Saturday, January 31, 2009

Hijrah, dari mistri khurafat kepada mistri saintifik

Sudah sampai masanya orang-orang Melayu berubah dan berhijrah. Dalam waktu kita baru sahaja menyambut Maal Hijrah, kita perlu mengalih minda, pemikiran dan hati kita kepada perkara-perkara penting dan keutamaan-keutamaan yang bersifat membina.
Dalam konteks minat Melayu kepada mistri, kita perlu mengalih minat kepada mistri yang bermanfaat dan membina. Mistri bersifat khurafat seperti percayakan keramat, kuasa dukun, bomoh dan paranormal, percayakan susuk, tangkal, azimat, khadam dan ramalan-ramalan; percayakan tuah untung dan nasib malang melalui tilikan; adalah gejala negatif yang bersifat mundur ke belakang.

Sebenarnya alam ini masih dipenuhi dengan pelbagai mistri yang perlu diterokai oleh kita. Tuhan menciptakan alam ini untuk kita kaji, seliidiki, dan memanfaatkan hasil kajian dan penyeidikan tersebut untuk kebaikan hidup kita. Bidang-bidang sains seperti psikologi adalah sains yang menerokai mistri jiwa dan fungsi otak serta tingkahlaku manusia, bidang sosiologi dan anthropologi mengkaji budaya dan pemikiran masyarakat, biologi mengkaji mistri dan rahsia kehidupan makhluk hidup, mikrobiologi mengkaji mistri kehidupan makhluk-makluk seni seperti bakteria dan lain-lain, kimia meneliti perubahan-perubahan kehidupan yang berikatn dengan kimia. Geologi menerokai mistri batu-batan, logam dan segala kandungan isi bumi, astronomi mengkaji mistri pergerakan bintang dan perubahan musim.

Sungguhpun bidang-bidang sains telah menemui banyak rahsia dan mistri daripada kehidupan ini, namun rahsia dan mistri alam masih sangat luas untuk dijelajahi. Sebab itu sampai bila-bila pun kajian demi kajian perlu terus dilaksanakan bagi menemui banyak lagi rahsia dan dan merongkai pelbagai lagi mistri kehidupan.
Al-Quran menyebut bahawa kejadian langit dan bumi serta pergantian malam dan siang kmenjadi tanda-tanda atau bukti (ayat) bagi golongan pemikir/pengkaji (ulul albab).
Orang Melayu perlu menjadi golongan ulul albab seperti yang disebut oleh al-Quran itu. Dengan berasaskan iman dan ilmu (sains), kita akan menjadi orang yang rasional, saintifik, dan bersikap empiris. Kembali kepada saranan al-Quran supaya kita menjadi orang-orang beriman yang kritis dan saintifik (ulul albab), kita diberi tugas dan tanggungjawab untuk terus mengkaji dan membongkar rahsia dan mistri alam ini kerana di sanalah kita akan menemui keagungan ciptaan Tuhan dan keluasan ilmu-Nya, seperti disebutkan Tuhan sendiri melalui ayat 109 dalam surah al-Kahfi: "Katakanlah sekiranya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, sungguh habislah lautan itu sebelum habis (ditulis) kalimat-kalimat Tuhanku, meskipun Kami datangkan tamabahan sebanyak itu (pula)."

Akhir-akhir ini saya menemui beberapa maklumat menarik dari Jepun di mana orang-orang Jepun adalah bangsa yang kreatif dan mengutamakan ilmu. Secara kebetulan ketika saya mengikuti perkembangan biotek, saya tertarik dengan kejayaan usaha Profesor Dr Teruo Higa, seorang profesor pertanian di Universiti Ruykyu di Okinawa Jepun. Beliau dikenali dengan penyelidikannya ke atas makhluk seni (mikrob) yang didapati bermanfaat kepada kehidupan manusia. Melalui dua buah bukunya bertajuk An Earth Saving Revolution: a means to resolved our world's problem through Effective Microorganisms (EM) siri 1 dan 2, Dr Higa mengemukakan hasil kajiannya yang mendapati bahawa makhluk seni yang dikenali sebagai mikroorganisma atau bakteria adalah bermanfaat dan berguna kepada manusia. Selama ini kita belajar bahawa bakteria adalah makhluk yang berbahaya kepada manusia kerana ia merosakkan. Ia merosakkan melalui proses pembusukan dan membiakkan penyakit.

Secara umumnya penemuan kajian Dr Higa membetulkan persepsi kita selama ini yang percayakan bakteria adalah makhluk perosak dan berbahaya. Beliau menemui apa yang dipanggil makhlus seni yang baik, bermanfaat dan boleh dimanfaatkan. Apa yang disebut Dr Higa sebagai Mikroorganisma Bermanfaat atau Effective Microorganisms (EM) ternyata hari ini telah menolong kita memperbaiki alam sekitar, meningkatkan hasil pertanian, membersihkan sungai dan laut, dan banyak lagi manfaatnya.
Saya menjadi begitu teruja dengan kajian Dr Higa hingga membawa saya ke Bali, Indonesia untuk belajar lebih dalam tentang EM ini daripda seorang murid Dr Higa sendiri. Dr Ir Gede Ngurah Wididana (Pak Widi) adalah bekas siswazah Sarjana Pertanian di bawah seliaan Dr Higa. Beliau telah mendalami ilmu tentang EM ini langsung daripada Dr Higa. Hasilnya Pak Widi telah membawa pulang ilmunya ke Indonesia dan memanfaatkan aplikasi EM sepenuhnya dalam bidang pertanian, pemulihan persekitaran dan perubatan.

Sebagai orang Melayu, kita sering melakukan ibadah mulia membaca surah Yasin setiap malam Jumaat. Ketika kita membaca surah Yasin, kita mengulangi berkali-kali pernyataan Tuhan tentang satu hakikat yang mistrinya telah dirungkai oleh kajian Dr Higa itu. Ayatnya bermaksud: Mahasuci Tuhan yang telah menciptakan pasangan-pasangan semuanya, baik dari apa yang ditumbuhkan oleh bumi dan dari diri mereka sendiri mahupun dari apa yang mereka tidak ketahui (maksud ayat 36 Surah Yasin).
Dr Higa mungkin tak pernah menemui dan membaca ayat ini. Namun sebagai saintis tulen beliau terus mengkaji alam sebagaimana saranan al-Quran tentang ulul albab di atas. Akhirnya beliau berjaya merongkai satu mistri alam tentang makhluk seni yang hanya dapat dilihat melalui mikroskop, iaitu bakteria atau mikrob bermanfaat. Lebih menarik lagi penemuan itu membenarkan apa yang disebut oleh ayat 36 Surah Yasin di atas, iaitu makhluk dijadikan berpasangan. Maknanya bakteria atau mikrob juga ada pasangannya, ada bakteria baik dan ada bakteria jahat. Selama ini kita belum mengenali jenis-jenis bakteria yang baik, yang kita kenal hanyalah bakteria berbahaya yang membawa penyakit sahaja. Hari ini Dr Higa membantu kita memahami makna pasangan makhluk itu.

Apa yang menarik tentang kajian Dr Higa ini ialah keupayaan mikrob baik EM merobah proses yang selama ini menyulitkan hidup kita. Proses pembusukan terjadi di mana sahaja, dari dalam rumah kita hinggalah ke persekitaran. Inilah dilema kita. Sisa makanan di rumah akan berubah menjadi sisa busuk keesokan harinya. Sisa itu menjadi bertambah busuk lagi pada hari-hari berikutnya hinggalah ia dibawa oleh lori sampah ke tempat pembuangan sampah (landfield). Nasi dan masakan yang begitu enak ketika terhidang di meja makan, akan mengalami proses pembusukan selepas tempoh masa tertentu. Inilah proses degeneratif alami. Penemuan Dr Higa telah berjaya menukar arah proses pembusukan menjadi proses penapaian di mana makanan tadi tidak membusuk. Inilah yang dipanggil proses regeneratif di mana makanan tadi tidak membusuk sebaliknya ia boleh dimanfaatkan semula. Proses pembusukan disebabkan oleh bakteria jahat manakala proses penapaian pula disebabkan oleh bakteria baik.

Kejayaaan Dr Higa menemui bakteria baik dan bermanfaat ini bukanlah juga satu yang baru kerana orang sudah lama mengetahui wujudnya proses penapaian. Orang Melayu sendiri sudah lama mengamal proses ini dalam menghasilkan makanan seperti tapai, tempe an lain-lain. Namun kita tidak mempunyai asas pengetahuan saiantifik bagi membolehkan kita mengenali faktor-faktor di sebalik proses penapaian tersebut. Kita menerimanya sebagai suatu yang alami tanpa melihatnya sebagai satu mistri yang perlu dirungkai.

Dr Higa adalah contoh antara orang bukan Islam yang menghayati konsep ulul albab seperti saranan al-Quran. Beliau merenung proses yang terjadi di alam, kemudian mengkaji dan menyelidik secara saintifik apa rahsia dan mistri di sebalik proses penapaian tersebut. Hasilnya beliau menemukan satu hasil peneyelidikan yang kini sangat bermanfaat kepada sebahagian orang di seluruh dunia. Penemuan Dr Higa ini diterima pakai sebagai satu kaedah berkesan bagi pemulihan tanah mati yang disebabkan penggunaan bahan kimia, sebagai cara biologi mengatasi pencemaran alam di negara-negara maju seperti Eropah, Amerika, Amerika Selatan, Asia dan Jepun sendiri. Dalam tempoh sepuluh tahun terakhir ini penggunaan EM begitu meluas dan orang sudah mula memahami apakah manfaat EM tersebut.

Di Malaysia beberapa tahun terakhir ini masyarakat mula percaya dan menerima EM sebagai satu teknologi berkesan untuk pertanian. Aplikasinya ternyata sangat bermanfaat kerana ia bersifat biologi dan alami. Dengan itu ianya selamat dan tidak memudaratkan. Kini beberapa institusi akademik, penyelidikan dan orang perseorangan mula memanfaatkan teknologi EM ini. Sebetulnya lebih sepuluh dahulu Dr Higa telah datang ke Malaysia memaklumkan penemuannya kepada sebahagian orang akademik di Malaysia. Malangnya saintis kita belum terbuka mindanya untuk menerima pandangan-pandangan Dr Higa ini. Beliau melihat Malaysia antara negara Asean yang ke hadapan dan berpotensi. Sebab itu beliau memilih untuk menerapkan teknologi EM di Malaysia. Malangnya sambutan dingin yang diberi kepada idea-idea Dr Higa menjadikan beliau agak kecewa dan merajuk.

Hari ini kita melihat Thailand dan Indonesia telah menerima pakai teknologi EM ini dengan begitu berkesan. Akhirnya orang-orang Malaysia terpaksa ke Thailand dan Indonesia untuk mempelajari teknologi ini apabila kita semakin yakin betapa besar manfaatnya teknologi EM ini. Waktu orang akdemik kita di Malaysia memandang remeh kepada idea-idea Dr Higa; saintis di Eropah, Amerika, Autralia, New Zealand, India dan pelbagai negara maju di seluruh dunia membuka minda mereka dan menerima dengan positif teknologi EM. Akhirnya mereka jauh ke hadapan dalam aplikasi teknologi EM ini, sedang kita baru mula mencium manfaatnya. Di Malaysia manfaat EM ini lebih diusahakan oleh orang perseorangan berbanding institusi penyelidikan.

Minat dan kekaguman saya terhadap penemuan Dr Higa ini sering terangsang setiap kali membaca surah Yasin ayat 36. Ransangan itu akhirnya menghantar saya kepada minat bersungguh untuk melihat dan membuktikan kebaikan teknologi EM ini. Kerana kurangnya maklumat di Malaysia, saya ke Indonesia untuk belajar. Membeli buku-buku dan berhubung dengan organisasi yang mengembangkan teknologi EM di Amerika dan Thailand, dan melayari internet untuk mengumpul lebih maklumat tentangnya. Alhamdulillah, secara kecil-kecilan usaha saya telah membuktikan betapa penemuan Dr Higa telah membantu kita menyelesaikan masalah-masalah alam seperti pencemaran dan sebagainya. Melalui syarikat Must A Marketing dan AF Biotek, kami memasarkan Baja Organik cair yang menggunakan EM sebagai salah satu bahan bakunya. Beberapa produk lain yang juga menggunakan aplikasi EM akan menyusul kemudian.

Kejayaan Dr Higa banyak memberi inspirasi baru kepada saya secara peribadi. Saya juga merasakan masayarakat Malaysia khususnya orang Melayu perlu belajar sesuatu daripada pengalaman ini, di mana minda khurafat tentang mistri itu sudah tiba waktunya dibersihkan daripada hati kita. Sebaliknya marilah kita berhijrah dengan mengalih minat terhadap mistri, daripda mistri khurafat kepada mistri saintifik, seperti yang dilakukan oleh Dr Higa itu.

Media massa kita perlu lebih fokus kepada mistri-mistri saintifik ini berbanding dengan kisah-kisah aneh, kisah hantu jembalang dan mistri khurafat. Marilah kita bentuk minda masyarakat dengan perkara-perkara bermanfaat untuk kehidupan dunia, dan selamat daripada syirik dan kesesatan. Media adalah agen pembentuk minda masyarakat. Oleh itu ia mempunyai tanggungjawab sosial untuk meneyajikan input-input positif dan membina kepada khalayak pembaca, dan dalam waktu yang sama membantu mengkisis khurafat dan tahyul daripada minda pembacanya.

No comments:

Post a Comment