Friday, September 30, 2011

Nostalgia Sista dan Sahabat Ghufran.

Pada 25 September lalu, perjumpaan Idulfitri anjuran Koperasi Sahabat Ghufran telah diadakan di Cafe Ghufran, Masjid al-Ghufran, Pinggiran Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur. Koperasi Sahabat Ghufran adalah sebuah koperasi alumni Izzuddin Shah dan Raja Perempuan Taayah (Sista) yang berada di lembah Kelang dan sekitar Selangor. Ia baru ditubuhkan dan sudahpun didaftarkan dengan rasmi dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

Perjumpaan ini lebih penting daripada sekadar perjumpaan berhariraya, kerana ia telah menghimpun semula sekitar 40 orang alumni Sista dan ahli keluarga mereka. Perjumpaan ini menjadi medan melepaskan rindu dan mengimbau kembali nostalgia indah semasa belajar dahulu.

Pengerusi Koperasi, Dato' Dr Sahar Sidek adalah antara alumni paling senior. Beliau adalah pelajar kelas pertama 1959/60. Turut hadir ialah Dato' Rafei Mokhtar, Pengerusi Kopersai Sista, yang datang dari Ipoh. Selain itu dua orang bekas guru, Cikgu Jaafar dan cikgu hanafiah turut hadir.

Perjumpaan ini turut menemukan kami rakan-rakan alumni 1966-70. Saudara Ismail Basri dan Azizan Taib adalah dua orang kuat Koperasi. Selain mereka turut hadir Mohd Rashad Muhamad (Dato' Dr) kini President Multimedia Universiti, Dr Mokhtar Abu Bakar, pensyarah Fakulti Perubatan UKM, Nordin Ahmad, Imran, Khalil, Ishak Fahmi, Wahab Abdullah, Haji Mokhtar Ramli dan Dato' Murad Khalid. Selain beberapa orang yang masih bertugas, selebihnya sudah bersara.

Di usia begini, perjumpan dengan teman-teman sekolah begitu bermakna dan penuh nostalgia. Zaman persekolahan adalah zaman yang penuh dengan keceriaan dan semangat. Di sinilah tempat kita mengenal dunia, mengenal hidup dan tanggungjawab. Belajar di sebuah sekolah agama yang menekankan nilai-nilai dunia akhirat secara integratif, menjadikan kami orang-orang terdidik, terasuh dengan nilai-nilai murni.

Memandangkan sebahagian alumni Sista adalah bekas orang-orang profesional di pelbagai bidang termasuk pentadbiran, pendidikan, perbankan dan mereka pula kini mempunyai ruang waktu lapang; maka eloklah kita bersinergi menyumbangkan sesuatu yang bermakna kepada komuiniti kita dan juga masyarakat secara umumnya. Apabila ada cetusan idea untuk terlibat dalam bidang pendidikan, maka idea ini sangatlah idealistik dan munasabah. Memandangkan ramai kalangan alumni adalah bekas pendidik baik di sekolah mahupun di pusat pengajian tinggi, maka pengalaman ini sangat berharga untuk diterapkan ke arah merealisasikan idea di atas.

Trend semasa kini adalah pendidikan secara integrasi antara pendidikan agama dan profesional. Atau konsep podok (pesanteran) modern yang menekankan nilai-nilai agama di tahap penerapan dan penghayatan di level emosi dan spiritual.



Berdiri dari kiri: Hj Mokhtar Ramli, Afifi Ahmad, Dato' Dr Rashad Muhammad, Nordin Ahmad dan Hj Azizan Taib. Duduk dari kiri: Hj Ismail Basri, Dr Mokhtar Bakar dan Hj Khalil Musa. Gambar ehsan faebook Dr Mokhtar.

Saturday, September 10, 2011

Amerika, jangan lupa malapetaka ini.


Sepuluh tahun lalu pada tarikh ini 11 September (9/11), dunia digemparkan dengan peristiwa pengeboman menara berkembar World Trade Centre, di mana peristiwa tersebut telah mengubah wajah politik dunia. Amerika Syarikat dikejutkan dengan peristiwa tersebut, dan bermulalah sejarah permusuhan baru Amerika Syarikat terhadap orang Islam melalui label pengganas. Al-Qaeda muncul menjadi 'ancaman' baru kepada Amerika Syarikat, dan bahananya dunia Islam menjadi sasaran serangan 'lebih ganas' Amerika Syarikat sendiri. Bermula dengan Iraq, kemudian Afghanistan. Kini keganasan baru merebak ke negara-negara Islam, membawa masalah yang bertaliarus iaitu perpecahan dan perang saudara sesama umat Islam. Inilah 'kejayaan' Amerika Syarikat dalam usaha melawan orang Islam. Kini bahana perang saudara mula merebak ke Pakistan.

Walaupun Pemimpin Al-Qaeda, Osama Ladin telah dibunuh tentera Amerika, namun ketakutan Amerika kepada musuh-musuhnya masih belum hilang. Ketika menyambut ulangtahun kesepuluh runtuhan World Trade Centre hari ini, Amerika diganggu lagi oleh igauan ngeri apabila risikan mendapati akan terjadi lagi ancaman pengganas di kota-kota besar Amerika Syarikat. Selain itu kenangan terhadap peristiwa 10 tahun itu kembali mengimbau trauma lama.


Kita akan meyaksikan dari masa ke semasa ledakan, letupan bom dan senjata lain di mana sahaja kerana pada hakikatnya negara-negara besar dunia terutama Amerika Syarikat sendiri adalah penganjur perang. Mereka membangunkan industri pertahanan (industri perang) dengan penuh keangkuhan, kerana mereka yakin dengan kekuatan persenjataan, negara mereka akan selamat dari apa jua ancaman. Mereka juga mengeksport teknologi persenjataan ke negara-negara lain bagi tujuan bisnes dan juga strategi politik. Maka kita melihat proses peperangan, pergolakan di negara-negara kecil, termasuk negara-negara umat Islam, adalah satu proses yang dirancang dan dipaksakan, demi melariskan bisnes senjata mereka.

Oleh kerana mereka gemar bermain api, janganlah hairan andainya tangan mereka akan terbakar jua. Di samping itu meeka juga tidak patut melupakan bahawa kenagkuhan mereka adalah serupa dengan keangkuhan pemerintah zaman silam. Namrud dan Firaun juga dulunya pemerintah yang angkuh kerana kekuasaan dan kekayaan yang Tuhan kurniakan kepada meeka. Akhirnya mereka tumpas dan lenyap dalam lipatan sejarah. Kita sedang menyaksikan beberapa orang pemerintah zalim dan diktator di negara-negara Arab sedang jatuh, satu, satu. Hukum ini akan terus terjadi. Kezaliman pasti lenyap juga akhirnya.


Ribut pasir di bandaraya Phoneix, Arizona baru-baru ini.

Selain daripada ancaman yang Amerika takuti dari tindakbalas musuh-musuh yang mereka sendiri cipta, negara maju ini juga sedang terdedah kepada ancaman bencana alam, satu ancaman yang tidak mungkin dapat dilawan dengan kudrat manusia. Gempa bumi, banjir, ribut topan, kebakaran boleh terjadi bila-bila masa sahaja.

Monday, September 5, 2011

Salam Eid.


Idulfitri telahpun berlalu hampir seminggu. Masih belum terlewat untuk kami sekeluarga mengucapkan Selamat Idulfitri kepada semua. Semoga Idul Fitri kali membawa kita rahmat dan kebahagiaan sebenar.

Syawal membawa kita kembali kepada fitrah diri. Fitrah ialah keadaan atau kondisi diri yang suci bersih, umpama si anak kecil yang masih terpelihara fitrahnya. Bermakna setelah sebulan melalui proses tarbiah Ramadhan, kini kita dibawa kembali kepada kondisi fitrah. Sekurang-kurangnya kita dapat merasai perasaan qudus di tahap emosi dan spiritual kita.

Cabaran di hadapan ialah mengekalkan tahap fitrah diri dalam benuk istiqamah dan peningkatan taqwa. Sebelas bulan di hadapan adalah waktu yang boleh menjarakkan kita daripada apa yang kita telah nikmati sepanjang Ramadhan, kerana suasananya jauh berbeza dengan kequdusan Ramadhan. Sebulan Syawal ini pun kita sudah mula teruji. Puasa enam hari sunat Syawal pun tertangguh-tangguh kerana terlalu banyak jamuan rumah terbuka. Apa lagi orang Malaysia akan terus 'raya' selama sebulan. Sepanjang tempoh tersebut akan banyak rumah terbuka, pejabat terbuka dan pesta jamuan. Di sinilah ujian kesederhanaan kita sering kalah dengan pembaziran dan ria'. Kegembiraan kita pula berlebih-lebihan dengan pelbagai program hiburan di media elektronik.

Maaf zahir dan bathin ......