Friday, July 31, 2009

Mengenal Mokichi Okada dan falsafahnya.


Pertanian organik ada persamaan dengan pertanian alami (nature farming) kerana kedua-duanya menolak penggunaan bahan-bahan kimia baik baja mahupun racun (racun rumpai atau raun serangga). Namuan begitu konsep pertanian alami lebih unggul dan mantap kerana ia diasaskan kepada filosofi yang memuliakan alam.

Pertanian alami seperti yang dimajukan oleh Jepun yang dikenali sebagai Kyusei Nature Farming itu adalah didasarkan kepada suatu prinsip kepercayaan yang kukuh, iaitu prinsip memuliakan sumber alam sebagai anugerah Tuhan yang sangat bernilai. Di samping itu alam juga adalah satu ciptaan yang dianugerahkan Tuhan kepada manusia untuk dimanfaatkan semaksimumnya, juga untuk diperlihara, dijaga dan dilestarikan. Itulah asas kepercayaan masyrakat Jepun kepada prinsip alami yang dimajukan oleh Mokichi Okada.

Mokichi Okada (1882-1955) adalah seorang ahli falsafah, pemimpin spiritual, penyair, artis dan usahawan yang mengembangkan prinsip kepercayaan kepada keharmonian alam. Beliau adalah pengasas kepada pertubuhan yang dikenali sebagai Sekai Kyusei Kyo (SKK) yang kini merupakan sebuah organisasi antarabngsa yang dianggotai lebih 600 000 orang di seluruh dunia. Pertubuhan itu kini mengembangkan filosofi Mokichi Okada yang mengajak umat manusia bersatu menghadapi tiga musuh utama manusia sejagat iaitu penyakit, kemiskinan dan konflik. Oleh itu falsafah Mokichi Okada adalah ke arah kesejahteraan, kemakmuran dan keamanan dunia. Untuk mencapai matlamat tersebut beliau percaya manusia perlu kembali kepada alami (back to nature), memajukan aktiviti pertanian untuk menyediakan bekalan makanan yang mencukupi di samping yang berkualiti, menghindari penyakit dan menghindari sebarang konflik yang akan membawa kepada permusuhan sesama manusia.

Sejak diasaskan pada tahun 1935 falsafah Mokichi Okada ini telah berkembang menjadi satu ajaran baru yang dikembangkan ke Amerika Syarikat dan Amerika Selatan. Ribuan orang tertarik dan mengikuti ajaran baru ini kerana ciri-cirinya yang universal, ringkas dan sesuai dengan nilai-nilai kemanuisaan sejagat. Kepada mereka yang tidak mempunyai anutan agama, sebahagiannya yakin ajaran ini sebagai agama, manakala sebahagian pengikutnya menganggap ia satu aliran kerohanian yang membina. Secara umumnya ramai pengikut yang mengamalkan beberapa ajarannya yang menekankan kepada prinsip perawatan yang dikenali sebagai Johrei, mengamalkan pertanian alami dan juga menghayati pelbagai aktiviti seni.

Sekai Kyusei Kyo adalah pertubuhan spritual untuk menyelamatkan dunia. Ia diterjemahkan dalam bahasa Inggeris sebagai Church of World Messianity. Di Brazil di mana terdapat ramai rakyatnya yang berketurunan Jepun, ajaran Mokichi ini telah dikembangkan oleh pengikut setianya menjadi satu aliran agama baru. Contohnya Yoshikazu Okada (1901-1974) mengasaskan Sekai Mahikari Bunmei Kyudan, manakala Keishu Okada pula mengasaskan Sukyo Mahikari. Sejak digerakkan pada tahun 1930 di Brazil, pertubuhan-pertubuhan tersebut telah menarik ramai pengikut termasuk orang-orang tempatan Brazil. Dikatakan lebih sejuta orang Brazil mengikuti ajaran ini.

Di kebanyakan lokasi ajaran ini (SKK) terdapat tempat suci berupa bangunan ibadat di mana para pengikut akan berkumpul di sama. Uniknya bangunan ini tidak mempunyai simbol-simbol keagamaan seperti gereja dan kuil. Sesuai dengan ajaran yang diikuti oleh orang daripada pelbagai agama, Bangunan SKK hanya berupa dewan perhimpunan berpentas di hadapan. Ajaran ini agak liberal apabila mereka menerima siapa sahaja untuk menyertai mereka tanpa batasan bangsa dan agama. Ia benar-benar bersifat universal. Ketika melawat SKK di Sara Buri, saya berkesempatan melawat sebuah pusat SKK terbesar yang mempunyai kemudahan bangunan yang sungguh besar setinggi tiga tingkat memuatkan dewan, galeri lukisan dan kantin. Bangunan berbentuk bulat dan mempunyai kubah bermenara tinggi menjulang ke langit, adalah didasarkan kepercayaan ajaran SKK yang percaya alam ini kebanyakannya dicipta Tuhan dengan sifat bulat. Manakala ketinggian menara ke langit adalah ciri-ciri spiritual yang percaya kepada Tuhan. Cita-cita Mokichi untuk mewujudkan sebuah syurga di bumi, dijelmakan pada konsep pembangunan tempat suci SKK ini. Persekitarannya dihiasi indah dengan taman botani yang menonjolkan imej-imej alam dengan mengekalkan kehijauan persekitaran.

Bangunan SKK di Sara Buri menjadi tumpuan pengikutnya dari Thailand dan seluruh dunia

Mokichi mengajak manusia mengutamakan aspek spiritual dengan membersihkan diri daripada segala elemen-elemen yang mengotorkan jiwa. Dia mempunyai konsep sains dan kesihatan yang holistik, dengan menerapkan konsep rawatan secara spiritual yang dikenali sebagai Johrei. kaedah perawatan agak sederhana dan ringkas, iaitu menyalurkan energi kepada seseorang yang memerlukan bantuan. Sebagaimana Reiki, Johrei juga berupa pemindahan energi Tuhan melalui doa untuk membantu mereka yang memerlukan. Pengikut SKK akan melakukan terapi Johrei sesama sendiri atau kepada sesiapa sahaja (termasuk melalui jarak jauh) dengan memindahkan energi Tuhan untuk membersihkan diri seseorang dari dalam (spiritual). Kesan penyucian spiritual ini akan menyembuhkan gejala penyakit termasuk gejala fizikal. Melakukan Johrei bukan sekadar merawat tetapi juga satu cara memurnikan ruhani sendiri melalui khidmat membantu, mendoakan orang lain menjadi lebih sihat dan sejahtera.

Di Amerika Syarikat dan Amerika Selatan, Johrei dikenali sebagai Okada Purifying Therapy (OPT). Oleh kerana Johrei atau OPT ini mudah diamalkan di samping memberi kesan kesembuhan nyata, maka ramai orang mengamalkannya. Okada percaya diri manusia seperti juga alam mempunyai daya penyuciannya sendiri. Alam dibersihkan dengan hujan dan angin, maka diri manusia juga mempunyai keupayaan dalaman untuk membersihkan dirinya. OPT biasanya dilakukan dalam tempoh singkat.

Prinsip ajaran Mokichi Okada berasaskan kepada tujuh prinsip utama, iaitu: peraturan-sunnah, kesyukuran, penyucian, kekuatan spiritual, sebab-nusabbab, spiritual mendahului fizikal, kesatuan spritual dan fizikal.

Prinsip itu diterapkan dalam amalan penjagaan kesihatan melalui Johrei/OPT dan menikmati makanan bermutu (berasaskan organik dan alami), pertanian alami sebagai sumber makanan yang bermutu, dan juga menghayati aktiviti seni kerana ia dapat memurnikan spiritual. Pelbagai jenis seni seperti seni lukis, muzik, seni tari, kraf dan lain-lain merupakan aktiviti yang memeurnikan ruhani manusia.

Monday, July 27, 2009

Bagaimana menghadapi H1N1 @ Selesema Babi @ Swine Flu


Sekarang, seluruh dunia telah kacau bilau dengan penularan selsema babi (H1N1). WHO telah mengisytiharkan H1N1 sebagai 'pandemic', kerana penyebarannya diseluruh dunia, dilaporkan lebih daripada 158 negara yang terbabit.

H1N1 dikenali sebagai selsema babi (swine flu) kerana ianya berasal daripada khinzir(babi). Khinzir boleh dijangkiti oleh pelbagai virus, mahupun dari manusia ataupun dari binatang. Virus yang bermacam jenis ini hidup bersama dan mampu 'berevolusi' menghasilkan subtype virus yang baru. Apabila keadaan ini berlaku, amat sedikit atau tiada orang yang mempunyai immunisasi terhadap virus itu, dan keadaan ini dipanggil sebagai antigenic shift.
Key Facts about Swine Flu


Melalui laporan CDC (Centers for Disease Control & Prevention), H1N1 kini di Fasa 6, menunjukkan tahap penyebaran yang tinggi dikalangan masyarakat. Setakat ini di Malaysia, belum ada pesakit yang dilaporkan mati disebabkan oleh wabak H1N1 ini. Yang merbahaya setakat ini ialah tahap penularan dan jangkitannya, bukan disebabkan tahap bahaya (severity) wabak ini. Menurut CDC, penyebaran wabak H1N1 kini turut diikuti oleh penyebaran virus influenza (seasonal influenza) yang lain.

Di Malaysia, terdapat 1,124 kes telah dilaporkan setakat hari ini (27hb Julai). Daripada jumlah ini, hanya 10 kes (1%) yang menerima rawatan anti-viral di hospital, dan lapan kes menerima rawatan di rumah. Yang terbaru, 2 kes kematian dilaporkan, seorang warga Indonesia dan seorang warga Belgium. Walaupun jumlah yang di sahkan teruk itu sedikit, kementerian kesihatan masih meneruskan kempen agar wabak itu tidak menjadi lebih teruk. Dikalangan rakan-rakan pun sudah ramai yang batuk-batuk dan demam, dan kini disahkan ada pelajar yang dijangkiti H1N1.
Situasi Semasa H1N1 (MOH)

Simptom-simptom (tanda pada pesakit) yang perlu kita ambil berat ialah influenza-like illness (ILI), iaitu demam, batuk, sakit tekak, masalah pernafasan, sakit kepala. Penyebaran H1N1 adalah melalui molekul air (droplet) daripada pernafasan, terutama ketika batuk dan bersin. Jika seseorang yang terpegang objek yang dikotori virus tersebut, dan menggunakan tangannya untuk makan, juga menyebabkan ianya terjangkit. Secara mudahnya, jangkitan virus ini melibatkan sistem pernafasan.
Guidance for Clinician


Sebagai langkah pencegahan, pakailah topeng muka untuk mengelakkan jangkitan secara terus (direct contact). Jika ingin makan, basuh tangan terlebih dahulu. Ini hanyalah pencegahan dari aspek fizikal. Bagi pencegahan dari aspek dalaman pula memerlukan sistem immun yang kuat dan pemakanan yang mempunyai bahan anti-viral untuk mengelakkan jangkitan. Bahan anti-viral semulajadi yang diketahui ramai dan mudah didapati ialah melalui minyak kelapa dara (VCO). Asid lemak rantai sederhananya (monolaurin) mempunyai sifat anti-virus, anti-bacteria dan anti-fungi. Ianya tidak merbahaya kepada badan dan termasuk sebagai GRAS (Generally Recognize as Safe).
Coconut Oil for AIDS & Other Viral Infection
Facts about Monolaurin

Walaupun VCO tidak spesifik seperti ubat anti-viral yang diberikan di klinik, tetapi kesannya telah terbukti. Dr Mary Enig dalam artikel yang saya sertakan diatas mengatakan bahawa monolaurin mampu menyahaktifkan pathogen seperti HIV, measles, vercular stomatitis virus (VSV), herpes simplex virus (HSV), visna, cytomegalovirus, influenza virus dan bermacam lagi. Monolaurin melarutkan lipid didalam virus lalu merosakkan selaput (envelope) virus tersebut. Jadi, minyak kelapa dara sangat penting sebagai pencegahan awal, dan insyaAllah sebagai ubat kepada H1N1. InsyaAllah dengan pengambilan air kelapa bersama isinya juga mempunyai kesan sama, cuma kesan terapeutiknya kurang berbanding VCO.
Coconut Research

Saya harapkan dengan apa yang saya kongsikan ini bermanfaat untuk rakan-rakan, dan mohon teguran jika terdapat kesilapan. Saya berharap agar kita tahu tentang apa yang berlaku, agar mudah kita menjauhi kemudaratan yang akan berlaku. Bagi rakan-rakan yang sakit, semoga cepat sembuh dan diberikan kekuatan.

Semoga kita sama-sama dapat menjaga tahap kesihatan dengan sebaik mungkin, dan yang lebih penting, berdoa agar penyakit ini tidak terus merebak dan dipermudahkan kita melaluinya. Ada sebabnya Allah jadikan penyakit ini, agar kita sedar akan kesilapan kita sebagai manusia, dan sedar bahawa manusia ini tidak berkuasa, tetapi Allah-lah yang berkuasa atas setiap sesuatu.

"Dan jika Allah menimpakan suatu bencana kepadamu, maka tidak ada yang dapat menghilangkannya kecuali Dia. Dan jika Allah menghendaki kebaikan bagi kamu, maka tidak ada yang dapat menolak karuniaNya. Dia memberikan kebaikan kepada siapa saja yang Dia kehendaki di antara hamba-hambaNya. Dia Maha Pengampun, Maha Penyayang"
-surah Yunus, 10:107.

"Dan Tuhanmu sama sekali tidak menzalimi hamba-hambaNya."
-surah Fussilat, 41:46 -

(Rencana ditulis oleh Munir Afifi dalam blognya Cahaya Ilmu)

Untuk mendalami manfaat Tropicocos VCO, sila baca buku Kelebihan Dan Manfaat VCO. Ia boleh didapati daripada Hi-Bloom atau tel: 03-87344515)

Ke Sara Buri, tinjau pertanian alami


Minggu lalu sejak 19 hingga 25 Julai, saya ke Sara Buri, Thailand mengikuti International Workshop on Nature Farming. Program empat hari (20-23 Julai) itu disertai 25 orang peserta dari tujuh buah negara iaitu Malaysia, Singapore, Filipina, India, Bhutan, Hong Kong dan New Zealand.

Workshop antarabangsa ini adalah anjuran Asia Pacific Natural Agriculture Network (APNAN)yang berpusat di Bangkok. APNAN adalah sebuah petubuhan non-profit yang menganjurkan program Workshop antarabangsa dua kali setiap tahun, bagi memajukan petanian alami (nature farming) melalui aplikasi EM di kalangan negara-negara Asia Pasifik. Pusat aktivitinya ialah di Sara Buri Centre, terletak di Sara Buri, kira-kira 130 km dari Bangkok.

(menyediakan tapak tanaman)

Sara Buri Centre atau SBC adalah sebuah pusat latihan meliputi kawasan seluas 75 hektar, lengkap dengan komplek bangunan pentadbiran, asrama, rumah pekerja dan sebuah blok tiga tingkat sekolah tinggi vokasional (khusus untuk pelajar lelaki). SBC dibiayai oleh sebuah pertubuhan kerohanian yang dikenali sebagai SKK atau Sekai Kyusei Kyu. Pertubuhan ini mempunyai lebih 600 ribu orang ahli dan diasaskan oleh Mokichi Okada (1988-1955) (gambar atas). Beliau jugalah pengasas kepada kosep pertanian alami yang dikenali sebagai Kyusei Nature Farming itu.

Melalui program latihan di SBC, APNAN melatih para petani dan mereka yang berminat dengan pertanian alami tentang aspek-aspek asas pertanian alami melalui aplikasi teknologi EM (Effective Microorganisme) sepenuhnya. Selain daripada Workshop antarabangsa, mereka juga menganjurkan kursus-kurus pendek dan menerima lawatan daripada pelawat-pelawat antarabangsa sepanjang tahun.

Wujudnya SBC dan APNAN di Bangkok membolehkan penduduk Thailand khususnya para p-etani memajukan diri mereka dengan konsep petanian alami serta penggunaan teknologi EM. Sejak tahun 1988 mereka terdedah dengan maklumat dan pengalaman bertani secara Kyusei Nature Farming (KNF), menjadikan para petani Thailand begitu maju dan berjaya. Tempoh waktu itu telah mematangkan sebahagian pengamal-pengamal pertanian alami dan teknologi EM di sana. Mereka kelihatan begitu taksub dengan amalan KNF kerana mereka benar-benar telah menikmati manfaat besarnya.

(menyediakan salad untuk ayam ternak)

Secara umumnya konsep KNF adalah berdasarkan falsafah hidup Mokichi Okada yang mahukan manusia kembali kepada hakikat ciptaan alam atau SunnatulLah, di mana manusia sepatutnya menghargai alam, memelihara ekosistemnya dan mengekalkan kelangsungan hayatnya. KNF adalah amalan pertanian yang berasaskan konsep alami yang berteraskan integrasi antara manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Laahirlah pertanian bersepadu (integrated farming) yang menggabungkan aktiviti penanaman, ternakan dan juga akuakultur.

Dalam kawasan seluas 75 hektar itu SBC menyediakan ladang contoh yang lengkap meliputi semua aktiviti pertanian alami termasuk kawasan sawah padi, kawasan penanaman sayur, kawasan pokok buah-buahan, kolam ternakan ikan/udang, penanaman cendawan, ternakan ayam dan khinzir. Di samping itu terdapat juga bengkel penyediaan EM, bokashi dan baja organik, yang menggunakan sepenuhnya sumber sisa buangan daripada aktiviti pertanian di situ.

Aplikasi teknologi EM menjadi tunjang kejayaan konsep KNF di SBC. EM digunakan sepenuhnya dalam pertanian, bermula daripada penyediaan tapak semaian, tapak penanaman, pembajaan dan pengawalan serangga perosak. Bagi aktiviti penternakan pula, EM digunakan sebagai sumber asas untuk penyediaan makanan dan minuman ternak, pengawalan penyakit (antibiotik) dan penjagaan harian serta pengurusan sisa buangan (najis ternakan). Penggunaan teknologi EM membolehkan ternakan hidup lebih sihat, bebas penyakit serta kebersihan kawasan sekitar ladang ternakan terjamin. Malahan air kumbahan daripada sisa najis ternakan diurus dengan begitu berkesan tanpa bau busuk, manakala air sisa itu dibersihkan dan dapat diguna pakai semula. Melalui kaedah ini, alam sekitar bebas daripada pencemaran.

Sepanjang empat hari kami di SBC, program begitu padat meliputi syarahan dan lebih banyak latihan praktikal di luar. Selain itu kami juga saling bertukar pengalaman melalui pembentangan aktiviti daripada peserta-peserta setiap negara. Ini satu sesi perkongsian pengalaman yang sangat berharga. Kami juga dibawa melawat ke kawasan di mana aplikasi pertanian alami menggunakan teknologi EM diamalkan. Kami ke wilayah Nakhornratchasima, melawat Muang Porn Garden, sebuah pusat agro pelancongan terletak arah timur laut Bangkok. Di sana kami melihat bagaimana Mr Chalermkiat memajukan pusat pelancongannya menggunakan sepenuhnya teknologi EM. Terdapat sebuah restoran yang menyediakan makanan organik di mana setiap hari dikunjungi 800 orang pengunjung dan ribuan lagi di hujung minggu. Pengurusan restoran ini diasaskan kepada penggunaan EM. Sisa-sisa makanan diproses semula menjadi baja organik. Sebahagian lagi digunakan untuk penanaman pokok-pokok hiasan di nurserinya. Beliau memperolehi pendapatan daripada restoran di samping nurseri. Ketika memperkenalkan diri dan aktiviti perniagaannya, beliau begitu bangga sebagai pengamal setia teknologi EM sejak sepuluh tahun yang lalu.

Kami juga dibawa melawat kebun pisang yang diusahakan oleh seorang petani wanita yang juga wakil rakyat di kawasannya. Ladang pisangnya sekitar dua hektar tetapi hasil pisangnya diproses menjadi makanan ringan yang menguntungkan. Beliau menggunakan aplikasi teknologi EM dalam menyediakan baja organik untuk ladang pisangnya.

(pemandangan indah di botanical garden, sekitar kompleks SKK)

Thursday, July 16, 2009

Ke era pertanian organik siri 4: Hi-Bloom dan Hi-Grow


Sepanjang mengenali dan memahami fungsi EM dalam aktiviti pertanian, kami akhirnya berjaya menghasilkan produk input pertanian yang dikenali sebagai H-Bloom (baja organik cair) dan Hi-Grow. Kedua-dua berbeza dari segi formulasinya. Namun begitu kedua-dua jenama ini menggunakan aplikasi EM.

Hi-Bloom disasarkan kepada pengguna rumahtangga untuk skala kecil. Saiznya 500ml, sesuai untuk aktiviti laman tani di sekeliling rumah. Ia boleh digunakan untuk semua jenis tanaman baik bunga-bungaan, sayuran dan herba atau pohon buah-buahan. Hi-Grow pula dibotolkan dalam saiz 4liter, untuk kegunaan sawah ladang. Ia disediakan untuk kegunaan tanaman padi, buah-buah-buahan, kelapa sawit, sayur-sayuran dan bunga-bungaan.

Penghasilan Hi-Bloom dan Hi-Grow adalah bukti komitmen kami untuk berkongsi manfaat EM dengan pengguna industri pertanian di Malaysia. Penggunaannya lebih jimat dan selamat kerana ia adalah produk alami (biotek). Maklumat penuh tentang Hi-Grow boleh didapati di blog afagrotech.blogspot.com.


Hi-Grow adalah baja organik foliar untuk semua jenis tanaman, dengan pelbagai fungsi. Ia bukan sekadar baja yang membekalkan mineral tertentu untuk keperluan pokok, tetapi juga membantu peladang memperbaiki dan meningkatkan kualiti tanah.

Tanah yang diusahakan secara intensif dan menggunakan bahan kimia yang tinggi akan terjejas kesuburannya. Tanah sedemikian mengalami kehilangan bahan organik dan kepupusan mikroganisma berfaedah, yang menjadi teras kepada kesuburan tanah.

Hi-Grow mengandungi mikronutrien dan asid organik serta diperkaya dengan mikrorganisma berfaedah bagi merangsang dan meningkatkan kesuburan tanah dan tanaman.

Fungsi Asas Hi-Grow - Merangsang Pertumbuhan Tanaman.

Hi-Grow membekalkan nutrien berbentuk organik membolehkan pokok mengambilnya
dengan mudah dan membantu pokok menyerapkan baja kimia dengan lebih berkesan
dan mencegah larut resap (kehilangan) baja. Sebagai baja foliar, Hi-Grow membekalkan
nutrien terus kepada daun untuk diproses, membolehkan tanaman membesar dengan
cepat. Penggunaan baja lebih berkesan dan menjimatkan. Kajian mendapati dalam masa 45
minit baja Hi-Grow telah diserap habis oleh daun.

Mikrorganisma dalam Hi-Grow membantu mempercepatkan pereputan sisa organan dan
menghuraikannya menjadi baja asli kepada tanaman. Pada masa sama ia menghalang dan
mengawal pembiakan dan serangan bakteria perosak bawaan tanah.

Asid organik dalam Hi-Grow menggalakkan pembentukan akar dan membantu
penyerapan zat makanan dengan lebih baik. Asid organik juga meningkatkan metabolisma
dan imuniti tanaman bagi menentang penyakit dan perubahan cuaca.

Kandungan nutrien dalam Hi-Grow merangsang pembentukan bunga dan pengeluaran
buah. Seterusnya ia akan meningkatkan kualiti dan kuantiti hasil.

Fungsi Tambahan - Memperbaiki Kesuburan Tanah.

Hi-Grow bertindak membaiki tekstur tanah, memudahkan pengaliran air dan oksigen
menggalakkan pembentukan akar dan meningkatkan keupayaan tanah menyimpan
nutrien serta mencegah larut resap baja dan meningkatkan kecekapan pengambilan baja
oleh tanaman.

Monday, July 13, 2009

Ke era pertanian organik siri 3: Impian Higa impian kita semua!


Profesor Dr Teruo Higa yang mengembangkan teknologi EM ke seluruh dunia sejak tahun 80an, mempunyai matlamamt murni: menyelamatkan dunia. Inilah matlamat yang hendak dicapai, melalui pendirian dan keyakinannya yang diterapkan dalam kedua-dua buah bukunya. (Lihat siri 2 yang lalu).

Profesor Higa bukan sekadar berteori tetapi seorang yang benar-benar berusaha dan bekerja keras merealisasikan impiannya. Beliau bukan sekadar seorang profesor yang hanya berkuliah, menjalankan penyelidikan di ruang kampus universitinya (Ryukyu University) di Okinawa; tetapi seorang yang sungguh praktikal. Beliau menjelajah dunia memastikan penerapan teknologi EMnya diterapkan dengan benar. Beliau rajin turun padang, bersama dengan mereka yang mengamalkan teknologi EM di pelbagai negara di dunia. Beliau tidak pun mengambil kesempatan untuk membina kekayaan daripada teknologi yang dimajukannya. Beliau kelihatan sungguh ikhlas untuk menyumbangkan ilmu dan aplikasi ilmunya kepada semua penduduk dunia, agar dunia menjadi lebih selamat, kembali alami tanpa kesan buruk pencemaran kimia.

Profesor Higa menjelajah dunia terutama negara-negara yang menerima idea dan hasil penyelidikannya. Beliau turun padang, menemui langsung pengamal teknologi EM tanpa mengira status mereka. Sebahagiannya adalah para petani, pengusaha peternakan, dan juga orang ramai yang benar-benar yakin dan mahu menerapkan teknologi EM ini. Di negaranya Jepun misalnbya, EM digunakan untuk membersihkan sungai dan perairan yang tercemar. Kebanyakan orang yang berkerja membersihkan sungai ini bukanlah jabatan atau pihak berkuasa tempatan/kerajaan, tetapi adalah orang biasa, rakyat biasa atau pertubuhan-pertubuhan bukan Kerajaan. Mereka ini adalah golongan yang sedar tentang masalah pencemaran, dan merekalah yang berusaha menanganinya tanpa mengharapkan pihak-pihak tertentu untuk melakukannya.

Di Malaysia hari ini nampaknya idea-idea Profesor Higa sudah mula diterima pakai oleh kalangan pengusaha pertanian termasuk penternak. Mereka yang telah menggunapakai teknologi EM ini ternyata sudah yakin kepada keupayaan teknologi setelah melihat hasilnya yang memberangsangkan. Hasil pertanian menjadi subur menggunakan sokongan EM. Ternakan juga menjadi lebih sihat dan hasilnya meningkat. Selain itu mereka dapat menjimatkan belanja penggunaan baja kimia dan racun. Ternakan yang menggunakan EM dapat menjimatkan kos makanan (sekiranya mereka tahu bagaimana menggunakan teknologi EM ini).

Aplikasi EM sepenuhnya pasti akan menjimatkan dan juga selamat. Penjimatan dapat dilihat apabila pertanian organik diamalkan secara lengkap atau separa-organik. Penggunaan baja kimia dan racun serangga atau racun rumpai dapat dijimatkan atau mungkin tidak diguna langsung. Hari ini kos input-input kimia itu melonjak harganya. Selain jimat, amalan pertanian organik pastinya dapat menyelamatkan alam sekitar, kehidupan manusia dan juga kehidupan makhluk lain. Tanpa kimia, tanah tidak rosak (mati), persekitraran tidak tercemar dengan bahan kimia dan racun, kehidupan manusia lebih sihat bila tiada pencemaran, kehidupan makhluk lain juga turut terselamat.

Sebenarnya adalah menjadi impian kita semua untuk hidup lebih selamat, hidup lebih sihat dan dapat menikmati segala anugerah Tuhan di alam ini dengan penuh keyakinan dan kesyukuran. Sebagai sebahagian daripada kesatuan ekositem alam, manusia juga turut terikat dalam kelestarian alam. Manusia sebagai khalifah atau penguasa yang diberi amanah mentadbir alam ini, perlu sedar bahawa merekalah yang menanggung amanah besar untuk mengekalkan kelestarian alam ini. Mengikut Sunnah Tuhan, alam ini seharusnya terus mengekalkan sifat-sifat alaminya di mana semua makhluk termausk manusia dapat hidup dengan harmoni. Malangnya hari ini manusia mencipta pelbagai bahan yang digunakan untuk merosakkan ekosistem alam. Manusia membunuh makhluk lain dengan menggunakan racun. Dalam peperangan manusia membunuh sesama manusia menggunakan racun dan senjata-senjata beracun. Ledakan senjata melepaskan bahan-bahan beracun termasuk radioaktif yang akhirnya membunuh manusia dan makhluk lain di alam ini. Contohnya, pengalaman ngeri di Hiroshima dan Nagasaki di Jepun ketika bom atom diledakkan. Berapa ramai orang yang mati, berapa banyak pula kerosakan pada alam, dan berapa lama pula orang-orang di sana menderita dan merana.

Hari ini kehidupan kita dikelilingi dengan pelbagai kerosakan pada ekosistem yang berlaku demi tuntutan pembangunan dan kemajuan manusia. Hutan hujan tropika semakin berkurangan akibat penebangan balak tidak terkawal, di samping pembukaan tanah baru. Kesannya kita mengalami kekurangan sumber kerana hutan adalah tempat tadahan air. Selain itu sungai kita tidak lagi bersih kerana ia dipenuhi dengan keladak tanah. Akibat kekurangan sumber air, di sesetengah tempat sawah kekeringan. Pencemaran air menyebabkan kita kehilangan sebahagian besar sumber kehidupan air yang selama ini membekalkan protein kepada kita.

Thursday, July 9, 2009

Ke era pertanian organik – siri 2: Impian Higa


Untuk memahami konsep EM dan penggunaan teknologinya dalam bidang pertanian, kita perlu memahami latar belakangnya yang sangat berkait dengan penemu teknologi ini iaitu Profesor Dr Teruo Higa. Kita dapat menelurusi sejarah penemuan dan perkembangan teknologi EM melalui dua buah tulisan utama Profesor Dr Higa iaitu buku An Earth Saving Revolution: a mean to resolve our world’s problems through Effective Microorganisme (EM) (1996) dan An Earth Saving Revolution II: EM – Amazing application to agriculture, environment, and medical problems (1998). Kedua buku tersebut adalah terjemahan daripada naskah bahasa asal – bahasa Jepun. Ia diterbitkan di Jepun oleh Sunmark Inc., Tokyo.

Pada tahun 2004 saya memperolehi kedua buku tersebut dari Amerika Syarikat. Kedua buku tersebut memperincikan manfaat EM kepada bidang pertanian, alam sekitar dan juga bidang kesihatan. Ternyatalah kedua naskah buku ini telah tersebar meluas ke seluruh dunia membawa idea-idea Higa tentang konsep EM dan aplikasinya. Ia menjadi rujukan kepada mereka yang mahu memahami EM dan manfaatnya.


Bagi saya memahami teknologi EM bukan sekadar membaca dan mengikuti kursus tentangnya. Lebih penting ialah menguji penggunaan EM itu sendiri. Saya telah bereksperimen menggunakan EM terutama dalam praktis mudah menyediakan bokasi atau baja kompos daripada sisa-sisa organik, terutama buangan organik dari rumah. Eksperimen ini akan menjelaskan kepada kita bagaimana proses penapaian mengambilalih proses pembusukan. Proses ini terjadi melalui peranan EM.

Penggunaan EM di rumah adalah asas yang sangat baik untuk kita memahami fungsi EM di mana manfaatnya nampak menyeluruh baik dari segi pertanian mahupun pemeliharaan alam sekitar. Selain itu aplikasi ini mempunyai kesan ke atas pendidikan keluarga, kerana amlan ini mudah dilakukan oleh anak-anak di rumah. Saya melihat di Amerika Syarikat teknologi ini diterapkan kepada anak-anak di sekolah melalui program pendidikan yang sederhana, menggunakan modul khusus.

Dalam keadaan biasa, sampah organik yang terdiri daripada sisa makanan yang sudah dimasak atau buangan makanan mentah merupakan sampah organik yang akan membusuk . Menguruskan sampah organik begini menjadi masalah kerana baunya. Inilah yang menjadi masalah kepada pengurusan sisa pepejal organik hari ini. Bertan-tan sampah rumahtangga perlu diuruskan oleh pihak berkuasa tempatan. Sampah ini akan berakhir di pusat pelupusan sampah (landfill). Ia akhirnya menimbun dan mengahasilkan proses kimia dengan bau yang busuk dan pelepasan gas kimia, mengganggu persekitaran. Pengurusan sampah organik ini memakan kos yang tinggi. Di samping itu ia menjadi ancaman kepada alam sekitar.

Di sinilah peranan EM begitu jelas, kerana ia berupaya menukarkan proses pembusukan sampah-sampah organik ini kepada proses penapaian. Mikrob dalam EM adalah mikrob baik yang akan memproses sampah menjadi bahan yang bermanfaat. Ia bukan sahaja tidak busuk seperti biasa, tetapi juga berubah sifat menghasilkan bau masam-manis. Sampah organik yang diproses dengan EM akan menjadi baja organik dan juga boleh dijadikan sumber makanan haiwan. Ia boleh digunakan segera sebagai baja sekiranya ia ditanam dalam tanah.

Ketika mencuba aplikasi bokasi ini, kita tidak lagi perlu membuang sampah organik di rumjah, sebaliknya dapat dimanfaatkannya sebagai bokasi atau baja organik. Bayangkan kalau semua kita tidak membuang lagi sampah organik di setiap rumah, pastilah beban menguruskan sisa pepejal organik akan berkurang. Akhirnya Kerajaan dapat menjimatkan kos mengurus sampah, di samping itu masalah pencemaran alam sekitar juga dapat dihindari. Inilah sebenarnya impian Profesor Dr Higa.

Wednesday, July 8, 2009

Ke era pertanian organik – siri 1


Pada tahun 2004 lalu saya begitu teruja dengan teknologi EM (Effective Microorganisme) apabila mendengar tentang keupayaan mikrob yang mana setengah orang mnyebutnya sebagai enzim yang dapat mengatasi masalah alam sekitar. Subjek alam sekitar sememangnya menjadi minat saya, di mana saya mula memberi perhatian sejak 1979 ketika mula bertugas di akhbar Berita Harian. Waktu itu seringkali juga saya diberi tugasan menemui penyelidik alam sekitar dari luar negara dan ahli-ahli persatuan seperti Persatuan Pencinta Alam dan lain-lain. Buku Gejala yang saya hasilkan dalam tahun 85 memuatkan beberapa rencana tentang alam sekitar. Ini adalah sebagai sumbangan dan bukti komitmen saya ke arah alam sekitar yang sejahtera.

Berbalik kepada EM, maklumat-maklumat tentang EM amatlah terhad. Akhirnya saya mula melayari internet mencari sumber maklumat. Ketika ke Indonesia saya mendapat maklumat daripada majalah Trubus (yang terkenal dengan fokus kepada pertanian) bahawa terdapat kursus pertanian organik yang menggunakan teknologi EM. Kursus tersebut dianjurkan oleh Institut Perlatihan Sumberdaya Alam (IPSA) di Bali. Saya membuat keputusan untuk mengikuti program latihan tersebut untuk memahami tentang EM.
Berbekalkan hanya maklumat, saya ke Bali melalui Surabaya. Pertama kali ke Bali seorang diri agak mencabar. Lokasi tempat kursus rupanya jauh di utara pulau Bali berhampiran Singaraja. Terletak di sebuah perkampungan sunyi di Desa Bengkel. Tiga hari saya bersama lapan orang peserta daripada sebuah agensi kerajaan Indonesia mengiktui kursus aplikasi teknologi EM ini.

Di sinilah bermulanya perkenalan dengan EM. Istimewanya pengasas dan pemilik IPSA, Ir. I Ngurah Wididana adalah bekas murid kepada pengasas teknologi EM sendiri iaitu Prof Dr Teruo Higa. Pak Widi (panggilan ringkas) adalah bekas pelajar Sarjana Pertanian di Univeriti Ryukyus di Okinawa, Jepun. Beliau belajar di bawah bimbingan Profesor Teruo Higa. Di sinilah bermulanya perpindahan ilmu tentang teknologi EM ke Indonesia. Apabila pulang ke Indonesia, Pak Widi memajukan EM dan aplikasi teknologinya ke atas pertanian di Indonesia, khususnya di tempatnya di Bali.

Saya merasa bertuah kerana dapat memahami teknologi EM dari sumber yang autoritatif. Banyak ilmu yang saya perolehi selama belajar di IPSA. Biarpun kursus ini kursus pendek, tetapi apa yang lebih penting ialah ia menjadi asas atau permulaan kepada usaha saya meneroka jauh ke dalam teknologi EM.

Dari masa ke semasa saya membuat jaringan dengan akses internet untuk mengumpulkan pelbagai maklumat tentang perkembangan teknologi ini di seluruh dunia. Malaysia agak ketinggalan dalam teknologi EM atas kesilapan beberapa pihak di sini. Sebenarnya Profesor Higa pernah datang ke Malaysia sekitar tahun 90an. Saya mendapat maklumat daripada rakan-rakan di UPM (Universiti Pertanian Malaysia waktu itu) bahawa Profesor Higa pernah datang ke UPM dan membentangkan hasil penemuannya tentang teknologi EM ini. Malangnya beliau tidak diberi sambutan yang baik, dan idea-ideanya tidak begitu dihargai. Profesor Higa kelihatan kecewa dengan sambutan dingin terhadap usahanya.

Di luar negara idea EM ini diterima secara positif. Ia dibawa masuk ke negara-negara Asia seperti Thailand, Filipina, India, Indonesia, dan kini sudah diterima pakai di Amerika, Kanada dan negara-negara Eropah. Kerana manfaat teknologi ini begitu besar ke atas aktiviti pertanian dan pemeliharaan alam sekitar, negara-negara maju begitu teruja dan mengambilnya secara positif.

Akhir-akhir ini orang Malysia baru membuka mata mereka kepada teknologi EM. Beberapa pihak terutama pengusaha pertanian dan peternakan mula merasakan manfaat EM kepada aktiviti mereka. Sebahagian pengusaha mendapatkan bekalan EM daripada pihak-pihak di Thailand dan Indonesia. Sementara itu UTM di Johor Baru khabarnya ada memajukan pemerosesan EM. Kini EM sudah boleh didapati di Malaysia, namun saya pasti aplikasinya ke atas aktiviti pertanian dan alam sekitar masih sangat terbatas.

(sesiapa yang ingin mendapatkan bekalan EM atau maklumat tentangnya, bolehlah menghubungi Afagrotech di talian 017-878 2829 atau 019-416 4849.)

Gambar, atas: pemandangan sawah di Jati Nangor, Bandung. Bawah: perkebunan di Batu, Malang, Indonesia.

Tuesday, July 7, 2009

Taman Makanan (Edible Garden)


Taman Dapur atau taman makanan (edible garden) adalah konsep lama yang kembali diuar-uarkan oleh pemimpin negara. Sebelum ini isteri bekas Perdana Menteri lalu, Tun Jean Abdullah membina edible garden di sekitar kediaman rasminya di Putrajaya. Terbaru ialah usaha Felda menggerakkan kempen supaya para penerokanya memajukan edible garden masing-masing di sekitar rumah mereka. Kempen edible garden ditekankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abd Razak sewaktu merasmikan Hari Peneroka 2009 di Labis, Johor hari ini.

Sebenarnya orang-orang kampng dahulu (sekitar 50 tahun ketika waktu saya kecil)telahpun mengamalkan konsep edible garden ini. DI sekeliling rumah ditaman dengan pelbagai tanaman makanan seperti sayur-sayuran, ulam-ulaman dan tanaman rempah-ratus. seingat saya di sekeliling rumah kami dan boleh dikatakan di semua rumah penduduk kampung, ada tanaman dapur seperti serai, kunyit, lengkuas, halia, cekur, kantan, bawang, cili (cili api dan cili besar), kesum, kaduk, sekentut, ubi kayu, salam, semangi, pegaga, ulam raja, selom, limau, karipule dan macam-macam lagi. Selain yang ditanam, tumbuh-tumbuhan yang tumbuh dan hidup sendiri pun banyak di sekitar rumah. Pokok salam, contohnya, pucuk yang enak dibuat sayur dan juga rencah masakan lain. Pucuk paku tumbuh subur di sekitar kawasan semak. Pucuk ubi, pucuk gajus, pucuk betik, pucuk labu, pucuk mengkudu semuanya boleh dijadikan ulam.

Ketika bulan puasa, arwah emak rajin membuat nasi ulam. Beberapa minit beliau meramu pelbagai jenis ulam di sekitar rumah, kemudian sudah siap untuk dijadilan ulaman yang digaul dengan nasi, ditambah dengan rencah sambal, ikan asin dan kerisik, akhirnya terhidanglah nasi ulam. Harumnya serai, daun kunyit, kaduk, pegaga dan lain-lain membangkitkan aroma yang sungguh menyelerakan. Boleh dikatakan setiap kali bulan puasa nasi ulam akan dihidangkan. Kadang-kadang berkali-kali disajikan sepanjang Ramadhan. Begitulah nikmatnya hidangan kampung yang sederhana tetapi lazat, kini menjadi nostalgia sehingga kini.

Mewahnya pelbagai sayur-sayuran, ulam-ulaman dan tanaman perencah makanan di kampung adalah berkat tradisi murni orang-orang kampung yang sudah biasa menanam pelbagai jenis tanaman tersebut, untuk kegunaan harian mereka. Suatu waktu dahulu penduduk kampung benar-benar berdikari dalam menyediakan pelbagai keperluan makanan seharian mereka. Kelapa didapati daripada pohon kelapa yang ditanam sendiri. Ada akala mereka membuat minyak masak daripada kelapa. Minyaknya harum, segar dan bebas daripada bahan kimia seperti minyak RBD. Selain minyak, kelapa diparut dan dibuat kerisik, perencah makanan yang istimewa. Bagi orang kampung, dengan adanya semua bahan-bahan makanan ini di sekitar rumah, di belakang dapur atau di halaman rumah, memudahkan mereka memetik tumbuh-tumbuhan ini ketika hendak memasak. Selain mudah, segera bahan-bahan ini juga begitu segar kerana setelah dipetik, langsung dimasak atau dihidangkan sebagai ulaman.

Hari ini kehidupan kita jauh berubah. Struktur sosial mengubah budaya ini. Tinggal di bandar, di kawasan perumahan yang padat, tiada ruang, tiada tanah untuk bercucuk-tanam. Apa lagi yang tinggal di kondo, apartmen atau rumahpangsa. Bukan sahaja di bandar, orang kampung hari ini pun tidak lagi seperti orang-orang tua mereka. Orang kampung hari ini juga sibuk dengan urusan kerja sehingga tidak lagi rajin bercucuk tanam di sekeliling rumah. Mereka lebih senang berbelanja membeli barangan makanan di kedai-kedai runcit atau pasar mini. Kata orang, serai sebatang, cili padi pun perlu dibeli. Tidak aneh kalau orang kampung sekarang ada yang tidak lagi pandai mengopek dan mengukur kelapa, kerana mereka senang membeli kelapa siap diparut di kedai atau di pasar.

Sebenarnya sikap kita yang perlu diluruskan kembali. Alasa tiada ruang, tiada tanah tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak berkebun. Bercucuk tanam bukanlah kerja yang susah. Tinggal di awangan seperti di rumahpangsa pun masih boleh bercucuk tanam kerana sebahagian tanaman tidak memerlukan tanah luas. Pot dan pasu pun boleh digunakan untuk setengah tanaman untuk makanan. Di samping itu hari ini sudah ada teknologi hidroponik dengan peralatan ringkas, tanaman dapat dibesarkan hanya menggunakan media air sahaja, tanpa tanah.

Mereka yang tinggal di rumah teres, tidak punya alasan langsung. Mereka masih mempunyai kawasan bertanah beberapa kaki di halaman dan belakang rumah. Kawasan ini sudah mencukupi untuk bertanam ulam-ulaman. Serumpun serai sudah mencukupi untuk bekalan masakan di rumah. Pegaga, ulam raja mudah tumbuh di sekitara rumah. Dua tiga pasu cili sudah mencukupi untuk perencah masakan.

Kesedaran untuk bercucuk tanam boleh membentuk sikap yang positif. Kesedaran itu dapat menjimatkan perbelanjaan dapur. Di pasar semua bahan makanan tersebut mudah didapati. Namun menanam sendiri bahan untuk dimakan adalah lebih baik kerana ia adalah hasil titik peluh sendiri. Selain jimat dan berhemat ia juga memberikan kepuasan. Selain faktor di atas, bercucuk tanam menyedarkan kita hubungan kita dengan alam. Kita akan belajar banyak perkara tentang alam di sekitara kita. Paling tidak kita akan mengenali ulam-ulaman dan perencah makanan kita. Selain itu menanam, membaja da membelai tumbuh-tmbuhan ini memberikan kesegaran minda dan kesegaran fizikal.

Jauh di sudut kesihatan pula, kita telah mengamalkan satu cara hidup sihat. Pertama kita akan berkeringat dengan kerja bercucuk tanam. Keduanya kita menjamin sumber makanan ini adalah bersih dan bebas dari bahan kimia dan racun kerana kita sendiri yang menanam dan merawatnya. Ketiga kita juga dapat memanfaatkan kaedah penanaman organik dengan memberikan tanaman kita baja-baja daripada sisa-sisa buangan organik dari rumah kita sendiri. Contohnya air basuhan beras, air basuhan ikan, sisa-sisa sayuran dan sisa makanan. Kalau kita pandai menggunakan teknologi biotek hari ini terdapat enzim pengurai kompos yang boleh didapati dengan murah. Contohnya menggunakan mikrob EM untuk membuat kompos organik secara mudah di rumah.

(EM boleh diperolehi dengan menghubungi Afagrotech 017-8782829)

Friday, July 3, 2009

Mencari Rawatan Alternatif


Hari ini rakyat Malaysia sudah mempunyai latarbelakang pendidikan yang tinggi. Oleh itu mereka sudah didedahkan kepada pelbagai maklumat yang meluas, dan bersikap terbuka. Dalam hal kesihatan, mereka juga sudah membuka fikiran dan mendedahkan diri kepada pelbagai sumber ilmu dan maklumat tentangnya. Hari ini bidang kesihatan tidak lagi dikuasai oleh golongan tertentu. Di zaman dahulu bidang perubatan bergantung kepada perawat yang dikenali sebagai bomoh, dukun, pawang, hakim, syaman dan pelbagai nama lagi diberi oleh semua bangsa kepada orang yang dapat membantu merawat ketika mereka sakit. Setiap amalan perawatan waktu itu banyak bergantung kepada sistem kepercayaan masing-masing. Oleh itu terdapat amalan perawatan yang mengaitkan dengan kepercayaan animisme dengan mengaitkan penyakit dengan unsur-unsur ghaib seperti hantu dan jin.

Zaman berubah. Saians telah mendekatkan manusia dan bidang perubatan kepada ilmu-ilmu baru yang membawa kaedah rawatan kepada sistem yang ma'kul, sistem rasional dan emperikal. Lahirlah perubatan moden yang berasaskan ilmu perubatan merangkumi aspek anatomi, fisiologi, farmakologi dan pembedahan. Perubatan moden berkembang sejak zaman Islam lagi dimajukan oleh tokoh seperti Ibn Sina. Ia kemudiannya dibawa ke Eropah dan dikembang majukan lagi. Eropah dan barat mengaku merekalah yang memajukan bidang perubatan moden. Sebenarnya Islam sudah mndahului mereka, dan apa yang ada adalah berasal dari perubatan orang Islam dahulu.

Perubatan moden dengan segala peralatan, teknologi canggih dan penyelidikan saintifik berterusan, masih lagi tidak dapat memberikan jawapan lengkap kepada permasalahan kesihatan manusia. Semakin banyak penyakit dapat diatasi, muncul lagi pelbagai gejala baru, dengan pelbagai nama termasuk penyakit bawaan virus. Ini bermakna peyelidikan perubatan tidak akan ada noktahnya.

Perubatan moden juga mengklasifikasikan beberapa gejala penyakit sebagai penyakit yang tak boleh sembuh (incurable diseade). Antaranya gejala yang banyak dihidapi iaitu diabetes, tekanan darah tinggi dan lain-lain. Tanggapan ini menyebabkan kalangan doktor mahupun pesakit mempunyai satu kepercayaan bahawa gejala penyakit tertentu memang tiada ubat atau penawarnya. Kata doktor, penyakit-peyakit ini hanya boleh ditekan, dikurangkan rasa sakitnya (killing the pain) namun ia tidak boleh sembuh total. Maka ramailah pesakit yang terus menerus bergantung dengan ubat-ubatan moden yang berasaskan kimia. Pengambilan ubatan ini hanyalah untuk mengurangkan, menekan sementara waktu dan menghilangkan rasa sakit sahaja. Akhirnya ramai pesakit kecewa dan terus menerus dengan tanggapan bahawa penyakitnya tidak boleh sembuh.

Apakah benar tanggapan begitu? Oleh kerana orang terlalu percayakan tanggapan perubatan moden, maka ramai tidak yakin apabila kita mengatakan 'semua penyakit boleh sembuh'. Kita tidak mengeluarkan kenyataan itu secara emosional atau tanpa fakta. Kita mengatakannya berasaskan maklumat, fakta dan data yang emperikal.

Oleh kerana sistem perubatan moden masih tidak dapat merawat sepenuhnya pelbagai penyakit, maka orang terpaksa mencari pilihan rawatan lain. Di sinilah muncul apa yang dikatakan sebagai rawatan pilihan atau rawatan alternatif. Rawatan pilihan ini tentulah luas dan pelbagai. Masing-masing pesakit berhak memilih mana satu cara rawatan pilihan mereka, berasaskan pengetahuan, maklumat, keyakinan dan bukti kemujaraban rawatan tersebut.

Hari ini terdapat banyak buku-buku tentang rawatan pilihan dalam pasaran. Kajian di barat menggariskan beberapa jenis rawatan yang dikenali melalui nama-nama rawatan ini. Antaranya Homeopathy, Naturopathy, rawatan herba, reiki, energi healing, ayurvadic, Rawatan Tradisisional China (TCM), Kompo, kaedah rukiah (Islamik), terapi gelombang warna, bekam, akupunture, dan lain-lain.

Oleh itu pesakit mempunyai banyak pilihan. Terpulang kepada sumber maklumat, kepercayaan dan keyakinan mereka untuk memilih mana satu rawatan alternatif yang sesuai dengan gejala penyakit yang dihidapi. Contoh pesakit yang mengalami patah tulang boleh mencari bomoh patah yang boleh merawat dengan kaedahnya tanpa perlu menjalani rawatan berbulan-bulan. Pesakit diabetes yang hendak dipotong kakinya, boleh mendapatkan rawatan terapi herba yang boleh merawat diabetesnya tanpa perlukan pembedahan. Begitu juga pesakit fibroid (ketumbuhan dalam rahim) boleh memilih herba-herba tertentu untuk merawat, tanpa pelukan pembedahan.

Ini semua rawatan pilihan atau rawatan alternatif. Apa yang penting setiap pesakit perlu mencarinya. Bagaimana mencarinya? Kita perlukan maklumat. Di mana mendapatkan maklumat? Maklumat kini mudah dicari. Melalui internet misalnya, pelbagai maklumat tentang kaedah rawatan, bahan-bahan ubatan dan kelebihan sesuatu jenis rawatan dapat diketahui. Atau bertanyakan orang yang anda percayai, doktor anda, rakan anda atau siapa sahaja yang anda kenali. Buat kajian anda sendiri, jangan percaya membuta tuli, kaji, selidiki, lihat bukti, kemudian barulah mencoba.


Luka yang boleh menyebabkan jari-jari dipotong, akibat diabetes. Rawatlah sebelum parah.

Wednesday, July 1, 2009

Organik, kekayaan di tepi rumah.


Kehidupan di alam ini saling berkongsi sumber dan melalui perkongsian itu, setiap makhluk meneruskan kelangsungan hayat masing-masing. Begitulah tertib dan teraturnya SunnatulLah, terangkum dalam apa yang kita kenali sebagai ekosistem alam. Sejak terciptanya alam, jutaan tahun lalu hinggalah ke hari ini sistem itu atau SunnatulLah itu tidak sekali-kali berubah. Malangnya apabila manusia cuba mengubahnya, maka keharmonian sistem itu mula terganggu. Gangguan kepada ekosistem akhirnya memberi kesan buruk kepada alam dan berakhir kepada kehidupan manusia juga.

Suatu waktu dahulu sistem pertanian kita dapat berjalan dengan baik kerana bekalan air mencukupi. Walaupun di musim kemarau, bekalan air kita masih ada kerana hutan hijau kita adalah sumber pembekal air yang yang boleh diyakini. Malangnya apabila manusia tamak, menebang hutan hijau untuk mendapat hasil balak, akhirnya kita berdepan dengan masalah bekalan air yang berkurangan. Banyaklah sawah-sawah di kampung kering kontang tidak dapat ditanam padi lagi. Sungai dan anak air mengecil dan kekeringan. kalau adapun, sumber air menjadi keruh berkeladak akibat pembalakan yang tidak terkawal.

Sungguhpun sawah-sawah padi di kampung-kampung tidaklah seluas mana tetapi selama ini ia dapat diusahakan dan dapat membekalkan sumber makanan kepada orang-orang kampung. Selain mengairi sawah, air dari parit dan sungai tadi turut membekalkan ikan-ikan segar yang menjadi lauk-pauk penduduk kampung. Hari ini agak sukar mendapatkan bekalan ikan keli, haruan, puyu atau belut kerana sawah sudah tiada lagi. Apa lagi hendak mencari emping, memang tiada lagi.

Beginilah jadinya apabila alam diabaikan. Suatu waktu kita leka dengan pembangunan kebendaan, dengan fokus kepada industri pembuatan dan teknologi ICT; sehingga kita mengabaikan pertanian. Pertanian dipandang rendah, sehingga sebuah universiti ditukarkan nama daripada pertanian kepada nama lain, demi melupakan bidang pertanian.
Sikap itu akhirnya tidak ke mana juga, bak kata orang: bagai seluang melaut, tak ke mana juga. Akhirnya kita mahu tidak mahu terpaksa kembali kepada pertanian kerana setiap hari kita perlukan makanan. Kita mempunyai tanah subur, mempunyai ilmu dan maklumat yang mencukupi, mengapa mahu bergantung kepada bekalan import untuk dapatkan bekalan makanan. Apakah orang lupa bahawa pertanian adalah sektor strategik mana-mana negara pun di dunia ini.

Zaman ini zaman biotek atau bioteknologi, di mana bidang pertanian didapati begitu rapat dengan biotek. Trend kembali kepada bio atau kepada sumber alami begitu ketara waktu ini. Konsep bio ini perlu difahami secara makro dan mikronya. Secara umumnya kesedaran untuk kembali kepada alami atau kepada organik adalah bermula daripada kesedaran sebahagian orang terhadap kesan buruk daripada aktiviti penggunaan sumber kimia berlebihan terutama dalam aktiviti pertanian dan juga dalam aktiviti pemerosesan hasil hingga membawa kepada penghasilan makanan. Teknologi pengilangan memproses produk makanan melalui sistem RBD di mana keaslian sumber sudah tiada lagi. Contohnya minyak masak menjadi dihidrasi, manakala bahan makanan diproses menggunakan bahan-bahan kimia sperti fomalin, MSG, pewarna tiruan dan sebagainya.

Selama ini kita terlalu bergantung kepada sumber makanan siap proses. Kita akhirnya kehilangan kualiti daripada makanan kita. Kerana kekurangan bekalan daging dan ikan segar, kita mendapatkan bekalan daging dan ikan import. Bahan ini bukan sahaja tidak segar tetapi telah diproses menggunakan bahan kimia, yang membahayakan manusia. Kita sukar untuk memastikan apakah bahan pangawet yang digunakan oleh pengimport, kerana proses pemeriksaan bukanlah mudah. Oleh itu cara paling berkesan, dan mampu kita lakukan ialah mengurangkan atau mengelak daripada menggunakan bahan import, dan dapatkan bekalan segar.

Alam tropika begitu berharga kepada kita, kerana ia menyediakan semua keperluan makanan yang kita perlukan. Malanngya pengaruh Barat telah banyak merobah tabiat makan orang-orang Asia termasuk kita di Malaysia. Diet orang Asia adalah diet yang paling baik dan sesuai untuk kita orang Asia. Hutan kita menganugerahkan pelbagai jenis sayuran, ulaman, rempah ratus dan juga herba-herba ubatan kepada kita. Malangnya kita selama ini alpa dan melupakan semua khazanah tropika yang ada di sekeliling kita. Kita bangga dengan produk asing, kerana ia produk luar negara. Persepsi inilah yang menjadikan kita tidak menghargai apa yang kita ada. Kita selalu berfikir tentang hujan emas selalu ada di negeri orang.

Sumber sayur-sayuran seumpama paku-pakis, semangi, pucuk ubi, pucuk janggus, umbut, rebung dan ubi-ubian mudah didapati di sekitar kita. Ianya percuma dan berkhasiat di samping lazat. Rempah ratus seperti serai, kunyit, halia, lengkuas, kaduk, pegaga, pandan, bunga kantan dan pelbagai lagi mudah tumbuh di sekitar rumah. Malangnya sikap kita yang menjadikan kita terasing daripada sumber-sumber alami yang kaya dengan khasiat organik ini. Orang kamapung pun sudah tidak lagi rajin menanam keperluan-keperluan ini kerana merasa selesa dan senang mendapatkannya di kedai.

Pokok lekir suatu waktu dulu banyak tumbuh di kampung-kampung. Siapa peduli kepadanya kerana ia hanya membekalkan buah kepada burung-burung sahaja. Tahukah anda bahawa tumbuhan sekeluarganya adalah kaya dengan glukomanan di mana ubinya menjadi bahan makanan berharga kepada orang-orang Jepun. Tepung daripada ubinya sangat mahal di pasaran. Malangnya kita tiada pengetahuan dan maklumat tentangnya, maka barang berharga di tepi tangga rumah kita pun, kita tidak tahu nilainya.

Kini kajian perubatan terutama perubatan herba telah menemui betapa banyaknya sumber herba kita yang kaya dengan khasiat perubatan. Malang lagi bagi kita kerana tiada ilmu, tiada maklumat, kita tidak tahu berapa banyak herba-herba yang tumbuh sendiri di tepi tangga rumah, di sekeliling rumah, di sekitar kampung laman kita, mempunyai nilai khasiat perubatan yang berharga. Sedarkah kita jus manggis dijual ratusan ringgit sebotol dalam pasaran, padahal pada musim buah-buahan manggis berlambak-lambak dan membusuk di bawah pokok.

Pokok pangkalnya kesedaran kita. Kesedaran kita tidak akan tercetus tanpa ilmu, tanpa pengetahuan, tanpa maklumat. InsyaAllah kami akan berusaha menyajikan pelbagai maklumat yang ada, untuk dikongsikan dengan pembaca dari masa ke semasa, agar kita sedar betapa kayanya alam di sekitar kita, dan kekayaan itu seharusnya kita manfaatkan untuk kesihatan dan kemakmuran hidup kita jua.

Gambar: ubi berharga ini menjadi buruan industri ubatan dan kosmetik. Sedarkah kita? Inilah Peureria

Pertanian Organik, apa itu?


Akhir-akhir ini orang mula kembali mendapatkan sumber-sumber alami (semulajadi) baik dalam bentuk makanan atau perubatan. Orang mula mencari makanan daripada sumber-sumber asli atau organik. Begitu juga dalam hal bahan ubatan. Mereka mula kembali kepada sumber asli, sumber alami kerana ia bersifat organik.

Organik merujuk kepada sumber-sumber yang berasaskan alam, maka orang menyebutnya sebagai alami (semulajadi atau natural). Secara mudahnya, tumbuhan baik yang menjadi sumber makanan atau ubatan, pada asalnya adalah bersumberkan alam. Ia tumbuh, membesar dan membiak di dalam persekitaran alam semulajadi atau habitat yang organik. Lihat sahaja hutan hijau di sekeliling kita. Ia tumbuh dan berkembang secara alami tanpa perlu apa-apa input luar, dari manusia. Tiada siapapun yang membajanya, tiada siapaun yang menjaga dan merawatnya. Ia tetap tumbuh subur.

Secara alami, tumbuh-tumbuhan memperolehi sumber zat makanan atau nutrien daripada alam, iaitu dari tanah dan persekitrannya. Sumber zat nutrien dibekalkan dari dalam tanah yang sedia kaya dengan segala zat, air, mineral dan mikroorganisme yang membekalkan makanan kepada tumbuhan. Melalui cahaya matahari dan karbon dioksid, tumbuhan-tumbuhan memproses makanan melalui daun-daun hijaunya, dan proses ini dikenali sebagai fotosintisis. Tuhan telah menciptakan sistem alam melalui sunnah-Nya yang sangat sempurna. Secara alami, tumbuhan membesar, subur dan menghasilkan sumber makanan kepada manusia tanpa perlu proses membaja, menjaga dan merawatnya.

Di zaman silam orang bertani dengan mudah. Mereka membersihkan tanah, membakar sisa-sisa dari hutan seperti batang, ranting dan daunan. Mereka menanam pelbagai jenis tanaman untuk makanan. Waktu itu tiada racun, tiada baja kimia digunakan. Contohnya bagaiamana mereka bersawah. Mereka menebas dan manajak untuk membersihkan kawasan pertanian yang hendak ditanam padi. Kemudian membalik-balikkan sisa rumputan yang sudah mulai mereput. Akhirnya mereka menanam semaian anak padi. Ketika padinya membesar, mereka merumput untuk menghapuskan rumput rumpai. Waktu itu racun kimia tidak dikenali lagi.

Oleh kerana tiada racun digunakan, air dan hidupannya masih segar dan tidak tercemar. Ketika itu anak-anak ikan dapat hidup, membesar dan membekalkan bahan protein percuma kepada para petani yang bersawah. Mereka dengan mudah dapat menangkap ikan-ikan keli, haruan, puyu, limbat dan belut untuk dijadikan sajian lauk-pauk. Semuanya segar dan lazat serta berkhasiat. Hidupan air dapat hidup dalam habitat sawah padi kerana persekitarannya masih bersih dan alami. Mereka boleh mendapatkan bekalan sumber makanan daripada persekitaran tersebut.

Demikianlah secara alami alam hidup dalam sistem eko (eco system)nya. Mereka saling bergantung antara satu sama lain dan hidup dengan harmoni mengikut sunnah. Tumbuhan (padi) mendapat nutrien daripada sisa buangan binatang, manakala binatang (ikan-ikan) pula mendapatkan makanan daripada tumbuh-tumbuhan. Hubungan dua hala ini merupakan kekuatan ekosistem alam, yang telah berlangsung ribuan tahun sejak berzaman.

Malangnya hari ini teknologi kimia telah merobah sistem ini. Input pertanian moden berupa baja dan racun adalah bersumberkan bahan kimia yang begitu meluas digunakan dalam aktiviti pertanian. Masyarakat tani didedahkan kepada apa yang dikatakan pertanian moden yang bergantung dengan sumber-sumber input kimia, sehingga ia membudayakan mereka. Akhirnya mereka bergantung penuh kepada input-input kimia untuk menghasilkan produk pertanian. Baja kimia digunakan dengan begitu meluas dengan kepercayaan bahawa tanpa baja, tanaman tidak akan menghasilkan buah yang baik. Begitu juga dengan penggunaan racun. Mereka menggunakannya dengan kepercayaan bahawa rumpai dan serangga yang merosak tanaman tidak dapat dihapuskan, melainkan menggunakan racun rumpai dan juga racun serangga. Bermula dari kerja membrsihkan kawasan pertanian, racun digunakan untuk mematikan rumput rumpai dan tanaman lain. Seterusnya racun kimia digunakan lagi ketika buah-buah atau sayuran membesar untuk menghindari buah-buah dan sayuran daripda dirosakkan oleh serangga.

Berkembangan teknologi pertanian moden ini telah merobah alam. Racun dan baja kimia telah meninggalkan kesan sampingan yang merosakkan ekosistem dan juga merosakkan tanah pertanian. Tanah-tanah yang dulunya subur kini menjadi tanah mati. Tanah mati merujuk kepada sifat tanah yang tiada lagi hidupan seni seperti mikroorganisme di dalamnya. Secara alami, mikroorganisme inilah yang menyuburkan tanah dan membekal nutrien kepada tumbuhan. Racun yang digunakan untuk membunuh rumput rumpai turut membunuh mikroorganisme dan cacing tanah. Akibatnya tanah menjadi gersang dan tidak lagi bernutrien. Tanah mati memerlukan bekalan baja berterusan, kerana tumbuhan memerlukan nutrien daripadanya. Tanah sendiri tidak lagi dapat membekal nutrien, maka berterusanlah baja diperlukan. Kos membaja menjadi tinggi dan dengan itu kos pertanian juga meningkat.

Hari ini apabila kesedaran biologi semakin meningkat, orang mula memandang kepada pertanian organik. Secara umumnya konsep pertanian organik ialah kaedah pertanian yang bebas daripada penggunaan bahan kimia baik baja mahupun racun. Dalam waktu yang sama pertanian organik menggunakan sepenuhnya kaedah biologi untuk menyuburkan tanaman dan juga menghindari serangan serangga. Hari ini petani mula kembali kepada baja kompos, baja yang bersumberkan bahan daripada sisa buangan (najis) binatang dan juga sisa-sisa pereputan pertanian.

Penemuan teknologi EM yang menggunakan mikroorganisme dalam penyediaan baja organik dan juga aplikasi EM dalam aktiviti pertanian, membantu mengukuhkan kekuatan pertanian organik. Ia juga digunakan dalam pembuatan bahan anti-serangga bagi menggantikan penggunaan racun serangga. Bahan-bahan anti-serangga mengandungi sumber-sumber alami tanpa racun. Di samping itu konsep menentang serangga tidak lagi secara kimia tetapi secara biologi. Konsep kimia ialah 'membunuh' serangga, manakala konsep biologi ialah menghindarkan serangga, menghalau dan melindungi tanaman dengan cara dan kaedah biologi.