Thursday, July 7, 2011

Suatu yang mudah namun sangat berkah


Banyak hal dalam hidup ini yang kita remehkan kerana kita melihatkan ia suatu yang sangat simple (mudah), maka kita kesampingkannya. Kita sering merasakan hanya sesuatu yang besar yang kita perlu berikan perhatian kerana ia kelihatan hebat, agung, mempesona dan menarik perhatian kita. Setiap hari di jalanan, tumpuan kita hanya kepada kenderaan yang lebih besar dari kenderaan kita. Kita begitu waspada, berhati-hati, penuh respect terhadap kereta mewah di depan kita. Mungkin kerana kita kagum, takut, tertarik atau terpesona dengan jenama mewah kereta tersebut. Kita akan terus berfikir pemiliknya mestilah seorang yang kaya, banyak wang dan hebat. Inilah perasaan kita.

Dalam waktu yang sama kita kurang sedar di sebelah kita atau di hadapan kita sebuah kereta biasa, yang mungkin lebih tua, lebih murah harganya daripada kereta kita, atau sebuah motosikal kapcai, atau mungkin sebuah basikal di sisi kita. Tanpa sedar kita meremehkan kehadiran mereka ini kerana wujudnya satu tanggapan sedia ada dalam kepala kita bahawa pemandu kereta ini, motosikal atau basikal ini adalah orang biasa, tidak penting (VIP) dan tidak perlukan perhatian kita.

Situasi ini adalah tabiat biasa kebanyakan kita. Bak kata orang, kita sering memandang bintang di langit, lupa rumput di bumi. Apakah ianya satu tabiat yang bagus untuk kita? Pastilah ianya tidak bagus kerana tabiat begini yang menjadikan kita kurang bersyukur atau tidak bersyukur. Tidak bersyukur menjadikan perasaan kita sentiasa diselubungi rasa tidak puas hati, rasa kecewa, rasa cemburu, rendah diri dan paling teruk lagi kiranya ia menumbuhkan pula rasa dengki dan dendam kepada orang lain. Dari sinilah pula tumbuhnya sifat-sifat mazmumah (buruk) yang lain, yang mendorong seseorang sanggup melakukan tipu muslihat, adu bomba, inaya, rasuah, malah perbuatan jenyah; demi untuk melayani perasaan tidak puas hatinya.

Awasilah perangkap emosi negatif ini. Ia hanya wujud untuk mengembirakan dan memuaskan ego diri kita. Keegoan itu tidak akan puas sampai bila-bila pun kerana memang fitrahnya ego itu adalah nafsu syahwah kita, yang tidak pernah merasai puas. Ingatlah kepada maksud sebuah hadis, di mana Nabi SAW meningatkan kita tentang empat perkara, yang satu daripadanya ialah tentang nafsu syahwah kita yang tidak pernah puas. (Aku berlindung dengan-Mu Tuhan daripada empat hal: hati yang tidak khusu', doa yang tidak dimakbulkan, nafsu syahwah yang tidak pernah kenyang, dan ilmu yang tidak bermanfaat.)

Satu hal yang mudah kita lakukan ialah biasakan diri memandang ke bawah. Biasalah ketika berkereta kita memandang mereka yang bermotosikal. Ketika kita bermotosikal kita memandang kepada mereka yang berbasikal. Ketika kita hanya berbasikal, pandanglah orang-orang yang hanya berjalan kaki. ketika kita masih boleh berjalan kaki, pandanglah orang-orang yang terpaksa berkerusi roda atau bertongkat. Ketika kita masih lagi boleh berjalan biarpun dengan bertongkat, pandanglah orang-orang yang terbaring lumpuh, langsung tidak boleh berjalan.

Di sinilah kita akan bertemu dengan rasa syukur. Syukur adalah siatusi di mana emosi kita merasa sangat tersentuh, sangat insaf, sangat sedar tentang apa yang ada pada kita. Di saat itu nilai sesuatu yang kita miliki menjadi sangat tinggi. Ketika tiada kasut untuk dipakai, ketika itu sebuah terompah buruk yang robek pun menjadi sangat berharga. Demikianlah rasa syukur.


Oleh itu ketika hari hujan, ketika kita terpaksa keluar untuk satu temujanji penting, tiada kereta, hanya sebuah motosikal, tiada pula baju hujan. Hati kita akan
mengeluh 'aduh', mulut akan mengomel 'apalah malangngnya hari ini, hujan pula ...". Itulah letusan-letusan rasa kecewa yang lahir. Resah itu hanya akan menambah derita hati kita.

Namun suatu hal yang mudah dapat kita lakukan. Lafazkan alhamduliLlah kerana hujan turun. Ingatkan diri bahawa hujan adalah rahmat Tuhan yang sangat besar. Ingatlah ketika kita merasakan kita 'tidak mahu' hujan turun waktu itu, namun berapa ramai lagi orang yang yang menunggu-nunggu saat ini saat hujan turun kerana mereka telah kekeringan sejak sekian lama. Lihatlah pohon-pohon di sisi kita, yang begitu memerlukan air. Dengan melakukan hal yang mudah ini, hati kita tetap tenteram, tetap yakin bahawa hujan tetap rahmat biarpun ada kalanya ia melambatkan sedikit temujanji kita. Syukurilah hujan itu. Kesyukuran itu menghantar kita ke satu daerah yang bernama kedamaian.

No comments:

Post a Comment