Wednesday, February 18, 2009

Fikir Sihat


Seminggu lalu saya ke Sabah, ke beberapa bandar di pantai barat Sabah seperti Kota Belud, Kundasang, Ranau, Keningau, Papar, Membakut, Beufort, Sipitang dan Lawas di Sarawak (bandar sempadan)Sabah. Setelah sekian lama tidak ke sana, saya mendapati bandar-bandar tersebut terus membangun. Di Keningau misalnya, beberapa bangunan baru telah beroperasi dengan pelbagai perniagaan. Sebuah supermarket baru sedang dibina. Kundasang masih mengekalkan kelestarian alam sekitar yang segar, menghijau dengan aktiviti pertanian penduduknya. Namun menurut penduduknya, sekarang ini hujan terlalu kerap menyebabkan aktiviti penanaman sayur agar tergendala. Penghasilan mudah rosak, bermakna pendapatan mereka juga terjejas.

Di Kota Kinabalu pembangunan terus rancak berjalan. Kompleks belibelah KK Timesquare sudah mula beroperasi. Di lokasi baru berhampiran Universiti Malaysia Sabah, sebuah pusat belibelah terbesar, One Borneo megah berdiri di kawasan pembangunan baru Alamesra. Beberapa buah hotel berbintang terdapat di sana. Nampaknya pembangunan Kota Kinabalu sudah mula meluas ke pinggir kota, mungkin kerana tanah di bandar sendiri sudah penuh. Kini pinggir lautan berhadapan Pulau Gaya mula ditambak untuk mendirikan beberapa buah kompleks perniagaan.

Di Putatan, sebuah kawasan komersil dan perumahan tidak jauh dari lapanganterbang, terdapat sebuah kedai kecil bernama Fikir Sihat. Kedainya sederhana kecil tetapi sewanya begitu tinggi. Kadar sewaan bangunan perniagaan dan juga kediaman di Kota Kinabalu begitu tinggi berbanding dengan bandar-bandar di Semenanjung. Harga bilik hotel juga melonjak, agak tinggi berbanding hotel setaraf di Kuala Lumpur.

Berbalik kepada kedai Fikir Sihat milik rakan lama saya, ia menyediakan jualan runcit produk-produk kesihatan daripada jenama Hi-Bloom dan juga beberapa jenis produk lokal termasuk madu lebah. Selain menawarkan produk-produk kesihatan, Fikir Sihat juga menawarkan khidmat pemeriksaan tahap kesihatan dan maklumat-maklumat berkaitan penjagaan kesihatan.

Fikir Sihat, satu nama, satu slogan dan satu konsep yang kelihatan ringkas, sederhana tetapi mempunyai pengertian yang sungguh bermakna dan mencabar pemikiran. Fikir, satu aktiviti akliah yang boleh menjana ilmu, maklumat atau informasi. Hari-hari orang menggunakan otaknya (fizikal) dan mindanya untuk berfikir. Anak-anak dari sekolah rendah sampai ke universiti mengasah minda mereka dengan berfikir secara saintifik. Namun apakah kita benar-benar mengamalkan aktiviti berfikir ini secara serius dan berkesan dalam kehidupan seharian?

Ramai orang tidak menghargai aktiviti berfikir. Mereka malas berfikir, tidak mahu menggunakan kelebihan otak yang dianugerahkan Tuhan. Berfikir adalah satu aktiviti otak yang menggunakan banyak tenaga. Semakin banyak digunakan otak kita akan semakin berkembang baik fizikal mahupun metafizikalnya. Dimensi otak manusia tersangat luas. Ia mempunyai keupayaan luar biasa, dengan sinergi hati dan minda, otak akan menjadi sangat dinamik, sehingga melangkaui alam nyata.

Keupayaan berfikirlah yang membolehkan kita hari ini menikmati pelbagai kemudahan teknologi yang membantu kita menjalani kehidupan dengan begitu mudah. Jarak komunikasi dan jarak fizikal menjadi sangat dekat. Kita boleh ke mana sahaja destinasi di seluruh dunia dalam tempoh beberapa jam kerana kita ada kemudahan kapalterbang. Kita boleh berbual, berkomunikasi dengan siapa sahaja di seluruh dunia melalui teknologi telekomunikasi moden yang sangat canggih. Kita boleh melayari informasi dari atas meja melalui sebuah komputer riba di mana jaringan komunikasi internet menjalar ke seluruh pelosok dunia. Lebih mengagumkan apabila internet membuka ruang siber seluas-luasnya dengan akses mudah dan murah ke seluruh ruang informasi di mana sahaja.

Bayangkan sekiranya saintis dan ahli teknologi sebelum ini tidak berfikir, tidak menyelidik, tidak mengkaji dan tidak membuat eksperimen, pastilah kita tidak dapat menikmati semua kemajuan ICT seperti hari ini. Tulisan ini tidak dapat anda baca dalam tempoh singkat, dengan hanya membuka lembaran-lemabaran window di komputer anda, sekiranya tiada orang yang memerah otaknya untuk mencipta perkakasan dan perisian komputer.

Ironinya apabila kita dihidangkan dengan segala kemudahan, menjadikan kita semakin selesa, dan keselesaan itu juga turut mengurangkan minat untuk berfikir. Contohnya, apabila kita disediakan dengan kemudahan mesin hitung (culculator), kita tidak lagi mahu bersusah payah mengira atau mengcongak menggunakan otak kita. Zaman dahulu di sekolah kita belajar mengira dengan menghafal rukun kira-kira 1 x 2 = 2. Latihan tersebut membolehkan otak kita mengira secara congak dalam tempoh singkat. hari ini keupayaan otak itu telah dipindahkan kepada mesin kira-kira.

Seandainya aaktiviti berfikir semakin hari semakin berkurangan, otak kita akan semakin tidak berfungsi. Teringat satu jenaka tentang otak orang (dalam teks jenaka ini otak orang Melayu). Di sebuah kedai barangan terpakai terdapat beberapa otak, antaranya otak orang Melayu, otak orang Jepun, otak orang Eropah dan otak orang Korea. Dari semua otak yang terdapat di situ, otak orang Melayu paling mahal harganya kerana ia masih baik, masih baru kerana ia tidak banyak digunakan. Sebaliknya otak orang Jepun, otak orang Eropah dan orang Korea murah kerana ia telah banyak digunakan.

Teks jenaka ini menjadi satu klise tentang otak orang Melayu. Apakah benar kita tidak menggunakan otak semaksimumnya? Hal ini tentulah begitu subjektif. Ada benar dan ada tidak benarnya, bergantung kepada sudut mana kita membuat persepsi terhadapnya. Keindahan puisi-puisi lama Melayu seperti pantun dan peribahasa menunjukkan keupayaan orang-orang Melayu dahulu kuat berfikir. Mereka menggunakan perumpamaan, pebandingan dan kiasan untuk menyatakan sesuatu kepada orang lain. Pembayang pada pantun Melayu menunjukkan betapa pencipta pantun begitu teliti berfikir tentang perbandingan antara perlambangan dari alam dengan maksud pantun.

Buah langsat kuning mencelah
Senduduk tidak berbunga lagi
Sudah dapat gading bertuah
Tanduk tidak berguna lagi.

Dalam pantun di atas baris-baris maksudnya juga ditampilkan dalam bentuk ibarat atau perbandingan, yang membawa maksud halus tersirat. Lihat juga pantun di bawah:

Mencari tempat mandi
Pertama teluk kedua pantai
Mencari tempat menjadi
Pertama elok kedua pandai.

Berfikir ada kaitan dengan aktiviti membaca. Membaca adalah aktiviti yang menajamkan otak. Membaca adalah aktiviti menerokai maklumat hasil pemikiran orang yang menulis teks-teks yang kita baca. Dengan membaca kita merangsang otak berkembang dengan jaringan maklumat yang dibawa masuk dan disimpan di otak. Maklumat tersebut menambah kebolehan kita memahami dan menganalisa sesuatu, di samping membantu meningkatkan daya berfikir dalam membuat apa-apa keputusan ketika kita memerlukannya. Istilah cerdik, pintar, pandai, bijaksana adalah merujuk kepada keupayaan otak dan minda seseorang membuat keputusan yang terbaik dalam sesuatu hal.

Apabila al-Quran turun membawa perintah (order) 'bacalah' atau Iqra', maka di sinilah letaknya kepentingan membaca kerana ia ada kaitan dengan aktiviti otak - berfikir. Al-Quran sendiri merupakan satu wujud (kalam) yang diturunkan Tuhan kepada seluruh manusia membawa mesej-mesej jelas supaya kita sentiasa mengimarahkan otak dengan aktiviti berfikir. Banyak sekali perkataan-perkataan yang membawa maksud berfikir disebut berulang-ulang kali dalam al-Quran. Ketika kita diperintah memerhatikan ayat-ayat atau tanda-tanda ciptaan Tuhan iaitu berupa alam ini, kita disarankan supaya berfikir tentangnya.

Tuhan mencipta alam ini penuh dengan mistri, tetapi ia merupakan satu cabaran kepada manusia untuk mengimarahkan otaknya berfikir bagi merungkai mistri tersebut. Kejadian hujan yang berasal daripada wap air yang diserap dari air di bumi dan di lautan. Air dalam bentuknya cecair adalah berat. Oleh itu ia berubah menjadi wap yang diserap cahaya mathari. Kerana wap itu ringan ia pun mampu naik ke atas (langit) menjadi kepulan-kepulan awan. Memandang kepulan awan menjadikan hati kita gembira dan juga cemas. Putih awan mengembirakan kerana ia indah dan meneduhkan. Tetapi apabila awan bertukar gelap dan hitam, hati kita menjadi cemas. Lebih-lebih lagi melihat awam hitam yang bergerak pantas, hati semakin cemas, mungkin ribut petir akan terjadi. Mendung hitam iu akhirnya turun kembali ke bumi dalam bentuk air hujan. Air itu yang menghidupkan kembali bumi yang kering kontang. Air itu menumbuhkan benih-benih tanaman, dengan izin Tuhan.

Al-Quran menyebut tentang peralihan siang malam sebagai tanda kebesaran Tuhan. Sains akhirnya menemui apa maksudnya malam dan siang berganti apabila mendapati bumi yang kita diami adalah sebuah glob yang bulat seperti bola , yang berpusing terus mengeliling orbitnya. Sains geologi pula mengesahkan betapa gunung-gunung adalah pasak yang mengukuhkan bumi yang kita diamai. Demikianlah kebenaran al-Quran.

Ayat-ayat al-Quran tentang sains sulit difahami sekiranya kita tidak mempunyai asas ilmu sains. Begitu juga tentang ayat-ayat mengenai kejadian manusia, tidak dapat difahami sekiranya kita tidak memahami sains biologi, embriologi atau ilmu perubatan. Al-Quran menerapkan konsep ulul-albab, iaitu golongan pemikir, saintis atau ilmuan yang beriman, sebagai orang-orang yang benar-benar memahami sistem alam dan keberadaan ini.

Marilah kita manfaatkan otak dan minda kita semaksimumnya dengan berfikir. Berfikirlah tentang apa sahaja asalkan natijahnya memberikan kita kemudahan atau solusi kepada segala permasalahan hidup ini. Berfikir tidak pernah bercanggah dengan takdir; malahan berfikir boleh mengubah takdir melalui tadbir/ikhtiar. Ingatlah tentang ingatan Tuhan: sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan kaum itu sendiri yang mengubahnya.

Berfikirlah tentang apapun, termasuk tentang sihat atau kesihatan. Fikir Sihat.

Gambar atas: aktiviti pemeriksaan kesihatan di Fikir Sihat.

No comments:

Post a Comment