Friday, September 21, 2012

MERAIH CINTA AL-KHALIQ, sebuah karya terbaru.

Setelah sekian lama menanti lahirnya karya baru ke pasaran, maka selesailah usaha pihak penerbit, Karya Bestari melahirkan buku mutakhir saya, MERAIH CINTA AL-KHALIQ (MCaK).

Terima kasih kepada team Karya Bestari yang sungguh komited untuk menerbitkan buku ini dan beberapa buah buku lain, insyaAllah. Buku MCaK ini bukanlah sebuah karya terbaru, kerana ia dihasilkan bertahun-tahun lalu. Cuma ia sebuah buku terbaru saya yang diterbitkan. Sebetulnya masih banyak naskah buku baru yang telah disiapkan. Namun ia masih belum menjadi buku selagi ia tidak diterbitkan.

Mencari penerbit untuk menerbitkan buku bukanlah usaha yang senang. Rasa saya menulis buku lebih senang lagi, kerana akhir-akhir ini setiap bulan saya mampu menghasil sebuah naskah. Namun mendapatkan penerbit adalah perkara yang memeningkan. Mendapatkan sebuah penerbit yang sesuai dengan kita, sesuai dengan buku kita tidaklah mudah.

Ada penerbit yang ada nama, mereka agak pemilih. Mereka lebih suka menerbitkan buku-buku yang menggunakan nama dan wajah selebriti (malahan buku itu ditulis oleh editor bukan penulis). Penerbit begini tidak menilai karya tetapi memikirkan populariti selebriti yang dapat melariskan buku mereka. Kalau anda bukan selebriti, tidak mudah anda menerbitkan buku dengan mereka. Mereka tidak memilih karya tetapi memilih nama dan wajah yang sedia popular. Strategi penerbit begini menjadi. Memang buku mereka meletup.

Namun di sebaliknya wujud 'kemunafikan' dalam industri buku. Pembaca dikelirukan dengan cover bergambar besar wajah selebriti tetapi karya sebenar adalah buah tangan orang lain. Kini menjadi trend beberapa penerbit yang sanggup melakukan hal ini demi fulus.

Ketika rakaman promo untuk TV al-Hijrah.

Buku MCaK akan memasuki pasaran seminggu dua lagi. Ia sedang giat dipromosikan oleh penerbit. Baru-baru ini telah diadakan rakaman promo untuk TV Al-Hijrah. Saya sangat berharap buku mutakhir ini dapat memberi impak kepada pasaran buku, kerana kejayaan naskah-naskah terbaru akan banyak bergantung kepada penerimaan pembaca kepada buku ini.

MCaK sudah dipromo dalam fb Karya Bestari. InsyaAllah melalui usaha promosi serius penerbit, buku ini akan mudah menempuh cabaran pasaran. Buku MEMBINA IMPIAN sebelum ini yang diterbitkan oleh PTS Millenia diulangcetak. Saya mengharap hal yang sama akan berlaku ke atas buku MCaK ini, insyaAllah.

No comments:

Post a Comment