Saturday, May 16, 2009

Perak, nostalgia 70han.


Perak kini menjadi terkenal dan hari-hari diberi liputan oleh media massa. Sebagai anak kelahiran negeri Perak, saya sentiasa mngikuti perkembangan di sana, biarpun sebahagian besar hayat saya adalah di Selangor. Sebetulnya hanya 16 tahun terawal dari hayat saya berada di Perak, iaitu dua tahun di kampung di Bukit Gantang, dan tiga tahun lagi di Ipoh semasa bersekolah di Sekolah Agama Izzuddin Shah (1966-1968).

Sekitar tahun 1970 hingga 1972, kembali semula ke kampung berkhidmat di Sekolah rakyat al-Fallah, kemudian ke Taiping bekerja sambil belajar. Ketika mengajar di sekolah rakyat di kampung, saya dibayar RM40.00 sebulan (gaji atau elaun atau saguhati saya tidak pasti). Yang penting dapat mengajar berkongsi sedikit ilmu yang ada dengan anak-anak kampung, adalah satu kepuasan. Di situ saya bersama rakan-rakan lain dapat membentuk anak-anak kampung berpidato, berbahas, bernasyid, sehingga beberapa orang pelajar kami waktu itu menjuarai pelbagai kategori pidato, mengaji di peringkat daerah dan negeri. Itulah kepuasan yang tidak dapat dilupakan sehingga kini. Si samping melatih mereka berpidato saya juga menyediakan teks pidato sehingga beberapa orang daripada mereka menjadi juara di peringkat negeri.

Selepas berkhidmat di sekolah rakyat di kampung tak sampai setahun, saya ke Taiping untuk bekerja. Waktu itu bekerja di percetakan iaitu Percetakan Rakyat di Jalan Asam Kumbang. Kisah bekerja di percetakan ini ditulis di dalam Blog DarAfif.blogspot.com. Di sini saya mula belajar melalui kehidupan sukar dengan berdikari. Dengan pendapatan tak seberapa, masih berazam untuk belajar mengikuti kurus Homeopathy di Semanggol.

Semasa menganggur, pelbagai usaha mencari kerja dilakukan tetapi tiada satupun yang dapat. Mohon kerja kerani tidak dapat. Pernah memohon sebagai Pegawai Tentera. Pernah dipanggil temuduga di Port Dickson. Seminggu di sana, akhirnya terpaksa pulang kerana tidak lulus ujian awal sebagai Kadet tentera. Azam untuk menjadi pegawai tentera rupanya dimakbulkan juga oleh Tuhan, apabila pada tahun 1981 saya ditauliahkan sebagai Lt Muda dalam Pasukan Askar Wataniah. Saya terus berkhidmat dalam Regimen Askar Wataniah selama 17 tahun dan terakhir memakai pangkat Kapten. Selama 17 tahun itu pelbagai kursus telah diikuti bagi melayakkan kenaikan pangkat. Berbulan-bulan menjalani latihan lasak di Pusat Latihan Askar Wataniah di Jalan Tambun, Ipoh. Walaupun ketika itu usia telah melepasai 30 tahun, namun azam dan semangat serta minat dengan kehidupan tentara membolehkan saya menjalani latihan dengan jayanya. Rupa-rupanya keazaman dan cita-cita sejak kecil hendak menjadi pegawai tentera tercapai juga sepuluh tahun setelah gagal ujian pegawai kadet di Port Dickson tahun 1971 dulu.

Pertemuan dengan al-Marhum Dr Dali Muin di Taiping membawa sejarah baru dalam kehidupan saya. Waktu itu beliau menjalankan operasi Pusat Rawatan Homeopathy di tingkat satu Bangunan Seri Larut. Pertemuan itu menjadikan saya begitu rapat dan terpengaruh dengan pandangan dan pemikiran beliau. Dr Dali adalah adik ipar dan juga murid kepada al-Marhum Dr Burhanuddin Helmi, seorang nasionalis dan tokoh politik tanahair. Sungguhpun saya sendiri tidak pernah berkesempatan bertemu muka dengan al-Marhum Dr Burhanuddin, namun melalui Dr Dali, saya merasa dekat dengan Dr. Burhanuddin kerana Dr Dali sering menceritakan kisah-kisah perjuangan beliau dengan abang iparnya itu. Saya pernah bertemu dengan anak Dr Burhanuddin, Shukri dan anak saudaranyanya. Saya juga agak rapat dengan isteri Dr Dali (adik Dr Burhanuddin), Kak Yati (Ustazah Norhayati).

Dr Dali membuka gerbang baru kepada saya, iaitu bidang perubatan Homeopathy. Sebagai seorang yang meminati ilmu, saya tidak mensia-siakan kesempatan untuk mengenal dan mendalami ilmu baru ini. Saya mendaftar untuk mengikuti kursus Homeopathy di Ehya al-Syarif Gunung Semanggol. Malangnya saya berdepan dengan masalah kewangan untuk biaya kursus dan juga biaya hidup. Waktu itu tiada pekerjaan tetap. Selain pernah bekerja di percetakan, saya turut membantu emak saudara (al-Marhum Aliah Sheikh Juned Talla) berniaga kain di bazar Seri Larut. Setelah mengikuti kursus beberapa siri, saya akhirnya kecundang kerana tiada kewangan untuk meneruskannya. Tiada siapa bersedia membantu, keluarga pula susah. Akhirnya kursus Homeopathy tergendala begitu sahaja.

Sungguhpun kursus asas formal tak dapat diteruskan, namun saya sentiasa dapat berdamping dengan Dr Dali. Klinik tempat rawatannya, menjadi tempat saya bertandang, berbual, berbincang dan mendengar cerita-cerita Dr. Dali. Saya begitu kagum dengan pengetahuannya terutama semangat nasionalisme dan politiknya. Ternyata beliau mempunyai latarbelakang perjuangan politik sejak zaman sebelum merdeka, terutama di Singapura. Oleh kerana saya adalah seorang murid yang sering bertemu dan bersedia mendengar dan belajar daripadanya, saya sedar Dr. Dali begitu mengambil berat tentang saya.

Saya sangat berminat dengan pengetahuan Homeopathy. Saya beruntung kerana ketika ke Klinik Dr Dali, banyak buku-buku Homeopathy kepunyaan Dr Burhanuddin di simpan di sini. Saya adalah antara orang yang sering memanfaatkan buku-buku berharga ini. Di samping membaca saya juga turut mengemas dan menjaga perpustakaan kecil pusaka Dr Burhanuddin ini. Sebagai seorang kaki buku, saya sedar khazanah ilmu Homeopathy ada di sini. Malangnya waktu itu bahasa Inggeris saya tidaklah begitu bagus, menyebabkan khazanah itu tidak dapat digali dengan lancar.

Sungguhpun saya tidak pernah menamatkan pengetahuan Homeopathy secara formal, namun pengetahuan tentang falsafah Homeopathy saya garap dengan membaca dan belajar dari buku dan dari Dr. Dali. Hasilnya saya menulis tentang bidang Homeopathy. Antara rencana penting tentangnya pernah tersiar dalam Majalah Dewan Masyarakat sekitar tahun 1973. Di samping itu tersiar juga dalam majalah Mastika dan Panji Islam. Dengan menulis tentang Homeopathy saya berharap dapat memperkenalkan bidang perubatan ini kepada masyarakat, kerana waktu itu orang belum begitu faham dengan kaedah rawatan Homeopathy.

Pergaulan dengan Dr Dali membawa saya ke satu dimensi lain di mana saya didedahkan kepada kelompok orang-orang perjuangan di Taiping. Melalui Dr Dali, saya diketemukan dengan beberapa orang tokoh politik dan pejuang PAS tempatan seperti Cikgu Nan (Adnan), Cikgu Hawari (semuanya sudah meninggal), Fazdlan Yahya, Tuan Guru Haji Mat Saman Kati dan lain-lain. Rata-rata mereka adalah penyokong parti PAS, manakala Fadzlan Yahya adalah orang kuat DAP. Dr Dali sendiri adalah orang kuat parti PAS. Saya pernah bertemu dan berkenalan dengan Ustaz Hassan Shukri melalui Dr Dali ketika bertemu di kliniknya. Walaupun saya paling muda (dalam kumpulan ini), tetapi syukurlah kerana saya diterima untuk bersama mereka. Saya turut dibawa terlibat dalam pelbagai aktiviti persatuan seperti Persatuan Sejarah Taiping, Persatuan Kebudayaan Sinaran Sukma.

Saya begitu rapat dengan Fadzlan Yahya dan beliau sering mengajak saya mengikuti program DAP yang diikutinya. Beliau diberi kedudukan penting dalam politik DAP Taiping dan juga negeri Perak. Beliau pernah bertanding dan menjadi ADUN Pasir Berdamar beberapa penggal. Beliau pernah disebut akan menjadi Menteri Besar Perak sekiranya DAP memenangi kerusi DUN Negeri Perak suatu waktu dahulu. Saya begitu rapat dengan Fadzlan bukan saja sebagai sahabat tetapi sudah macam keluarga. Saya mengenali keluarga beliau dan sering ke rumahnya. Cuma apabila saya ke Universiti petengahan tahun 70han, kami sudah jarang ketemu dan sekali pernah ketemu di satu majlis di universiti. Ketika itu beliau menjadi ahli panel forum mewakili DAP.

Walaupun begitu rapat dengan Fadzlan saya tidak mudah dipengaruhinya untuk ikut dalam DAP. Saya menolak ideanya kerana saya berasa begitu asing dengan politik DAP ketika itu (awal 70han). Fadzlan pernah berkata kepada saya, "aku sertai DAP untuk cari makan". Betul juga kata-katanya. Saya tahu ketika kehidupan sulit (beliau sudah berkeluarga) waktu itu, hanya rakan-rakan Cina yang membantu beliau. Beliau juga pernah mengajar di Sekolah Cina di Taiping. Sebagai seorang anak muda bersemangat dan mempunyai cita-cita politik, beliau pernah memberitahu saya, beliau kecewa kerana parti Melayu tidak memberinya tempat, sebab itu dia ikut parti Cina (DAP). Saya kira berbaloi juga dia menyertai DAP kerana beliau diberi tempat yang baik dan pernah menduduki pelbagai jawatan penting dalam parti. Bersama Fadzlan, saya menguruskan penerbitan Majalah Susila. Hanya satu kali penerbitan sahaja dapat diusahakan kerana masalah kewangan. Saya menyediakan kulit luarnya dan menguruskan percetakannya. Kulit luarnya adalah wajah Perdana Menteri ketika itu, Tun Hussein Onn, yang saya lukis sendiri.

Kisah Fadzlan sudah tidak kedengaran lagi. Entah di mana dia sekarang, tiada khabar lagi dan kami tidak pernah lagi bertemu dan berhubung. Saya hanya menyimpan kenangan lama bersama beliau di Taiping dulu.

Hubungan dengan Dr Dali terputus agak lama kerana saya ke Pulau Pinang belajar di Maktab Perguruan Sri Pinang dua tahun (1973-74). Kemudian berkhidmat sebagai guru dan masuk Universiti tahun 1976-79. Sekitar awal tahun 80han, Tuhan menemukan kami kembali di Kuala Lumpur. Waktu itu kami berdua kebetulan tinggal berhampiran. Klinik beliau di Jalan Raja Abdullah Kg Baru manakala saya tinggal di Jalan Raja Mahmud, Kg Baru juga. Setelah bertemu semula, hubungan kami kembali rapat. Beliau sering berkunjung ke rumah saya dan saya juga sering mengunjunginya di kliniknya.

Hubungan kami menarik saya kembali kepada Homeopathy. Saya diajak aktif membantu Persatuan Homeopathy Malaysia, ketika itu dipimpin oleh Dr Dali dan rakan-rakannya. Saya diberi tugas baru iaitu mengendalikan penerbitan Majalah Homeopathy. Oleh kerana Dr Dali tahu kebolehan saya di bidang penerbitan, beliau pandai memujuk saya untuk membantu beliau dalam menerbitkan majalah tersebut. Bahan sudah ada, iklan juga ada, cuma tiada orang yang hendak menguruskan penerbitannya.

Akhirnya saya beri kesanggupan dan mulalah menerbitkan majalah Homeopathy. Bersama dalam Lembaga Pengarang ialah Pak Atondra (Mohd Nordin Abdul Rahman, kini Dato'). Dua kali Majalah Homeopathy diterbitkan. Beberapa rencana disediakan oleh Dr Dali sendiri, sementara saya juga turut menyumbang rencana. Kejayaan penerbitan Majalah Homeopathy ini sangat bermakna kepada diri saya, dan Dr Dali sendiri, di samping ia merupakan satu pencapaian persatuan juga.

Di penghujung tahun 80han, saya mendengar khabar Dr Dali sudah tiada lagi. Beliau meninggal akibat sakit (saya tak pasti sakit apa). Ketika itu kami sudah tiada di Kg Baru kerana berpindah ke Serdang, jadi jarang sudah bertemu beliau. Klinik beliau diteruskan oleh rakan lama saya, Dr Tajuddin Abdullah. Klinik itu tidak lagi di Jalan Raja Abdullah, tetapi berpindah ke Jalan Raja Mahmud, berdepan Masjid Jamek Kg Baru.

No comments:

Post a Comment