Wednesday, September 15, 2010

Malaysia sesudah 47 tahun.


Hari ini pertama kali Malaysia merayakan hari Malaysia. 16 September adalah hari bersejarah kepada Malaysia kerana ia adalah hari ulangtahun pembentukan Malaysia di mana Sabah, Sarawak dan Singapura telah mengecapi nikmat kemerdekaan pada tarikh keramat ini, 43 tahun lalu. Malangnya setelah bersama Malaysia untuk tempoh yang singkat, Singapura dikeluarkan daripada Malaysia.

Kini slogan 1 Malaysia dilaungkan untuk membolehkan rakyat Malaysia terus bersatu dan berpadu, mantap menuju Wawasan 2020. Ramai orang melihat slogan ini sebagai slogan Kerajaan yang memerintah masa kini, di bawah pimpinan YAB Dato'Seri Mohd Najid Tun Abd Razak. Namun begitu masih ramai rakyat Malaysia yang belum benar-benar memahami konsep 1 Malaysia tersebut.

Apa yang dipaparkan oleh media arus perdana, 1 Malaysia ditonjolkan melalui imej perpaduan pelbagai suku bangsa Malaysia. Masing-masing ditonjolkan dengan bahasa, budaya, adat suku kaum masing-masing. Agak sulit untuk kita memahami satu bangsa Malaysia, satu budaya bangsa Malaysia dan satu adat bangsa Malaysia. Oleh kerana kita tidak dapat melihat kesatuan sebenar, maka kita melihat kepelbagaian suku kaum yang masih mengekalkan ciri-ciri kaum masing-masing. Agak malang lagi dalam usaha mencari perpaduan, atau untuk menjaga hati semua suku kaum, ada ketikanya kita kembali mengutamakan bahasa penjajah kita - bahasa Inggeris (bukan bahasa Malaysia/Melayu). Pemimpin atasan pun nampaknya begitu bergaya dan bangga menuturkan bahasa Inggeris biarpun dalam majlis rasmi dan awam.

Dulu pemimpin kita menyemaikan perpaduan dalam bentuk satu kesatuan, kesatuan bahasa (bahasa kebangsaan/bahasa Malaysia), satu aliran persekolahan supaya semua rakyat Malaysia akan menjadi rakyat Malaysia. Namun kini matlamat tersebut nampaknya tersisih dan terpinggir akibat kecenderungan orang politik untuk menjaga hati rakan/sekutu politik masing-masing. Anehnya semakin kita berazam untuk bersatu, nampaknya kita semakin dipisahkan melalui penonjolan imej suku kaum yang berlebih-lebih. Mungkinkah satu hari nanti Malaysia tidak lagi mempunyai bahasanya tetapi memiliki berpuluh bahasa yang dituturkan oleh suku kaum yang ada di Malaysia. Bagaimana pula kiranya nanti ramai lagi orang asing yang bermastautin di sini (baik halal mahupun haram); apakah bahasa mereka dan budaya mereka juga akan turut menjadi bahan rojak Malaysia?

Sungguhpun jiran-jiran kita seperti Thailand dan Indonesia mempunyai ciri serupa kita iaitu kepelbagaian suku kaum, namun mereka telah berjaya menyatupadukan rakyat melalui konsep satu negara, satu bangsa, satu bahasa (sehingga sulit kita mengenali asal keturunan mereka melalui bahasa pertuturan dan nama mereka. Tanpa slogan 1 Thailand atau 1 Indonesia, mereka jauh berjaya menyatupadukan rakyat mereka.

Konsep 1 Makaysia adalah sangat baik, namun cara dan strategik perpaduan Malaysia perlu diamati dan dicermati supaya kita tidak kehilangan identiti atau jatidiri Malaysia yang sebenarnya. Apakah kita tidak bimbang dengan kecenderungan akan terhakisnya kedaulatan bahasa dan budaya asasi kita?


Apakah kita sebenarnya benar-benar berdepan dengan masalah perpaduan kaum? Secara positifnya kita perlu yakin bahawa kita berada di dalam situasi selamat, dan semua rakyat faham dan saling memahami untuk mengutamakan perpaduan kerana mereka sedar keutamaan keselamatan dan keamanan. Tiada siapa mahukan situasi sebaliknya terjadi di negara ini. Umumnya rakyat sedar pentingnya perpaduan berasaskan persefahaman, tolak ansur, toleransi dan menjaga sensitivi budaya dan agama masing-masing.

Malangnya perpaduan dipolitikkan. Golongan politik yang cenderung mengeksploitasi soal perpaduan. Hal ini terjadi kerana senario politik di Malaysia adalah berasaskan suku kaum. Parti politik dominan diasaskan kepada kepentingan kaum masing-masing. Mereka bersatu dalam gabungan tetapi masih memperjuangkan kepentingan suku kaum masing-masing. Ini satu realiti politik Malaysia. Walaupun wujud beberapa buah parti pelbagai kaum, namun tetap terjadi keadaan di mana akan ada kaum yang dominan di dalam parti tersebut, sehingga ia juga terlihat mewakili kaum-kaum tertentu.

Sebenarnya secara optimis, perpaduan rakyat Malaysia tidaklah serapuh perasangka kita. Tanyalah kepada setiap orang rakyat Malaysia yang waras, mereka tetap akan memilih untuk hidup aman, damai, harmoni tanpa prasangka dan prejudis. Pada rakyat biasa yang lebih utama ialah keamanan negara yang akan membolehkan mereka meneruskan kehidupan sederhana, mencari rezeki, membina keluarga dan mengamalkan agama masing-masing.

Saturday, September 11, 2010

Debar 9/11


11 September menjadi tarikh mendebarkan kerana sembilan tahun lalu tarikh ini telah menggegarkan Amerika Syarikat dan dunia seluruhnya melalui peristiwa serangan ke atas dua blok bangunan yang menjadi kebanggaan USA. Sementara itu 11 September 2010 lebih mendebarkan kerana wujudnya ura-ura seorang padri 'gila' yang mahu membakar al-Quran. Rancangannya telah mendapat bantahan dari pelbagai pihak, termasuk dari luar Islam.

AlhamdulilLah, rancangan jahat tersebut dibatalkan. Kita sukar membayangkan apa yang akan terjadi sekiranya rancangan bodoh itu dilaksanakan juga. Entah apalah reaaksi masyarakat Islam nanti.

Detik 11 September tahun ini kebetulan jatuh hampir serentak dengan tarikh umat Islam menyambut hari besarnya Idulfitri. Maka saat ini adalah saat yang sangat bermakna kepada umat Islam untuk merayakan kemenangan mereka menjalani ibadah puasa sebulan yang baru sahaja berlalu. Seandainya orang lain tidak sensitif terhadap perasaan umat Islam maka tidak hairanlah sekiranya aksi-aksi menghina umat Islam akan menerima reaksi yang tidak diduga.

Kita tidak menafikan peritiwa 9/11 2001 telah melahirkan keganasan baru di dunia. Namun begitu hendak menyalahkan orang Islam dalam peristiwa tersebut adalah sangat tidak adil kerna sehingga sekarang perancang dan punca kejadian masih diselubungi misteri. Namun begitu peritiwa tersebut ternyata membawa bala kepada masyarakat Islam kerana ia dijadikan alasan untuk Amerika dan sekutunya melabelkan orang Islam sebagai pengganas, dan dalam waktu yang sama mereka menghalalkan peperangan terhadap umat Islam. Maka terjadiah perang ke atas Iraq dan Afghanistan. Pencerobohan haram itu tidak berakhir dengan mudah, ianya berlarutan mencetuskan hruhara yang sukar diramal. Setiap hari ada sahaja pembunuhan dilakukan baik di Iraq mahupun di Afghanistan. Kini ia mencetuskan pula perang saudara yang sukar untuk ditamatkan. Gejala serupa mula merebak ke negara lain seperti Pakistan.


Yang pasti umat Islam yang menjadi mangsa. Ia mungkin mangsa keadaan atau mangsa satu perancangan yang dilakukan oleh musuh Islam. Islam ternyata akan terus dimusuhi oleh golongan yang tidak senang dengannya. Sungguhpun pun begitu, setiap hari orang di Amerika dan Eropah akan terus memeluk Islam. Maknanya Islam terus diminati, lebih-lebih lagi apabila lebih ramai orang asing ingin mengenali Islam. Anehnya apabila Islam dikenali melalui ilmu atau maklumat, orang akan jadi tertawan olehnya. Nampaknya walaupun al-Quran dihina dan cuba dihina di sana, namun al-Quran terus menjadi rujukan penting kepada masyarakat bukan Islam di sana untuk mengenali Islam.

Kullu 'am wa antum bikhair.


Salam Idulfitri kepada semua pembaca. Detik-detik Syawal menjelang, dan pergi. Begitulah masa begitu pantas, datang dan pergi. Ketika saat-saat Ramadhan datang, baru terasa mahu meneguk ni'matnya, tiba-tiba sebulan berlalu, begitu pantas dan ia pun pergi. Kini Syawal datang membawa pesanan fitrah. Hari pertama Syawal pun kini sudah berlalu pergi. Walaupun syariat hanya menetapkan sehari sahaja untuk berhariraya; namun kita di Malaysia akan terus merayakannya hingga Syawal berakhir. Maknanya 30 harilah hariraya.

Syawal mengajar kita untuk belajar erti fitrah yang hakiki. Marilah kita terus mencari makna fitrah itu.