Seminggu lagi, pada 5 Mei 2013 kita akan mengundi untuk memilih pemimpin negara, pemimpin negeri, pemimpin di kawasan parlimen dan dewan undangan negeri. Setiap lima tahun sekali, kita rakyat Malaysia diberi hak dan tanggungjawab untuk membuat pilihan, memilih siapa yang layak untuk memimpin negara dan memimpin kita.
Sebagai seorang rakyat yang bertanggungjawab dan tahu akan hak-haknya, kita perlu melaksanakan tanggungjawab kita mengundi. Ia hak setiap orang rakyat, bukan hak ahli-ahli politik atau ahli kepada parti-parti politik semata-mata. Orang yang menjadi ahli kepada parti-parti politik akan mengundi atas dasar memenangkan pemimpin dan parti yang disertainya. Sementara itu kepada orang yang tidak menjadi ahli kepada mana-mana parti politik, dia mengundi untuk memilih orang yang layak menjadi pemimpin negara.
Sebagai seorang Islam, kita diingatkan bahawa pilihanraya adalah tempat dan waktunya kita memilih orang yang terbaik di kalangan kita untuk menjadi pemimpin. Oleh itu kita berkewajiban memilih calon-calon yang bertanding untuk menjadi pemimpin. Pemilihan itu mestilah diasaskan kepada nilai-nilai yang diredhai oleh Islam. Kita diingatkan oleh ulamak supaya jangan salah pilih pemimpin, kerana kesannya bukan sekadar di dunia tetapi sampai ke akhirat. Kita akan ditanya nanti, kenapa kita memilih si anu menjadi pemimpin.
Berdasarkan senario politik semasa di Malaysia, kita mempunyai beberapa pilihan, dan kita wajib membuat pilihan dengan penuh bijaksana dan berteraskan prinsip-prinsip agama kita. Sungguhpun ada orang berpendapat politik bukanlah hal-hal akidah; tetapi akidah mempunyai panduan yang jelas dalam berpolitik. Berpolitik dengan akidah atau berasaskan akidah, adalah bermaksud melaksanakan sistem politik dengan dipandu oleh akidah.
Di satu pihak lain, orang melihat politik adalah hal yang tidak berkait dengan akidah, kerana politik adalah urusan hidup seharian. Maka golongan ini akan melihat orang yang berpolitik mengikut acuan akidah sebagai ekstrim dan ada yang sanggup menuduh orang ini menggunakan agama. Tanggapan ini timbul akibat salah sudut pandang mereka. Mereka melihat politik sebagai hal yang terpisah daripada agama. Mungkin agama-agama lain tiada prinsip politik, tetapi dalam Islam, soal kepimpinan/politik adalah urusan yang mesti dilandaskan kepada agama.
Kita orang Islam mempunyai prinsip khusus dalam hal kepimpinan ini. Pemimpin yang dipilih mestilah seorang yang mempunyai kualiti selari dengan prinsip Islam. Sekiranya kita terlalu taksub kepada satu-satu parti tanpa asas yang benar, sehingga kita memilih pemimpin tidak lagi berteraskan prinsip Islam, maka kesannya sangat buruk. Kita melihat sendiri bagaimana terjadi ke atas pemimpin-pemimpin yang tidak menghayati prinsip Islam. Mereka menyalahgunakan kuasa, mengeksploitasi kedudukan, melakukan rasuah, membolot kekayaan negara untuk kepentingan peribadi dan keluarga. Mereka sanggup melakukan apa sahaja dengan menghalalkan cara demi mempertahankan kedudukan mereka.
Kini masanya kita memperbetulkan tanggapan kita kepada politik dan pilihanraya. Kepada orang-orang politik, khususnya orang-orang Islam, sedarlah bahawa tindak-tanduk politik dan keputusan politik kita akan dipertanggungjawabkan di akhirat nanti. Ketika kita mengabaikan prinsip-prinsip politik Islam, kita akan bertanggungjawab kepada Tuhan di akhirat nanti kerana tidak menyokong golongan yang memperjuangkan Islam, apa lagi kalau kita menentang pula mereka ini.
Ingatlah bagaimana keadaan negara di masa depan, kiranya kita salah pilih pemimpin. Kiranya kita memilih pemimpin-pemimpin yang telahpun terbukti korup, penipu, tidak berintegriti, mementingkan diri, keluarga dan kroni, materialistik; maka kita yang menempah bala, dan akan terus menanggung penindasan berterusan. Oleh itu pilihlah pemimpin-pemimpin yang telah menunjukkan teladan kepimpinan yang baik dan ikhlas. Sejak lima tahun yang lalu, kita telahpun mempunyai barisan pemimpin yang baik di beberapa buah negeri. MB dan KM negeri-negeri tersebut telah membuktikan mereka boleh hidup sederhana tanpa bermewah-mewah; maknanya kita sudah ada model pemimpin yang baik. Lihatlah gaya hidup MB Kelantan, biarpun sudah memerintah puluhan tahun, tapi hidupnya terus sederhana dan zuhud.
No comments:
Post a Comment