Namun dari satu sisi, saya sungguh kecewa dengan perkembangan ini. Ada orang melihat ia fenomena biasa untuk tujuan hiburan semata-mata. Tetapi saya melihat kesan sampingan yang tidak sihat dan merosakkan minda penonton, terutama generasi muda, anak-anak yang belum mengerti apa-apa. Stesen TV, penerbit, penulis dan pelakon pastinya dapat wang daripada usaha mereka, tetapi penonton dapat apa? Selain hiburan mereka tidak memperolehi apa-apa kerana nilai informasi atau ilmu dalamnya masih boleh kita persoalkan. Apakah cerita itu ada unsur pendidikan? atau ada nilai moral? Kadang-kadang kita melihat sesuatu yang lucu dan mengelirukan apabila ada selitan maksud ayat al-Quran diselitkan dalam cerita-cerita karut yang ditayangkan. Apakah itu cukup untuk membuktikan drama mereka ada nilai pendidikan?
Cerita yang tidak berasaskan maklumat yang benar (kerana mana ada cerita hantu yang ada fakta dan angka yang saintifik?), maka semua cerita itu adalah rekaan, hasil dengar-dengar, warisan kisah turun temurun kepercayaan animisme Melayu. Apakah nilai animisme begini yang hendak dijajakan dan hendak diserap ke dalam minda generasi ICT? terutama orang-orang Melayu?
Dari sudut agama pula, apa nilai agama yang ada dalam cerita-cerita ini? Suatu yang tidak diasaskan kepada fakta dan ilmu, ia teryata tidak langsung Islamik. Janganlah diselit-selit dengan ayat-ayat al-Quran untuk menghalalkan amalan karut animisme itu. Islam tidak sekali-kali akan berkompromi dengan sikap animistik kerana ia adalah berlandaskan akidah yang sahih sedangkan animisme adalah khurafat dan syirik.
Inilah dilema orang Melayu terutama mereka yang berada di industri hiburan. Carilah topik-tpopik bernilai dan segmen hiburan yang ada nilai ilmu dan membina untuk dibuat drama atau filem. Sampai bila kalian hendak hanyut dan dihanyutkan dengan kekarutan atau apakah kalian hendak membawa penonton khususnya masyarakat Melayu ke belakang?
Media perlu melihat jauh ke hadapan, menyajikan filem/drama fiksi yang berasaskan sains dan kajian-kajian saintifik. Banyak bahan ilmu begini, tetapi pastilah ianya memerlukan banyak usaha penyelidikan, kajian dan pembacaan. Kerja begini tidak disukai kebanyakan orang termasuk orang di media.
Bila lagi orang Melayu hendak berubah, maju ke hadapan? Kita senang masyarakat kita dibuai dengan khayalan, tahyul dan fiksyen negatif, di samping minat bertelagah terus menerus dalam politik kepartaian. Dalam politik orang Melayu kelihatan menonjol dan menjadi hero; namun pada hakikatnya kita semakin kehilangan kuasa. Kita bertelagah sesama sendiri kerana setiap pihak merasakan dirinya yang benar, dan merekalah pejuang Melayu. Apalah makna kehebatan politik kalau nantinya kita ibarat menang sorak kampung tergadai, atau menjadi itik di air mati kehausan, ayam di kepuk mati kelaparan.

Hantu ada di sini atau ada dalam fikiran manusia?
No comments:
Post a Comment