Wednesday, June 29, 2011

Mi'raj dalam hidup Muslim


27 Rejab dikenang oleh umat Islam setiap tahun sebagai tarikh penting perostiwa Isra' dan Mi'raj Nabi Muhammad SAW. Peristiwa Isra' adalah mengenai perjalanan Nabi SAW di waktu malam dari Mekah ke Baitul Maqdis, sebagaimana dirakamkan oleh al-Quran melalui Surah al-Isra'. Sementara itu Mi'raj pula adalah perjalanan baginda dari dunia ke langit, menuju Sidratul Muntaha.

Isra' dan Mi'raj bukanlah sekadar sebuah peristiwa sejarah yang hanya untuk dikenang dan diulang-ulang kisahnya sekali setahun; tetapi ia adalah peristiwa yang sewajarnya dihayati sepanjang masa kerana ia sangat rapat dengan kehidupan kita di sini dan di sana nanti (dunia dan akhirat).

Antara perkara utama pesan agung daripada Isra' dan Mi'raj ialah tanggungjawab solat. Agungnya solat adalah kerana ia adalah satu manifestasi hubungan manusia dengan Allah SWT, Rabbul Jalil, Rabbul Alamin. Semasa Mi'raj, Rasulullah SAW menerima perintah solat, langsung daripada Tuhan. Di sinilah terserlah keagungan solat kerana ia dianugerah terus daripada Tuhan kepada manusia melalui Rasulullah SAW ketika di Sidratul Muntaha. Dilihat dari sisi ini, solat adalah ibadah terpenting kerana perintahnya tidak disampaikan di bumi, tetapi di langit. Sedangkan perintah lain dibawa turun oleh Jibril AS ke bumi.

Di sinilah unik dan istimewanya solat kepada Muslim. Maka apabila dikatakan solat itu mi'raj orang beriman, maka ia menggambarkan hakikat solat sebenar. Solat bukan sekadar amalan ritual tetapi ia adalah satu mekanism unik untuk membolehkan manusia berhubung (berkomunikasi) dengan Tuhannya. Solat adalah satu anugerah agung daripada ALlah SWT kepada manusia untuk membolehkan mereka naik ke langit (secara maknawinya meningkat ke ktinggian dirinya) mengadap Allah SWT. Biarpun jasad di bumi keika solat tetapi hati dan jiwa kita berada di depan Rabbul Jalil, melafazkan doa-doa (rukun qauli) serta menggerakkan jasad fizikal mengikut gerak berdiri, rukuk, sujud dan seterusnya. Inilah keistimewaan anugerah solat, ia satu kesempatan menemui Tuhan setiap hari, sekurang-kurangnya lima kali.


Untuk menghayati makna mi'raj lebih jauh, tentulah memerlukan penghayatan solat itu sendiri. Semakin khusu', semakin dalam, semakin jauh kita mengembara ke langit diri, maka semakin arif kita tentangnya. Hal ini tentulah bukan perbicaraan zahir, tetapi ia adalah bahagian jiwa daripada solat. Dan ia hanya dapat dikecapi ketika kita bersolat jauh melampaui tuntutan fiqhiahnya.

Isra' dan Mi'raj juga mengingatkan Muslimin kepada Baitul Maqdis, salah sebuah kota suci umat Islam di mana di dalamnya terdapat sebuah masjid antara masjid-masjid yang dimuliakan dalam Islam. Masjidil Aqsa disebut dalam al-Quran, dan nilai solat di dalamnya adalah 500 kali ganda berbanding tempat lain, kecuali Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi.

Sudah pastilah hati kita selamanya tidak akan senang melihat nasib Baitul Maqdis, nasib Masjidil Aqsa dan saudara-saudara Muslim di sana yang sedang ditindas, dizalimi oleh Yahudi Zionis LaknatulLah. Apakah sumbangan kita untuk membantu mereka? Dengan wang ringgit, dengan tenaga dan bagi yang tidak terdaya hanya mengirim doa agar nasib mereka semakin terbela. Inilah pesan jihad untuk umat Islam. Ingat Isra', ingatlah Baitul Maqdis, dan ingatlah tanggungjawab jihad.

No comments:

Post a Comment