang-kenang. Mungkin untuk dijadikan pelajaran, atau mungkin sekadar nostalgia belaka.

Kita juga baru sahaja menyambut kedatangan awal Muharam 1433, di mana tahun Hijriah menyukat waktu melalui pusingan bulan secara alamiah. Setiap bulan dikira berdasarkan pergerakan dan perubahan pada pusingan bulan mengelilingi bumi. Bermula daripada anak bulan (hilal) hinggalah ia menjadi bulat penuh dan kembali semula kepada anak bulan, maka itulah tempoh waktu sebulan. Sementara itu jumlah hari bagi setiap bulan tidaklah sama. Biasanya ia mengandungi 29 dn 30 hari sahaja.

Berbeza dengan tahun Hijriah, tahun Masehi dikira berdasarkan bilangan hari yang telah ditetapkan sebanyak 30 atau 31 hari dalam satu bulan (kecuali satu bulan berjumlah 29 hari). Oleh itu maka jumlah hari dalam tahun Masehi lebih banyak berbanding dengan tahun Hijriah.

Biar apa pun, kiraan waktu melalui detik saat, minit, jam, hari, bulan, tahun, dekad dan abad, sangatlah subjektif kerana ia adalah kiraan matematik belaka. Apa yang lebih penting daripada hal itu ialah nilai waktu atau nilai masa. Ukuran nilai waktu ini tentulah tidak sama dengan ukuran matematik di atas.

Tuhan mengingatkan kita tentang waktu melalui banyak pesanannya. Antara yang sangat dekat dengan kita ialah pesan-Nya melalui surah al-Asr, yang mengingatkan kita betapa ruginya kita kerana mensia-siakan waktu. Kita diingatkan bahawa waktu yang bernilai ialah waktu yang diisi dengan iman dan amal soleh. Hanya itulah jaminan betapa tingginya nilai waktu, yang juga bermakna nilai hidup kita. Tanpa iman dan amal soleh, hidup ini tiada nilainya di sisi Tuhan.


Oleh itu kita tidaklah perlu terlalu taksub dengan sambutan tahun baru, sebagaimana orang lain merayakannya. Orang gembira kerana menjelangnya tahun baru kerana mereka merasakan usia meeka semakin bertambah, umur semakin panjang. Lantas kegembiaan itu disambut dengan pelbagai cara dan acara penuh keseronokan. Keseronokan hedonism ini kelihatan berlebih-lebihan.

Pada hakikatnya setiap kali menjelangnya tahun baru, usia kita semakin pendek, dan hidup kita semakin singkat. Maknanya kematian semakin mendekat. Andainya kita melihat tahun baru dari sisi ini, maka barulah kita sedar bahawa itulah hakikat masa. Setiap hari yang kita lalui, mengurangi sehari demi sehari usia kita. Maka usia kita bukan semakin panjang, sebaliknya semakin berkurang atau semakin pendek.

Maka di sinilah detik waktu yang sangat menginsafkan, betapa hidup ini sebenarnya satu tempoh waktu yang sangat singkat. Insaflah......

Sunday, November 27, 2011

Maal Hijrah 1433


Marhaban ya Muharram, marhaban. Selamat datang Muharram 1433. Kami sentiasa menunggu kehadiranmu untuk meneruskan kehidupan, selama Allah SWT menganugerahkan kehidupan kepada kami.

Awal Muharram tlahpun datang dan telahpun berlalu. Maka akan menjelmalah hari-hari sesudahnya untuk kita isikan dengan amal-amal kebajikan. Semoga segala kekurangan masa lalu dapat diperbaiki di tahun baru ini. Semoga mana-mana perancangan yang belum dapat dilaksanakan, akan disempurnakan pada tahun ini, insyaAllah.

Setiap kali datangnya awal tahun baru, maka bertambahlah usia kita mengikut ukuran matematik. Orang berkata semakin panjanglah umur kita. Manakala sebenarnya umur kita semakin pendek, kerana datangnya tahun-tahun baru bermakna usia kita semakin berkurang dan mendekati kematian.

Marilah kita melihat kehidupan dan usia ini dari satu sisi yang benar. Usia hanyalah ukuran tentang masa. Biarpun tempoh satu minit, satu jam, satu hari, seminggu, sebulan dan setahun adalah sama sahaja kepada semua orang, namun nilai masa itu tentulah berbeza antara satu sama lain. Ada orang yang usianya panjang mengikut tempoh masa, namun nilai kehidupannya (nilai amalnya) tidaklah seberapa. Sementara itu ada pula orang yang usianya pendek, namun nilai kehidupannya sangatlah tinggi. Apa yang membezakan antara keduanya ialah bagaimana mereka mengisi masa-masa atau detik waktu dalam kehidupan mereka.


Oleh itu di saat-saat mengharungi detik-detik waktu tahun baru Hijriah ini, marilah kita bermuhasabah tentang nilai kehidupan kita masing-masing. Usahlah kita menghitung berapa usia kita, tetapi marilah kita menghitung-hitung nilai amal kita. Nilai amal inilah yang menentukan nilai sebenar usia kita, bukan hal-hal lain. Marilah kita renungi nilai hubungan kita antara kita dengan Tuhan dan antara kita sesama kita, juga hubungan kita dengan alam seluruhnya.

Hubungan vertikal kita dengan Allah SWT hendaklah diukur dengan neraca iman, taqwa dan ikhlas. Hitung-hitunglah amal soleh kita. Apakah timbangannya akan semakin memberat atau sebaliknya. Sementara itu perhatikan juga hubungan horizontal kita sesama manusia. Apakah hubungan itu menjadi semakin baik dan diberkati, atau sebaliknya. Janganlah lupa hubungan kita dengan alam kerana kehadiran kita di alam ini adalah satu wujud yang bersinergi dengan alam, dalam bentuk ekosistem dan kepelbagaiaan bio. Kurangkanlah aktiviti yang merosakkan alam sekitar, biarpun dengan usaha kecil seperti menghindari aktiviti membuang sampah di merata tempat.

Maal Hijrah 1433

Friday, November 25, 2011

Sesudah Haji.


Kita sedang berada di detik-detik penghujung tahun 1432Hijriah. Dua puluh hari lalu, telah pergi hari-hari penting, hari Nahr 10 hingga 13 Zulhijjah. Hari-hari di mana jutaan umat Islam berkumpul di padang Arafah untuk menyatakan keIslaman, tauhid dan keimanan diri di hadapan Allah SWT. Kemudian diikuti dengan penyembelihan qurban di Mina. Para hujjaj atau tetamu Allah (dhuyuufur Rahman)kini telah mula meninggalkan Mekah untuk kembali ke tanahair masing-masing. Setelah tawaf wida', mulalah mereka meninggalkan Kaabah, meninggalkan Masjidil haram dan meninggalkan kota Mekah, kembali ke tanahair, kembali ke tengah keluarga, membawa segala manfaat haji.

Bulan Zulhijjah adalah bulan terakhir dalam kalendar Islam. Di bulan akhir ini terdapat waktu atau miqat Haji iaitu detik-detik penting dalam kehidupan Muslimin kerana inilah waktunya Allah SWT memanggil hamba-hamba-Nya berkunjung ke rumah-Nya, Baitullah, bertamu ke lokasi-lokasi suci dan bersejarah iaitu masy'ar atau lokasi-lokasi Haji. Maka berhaji adalah bukti pengorbanan kita untuk membuktikan keimanan dan ketuhidan kita kpeada Allah SWT.

Selepas Haji adalah sebuah kehidupan baru yang lebih jernih, lebih tenang, lebih kudus, lebih tulus. Haji telah memberikan satu pengalaman baru yang seharusnya mengubah seluruh persepsi Islam, Iman dan Ehsan kita, kepada satu tahap lebih tinggi.
Islam, iman dan ehsan kita menjadi lebih segar, lebih bugar lagi. Kita pulang membawa satu pengertian Islam, iman dan ehsan yang lebih mantap lagi. Inilah kesan pengukuhan tauhid sepanjang manasik Haji lalu.

Kita kini menjadi seorang Islam yang benar, sekurang-kurangnya lebih benar daripada masa lalu. Kita kini menjadi seorang Mukmin, orang beriman yang lebih mantap, sekurang-kurangnya lebih mantap daripada masa silam. Bagi mereka yang menjadikan Haji sebagai turning point untuk merubah kehidupan spiritual menjadi lebih baik, maka inilah saatnya dia berubah menjadi lebih baik daripada sebelumnya.


Beberapa jam lagi kita akan meninggalkan tahun 1432, apabila awal Muharram akan muncul menganugerahkan kita tahun baru, tahun 1433H. Tahun baru datang setelah dua puluh hari-hari penting bagi manasik Haji berlalu. Ia tentulah mempunyai makna penting kepada kita yang mahu merubah kehidupan kepada yang lebih baik, kerana kedatangan tahun baru Hijriah, berurutan dengan miqat haji. Selesai Haji, muncul pula fajar tahun baru, maka ramailah orang yang memanfaatkan kehadiran tahun baru untuk membuat azam, membina impian dan iltizam baru, yang tentunya lebih baik lagi.

Friday, November 11, 2011

Fenomena 11.11.11


Ketika solat Asar di masjid tadi agak terkejut melihat ramai pasangan pengantin yang berakad nikah di masjid hari ini. Jumlah pasangan agak luar biasa ramai, seolah-olah ada pesta akad nikah beramai-ramai. Rupa-rupanya hari ini adalah 11.11.11 atau 11 November 2011. Kebetulan pula ia jatuh pada hari Jumaat.

Agaknya di masjid-masjide lain juga fenomena yang sama turut berlaku. Ramai pasangan muda memilih tarikh 11.11.11 untuk majlis akad nikah mereka. Tarikh khenduri mungkin boleh diatur pada tarikh lain. Apa yang penting dalam surat nikah atau sijil nikah mereka, akan tercatit tarikh yang mempunyai angka atau digit yang cantik 11.11.11. Kepada orang Melayu dan orang Islam yang tidak percaya kepada apa-apa khurafat pada angka atau fungsuinya, maka pemilihan tarikh hari ini hanyalah untuk mencatat kenang-kenangan pada 11.11.11 itu.

Kita tidak diajar untuk mempercayai keberkatan angka-angka atau mempercayai khurafat di sebaliknya. Contohnya ada orang yang mempercayai angka 4 dan 13 membawa sial, kerana pada kepercayaan setengah-setengah bangsa angka-angka itu memberi makna yang negatif. Namun begitu matematik memberikan angka-angka sebagai simbol kepada pelbagai makna. Nombor 1 membawa makna teratas atau terawal. Ketika kita mendapat nombor satu dalam kelas, bermakna kitalah paling top di kalangan rakan sekelas. Dalam kepimpinan, nombor 1 adalah kepunyaan pemimpin teratas, seperti presiden atau perdana menteri atau raja. Manakala nombor 2 pula akan merujuk kepada pembantu kanan mereka.


Kita belajar matematik untuk mengenal angka dan makna-makna daripada angka tersebut. Ketika ditanya orang: berapa pendapatan atau gaji kamu? Kita menjawab secara umum, 'adalah empat (4) angka'. Empat angka itu merujuk kepada ribuan RM. Begitu juga dengan 5 angka merujuk kepada puluhan ribu, manakala 7 angka merujuk kepada jutaan.

Monday, November 7, 2011

Berkorban di Kg Pantos


Kompleks surau baru

Isnin, 11 Zulhijjah, kami tiga beranak berangkat sebelum subuh menuju destinasi: Kg Pantos daerah Kuala Lipis. Ia sebuah penempatan baru bagi saudara-saudara lama kita dari suku Semai. penempatan baru yang disediakan oleh Jabatan Hal Ehwal Orang Asli kelihatan sudah siap, namun belum didiami lagi, mungkin belum sempurna api dan airnya? Penempatan baru ini tentulah selesa dan kemas. Lokasi perkampungan ini masih bersebelahan dengan kampung Pantos yang asal, di tebing sungai. Sungai ini (yang tidak tahu apa namanya) merupakan 'jalanraya' yang menghubungi beberapa buah kampung lain di sekitarnya.

Hari ini adalah kesempatan pertama kami menyertai kumpulan penduduk Taman Setia dan PERKIM Cawangan ASDAF mengadakan majlis qurban 2011 di sini. Majlis seupa, menurut penganjur, telahpun dimulakan sejak tahun 1995 lagi. Setiap tahun mereka menumbangkan beberapa ekor lembu sebagai qurban untuk masyarakat di sini. Pada tahun ini 15 ekor lembu dikorbankan di sini, sementara empat ekor lagi di Gua Musang dan dua ekor di Kedah.


Bergambar dengan J/Kuasa penganjur. Berdiri Hj Samat, T.S. Hj Ayob (Pengerusi) dan kanan Dr Mokhtar. Depan: Hj Yaakob, Hj Afifi dan kanan sekali Hj Abd Halim. Foto ehsan Dr Mokhtar


Kami turut menguruskan penyembelihan seekor lembu, amanah keluarga di Singapura. Saya sendiri turut menyembelih dan bersama melapah lembu korban. Ramai penduduk dari tujuh buah kampung hadir dan sama-sama menguruskan kerja-kerja ini. Para petugas turut menikmati makan tengah hari 'lauk korban' di surau Kg Pantos.

Terima kasih Dr Mokhtar, yang membuka laluan kepada kamai untuk menyertai komuniti mereka beramal di Kg Pantos.



Munir dan ibunya turut serta. Bawah: petugas sedang memasak.

Friday, November 4, 2011

Hari ini Hari Arafah.


Ketika post ini ditulis, kita sedang memasuki hari ke-9 Zulhijjah. Maghrib tadi, bermulalah detik-detik hari yang sangat bermakna kepada kehidupan seorang Muslim. Hari ke-9 ini adalah Hari Arafah, iaitu satu hari yang Allah SWT telah tentukan sebagai hari penting dalam manasik Haji bagi para tetamu Allah yang disebut sebagai Dhuyuufur Rahman. Dan hari ini juga penting kepada semua Muslimin di seluruh dunia kerana rahmat besar yang ada padanya.

Padang Arafah adalah sebuah lokasi padang pasir tetapi kini sudah dipenuhi pohon mambu menghijau. Ia adalah sebuah lokasi di luar tanah suci. Di sini terdapat sebuah bukit yang dikenali sebagai jabal Rahmah di mana di sinilah datuk nenek kita nabio Adam AS dan isterinya Hawa bertemu setelah berpisah ketika diturunkan ke dunia. Arafah yang bermakna kenal dikaitkan dengan pertemuan kedua insan ini. Hari ini lokasi ini dipilih sebagai sebuah lokasi terpenting bagi manasik Haji. Namun begitu sebagai sebuah lokasi, Padang Arafah adalah lokasi biasa. Apa yang merubah ia menjadi lokasi penting ialah Hari Arafah, iaitu hari ke-9 Zulhijjah. Hari inilah yang mengangkat Arafah menjadi lokasi di mana berhimpunnya seluruh jemaah Haji untuk wuquf yang menjadi antara rukun Haji. Haji disebut sebagai Arafah. Bermakna tanpa wuquf di Arafah, maka tiadalah Haji bagi seseorang.

Bagi kita yang tidak berada di Arafah ketika ini, masih dapat menikmati rahmat hari Arafah, dengan memanfaatkan segala sunnah yang menjadi amalan Rasulullah SAW. Hari ini kita disunatkan berpuasa kerana puasa ini akan menghapus dosa setahun yang lalu dan setahun mendatang, sebagaimana disebut dalam sebuah hadis Rasulullah SAW. Oleh kerana hari ini Allah memakbulkan sebanyak-banyak doa hamba-Nya, maka elokkan kita bedoa sebanyaknyak-banyaknya. Di samping itu antara zikir yang digalakkan kita lafazkan pada hari ini ialah tahlil: lailaha illaAllah wahdahu la syarika lah lahul mulku walahul hamdu yuhyi wa yumit wahua ala kulli syaiin qadiir.


Esoknya, menjelang 10 Zuklhijjah kita akan merayakan Idul Adha dengan sembelihan korban. Alangkah baiknya sekiranya kita menyimpan sedikit peruntukan sekitar RM400 untuk belanja sebahagian korban. Kalau disimpan setiap bulan, sekitar RM35 sebulah sudah memadai untuk bajet korban setahun sekali. Sembelihan ini adalah lambang ketaqwaaan kita kepada Tuhan Rabbul Jalil.

Salam Idul Adha untuk semua. Wassalam.