Wednesday, September 9, 2009

Tafakkur hujung Ramadhan.


Menjelang 10 hari terakhir merupakan kemuncak aktiviti berRamadhan ('asyara awakhir). Orang sedang merencana aktiviti qiamullail (berjaga malam untuk ibadah) bagi meraih sebesar-besar ganjaran lumayan yang dianugerahkan Tuhan melalui janji-Nya "Malam qadar itu lebih baik daripada seribu bulan". Ramadhan adalah bulan paling istimewa daripada 12 bulan, manakala Malam Qadar adalah detik teristimewa dalam Ramadhan. Bermakna Malam Qadar adalah detik-detik paling berharga dalam kehidupan. Nilainya melebihi daripada seribu bulan, sedangkan 1000 bulan menyamai 83.333 tahun. Hayat kita umat akhir zaman jarang-jarang mencecah 83 tahun.

Qiamullail adalah satu pendekatan untuk memaksimumkan malam-malam terakhir Ramadhan dengan aktiviti ubudiah dengan acara-acara imarah Ramadhan. Antaranya solat tarawikh/witir, solat-solat sunat lainnya, membaca al-Quran, tazkirah (majlis ilmu), tadarrus, zikr, berdoa, iktikaf dan lain-lain. Menghidupkan malam-malam dengan ibadah adalah untuk mencari keridhaan Allah SWT, mendekatkan diri (bertaqarrub) kepada-Nya.

Qiamullail ini menjadi mudah kepada mereka yang biasa melakukannya di waktu-waktu lain, kerana sudah menjadi kebiasaan. Sebaliknya ia adalah aktiviti yang mencabar kepada mereka yang belum membiasakan diri. Kata orang alah bisa tegal biasa. Kenikmatan bangun malam bertaqarrub menjadikan kita bukan sekadar merasa senang kepadanya, tetapi juga sangat-sangat merinduinya. Terlalu banyak manfaat dapat diraih daripada amalan mulia ini, baik dari segi fizikal, emosi dan spiritualnya. Ia satu pendekatan holisitik untuk menjana ciri-ciri insan Rabbani. Membangunkan sakhsiah insan Rabbani adalah matlamat kita semua, dan itulah idealisme umat.

Malam Qadar masih menyimpan seribu satu rahsia tentang malam. Malam adalah satu fenomena alam, yang banyak disebut di dalam al-Quran. Malahan ada surah yang dinamakan dengan al-Lail (malam). Malam disebut sebagai satu ciptaan yang mempunyai bermacam signifikan kepada manusia. Malam dikaitkan dengan sifat gelapnya. Malam dikaitkan dengan putaran masa di mana dalam sehari ada siang dan malamnya. Malam membolehkan kita menyaksikan langit indah dengan kehadiran bulan dan bintang-bintang. Manakala bintang-bintang pula menjadi petunjuk di mana kajian astronomi dan astrologi mendedahkan pelbagai rahsianya. Tanpa malam, kita tidak akan melihat bulan dan bintang. Malam dijadikan untuk membolehkan manusia, juga haiwan dan tumbuh-tumbuhan berehat dan tidur. Sulit untuk kita menjawab bagaimana kita akan hidup tanpa adanya malam. (Tuhan memberikan kita persolan dalam al-Quran, maksudnya: bagaimana kalau Kami jadikan siang berterusan (tanpa adanya malam)? Bagaimana kita hendak menjawabnya?


(malam sebagai satu fenomena penuh rahsia dan mistri)

Malam sebagai satu fenomena alami melambangkan fitrah alam yang dicipta berasaskan ketetapan takdir sehingga ia menjadi Sunnah - sunnatulLah. Dengan sunnah itu kita lalui kehidupan tanpa berdaya mengubahnya. Di sinilah agungnya Tuhan sebagai al-Qadir. Sunnah ini membayangkan betapa alam begitu patuh (Islam) kepada ketetapan-ketetapan yang telah diciptakan. Malangnya manusia tidak mempunyai ciri-ciri patuh dan tunduk (sami'na wa atha'na) sedemikian. Alangkah baiknya jika manusia mengikuti resmi alam, patuh dan taat, tanpa membantah, pastilah manusia selamat sejahtera.

Secara fitrahnya, malam adalah ruang untuk mencari kerehatan. Ramai orang melihat pendekatan rehat ini dari sudut yang berbeza. Rata-rata orang memahami aktiviti rehat ialah dengan tidur, maka orang akan menggunakan malam untuk tidur. Sebahagian orang menggunakan malam untuk berehat di pusat-pusat hiburan, kelab malam, pusat karaoke dengan hiburan, arak dan peleseran. Itulah makna rehat dari pendekatan hedonisme. Sebahagian lagi menghayati makna rehat dengan bersolat, berzikir, bertafakkur dan bertaqarrub kepada Tuhan. Golongan terakhir ini menikmati waktu malam dengan berehat mencari ketenangan dan kedamaian bersama Tuhan.

No comments:

Post a Comment