Thursday, August 25, 2011

Syawal dan budaya beraya, di mana kita?


Hari-hari terakhir Ramadhan sedang kita lalui. Beberapa hari lagi, akan pergilah Ramadhan meninggalkan kita. Dan menanti di hadapan adalah Syawal dan hari pertamanya adalah hariraya fitrah atau Idul Fitri.

Secara spiritual hari-hari akhir Ramadhan adalah hari-hari terpenting dalam kehidupan Muslim, kerana di sana terdapat satu malam agung, malam Qadar atau Lailatul Qadr. Maka ramailah orang yang menghidup malam-malam terakhir, khususnya sepuluh malam akhir dengan semua ibadah yang boleh membawa mereka bertaqarrub kepada Tuhan. Masjid-masjid dipenuhi jemaah yang beriktikaf, bertadarus al-Quran dan berzikir.

Di luar masjid, di tengah masyarakat, orang ramai sibuk bersiap sedia menunggu Syawal tiba. Kini kesibukan bazar Ramadhan bertukar kepada bazar Syawal di mana pelbagai keperluan menyambut raya disediakan. Secara emosi, hari-hari menjelang Syawal ini merupakan detik-detik sibuk menyediakan segala keperlouan untuk beraya.

Orang Melayu mengenal Idul Fitri sebagai hari raya puasa. Ia merujuk kepada hari pertama Syawal yang dirayakan baik secara syariah atau secara budaya. Namun lebih jelas keunikan hari raya sekiranya ditinjau ari aspek budayanya. Ia telah melahirkan satu fenomena budaya yang unik dan tersendiri. Hari raya telah melahirkan beberapa aspek budaya seperti pakaian, makanan, hiburan dan mungkin gaya hidup lain.


Fenomena raya ini dimeriahkan lagi oleh media yang jelas benar mengeksploit budaya ini untuk meriah rating tinggi. Fenomena ini terasa benar dihangatkan oleh media bermula sejak awal Ramadhan hinggalah akhir Syawal. Media cetak mula membuat pelbagai promosi makanan, pakaian dan kenderaan sejak awal Ramadhan melalui pelbagai paparan iklan. Halaman akhbar dipenuhi dengan warna warni iklan produk. Selain itu pusat-pusat belibelah juga melahirkan mood raya sejak awal lagi, dengan pelbagai promosi.

Budaya ini melahirkan konsep baju raya, perabut raya, langsir raya, kuih raya, kad raya, lemang ketupat, kereta baru, dan semua yang baru. Orang Melayu sangat kaya dengan kepelbagaian dan warna warni raya. Makanan raya akan membariskan pelbagai jenis makanan unik seperti lemang, ketupat (ketupat pulut, ketupat beras), nasi himpit, dan ratusan jenis kuih muih raya. Warna warni raya akan dimeriahkan lagi dengan pelbagai proram hiburan di media elektronik. Semua stesen tv telah menyediakan pelbagai program hiburan, mengetengahkan lagu-lagu raya untuk membangkitkan mood raya di kalangan penonton.

Ustaz-ustaz dalam tazkirahnya sering mengingatkan jemaah tentang bersederhana dalam menyambut hari raya. Namun di luar sana, keghairahan berhari raya seoalah-olah tidak dapat ditahan-tahan. Keghairahan membelibelah, berbelanja dan membuat persiapan menjadikan ramai orang lupa tentang konsep sederhana ini. Nasihat-nasihat ustaz tenggelam dalam hiruk pikuk riuh rendah kegembiraan beraya, tenggelam dalam ledakan mercun dan bunga api, tenggelam dalam lunak merdu lagu raya.


Hari raya sudah membudaya. Hari raya kini bukan lagi sehari dua tetapi genap sebulan. Berpuasa sebulan, maka beraya pun sebulan. Demikianlah budaya raya telah membentuk masyarakat kita menjadi masyarakat yang cenderung kepada hedonis, berhibur berlebihan, berbelanja berlebihan, makan berlebihan, kenduri berlebihan, open house tak habis-habis, terlalu mendedahkan selebriti dan artis sebagai idola raya, dan macam-macam lagi sub-budaya raya yang unik.

Tentulah semangat raya ini sudah jauh melangkaui semangat syariat. Tetapi itulah realiti masyarakat, masyarakat Melayu, masyarakat Malaysia.

Monday, August 22, 2011

Mesej agung yang diremehkan.


Kini hari-hari penting kepada pencari Lailatul Qadr. Sebetulnya ia tidak perlu dicari, kerana ia tetap datang. Masalahnya kita hendak mencari jalan mudah mendapatkan sesuatu, sehingga untuk mendapatkan anugerah termahal dari Tuhan inipun, kita masih mahu mencari jalan mudah. Maka meneka-nekalah kita, meramal-ramallah kita.

Lailatul Qadr pasti tiba walaupun kita tidak tahu malam bila ia tiba. Persoalan itu tidak patut menjadi masalah kepada kita, selama mana kita sedar bahawa kita terus beribadah pada setiap malam Ramadhan, dari hari pertama hingga maghrib terakhir Ramadhan. Tiada stres, tiada perlu mencari-cari kerana Lailatul Qadr adalah janji yang sangat pasti, dan ia pasti hadir. Itulah malam berkah di mana turunnya para malaikat dan Jibril ke dunia membawa rahmah Tuhan.

Terlebih penting ialah mesej Lailatul Qadr yang abadi iaitu al-Quran. Penurunan al-Quran adalah satu urusan penting yang menghubung langit dan bumi, menghubungkan manusia dan Tuhan-Nya. Mesej penting al-Quran sendiri adalah ILMU. Sebab itu ayat pertama al-Quran ialah perintah membaca. Segala-gala yang kita dambakan dalam hidup ini sebenarnya terdapat dalam al-Quran. Ia adalah manual kehidupan manusia yang dikirimkan Penciptanya ke dunia supaya manusia dapat hidup sementara di dunia ini sebagai 'manusia'. Tanpa menggunakan manual itu tentulah manusia tidak dapat menyempurnakan hidupnya sebagai manusia. Ia akan jadi seperti sebuah kereta yang tidak dibekalkan dengan manualnya, maka pemilik kereta gagal mengurus dan merawat keretanya dengan sempurna.

Marilah kita bermuhasabah diri kita, merenung, menginsafi dan bertafakkur: sejauh mana komitmen kita terhadap ilmu? Apakah kita benar-benar telah berilmu sehingga tiada lagi titik-titik jahiliah dalam diri kita? Jahiliah itu bukan soal buta huruf, tetapi ia merujuk harga diri atau esteem diri kita, akhlak kita. Bukankah akhlak itu adalah buah daripada pohon iman? Dan apabila kita bercakap tentang akhlak, kita mempunyai tanda aras sempurna tentangnya iaitu akhlak Rasulullah SAW, manakala akhlak Rasulullah SAW pula adalah sebagaimana hadis riwayat Aisyah ra, bahawa akhlak Raulullah adalah al-Quran.


Apakah kita telah bepuas hati kerana sudah memiliki ijazah dalam bidang-bidang prfesional dan mungkin juga di bidang Islamiah. Malahan semakin ramai orang yang memperolehi gelaran Ph.D. Apakah dengan pencapaian setinggi itu sudah cukup untuk menjadikan kita letih, penat mencari ilmu? Ramai orang yang bekerja setelah mendapat ijazah universiti, terus berasa cukup dengan ilmu yang ada. Maka bekerjalah sehingga 30 tahun lebih melakukan hal-hal rutin sehingga bersara? Maka ramailah orang yang bersara ketika usianya mencecah 60 tahun tetapi masih jahil. Ramai yang menyendiri dan menyepi setelah bersara, kerana sulitnya menyesuaikan diri dengan masyarakat. Dia mengalami pelbagai perasaan yang berbaur, antara sombong dan rasa rendah diri, tidak yakin diri, rasa malu, rasa bersalah dan setaranya. Tidak kurang pula yang merasa kehilangan keyakinan diri dan esteem diri, kerana kini ia tiada lagi orang bawahan yang memanggilnya 'bos', tiada lagi pemandu peribadi, tiada lkagi setiausaha sulit dan pelbagai kemudahan lagi.

Situasi negatif begini tidak mungkin terjadi sekiranya kita mempunyai prinsip 'mencari ilmu dari buaian sampai kie liang lahad' (minal mahdi ilal lahdi). Orang yang berilmu akan sentiasa yakin diri dan sentiasa optimis. Kata orang, tercampak di laut menjadi pulau. Itulah keberkahan ilmu, lebih-lebih lagi ilmu yang dapat membina diri secara ruhaniah.

Penyakit jahiliah adalah penyakit paling berat kepada kita, lebih-lebih lagi ia menjadikan kita tidak sedar bahawa kita sebenarnya masih jahil. Ia menjadikan kita lalai dan lagho. Ia menjadikan kita berasa pandai, tetapi sebenarnya tidak bijak. Kita boleh jadi pandai dalam bidang teknikal dan profesional, tetapi kita tidak cerdik menguruskan hal-hal diri sendiri termasuk mengurus hal emosi dan spiritual diri sendiri.


Ubat mujarab kepada penyakit jahiliah ialah membaca. Membaca pula tidaklah terbatas pada membaca halaman-halaman tersurat, tetapi juga turut membaca hal-hal yang tersirat. Inilah perintah al-Quran. Membaca terus membaca, merenung, bertadabbur, bertafakkur, mengamati, menikmati, merasai, mengkaji, meneliti, memperhalusi. Semuanya adalah aktiviti ilmiah yang memerlukan komitmen diri. Oleh itu ketika kita benar-benar menghayati (mengamalkan) perintah Iqra' maka kita sebenarnya sentiasa menghidupkan pancaindra yang lima, akal(berfikir, mengkaji), hati (mengamati, menikmati, merasai) manakala hati nurani pula terus menelusuri pengalaman-pengalaman spiritual yang lebih dalam.

Inilah mesej al-Quran. Sedangkan ramai kita umat Islam masih meremehkannya, lantaran kita meminggirkan al-Quran.

Saturday, August 20, 2011

Setakat mana kita membaca al-Quran?


Dua tiga hari lalu, tazkirah Ramadhan di masjid berkisar kepada al-Quran, sempena dengan sambutan tarikh Nuzul Quran, 17 Ramadhan lalu. Tazkirah itu mengajak kita merenung tentang tanggungjawab kita terhadap al-Quran khususnya tanggungjawab membaca al-Quran.

Untunglah kita kerana sejak berusia empat lima tahun lagi, kita sudah mula mengenal huruf-huruf Arab dan menghafal surah-surah pendek al-Quran. Waktu itu proses belajar membaa al-Quran dikenali sebagai ngaji Quran. Kitab kecil Muqaddam dijadikan panduan. Ia mengandungi asas huruf-huruf jawi/Arab, kaedah baris dan bunyi serta mengandungi surah-surah pendek iaitu juz terakhir atau Juz Amma. Terdapat 36 buah surah pendek dalam juz 30 al-Quran itu. Belajar ngaji biasanya berguru dengan guru al-Quran atau dengan ibu bapa sendiri. Biasanya mereka mengajar dengan sukarela, tanpa upah.

Kanak-kanak hari ini lebih beruntung kerana banyak buku panduan membaca al-Quran mengikut kaedah moden yang lebih mudah, menarik dan berkesan. Pelbagai kaedah membaca al-Quran yang ada hari ini sangat bermanfaat untuk menjadikan proses belajar membaca al-Quran bukan saja mudah tetapi juga menarik dan berkesan. Kehadiran pelbagai kaedah terbaru ini merupakan satu rahmat kepada generasi sekarang untuk belajar al-Quran. Selain itu kemudahan digital juga tambah memudahkan proses belajar. Hari ini sudah ada al-Quran digital, di mana dengan sentuhan sebatang pena ke halaman al-Quran, ia akan menghasilkan suara bacaan al-Quran. Gajet ini sangat bermanfaat untuk dijadikan alat bantu belajar al-Quran.

Sangat malang sekiranya hari ini ada orang yang masih buta huruf al-Quran. Tidak ada alasan lagi kepada anak-anak orang Islam sekiranya mereka tidak boleh membaca al-Quran. Orang dewasa juga tidak boleh menjadikan alasan tua sebagai sebab tidak boleh membaca al-Quran. Orang tua yang tidak sempat belajar membaca al-Quran ketika kanak-kanak atau ketika remaja, masih tetap wajib belajar kerana membaca al-Quran adalah satu kewajiban, bukan satu pilihan (sunat). Hari ini terdapat pelbagai kemudahan untuk belajar al-Quran melalui kelas-kelas di masjid, di samping terdapat pula kelas-kelas khas dewasa untuk orang-orang dewasa belajar membaca al-Quran. Ingatlah, perasaan malu (sekira ada sebagai penghalang) tidak akan melepaskan tanggungjawab belajar membaca al-Quran.

Membaca al-Quran adalah satu tanggungjawab (fardhu ain) kerana tanpa membacanya, banyak tanggungjawab agama tidak dapat dilaksanakan. Contohnya tanpa membaca surah al-Fatihan, solat tidak sempurna dan tidak sah, manakala tanpa solat, tidak sempurnalah Islam kita. Perintah pertama melalui ayat pertama al-Quran ketika diturunkan ialah perintah membaca. Iqra' adalah kata perintah atau fiil amar. Oleh itu fahamlah kita bahawa membaca al-Quran itu adalah satu 'perintah', bukan hanya satu saranan biasa.


Di waktu dan ketika yang sangat signifikan ini, marilah kita bermuhasabah tentang tanggungjawab kita terhadap al-Quran. Marilah kita bertanya diri sendiri, dan kita berilah jawaban secara jujur terhadap soalan-soalan ini, demi melihat status diri kita, khususnya dalam konteks membaca al-Quran.

1. Sudahkah kita dapat membaca al-Quran dengan baik.
2. Adakah kita membaca al-Quran setiap hari (tidak mengambilkira bacaan dalam solat)?
3. Berapa halaman al-Quran dibaca setiap hari?
4. Adakah kita fahami isi kandungan al-Quran?
5. Adakah kita membaca al-Quran bersama terjemahannya atau tafsir?
6. Adakah kita memiliki kitab terjemahan atau tafsir al-Quran di rumah?

Jawaban kepada soalan-soalan di atas akan memberikan penanda aras pencapaian kita dalam hal membaca al-Quran. Sekiranya jawabannya banyak minus, apalagi kepada soalan pertama, maka bersedialah untuk melakukan sesuatu demi memperbaiki status diri sendiri.

Ingatlah tentang Iqra', yang merupakan perintah Allah SWT. Apabila Allah SWT memerintahkan kita membaca, bermakna kita diwajibkan membaca al-Quran, membaca ayat-ayat yang tertulis di dalamnya, yang mana semuanya adalah merupakan hudan atau petunjuk, penjelasan-penjelasan tentang petunjuk dan juga furqan atau pembeda antara yang benar dan yang bathil. Sebaiknya kita membaca dengan memahami maknanya. Hari ini kitab terjemahan dan tafsir al-Quran banyak di pasaran untuk membantu kita yang tidak menguasai bahasa Arab. Membaca tanpa memhami apa yang tertulis, menjadikan kita hanya burung kakak tua.


Lebih dari itu, perintah membaca membawa makna khusus kepada orang yang mencintai ilmu, iaitu membaca melebihi daripada yang tertulis. Allah SWT menyuruh kita membaca ayat-ayat-Nya yang banyak dalam bentuk tanda-tanda kebesaran-Nya seperti kejadian langit, bumi, gunung ganang, lautan, sungai, air hujan, air mataair, guruh, kilat, awan, tumbuh-tumbuhan, haiwan, malahan diri manusia sendiri. Membaca ayat-ayat kauniah ini adalah dengan berfikir, memerhati, mengkaji, menyelidik dan mengujikaji tentangnya. Ransangan inilah yang telah mencetuskan bidang-nidang kajian sains dan teknologi hari ini. Banyak nama-nama surah al-Quran yang merujuk ayat-ayat kauniah ini. Antaranya al-Baqarah (lembu betina), al-An'am (ternakan), Al=Ra'du (guruh), An-Nahlu (lebah) an-Nur (cahaya), an-Namlu (semut), al-Ankabut (labah-labah), ad-Dukhan (kabut), at-Thur (bukit), an-Najmu (bintang), al-Qamar (bulan), al-Hadid (besi), al-Jin, al-Insaan, al-Buruj (cakrawala), al-Fajr, al-Balad (negeri), as-Shams (matahari), al-Lail (malam), ad-Dhuha (waktu dhuha), at-Tin (buah tin), al-'Alaq (segumpal darah), al-Fil (gajah), al-Quraishi (kaum Quraish).

Membaca di tahap ini tentulah lebih khusus untuk orang yang benar-benar komited mencari ilmu, menyelongkar rahsia keagungan citaan Allah SWT. Merekalah yang nampak kebesaran Allah SWT melalui ciptaan-Nya dan mereka inilah yang disebut sebagai ulama' yang mewarisi para nabi.

Wednesday, August 17, 2011

Menunggu Lailatul Qadr.


Kini sudah hari ke 18 berpuasa. Semalam adalah hari ke 17, tarikh sambutan Nuzul Quran atau turunnya al-Quran. Al-Quran diturunkan di bulan Ramadhan sebagaimana dinyatakan sendiri oleh al-Quran: Bulan Ramadhan, bulan yang didalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan tentang petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang bathil), (maksud al-Quran, Baqarah: 185).

Tarikh penurunan al-Quran ini merupakan detik sejarah penting kerana al-Quran adalah kitab terakhir yang diturunkan dari langit, yang menjadi panduan atau manual kehidupan umat Islam khususnya. Oleh kerana ALlah SWT memilih bulan Ramadhan untuk menurunkannya, tentulah ada rahsia di sebaliknya yang Dia sendiri lebih mengeahuinya.

Seiring dengan tarikh itu, Lailatul Qadr atau malam Qadar adalah satu lagi detik terpenting dalam bulan Ramadhan mubarak ini. Ia malahan menjadi detik terpenting dalam kehidupan setiap Muslim kerana ia adalah detik-detik yang sangat berharga, yang datangnya setahun hanya sekali.

Tentang lailatul Qadr ini, al-Quran merakamkannya dalam sebuah surah khusus iaitu surah al-Qadr yang mengandungi lima ayat. Ia menerangkan bahawa lailatul Qadr itu lebih baik nilainya daripada seribu bulan.


Sekiranya dilandaskan kepada prinsip bahawa masa iu adalah kehidupan, maka detik lailatul Qadr ini adalah detik-detik waktu yang sangat berharga dalam kehidupan seorang Muslim. Satu malam (sekitar 12 jam) yang diberi nilai jauh lebih baik daripada 1 000 bulan, atau 83 tahun lebih. MasyaAllah! inilah rahmat Tuhan yang sangat agung kepada manusia, lebih-lebih lagi kita yang hidup di akhir zaman ini. Usia umat manusia kini adalah relatif pendek berbanding dengan manusia zaman dahulu. Oleh itu kita memerlukan masa yang berharga sebegini untuk memaknakan kehidupan kita.

Detik-detik lailatul Qadr ini menjadi sangat bermakna, lebih-lebih lagi kepada mereka yang sudah memasuki gerbang asar dan maghrib, kerana detik-detik kehidupan dunia semakin berkurang. Ketika inilah anugerah Lailatul Qadr sangat-sangat diharapkan untuk mendapatkan bonus besar daripada kehidupan sementara di dunia fana ini.

Yang pasti, Lailatul Qadr tetap datang dan akan melewati kita, biarpun kita tidak diberitahu tarikhnya. Apa yang pasti dalam sebulan Ramadhan, Allah SWT menjanjikan bahwa ada satu malam mulia di dalamnya, yang nilainya melebihi kebaikan 1 000 bulan. Terserahlah kepada kita bagaimana meraih sebanyak-banyak manfaat daripadanya. Dengan penuh sedar, dengan penuh keimanan, kita isilah setiap malam daripada Ramadhan ini dengan ibadah ubudiah, isnyaAllah, kita akan memperolehi janji Allh SWT ini.

Lakukan amalan biasa di malam-malam Ramadhan. Bermula dengan iftar atau berbuka, di mana rasailah nikmat beriftar dengan sepenuhnya, rasailah dengan kesyukuran. Kemudian solat maghrib (sebaik-baiknya berjamaah di masjid/surau). Diiringi dengan solat sunat sesudahnya. Bila waktunya, solat Isya dan diikuti dengan solat sunat tarawikh di masjid. Manfaatkan waktu terluang sesudahnya dengan berzikir dan membaca al-Quran. Berdoalah berterusan memohon keampunan, memohon syurga, memohon dihindari neraka (Allahumma innaka Afuun karimun tuhibbul afwa fa'fu'anna .... Lakukanlah amalan-amalan yang disunatkan berdasarkan apa yang disunnahkan oleh Rasulullah SAW. Apabila keletihan dan tertidur akibat keletihan tesebut, berdoalah agar tidur itu menjadi bahagian daripada ibadah kita, insyaAllah.

Untuk merangsang kesedaran dan semangat, biasakan diri mengingatkan diri sendiri, bahawa ini adalah Ramadhan terakhir, dan ini adalah lailatul Qadr terakhir bagiku, maka tiada lagi pilihan melainkan memberikan yang terbaik kepada Allah SWT dan memohon yang terbaik daripada-Nya.

Friday, August 12, 2011

Detik-detik taqwa, detik-detik kejayaan.


Banyak hal boleh disimpulkan tentang masa, namun satu hal yang jelas ialah masa itu adalah denyut nadi kehidupan. Ia adalah nyawa kita, hidup kita.

Mari kita melihat bagaimana satu bangsa itu memberi konsep kepada masa. Orang Inggeris berkata “time is running”. Orang Melayu pula berkata “masa berjalan”. Dua persepsi dari dua bangsa ini tentulah dapat memberikan gambaran tentang masa. Orang Inggeris melihat masa sentiasa berlari, sedangkan orang Melayu melihat masa berjalan. Berlari dan berjalan adalah dua situasi yang berbeza. Orang Inggeris tentulah lebih laju daripada orang Melayu kerana mereka berlari, sedangkan kita berjalan.

Pepatah Melayu menyebut “masa itu emas”. Dalam waktu yang sama dalam budaya Melayu terdapat ‘janji Melayu’ di mana apabila berjanji tentang waktu, mereka selalu akan lewat daripada waktu yang dijanjikan. Mereka terbelit dalam lingkaran ganas ‘janji Melayu’ sehinggakan sulit mengatur acara untuk orang Melayu. Penganjur perlu ‘berbohong’ dengan mempercepatkan waktu. Contohnya untuk acara yang hendak dimulakan pada jam 9 pagi, masa yang dicatat secara rasmi dalam kad undangan adalah 8.30 pagi. Tujuan ‘bohong’ itu hanyalah untuk memastikan mereka datang tepat jam 9 pagi. Kenapa orang tidak mahu datang tepat mengikut waktu yang ditetapkan? Semuanya kerana mereka sangat yakin, tiada orang datang pada waktu yang ditetapkan, maka lebih baik kita pun datang lewat sikit. Inilah belitan ganas yang menjadikan orang Melayu selalu lewat, kerana mereka ikut masa yang berjalan (berjalan pula dengan perlahan). Orang Melayu sepatutnya sangat kaya kerana mereka menyifatkan masa sebagai emas, dan orang Melayu mempunyai banyak masa, sehingga mereka boleh ‘buang masa’. Dalam waktu orang lain mengejar masa, mengisi masa orang kita masih cenderung membuang masa melalui aktiviti lagho dan tidak bermanfaat, borak kosong di kedai kopi, main dam, mengumpat, merempit, dan banyak lagi.


Ketika berkesempatan tinggal sebulan di Jepun 23 tahun lalu, saya sangat teruja dengan sikap orang Jepun yang sangat menghargai waktu. Mereka jauh lebih baik daripada kita, khususnya orang Melayu. Anehnya kita orang Islam tetapi mereka yang belum Islam, mengamalkan nilai-nilai Islam iaitu menepati masa. Ingatlah bahawa kita selalu lupa bahawa menepati masa itu adalah menepati janji, manakala menepati janji adalah salah satu ciri yang membezakan Islam dan munafiq. Nabi SAW menyebut, salah satu ciri munafiq ialah mungkir ketika berjanji!

Kita selalu membaca surah al-Asr, terutama ketika selesai sesuatu majlis, namun di awal majlis, masih sering bermula dengan janji Melayu. Nampaknya tabiat tak tepat waktu ini masih sukar dihilangkan. Akhirnya sumpahan waktu dalam al-Asr akan selalu jatuh ke atas diri kita jua.

Ramadhan ini moga-moga dapat memberikan petunjuk jelas tentang masa dan nilai usia kita. Kenapa Ramadhan dipilih Tuhan sebagai penghulu segala bulan, di mana pelbagai kemuliaan diletakkan di dalamnya. Ibadah puasa sebulan disajikan dalam Ramadhan. Puasa pula satu ibadah yang keikhlasannya tidak dapat disembunyikan, kerana tiada siapa yang mengetahui kita berpuasa atau tidak, melainkan Allah SWT sahaja. Sebab itu balasan baik puasa akan dibalas sendiri oleh Allah SWT.


Selain ibadah puasa, solat tarawikh yang biarpun hanya sunat, tetapi ia tidak dilakukan di waktu lain kecuali di bulan Ramadhan. Al-Quran diturunkan di bulan Ramadhan. Lailatul Qadr hadir hanya di bulan Ramadhan. Nilai ibadah wajib di bulan Ramadhan diganda menjadi 70 kali ganda, manakala ibadah sunat nilainya menyamai ibadah wajib. Malam Qadr pula diberi nilai melebihi 1 000 bulan atau 83 tahun lebih.
Dari sudut masa, Ramadhan adalah satu yang sangat signifikan. Ramadhan itu sendiri adalah bulan, iaitu sejumlah detik yang menjadi minit, kemudian menjadi jam, menjadi hari, menjadi minggu dan akhirnya menjadi bulan. Di hitung ke belakang (berdasarkan 30 hari), satu bulan mengandungi 30 hari, 720 jam, 43 000 minit dan 2 472 000 detik. Bermakna kita mempunyai hampir 2.5 juta detik yang sangat berharga di bulan Ramadhan. Apa lagi jika dihitung nilai Lailatul Qadr, nilainya akan jauh berganda. Hampir 2.5 bilion detik nilai waktu Lailatul Qadr. Itu hanyalah nilai kiraan kita, nilai sebenar di sisi Allah SWT, hanya Dia sahaja yang mengetahuinya.

Marilah kita isikan sepenuhnya detik-detik masa yang sangat berharga yang Allah SWT anugerahkan kepada kita sepanjang Ramadhan ini, semoga kita menjadi orang-orang yang bertaqwa, sedangkan taqwa itulah ukuran kita sebagai orang-orang yang berjaya.

Tuesday, August 9, 2011

Ramadhan, sepertiga dan rahmatnya hampir berlalu.


Kini kita sudah hampir manamatkan sepuluh hari pertama Ramadhan, di mana sepuluh hari pertama itu disebut oleh Rasulullah SAW, dipenuhi oleh rahmat, sepuluh kedua maghfirah (keampunan) manakala sepuluh akhir adalah pelepasan dari siksa neraka. Bermakna kita telah melewati detik-detik waktu Ramadhan yang penuh dengan rahmat Allah SWT.

Rahmat Ramadhan tentulah sangat luas dan dalam mengikut apa yang kita rasai. Ia tentulah merujuk kepada pengalaman spiritual atau perasaan kita, apa lagi apabila rahmat itu merujuk kepada suasana hati kita. Secara zahiriahnya kita merasai lapar, dahaga dan keletihan di siang hari, lebih-lebih lagi ketika cuaca panas. namun deria zahir itu dapat diatasi dengan perasaan redha yang ditunjangi iman dan keikhlasan kita melakukan amalan hanya kerana Allh SWT. Pengalaman zahairiah itu adalah sesuatu yang perlu dirasai sebagai kesan daripada ibdah puasa, iaitu merasai sedikit kesusahan dan kepayahan yang berupa sebahagian daripada pengorbanan kita kepada Allah SWT. Unsur-unsur kepayahan itu tidak sampai memberatkan atau membebankan. Ini dibuktikan oleh adanya rukhsah atau kemudahan untuk berbuka, contohnya ketika sakit dan dalam perjalanan. Intinya pengalaman susah payah yang sedikit itu adalah untuk mempertajamkan lagi fikiran, memperhalusi lagi emosi positif kita di samping menggilapkan lagi hati nurani kita.

Ibadah puasa sepanjang sebulan 29/30 hari itu pastilah akan meninggalkan kesan yang sungguh besar ke atas diri kita baik fizikalnya, mahupun emosi dan spiritualnya. Tubuh fizikal kita terus sihat kerana seluruh organ dan sistem tubuh dapat berehat dan merawat diri. Ini satu proses pelarasan (allignment) dan perbaikan pada sebarang kerosakan kecil. Apabila tiada makanan dan minuman masuk ke tubuh, banyak organ dan sistem tubuh yang terlibat dengannya. Semuanya dapat merehatkan diri. Ini adalah satu proses penjagaan kesihatan secara fitrah yang sangat ampuh.

S
ementara itu di segi emosi dan sipiritual pula, ibadah puasa dapat mengawal dan membendung emosi dalam lingkungan positif, tanpa membenarkan emosi negatif menceroboh masuk. Berpuasa bermakna menahan hawa (nafsu yang buruk) seperti marah, benci, dendam, tamak, kecewa dan seumpamanya. Dengan itu emosi kita akan dipenuhi dengan emosi positif dan membina seperti rasa puas (syukur), redha, merasa cukup (qanaah), ikhlas, pemurah, pengasih, simpati, empati dan seumpamanya. Ingatlah ketika emosi kita dikuasai emosi positif ini, otak kita merembeskan hormon beta endorphin iaitu hormon kebahagiaan. Hormon edorphin ini sangat bertnaga untuk merobah diri secara fizikal juga, menjadi lebih kuat imunitinya. Dengan itu ia membangunkan dayatahan tubuh yang luar biasa.

Dalam waktu yang sama kita bebas daripada gejala penyakit psikosomatik, iaitu penyakit emosi yang lahir dalam bentuk gejala fizikal. Contohnya perasaan risau, murung akan menyebabkan seseorang sukar tidur (insomnia) dan berasa sakit kepala, sakit leher dan belakang, loya dan lemah fizikal. Begitu juga dengan emosi marah, dendam dan benci menjadikan seseorang stres, yang boleh meningkatkan kadar tekanan darah (hipertensi).

Jauh di sudut spiritualnya, kita merasai sangat tenang, sangat damai dan sangat bahagia. Inilah hasil daripada kejayaan mujahadah (menundukkan hawa) atau nafsu jelek, di mana matlamat mengecapi mutmainnah telah berhasil. Rasa tenang adalah satu tahap emosi yang sangat tinggi, yang mana kedudukan jiwa yang tenang ini disebut sebagai nafsul mutmainnah, yang mendapat derajat sangat mulia di sisi Tuhan. "Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam jemaah hamba-hamba-Ku dan masuklah ke dalam syurga-Ku" (maksud al-Quran. al-Fajr 27-30).


Rahmat Ramadhan tidaklah terbatas kepada manfaat puasa semata-mata. Ramadhan juga disebut sebagai bulan di mana diturunkan al-Quran dan bulan di mana terdapat Lailatul Qadr. Al-Quran adalah satu-satu mukjizat agung yang terus berada di samping kita. Ia adalah manual kehidupan kita, di samping al-Sunnah. Ramadhan menjadi mulia antaranya kerana ia adalah bulan di mana al-Quran diturunkan ke dunia. Al-Quran adalah kalam Allah SWT di mana kita mendengar segala perintah dan larangan-Nya apabila kita mendengar al-Quran. Dengan al-Quran kita menjadi sangat dekat dengan Tuhan. Kita dijanjikan kebajikan yang banyak dengan mempelajarinya, mengajarnya, membacanya, mengkajinya (tadabbur); apa lagi menghayati dan beramal dengan seluruh isi kandungannya.

Kita juga sedang berada di bulan yang mengandungi satu malam yang nilainya melebihi 1000 bulan atau lebih 83 tahun. Malam Qadar atau Lailatul Qadr ini merupakan satu tempoh waktu paling mahal dalam hidup insan. Oleh itu setiap orang yang faham dan mengerti tentang nilai waktu ini akan mencarinya, memburunya, menanti-nantinya dengan penuh debar, penuh harap. Kenapa malam, tidak pula siang? Tentulah Tuhan Maha Mengetahui rahsia dan kelebihan malam. Malam menjadi medan mujahadah orang yang arif, manakala malam menjadi kelab hiburan dan kemaksiatan kepada orang-orang yang fasik.

Sunday, August 7, 2011

Derita Somalia.


Sungguhpun kita sedang berpuasa, menahan lapar dan dahaga, namun lapar dan dahaga kita ada penghujungnya apabila suara azan maghrib bergema maka semuanya berakhir. Selain itu sungguhpun berlapar dahaga di siang hari, kita tahu bahawa malam nanti makanan mewah sedia terhidang untuk dinikmati. Namun di Somalia dan beberapa negara Afrika sekarang, rakyatnya terus berlapar dan dahaga tanpa tahu bila penghujungnya. Ujian yang menimpa mereka tentulah jauh berbeza dengan kita yang berpuasa di sini.

Oleh itu ketika kita ghairah melayani kemahuan di pasar ramadhan, ingatlah bahawa berapa ramai orang-orang di Afrika kini sedang kelaparan akibat kemarau memanjang dan kekurangan sumber makanan di negara mereka. Ingatlah sebahagian daripada mereka adalah saudara-saudara Muslim kita. Sekurang-kurangnya ingatan itu dapat mengingatkan diri kita supaya tidak keterlaluan mengikut nafsu ketika membeli juadah sehingga terjadi pembaziran. Juga ingatan itu akan menggerakkan hati dan sukma kita untuk sekurang-kurangnya berdoa untuk mereka, dan meningkatkan rasa syukur atas nikmat dan rahmat Allah SWT ke atas kita.

Mana tabung bantuan kelaparan? Mana tabung untuk saudara-saudara kita yang sedang teruji dahsyat di Somalia dan negara-negara Afrika? Di saat begini, kita tidak lagi dibataskan oleh rasa persaudaraan keagamaan tetapi juga rasa kemanusiaan yang tidak mengenal bangsa dan agama. Belum ada media kita menubuhkan tabung-tabung bantuan, kenapa?


Menyelamatkan nyawa penduduk benua Afrika adalah program yang perlu diberi keutamaan oleh pihak mana jua pun, dengan apa cara pun yang dapat dilakukan. Kini dilaporkan sudah lebih 29 000 nyawa terutama kanak-kanak yang terkorban kesan kelaparan kali ini. Angka ini tidak termasuk yang menderita sakit dan sedang menunggu maut. Biarpun mereka ditakdirkan berada di sebuah negara yang miskin dan kekurangan sumber makanan, namun mereka berhak untuk terus hidup sebagaimana kita. Oleh itu hanya bantuan kemanusiaan daripada dunia lain diharapkan untuk mengatasi masalah mereka.

Masalah kelaparan adalah masalah kemanusiaan sejagat. Ia sepatutnya menjadi isu penting dunia terutama kepada individu mahupun negara-negara yang makmur, yang bukan sahaja berlebihan sumber makanan tetapi lebih membazir kepada hal-hal yang tidak seharusnya diutamakan. Selama ini kita kesampingkan soal-soal survival manusia demi mengutamakan perbelanjaan besar untuk perang dan membunuh sesama manusia. Kita seolah-olah lupa bahawa membantu manusia untuk hidup adalah jauh lebih utama daripada berbelanja untuk persenjataan yang tujuannya tiada lain melainkan untuk membunuh sesama mansia.

Ya Allah, ya Allah, semoga Ramadhan ini dapat mengetuk hati nurani kami, memancarkan sinar cahaya daripada sukma murni kami, amin ..........!

Tuesday, August 2, 2011

Tafakkur Ramadhan: zikrulmaut memberi energi.


Hari ini sudah masuk hari ketiga puasa Ramadhan. Terasa sangat pantas waktu berlalu, kerana baru sahaja Ramadhan datang, kini ia mula pergi, sehari demi sehari dan akhirnya kita terhantar ke akhir Ramadhan. Apa pantasnya waktu itu hanya satu perasaan atau itulah kenyataan? Sebetulnya itulah kenyataan dari sebuah kehidupan. Hidup ini teramat pendek, perjalanannya sangat singkat. Tiba-tiba kita terasa sudah sangat jauh meninggalkan masa lalu, masa kanak-kanak, masa remaja, masa dewasa dan kini semakin mengenjak ke senja. Kita hanya terasa sudah jauh berjalan apabila kita melihat ke sisi, anak-anak sudah dewasa dan berkeluarga, cucu pula semakin bertambah, sebahagian rakan sebaya sudah kembali seorang demi seorang.

Di saat kita menyedari bahawa perjalanan kita sudah jauh, kita akan lebih fokus kepada destinasi yang semakin mendekat. Perjalanan hidup di dunia pasti berakhir dan akan berakhir, cuma kita tidak pasti dan tidak diberi isyarat bila ia tiba. Lebih jauh lagi perjalanan kita ke hadapan, lebih jauh daripada jarak yang telah ditinggalkan. Perjalanan ke hadapan tiada sempadan, hanya kita bakal melewati beberapa perhentian. Kematian hanyalah satu perhentian awal menuju kehidupan akhirat yang abadi. Kematian bukanlah berhentinya perjalanan, cuma ia memasuki fasa baru di alam barzakh sebelum tiba ke alam baru, hidup abadi sesudah kebangkitan semula (Yaumuddin).

Di saat ini kita tiada pilihan melainkan memaksa diri membuat pilihan, memberi keutamaan kepada apa sahaja yang patut dilakukan. Maka ramailah orang yang ke masjid dan surau sesudah bersara daripada kerjaya. Mereka mendekati lokasi-lokasi yang dapat mendekatkan diri kepada Tuhan Rabbul Jalil lantaran sedar bahawa akhirnya kita semua akan kembali kepada-Nya. Mahu atau tidak mahu, bersedia atau tidak, tiba ketikanya kita pasti kembali kepada-Nya. Oleh itu orang bijak akan memilih untuk kembali dengan rela, dengan redha, penuh sedia. Di saat ini keutamaan adalah mengisi waktu dengan amal mulia, amal ehsan, amal soleh kerana hanya itulah bekal terakhir yang perlu disiapkan.


Orang bijak akan selalu ingat kepada kematian. Zikrulmaut adalah antara sifat mahmudah yang perlu ditancap kuat di dalam hati. Zikrulmaut bukan bermakna meremehkan dunia dan kehidupan di sini. Malahan zikrulmaut membawa kita kepada kesedaran positif dan proaktif untuk memberi makna penuh kepada kehidupan duniawi. Oleh kerana dunia adalah perjalanan awal menuju akhirat, maka kehidupan ini tidak boleh diremehkan, tidak boleh disia-siakan. Setiap detik waktu di sini mesti diisikan dengan aktiviti atau amal yang bermakna dan bernilai tinggi. Ketika inilah kita akan sentiasa memberikan keutamaan kepada hanya nilai-nilai murni. Kita akan terus fokus ke hadapan kerana di hadapan adalah suatu kesempatan; sedangkan di belakang kita hanyalah sebuah kenangan yang kadang-kadang tidak membahagiakan kita. Masa lalu juga tidak akan memberikan kita kesempatan untuk mengulangi semula amal-amal lalu. Namun begitu masa lalu adalah sebuah pelajaran sangat berharga untuk masa depan sekiranya kita mampu mengolahnya menjadi sebuah pengalaman, sebuah pengajaran, sebuah keinsafan, sebuah taubat. Jadikanlah ia sebuah titik untuk memulakan sesuatu yang baru, lebih baik, lebih murni dari semalamnya.

Syukurlah apabila kita sampai kepada satu titik di mana kita merasa sangat rugi kerana usia kita sudah sangat banyak yang berlalu sedangkan kita merasa bekal kita masih sangat kurang. Kita mula beremosional mempersoal diri sendiri: “kenapa dulu aku tidak menjadi begini...... kenapa dulu aku tidak belajar ilmu-ilmu ini ......... mengapa tidak ....... andainya ...... alangkah baiknya kalau aku dulu ...”. Syukurlah kerana kita sudah berada di atas titik keinsafan yang benar. Ingatlah bahawa itulah emosi yang positif kerana kita benar-benar mulai menghayati makna ayat 1 dan 2 dari surah al-Asri: “demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian”. Sesudah melewati titik tersebut, kita pun menjadi “orang-orang yang beriman, dan beramal soleh, nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat manasihati supaya menetapi kesabaran”.


AlhamdulilLah, kita sudah mendapat energi baru untuk meneruskan perjalanan ini dengan lebih bertenaga, lebih yakin, lebih optimistik. Dengan emosi baru yang lebih dinamik, sentuhan-sentuhan spiritual itu memudahkan kita menelusuri jalan ini, yang kita sebut-sebut tak kurang 17 kali sehari semalam “Siratul Mustaqim”. Rasakan sepenuh perasaan bahawa kita kini adalah diri yang baru, jiwa baru, entiti baru. Rasakan secara emosional. Biarkan sentuhan-sentuhan di dimensi spiritual ini membuat kita menangis, tersedu-sedu. Biarkan air mata itu mengalir di pipi kita, biarkan ia membasahi wajah kita kerana sudah dijanjikan air mata keinsafan itu akan menjaga wajah kita daripada bahang panas di sana nanti.

Air mata keinsafan ini akan menjernihkan pandangan hidup kita (world view) atau tasawwur kita. Kita akan melihat dunia dari sudut pandangan yang akan sangat berbeza daripada pandangan masa lampau kita, apa lagi pandangan jahiliah kita. Kita tidak lagi akan membiarkan diri kita berada di kiri, sebaliknya memastikan sentiasa berada di kanan. Maknanya kita mula mengurangi kebiasaan menghitung, mengira, logika dan aktiviti otak kiri; sebaliknya akan lebih banyak merasa, beremosi (yang positif dan membina), berkreatif, berimajinasi, berinovasi dan semua aktiviti otak kanan. Kita juga perlu lebih banyak melayani hati daripada melayani akal, lebih banyak bertadabbur, bertafakkur, lebih memerhati daripada hanya melihat.

Ingatlah bahawa titik ini membangunkan ghairah baru kepada kehidupan dunia dengan suntikan energi zikrulmaut.