Thursday, November 26, 2009

Salam Idul Adha


Allahu Akbar, ALlahu Akbar, Allahu Akbar. Bermula hari ini hingga hari ketiga belas Zulhijjah, selama empat hari kita akan bertakbir, mengagungkan kebesaran Allah SWT sebanyak-banyaknya. Kita melakukannya kerana ALlah SWT mewmerintah kita berbuat demikian,agar kita benar-benar dapat menghayati makna kebesaran dan keagungan Tuhan.

Idul Adha atrau Hariraya Kurban atau disebut juga Hariraya Haji adalah detik-detik waktu terpenting dalam hidup seorang Muslim. Ketika menunaikan ibadah Haji, pada hari ini kita sudah berada di bumi Mina, sebuah lokasi penting penuh sejarah. Di Mina pada waktu ini jutaan umat Islam sedang bermabit iaitu berada pada sebahagian malam sebagai sebahagian daripada Wajib Haji. Pada hari Raya ini para jemaah mula melontar jumrah Akabah, kemudian bercukur. Sesudah itu mereka bertahlul (tahlul awal), iaitu mula menanggalkan pakaian ihram. Sekiranya mereka pulang ke Mekah mengerjakan tawaf dan saii, maka lengkaplah ibadah Haji mereka.

Pada hari ini para jemaah melakukan ibadah korban di Mina di mana mereka menyembelihkan kambing atau jenis-jenis ternakan seumpamanya. Ibadah korban adalah ibadah yang menjadi sunnah Nabi Ibrahim as, di mana baginda telah diperintahkan Allah untuk menyembelih anaknya dalam mimpinya. Apabila diceritakan mimpi tersebut kepada anaknya Ismail as, dan meminta pendapatnya; lantas nabi Ismail as merelakan dirinya disembelih kerana ia adalah perintah Tuhan. Dengan penuh keikhlasan kedua-dua beranak bergerak ke Mina di mana penyembelihan akan dilakukan. Ketika pisau hendak diletakkan ke leher nabi Ismail, Malaikat turun membawa perintah Allah supaya Ismail as digantikan dengan seekor kibas. Maka bermulalah tradisi yang menjadi sunnah tersebut hingga ke hari ini.



Kisah mimpi nabi Ibrahim menyembelih anaknya dirakamkan dalam al-Quran. Mimpi itu adalah satu ujian yang sangat berat kepada kedua nabi ini. Mereka sungguh tabah dan ikhlas mematuhi apa sahaja perintah Tuhan, tanpa ada langsung protes. Kerana keimanan mereka yang sungguh tinggi, segala ujian dan cobaan Tuhan dilalui dengan penuh tawakkal. Akhirnya kita melihat semua itu adalah ujian Tuhan belaka, untuk melihat keikhlasan isi hati kedua utusan-Nya.

Sungguhpun kisah penyembelihan Ismail as telah menjadi sejarah, namun ia adalah sebuah sejarah yang penuh pengajaran kepada kita semua. Sekiranya nabi Ibrahim as bersedia mengorbankan anak kesayangannya yang satu-satunya maka apalah sangat pengorbanan seekor kambing yang kita lakukan.

Pengajaran penting kepada kita ialah untuk menilai sejauh mnana kita telah dan sedang berkorban untuk Tuhan? inilah persoalannya.

1 comment:

  1. salam tuan..

    Saya minta izin copy & paste karya tuan berKaitan dgn Al Quran penyembuh penyakit... utk jadi bahan rujukan kawan2 dalam Face book. Saya masih belum publish karya itu sehingga dapat kebenaran dari tuan.. Jika tuan izinkan, tolong email saya di ce51ha@yahoo.com.

    Wasalam

    ReplyDelete