Saturday, June 20, 2009

Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain


Atas inisiatif sahabat-sahabat lama sekampung, Shukri Taib (Amat), Mahyuddin Tajul Idris, Abd Rashid Nordin, Wan Othman Wan Ismail, Ahmad Mouthie Teridi dan lain-lain, sebahagian besar anak-anak Kg Berchat dapat dikumpulkan dalam sebuah majlis pertemuan di Victoria Institution, malam 20 Jun lalu. Mahyuddin telah menyumbangkan perbelanjaan makan malam (masakan istimewa nasi minyak Berchat). Terima kasih atas sumbangan dan kami doakan semoga Allah murahkan lagi rezekimu.

Beberapa tahun lalu satu perjumpaan anak-anak Berchat yang tinggal di luar kampung telah diadakan di surau Kg Berchat pada hari raya kedua, dan berjaya menemukan anak-anak Berchat yang berada di perantauan. Namun begitu pertemuan 20 Jun 09 merupakan pertemuan anak-anak Berchat yang tinggal di Kuala Lumpur dan Lembah Kelang. Sudah tiba masanya kita mempertautkan kembali hubungan dan silaturrahmi sesama kita, memandangkan kita berada jauh dari kampung laman. Sebagai perantau, kita sudahpun menjadi pemastautin di Kuala Lumpur dan Lembah Kelang (termasuk Selangor) kerana sudah berpuluh tahun kita berada di sini.

Hasrat dan keinginan bersama untuk kembali merapatkan hubungan dan silaturrahmi sesama kita adalah sentimen positif dan patut disuburkan, kerana kita berasal dari sebuah kampung kecil yang sama, berkawan dan bermain sejak kecil bersama-sama, bersekolah, belajar mengaji bersama, berguru kepada guru dan ustaz yang sama, sebahagian kita mempunyai talian darah dan hubungan kekeluargaan, cuma jauh dan dekat yang berbeza. Hubungan ini tentulah jalinan yang penuh emosional dan nostalgik, dan patut kita kembang dan majukan menjadi program-program yang memberikan manfaat kepada semua.

AlhamdulilLah, dalam pertemuan tersebut sudah tercetus idea dan cdangan supaya kita menubuhkan sebuah tabung khairat atau kebajikan yang dapat digunakan untuk membantu sesama kita ketika berlaku kematian dan musibah (kemalangan, sakit dan sebagainya). Apabila Hj Mouthie memulakan usaha memungut sumbangan pada majlis tersebut, hasilnya lebih RM700.00 dapat dipungut. Terima kasih kepada semua yang menyumbang. Wang ini akan menjadi dana permulaan kepada tabung kita nanti.

Sebuah Jawatankuasa akan dibentuk dalam sedikit masa lagi melalui Jawatankuasa sementara (tak rasmi) yang dipersetujui pada majlis tersebut. Hj Hasanuddin (Pakcik Hassan) mengesyorkan supaya kita semua memberikan perhatian kepada pendidikan anak-anak kita. Beliau sebagai bekas Timbalan Ketua Pengarah MARA, mempunyai pengalaman dalam bidang pendidikan, dan beliau bersedia membantu kita semua. Marilah kita manfaatkan idea dan khidmat beliau ini.

Pertemuan ini dirasakan sangat bermakna, kerana masing-masing dari kita masih mempunyai rasa rindu (nostalgia) kepada kampung laman di mana kita dilahirkan, membesar dan menjadi 'orang'. Berchat adalah tempat tumpah darah dan tempat bersemadi orang-orang tua kita yang kita sayangi. Ibarat kata pepatah: tempat jatuh lagi di kenag, inikan pula tempat bermain. Tidak mungkin kita dapat melupakan tempat tumpah darah kita, apa lagi tempat kita bermain waktu kecil, bersenda gurau, belajar mengaji di sekolah (Sekolah Hulu Cheh kini Sek. Sultan Abdullah), petangnya di sekolah Al-Falah (sekolah agama) manakala waktu malam pula belajar mengaji al-Quran. Sungguhpun kita sudah keluar jauh merantau dan bermukim di tempat lain, tetapi kata orang ada waktunya kita akan menjadi belut pulang ke lumpur atau bagai gagak pulang ke benua.

Pertemuan ini permulaan kepada hasrat kita untuk berpadu. Akiviti-aktivi lain sesudah ini akan menjadi pemula kepara eratnya perpaduan tersebut. Marilah kita sama-sama menyumbang kepada usaha merapatkan hubungan ini. Sumbangan kita bukanlah semata-mata dalam bentuk wang ringgit. Apa yang lebih penting ialah penyertaan kita. Kehadiran kita dalam sebarang akiviti yang akan dirancang itu adalah sumbangan yang terpenting. Kehadiran kita menunjukkan komitmen kita. Bagi mereka yang ada rezeki lebih boleh menyumbang kewangan. Mereka yang mempunyai ilmu, pengalaman dan kemahiran, sumbangkan ilmu, pengalaman dan kemahiran. Setiap orang daripada kita mempunyai kelebihan dan keistimewaan masing-masing. Oleh itu marilah kita manfaatkan kelebihan dan keistimewaan tersebut secara bersama, seperti kata bidalan: yang pekak memasang meriam, yang buta meniup lesung, yang capek menghjalau ayam. Maknanya janganlah kita merasa rendah diri, kerana setiap kekurangan kita juga ada manfaatnya sekiranya kita dapat menggunakannya sebaik mungkin.

Gambar atas: Bergambar ramai selepas majlis.

No comments:

Post a Comment