Saturday, April 25, 2009
Semporana 2: Haji Miskai, Lepa dan budaya
Haji Miskai dari Kampung Tunggulangan, Semporna adalah seorang penduduk kampung biasa di Semporna. Namun begitu dalam satu sisi lain Haji Miskai bukanlah seorang biasa kerana beliau mempunyai bakat, kebolehan, kreativiti dan visinya tersendiri. Dalam konteks orang Bajau, haji Miskai adalah seorang Bajau yang sebenarnya sedang mengukir nama sebagai budayawan Bajau yang patut dibangga dan dihargai.
Ketika berbual dengan beliau semasa Pesta Lepa-lepa di Semporna baru-baru ini, saya berjaya mengorek sedikit sebanyak latarbelakang Haji Miskai yang begitu sinonim dengan Lepa (perahu orang Bajau). Beliau telah menjadi juara untuk kesekian kalinya dalam Pesta Lepa-lepa baru-baru ini dengan membawa pulang RM 5 000.00 wang tunai. Hadiah itu mungkin tidaklah seberapa sekiranya dibandingkan dengan usaha kerasnya membuat dan mengukir cantik Lepa yang membawa tuah kepadanya. Menurutnya kos membuat Lepa memakan ribuan Ringgit kerana ia dibuat daripada kayu berkualiti. Itu tidak termasuk upah membuat dan mengukirnya, yang memakan masa tiga bulan.
Dari keceriaan Haji Miskai mengungkapkan pengalamannya mencipta Lepa, ternyata beliau seorang budayawan yang berbakat dan bervisi. Ketika mula berminat dengan Lepa dulu, Haji Miskai mungkin tidak terfikir beliau akan terlibat begitu serius dan komited dengan Lepa. Kepada beliau, Lepa adalah satu warisan dari ayahnya. Beliau mewarisi seni cipta dan ukir Lepa daripada orang tuanya. Warisan mencipta dan membina perahu merupakan satu traidisi orang Bajau kerana perahu adalah kenderaan utama mereka. kehidupan di pulau memerlukan setiap orang memiliki perahu untuk membolehkan mereka pergi ke mana-mana dan juga untuk mencari rezeki di laut.
Berpuluh tahun sudah Haji Miskai membuat Lepa. Paling tidak setiap tahun beliau akan mengambil masa berbulan-bulan membuat Lepa untuk menyertai pesta Lepa-lepa yang kini memasuki tahun ke-16. Namun menurut Haji Miskai, beliau telah menyertai pertandingan Lepa ini hampir 20 tahun, dan beliau begitu bangga sepanjang tempoh tersebut Lepa ciptaan beliau terus mendapat tempat pertama.
Akhir-akhir ini Lepa ciptaan Haji Miskai yang memenangi pertandingan akan ditawarkan oleh Agensi Kerajaan dan juga orang perseorangan untuk dibeli. Menurut beliau, tahun lalu, Lepanya dibeli RM15 000.00. Pada tahun ini pun sudah ada orang yang melamar Lepanya. Beliau mungkin melepaskan Lepanya jika tawarannya bagus. Oleh kerana Lepa Haji Miskai mempunyai status tersendiri apabila sentiasa menjuara pertandingan Lepa di Pesta Lepa-lepa, maka Lepanya mudah mendapat pembeli yang mampu membayar harga yang bagus. Inilah tuah Lepa Haji Miskai.
Menurut Haji Miskai sebahagian Lepa yang dibeli darinya akan digunakan pula dalam pertandingan Lepa akan datang. Bermakna beberapa buah Lepa yang memasuki pertandingan adalah hasil ciptaan tangan Haji Mikasi sendiri. Sebab itu, menurut Haji Miskai, beliau terpaksa memerah otak mencari idea-idea baru setiap tahun untuk memberikan sentuhan baru dan lebih menarik daripada ciptaan-ciptaan lalu.
Semangat Lepa begitu kuat dan mendalam pada Haji Miskai. Semangat yang sama turut dihayati oleh ahli keluarganya. Isterinya turut serta dalam setiap pertandingan. Beliau berperanan bermain alat muzik yang mengiringi persembahan tarian. Sebuah Lepa yang menyertai pertandingan akan dkendalikan oleh beberapa orang ahli yang mempunyai peranan masing-masing. Tiga empat orang akan mengendalikan alatan muzik, seorang penari dan seorang pengemudi. Biasanya tuan punya Lepa akan berdiri di depan Lepanya.
Daripada Pesta Lepa-lepa ini dapat dilihat betapa ianya bukan sekadar pertandingan perahu Bajau, tetapi juga turut menonjolkan budaya dan kesenian tradisional suku Bajau. Peserta termasuk tuanpunya Lepa akan mengenakan pakaian tradisi Bajau dengan busana khusus bermanik dan berwarna-warni, lengkap dengan pakaian kepalanya (tengkolok bagi lelaki dan mahkota bagi wanita). Mereka juga mengalun muzik tradisi mereka melalui pukulan kulintangan, gendang dan goong diikuti oleh tarian tradisi Bajau yang digayakan oleh penari yang lengkap dengan busana tradisionalnya.
Semangat Lepa seperti yang dipamerkan oleh watak Haji Miskai dan rakan-rakannya akan terus mewarnai keunikan budaya Bajau, khususnya di Semporna. Selagi kehidupan mereka masih bertaut dengan laut, Lepa akan terus bermakna kepada mereka. Walaupun teknologi telah merobah fungsi Lepa tradisi dengan penggunaan enjin dan bot fiber; namun Lepa akan terus dihargai kerana keunikan dan ciri-ciri budayanya.
Kemahiran mengukir orang Bajau sebagaimana yang ada pada Haji Miskai adalah satu warisan kesenian Malaysia yang sangat perlu dipelihara. Tidak ramai lagi orang-orang Mlaysia yang mempunyai kemahiran mengukir kayu. Selain di Kelantan dan Trengganu, tidak ramai pengukir yang masih wujud. Oleh itu warisan kesenian ukiran Bajau ini adalah antara yang perlu dipelihara dan diwariskan kepada generasi baru agar ia terus kekal.
Gambar atas: Haji Miskai berdiri di atas Lepanya. Gambar bawah: penulis di dalam Lepa Haji Miskai, bawah: pemain-pemain muzik yang mengiringi Lepa Haji Miskai.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment