Friday, November 11, 2011

Fenomena 11.11.11


Ketika solat Asar di masjid tadi agak terkejut melihat ramai pasangan pengantin yang berakad nikah di masjid hari ini. Jumlah pasangan agak luar biasa ramai, seolah-olah ada pesta akad nikah beramai-ramai. Rupa-rupanya hari ini adalah 11.11.11 atau 11 November 2011. Kebetulan pula ia jatuh pada hari Jumaat.

Agaknya di masjid-masjide lain juga fenomena yang sama turut berlaku. Ramai pasangan muda memilih tarikh 11.11.11 untuk majlis akad nikah mereka. Tarikh khenduri mungkin boleh diatur pada tarikh lain. Apa yang penting dalam surat nikah atau sijil nikah mereka, akan tercatit tarikh yang mempunyai angka atau digit yang cantik 11.11.11. Kepada orang Melayu dan orang Islam yang tidak percaya kepada apa-apa khurafat pada angka atau fungsuinya, maka pemilihan tarikh hari ini hanyalah untuk mencatat kenang-kenangan pada 11.11.11 itu.

Kita tidak diajar untuk mempercayai keberkatan angka-angka atau mempercayai khurafat di sebaliknya. Contohnya ada orang yang mempercayai angka 4 dan 13 membawa sial, kerana pada kepercayaan setengah-setengah bangsa angka-angka itu memberi makna yang negatif. Namun begitu matematik memberikan angka-angka sebagai simbol kepada pelbagai makna. Nombor 1 membawa makna teratas atau terawal. Ketika kita mendapat nombor satu dalam kelas, bermakna kitalah paling top di kalangan rakan sekelas. Dalam kepimpinan, nombor 1 adalah kepunyaan pemimpin teratas, seperti presiden atau perdana menteri atau raja. Manakala nombor 2 pula akan merujuk kepada pembantu kanan mereka.


Kita belajar matematik untuk mengenal angka dan makna-makna daripada angka tersebut. Ketika ditanya orang: berapa pendapatan atau gaji kamu? Kita menjawab secara umum, 'adalah empat (4) angka'. Empat angka itu merujuk kepada ribuan RM. Begitu juga dengan 5 angka merujuk kepada puluhan ribu, manakala 7 angka merujuk kepada jutaan.

No comments:

Post a Comment