Thursday, October 28, 2010

Bencana di sana sini


Dua bencana alam terjadi serentak di negara jiran kita, Indonesia. DI Kepulauan Mentawai (sebelah barat Sumatera) terjadi tsunami yag meragut lebih 370 nyawa sementara ramai lagi masih hilang. Sementara itu di Pulau Jawa, Gunung Merapi telah memuntahkan lahar panasnya membunuh 33 orang dan memusnahkan banyak binatang dan harta benda.

Kejadian di Mentawai berpunca daripada gempa bumi di lautan berhampiran dengan kekuatan 7.7 pada skala Richter. Gempa ini memnghasilkan tsunami dengan ombak berketinggian tiga meter yang memusnahkan banyak harta benda di samping meragut nyawa penduduk yang terlibat. Tsunami ini terjadi agak pantas, pada tempoh yang sangat pendek selepas kejadian gempa.


Kejadian gempa bumi dan gunung berapi adalah lumrah di Indonesia kerana ia betul-betul berada di lingkaran api gunung berapi. Gunung Merapi yang terletak berhampiran Jokyakarta adalah antara gunung berapi yang terus aktif. Ia telah beberapa kali meletus dan memuntahkan lahar panas sejak sekian lama. Ia adalaah antara 129 buah gunung berapi yang masih aktif di Indonesia. Mengikut sejarah, Gunung Merapi pernah meletus pada tahun 1006, 1786, 1822, 1872, dan 1930. Kejadian pada tahun 1930 itu meragut 1 400 nyawa mangsa. Pada tahun 2006 terjadi satu gempa bumi kuat yang malanda kawasan Jokyakarta di mana 5 000 orang mati dan ratusan ribu orang kehilangan tempat tinggal. Gempa kuat itu terjadi di selatan Merapi, kira-kira 50 km. Selepas itu Merapi turut memuntahkan larvanya.

Kejadian terbaru pada 25 Oktober ini telah meragut banyak nyawa, membunuh banyak binatang ternak dan memusnahkan harta bendanya. Antara yang terbunuh adalah Mbah Maridjan, seorang tua yang dikenali sebagai Penjaga Merapi. Beliau dikatakan diberi kepercayaan untuk menjaga Merapi. Akhirnya beliau turut menjadi mangsa Merapi di mana mayatnya ditemui dalam rumahnya dalam keadaan bersujud. Semoga ruhnya dirahmati Tuhan.


Mistik masyarakat Jawa mengaitkasn Merapai dengan pelbagai kepercayaan. Namun alam tetap alam. Hanya Tuhan yang menjadi penjaganya, dan hanya Dia jua yang Maha Mengetahui tentang ciptaan-Nya. Manusia tiada kuasa untuk menjadi penjaga.

Marilah kita menerima segala bencana alam seadanya. Kembalikan kepada kudrat Tuhan dan takdirnya. Apa daya kita untuk melawan kekuatan alam ciptaan Tuhan ini. Namun begitu masyarakat di sana haruslah lebih percaya kepada maklumat saintifik yang sentiasa dibekalkan oleh pihak pemerintah. Ketika diarahkan berpindah dan menyelamatkan diri, maka akurlah dengan fakta-fakta sains dan ketepikanlah segala kepercayaan yang tak berasas, kerana Merapi tidak mengenal sesiapa. Tentulah nyawa berharga dapat diselamatkan sekiranya penduduk di sekitar Merapi sensitif kepada arahan keselamatan yang diberikan.

Merapi dan gunung-gungung berapi lainnya akan terus memuntahkan lahar panasnya apabila tiba waktunya. Begitu juga dengan kejadian gempa bumi. Ia akan terus terjadi kerana begitulah hukum alam. Apabila alam semakin rosak akibat tuanya usia bumi, dan banyaknya kerosakan dan kemusnahan dilakukan manusia, maka kejadian-kejadian sedemikian akan terus terjadi. Begitulah kekuatan Tuhan. Untuk manusia, ambillah pelajaran dan insaflah status diri kita di depan kekuasaan Tuhan.

Thursday, October 21, 2010

Kes hilang, apa di sebaliknya?

<
Akhir-akhirnya ini terlalu kerap berita tentang isu kehilangan orang dalam masyarakat kita di Malaysia. Isu terhangat ialah kehilangan usahawan kosmetik bersama tiga orang rakannya menjelang Idulfitri yang lalu. Terakhir ini akhbar-akhbar sibuk dengan kisah kehilangan misteri seorang gadis di pantai timur. Kehilangan itu dikaitkan dengan gangguan jin. Selain itu terdapat beberapa lagi kes gadis hilang dari rumah. Ada yang hilang kerana melarikan diri dan ada yang dilarikan orang. Sebelum ini pernah heboh dengan kehilangan gadis dan wanita Malaysia kerana dilarikan jejaka dari Lombok, Indonesia.

Kisah kehilangan sebegini adalah kisah-kisah menarik yang sentiasa mendapat tenmpat di halaman utama akhbar-akhbar tempatan dan juga media elektronik. Masyarakat sangat tertarik dengn berita-berita begini kerana ia ada unsur sensasi, mendebarkan, membimbangkan dan mungkin juga ada elemen misterius di dalamnya.

Kisah kehilangan usahawan kosmetik, Sosilawati dan rakan-rakannya dianggap kehilangan penuh mistri di peringkat awal. Ia akhirnya terdedah dan tersingkap dengan penemuan maklumat-maklumat siasatan polis. Rupa-rupanya ia adalah kehilangan yang ditabiri oleh jenayah kejam pembunuhan. Mereka hilang lenyap kerana kematian mereka tidak meninggalkan mayat akibat perbuatan kejam para penjenayah menghilangkan sebarang bukti jenayah dengan membakar dan menghanyutkan sisa-sisa pembakaran ke dalam sungai. Mereka hilang kerana dibunuh, dibakar dan dihanyutkan abu dan tulang-tulang mereka ke dalam air. Akhirnya terbongkarlah satu kisah mistri yang hebah diperkatakan oleh hampir semua media massa, dan kes ini mendapat perhatian hingga ke peringkat pimpinan negara. Dengan usaha keras pihak polis, kes kehilangan ini akhirnya semakin terbongkar, semakin hari semakin jelas berikutan penangkapan suspek yang mendalangi kehilangan tersebut. Usaha pembongkaran kes kehilangan Sosilawati dan tiga rakannya, telah menzahirkan pelbagai lagi kes serupa di mana sebelum ini telah terjadi kehilangan serupa ke atas beberapa orang yang lain, melibatkan suspek yang sama.

Kes kehilangan di atas ternyata satu perbuatan jenayah, jenayah kejam, malahan bolehlah dikatakan jenayah yang sangat kejam, yang amat sukar diterima oleh akal waras. Tidak terfikir dan terlintas, ada penjenayah yang sanggup melakukan perbuatan sedemikian. Mereka bukan sahaja membunuh tetapi sanggup membakar mayat dan menghapus sisa-sisa pembakaran demi menghapusan sebarang bukti. Perbuatan kejam ini dilakukan secara amat terancang, dan kerana seorang yang diduga sebagai perancang utama adalah seorang bekas peguam yang walaupun sudah digantung lesen guamannnya, masih beroperasi menjalankan urusniaga guaman di pejabatnya. Dari laporan media, antara motif yang boleh diandaikan ialah matlamat kebendaan, iaitu mengumpulkan kekayaan melalui penipuan terancang sehingga berakhir dengan pembunuhan mangsa-mangsa penipuannya. Berdasarkan laporan yang mengatakan suspek utama didapati memiliki jumlah harta luar biasa, maka agak jelas matlamat jenayah ini adalah didorong oleh sikap tamakkan harta.


Balqis, kehilangannya menggemparkan.

Dalam kes terbaru, kehilangan misteri gadis sunti di pantai timur itu adalah kehilangan yang benar-benar diselimuti mistri. Ia terjadi dalam keadaan amat luar biasa. Dia boleh hilang tiba-tiba daripada kawalan ahli keluarganya, berjam-jam dan berhari-hari sebelum dia ditemui semula. Kejadian begitu berulang berkali-kali dengan cara yang penuh mistri dan sukar untuk ditangani secara kebiasaan. Ia dipercayai akibat perbuatan jin atau sihir. Berdasarkan pandangan pengamal perawatan Islam, kehilangan tersebut adalah disebabkan perbuatan jahat jin yang menganggu ahli keluarga ini. Aneh dan pelik, tetapi itulah kejadian yang telah membawa masyarakat Malaysia untuk berfikir melalui satu dimensi lain.

Kes ini tentulah satu kes unik. Dalam keadaan masyarakat yang begitu ghairah dengan segala unsur mistri sebagaimana dijelmakan dalam paparan media massa (yang juga begitu ghairah memaparkan keisah-kisah mistri ini), munculnya kes kehilangan Balqis ini adalah satu petunjuk supaya kita berfikir dan menerima realiti dari satu kehidupan di dimensi lain, iaitu kehidupan alam jin.

Walaupun sebahagian ahli masyarakat kita kurang yakin dengan kewujudan kehidupan alam jin, namun sebagai orang beragama, Islam mengesahkan kewujudan alam jin melalui nas-nas sahih al-Quran dan As-Sunnah. Mweyakini kewujudan alam jin adalah satu akidah kerana ia adalah sebahagian adaripada kepercayaan kepada hal-hal ghaib. Kepada mereka yang faham tentang hal ini akan melihat kejadian itu sebagai sebahagian daripada hal-hal nyata. Ia adalah sebahagian daripada kejadian dan peristiwa yang diizinkan Tuhan untuk terjadi. Dalam situasi semasa, saya melihat zahirnya kejadian ini untuk menjadikan kita berfikir dan mengambil iktibar daripadaya. Cuma dalam usaha ini perlulah kita bersandarkan kepada iktikad dan prinsip akidah yang benar. Sekiranya tidak, kita akan hanya terus hanyut dalam akidah khurafat dan sesat serta amalam syirik yang merosakkan akidah kita.


Ibu Balqis bersama hadiah daripadan jin?

Akhir-akhir ini apabila ada suara-suara yang menzahirkan hasrat untuk melaksanakan undang-undang ke atas perbuatan dan pengamal sihir, maka ia adalah kesan daripada keyakinan bahawa banyak kejadian-kejadian aneh yang dikaitkan dengan perbuatan jin yang dikenali sebagai sihir. Amalan sihir bukanlah hal baru, ia sudah lama wujud dalam sejarah manusia, di mana sihir diamalkan oleh manusia yang disesatkan oleh jin dan mereka adalah syaitan-syaitan yang merosakkan hidup manusia lain. Gandingan mereka melakukan pelbagai perbuatan yang menyakit dan menyiksa mangsa (manusia). Perbuatan sihir dikenali dalam masyarakat Malaysia dan serantau dengan amalan santau, santet, ilmu hitam, pngasih, dan pelbagai nama lagi. Hakikatnya ia adalah sihir yang dilakukan oleh tukang-tukang sihir. Hidupnya tukang-tukang sihir adalah kerana wujudnya orang-orang yang bergantung kepada mereka, iaitu mereka yang berhajat dan meminta bantuan tukang-tukang sihir ini untuk mendapatkan apa yang mereka hajati. Seorang yang mahukan gadis idamannya, mungkin mendapat tukang sihir (yang kita panggil bomoh, dukun, pawang, paranormal atau apa sahaja gelarannya yang mengamalkan jampi serapah dan teknik-teknik sihir yang bercanggah dengan akidah dan syariah Islam); untuk mendapatkan pertolongan. Selain itu terdapat juga sihir yang menyakit dan membunuh mangsa. Oleh kerana kesan sihir adalah sama dengan perbuatan jenayah lain, iaitu menyakitkan, menyiksakan malah sampai membunuh mangsa; maka wajarlah mereka yang terlibat iaitu tukang sihir dan juga orang yang mengupahnya dibawa ke muda pengadilan dan dihukum. Perlu diingatkan bahawa pengamal sihir boleh dihukum pancung mengikut hukum Islam. Hukuman ini tentulah wajar kerana perbuatan khianat dan jenayah yang mereka lakukan sama kejamnya dengan membunuh orang.

Kita berdoa agar pihak-pihak bertangungjawab serius memikir dan mewujud peruntukan-peruntukan undang-undang yang membolehkan hukuman dilaksanakan ke atas pengamal sihir, kerana mereka adalah penjenayah tersembunyi dan merupakan syaitan-syaitan yang sesat dan menyesatkan orang lain.

Wednesday, October 20, 2010

UMNO mau ke mana?


Beberapa hari ini seluruh pemimpin UMNO berada di PWTC untuk acara perhimpunan agung tahunannya. Dalam usia 60 tahun lebih, UMNO sangat jelas semakin tua. Andainya tidak dijaga kesihatannya dengan baik, ia mungkin mula sakit dan nyanyok. Kegagalan UMNO dan BN mempertahankan majoriti di parlimen dan kekalahan beberapa buah kerajaan negeri dalam pilihanraya 2008 memperlihatkan kelemahan UMNO. Paling tidaknya, ia tidaklah segagah dahulu.

Pelbagai diagnosis dilakukan ke atas UMNO baik dari dalam mahupun dari luar. Pelbagai pandangan dan pendapat dizahirkan oleh kalangan pemimpin dalamannya dan juga orang luar termasuk mereka yang berkecuali dalam politik di samping musuh-musuhnya.

Dalam usia yang semakin merangkak tua ini, UMNO dilihat sudah agak sukar mempertahankan keagungan masa silamnya, sehingga ada pihak terutama musuh politiknya beranggapan ia semakin lemah dan mungkin menjadi dinousur. Kekalahannya dalam pilihanraya umum lalu memberikan petunjuk betapa orang Melayu sendiri sudah mula menolak UMNO kerana jelak dengan karenah dan tingkahlaku para pemimpinnya. Hari ini ssegolongan orang Melayu yang dulunya menyokong UMNO dan mereka begitu patriotik, kini menyertai pertubuhan-pertubuhan NGO Melayu seperti Perkasa dan yang lain-lain. Penampilan begitu banyak NGO Melayu yang kelihatan begitu patriotik membela nasib Melayu, kelihatan sebagai kebangkitan segolongan orang Melayu yang sudah hilang keyakinan kepada UMNO untuk membela nasib bangsa mereka.


Dulunya UMNO begitu sinonim dengan perjuangan membela bangsa dan agama. Orang Melyu menyandarkan UMNO sebagai benteng mempertahankan Melayu di bumi Malaysia. Namun perkembangan mutakhir memperlihatkan ramai orang Melayu mulai meragui keikhlasan UMNO mempertahankan Melayu. Para pemimpinnya kelihatan begitu takut berhadapan dengan rakan-rakan BN lain ketika mahu mempertahankan hak-hak ketuanan Melayu. Mereka kelihatan begitu takut dilabelkan sebagai cauvanis, sedangkan dalam waktu yang sama rakan-rakan mereka dalam BN begitu berani menonjolkan tuntutan kepentingan kaum masing-masing.

Lebih dari itu, imej kepimpinan UMNO terlalu rosak oleh amalan dan budaya materialisme yang masih menebal di hati, di jiwa dan di minda mereka. Rasuah wang, penyalahgunaan kuasa, penyalahgunaan hak dan kepentingan peribadi, menjadikan rakyat semakin bosan dengan sikap begini. Dalam waktu yang sama segolongan pemimpin parti-parti politik lain (yang sering dilabel sebagai pembangkang) menampilkan imej bergaya berjiwa rakyat. Inilah cabaran besar yang terpaksa diharungi pemimpin UMNO. Bukan senang untuk benar-benar menanmpilkan imej rakyat. Slogan-slogan muluk sahaja tidak mampu merealisasikan keikhlasan untuk merakyatkan diri mereka kerana selama ini mereka telah meletakkan diri mereka jauh di atas, mewujudkan jurang dengan rakyat melalui status, pangkat, kemewahan kebendaan dan sikap angkuh.

Tidak mudah meraih kembali sokongan yang hilang. Bekas orang UMNO yang merajuk terus menyepi diri atau aktif dalam parti-parti lain. Mereka mencari tempat teduh baru. Andai UMNO gagal meraih sokongan daripada genersi muda, maka kekuatan UMNO tidak terjamin di masa depan.

Hari ini orang Melayu sudah mempunyai banyak pilihan. Mereka mempunyai PAS, Keadilan dan pelbagai pertubuhan NGO. Kepada orang Melayu yang tdak mahu terlalu berpolitik akan memilih NGO-NGO ini.

Tuesday, October 12, 2010

Bahasa kebangsaan: belum berdaulat lagi?


Seingat saya kempen mendaulatkan bahasa kebangsaan (Bahasa Melayu) telah dimulakan sejak 50 tahun lagi ketika saya masih bersekolah rendah. Namnum kini setelah lebih 50 tahun kita merdeka, nampaknya kempen-kempen serupa perlu dijalankan lagi. Bulan Oktober ini dijadikan bulan kempen bahasa kebangsaan.

Satu sudut, bahasa kebangsaan telahpun dapat diterima dan diamalkan dengan baik. Buktinya generasi muda kini telah dapat betuutur dan menulis dengan baiknya dalam bahasa kebangsaan. Ketika kita mendengar mereka bertutur, kita tidak dapat membezakan siapakah mereka, dari suku kaum mana mereka. Lidah mereka fasih menuturkan bahasa kebangsaan. Inilah kesan pendidikan daripada sistem pendidikan kita. Inilah generasi bangsa Malaysia yang kita harapkan dapat menampilkan imej orang Malaysia (tak kiralah samada kita perlu ada 1 Malaysia ataupun tidak).

Di peringkat rakyat jelata, bahasa kebangsaan telahpun dituturkan baik secara sempurna atau secara kurang sempurna oleh semua suku kaum di Malaysia terutama ketika mereka berkomunikasi. Proses ini terjadi sendiri kerana kita tiada pilihan melainkan menuturkan satu bahasa yang dapat diterima semua aorang Malaysia. Contoh terbaik ialah masyarakat di Sabah dan Sarawak. Oleh kerana mereka terdiri daripda suku kaum yang berbilang, maka meeka terpaksa mencari satu bahasa unbtuk membolehkan meeka berkomunikasi sesama sendiri. Alhirnya mereka dapat menuturkan bahasa Malaysia dengan baik. Ini terjadi secara natural atau alami.


Oleh itu kempen bahasa kebangsaan yang ditonjol-tonjolkan setelah lebih 50 tahun merdeka ini meninggalakan kesan yang kjurang sihat kepada pemikiran kita. Apakah sehingga kini kita masih lagi tidak mampu berbahasa Malaysia? Atau apakah kerana kita masih mengagungkan bahasa antarabangsa (kebetulan pula ia bahsa penjajah kita) hingga kita seolah=olah dibelit oleh rasa takut dan rasa bersalah kerana lemah bahsa Inggeris? sehinga kita meremeh dan mengenepikan bahasa kebangsaan sendiri?

Kecenderungan merendahkan bahsa kebangsaan sering terjadi ketika kita terlalu berpolitik. Kiranya adapun usaha untuk mendaulatkan bahasa kebangsaan, ia adalah usaha probokasi politik di kalangan ahli-ahli politik yang mahu meraih sokongan suku kaumnya. Kita lihat kecenderungan setengah pemimpin politik berbangga menuturkan bahasa Inggeris ketika menegakkan 1 Malaysia. Mereka mungkin 'perasan' seolah-oleh mereka sedang berpidato di hadapan masyarakat antarabangsa, padahal di hadapan mereka adalah 100 peratus rakyat Malaysia. Inilah antara sikap mundur yang menghalang usaha memuliakan bahasa kebangsaan kita sendiri.


Apakah dengan memuliakan bahasa kebangsaan, menghalang kita daripada maju dalam bahsa antarabangsa. Betapa ramai rakyat daripada latar belakang berpendidikan kebangsaan, malahan pendidikan Arab, agama dan sekolah jenis kebangsaan, yang dapat menguasai ilmu ke peringkat tertinggi. Bahasa Inggeris mereka tidak juga berbeza dengan mereka daripada aliran sekolah Inggeris.