Saturday, January 16, 2010

Haiti, lagi pelajaran baru untuk kita.


Mari kita letakkan diri kita dalam keadaan orang-orang di Haiti yang sedang berdepan dengan trauma dahsyat akibat kejadian gempa Rabu lalu. Yang hidup bersyukur namun dalam syukur mereka berdepan dengan suatu keadaan yang sukar hendak digambarkan. Kehilangan saudara mara, ahli keluarga, rakan taulan, jiran tetangga, hilang harta benda. Kesempitan hidup di Haiti menjadi bertambah parah dengan kejadian gempa pada 7.0 magnitude ini.

Sebagimana di Acheh pada tahun 2004, situasi di sini juga sama, seperti kiamat kecil telah terjadi. Di depan mata hanyalah kesan runtuhan konkrit, bangunan tinggi dan rendah, struktur binaan, rekahan jalanraya, dan segala-galanya rebah ke bumi. Goncangan dahsyat itu telah merebahkan segalanya. Puluhan ribu, malah ada disebut mencecah ratusan ribu jiwa terkorban. Bayangkan begitu banyak mayat bergelimpangan dan masih banyak berada di bawah timbunan runtuhan dan yang tertimbus. Masa terus berjalan, sehari, dua hari, tiga hari dan hari-hari yang sedang melewati akan meninggalkan kesan berganda di mana mayat-mayat ini akan mula rosak, berbau dan akan mengundang kuaman dan bakteria yang akan membawa penyakit.


Orang-orang di sini sudah bagaikan kehilangan waras akibat trauma dan bagai mimpi sedang berusaha memulihkan kembali ingatan. Kejadian umpama mimpi itu adalah satu mimpi ngeri, bukan mimpi indah! Amat perit melayani mimpi ini, tetapi situasi di depan mata kini bukan sekadar mimpi, tetapi adalah realiti. Mayat-mayat bergelimpangan, dan mereka adalah sebahagiannya adalah darah daging sendiri, ahli keluarga sendiri, rakan-rakan, jiran tetangga. Tetapi bagaimana hendak menguruskan semua ini tanpa bantuan dari luar. Dalam trauma sebahagian yang hidup juga dalam keadaan trauma, kesakitan akibat kecederaan malah sebahagian tidak dapat melakukan apa-apa pun.

MasyaAllah. Mereka sedang menangisi suratan, menangisi takdir. Tetapa siapa yang dapat menghalang takdir Tuhan daripada berlaku? Apabila sudah sampai ketikanya ajal sesuatu umat, ia pun berlaku, tanpa dilewatkan sesaatpun atau ditangguhkan. SubhanaLlah. Benarlah janji-janji-Mu, malangnya kami di bumi ini sering lupa dan mudah dilupakan.

Sunday, January 10, 2010

Isu yang lebih besar.


Waktu ini masyarakat Malaysia sedang kecoh dengan beberapa insiden membaling bom dan kerja jahat merosakkan rumah ibadat, gereja dan juga surau. Semuanya bermula daripada reaksi masyarakat Islam yang begitu sensitif tentang isu penggunaan nama Allah oleh pertubuhan Kristian dalam penerbitan mereka. Isu penggunaan nama Allah telahpun diharamkan oleh KDN tetapi pihak gereja membawanya ke mahkamah. terakhir mahkamah memberi kemenangan kepada pihak gereja, membenarkan meeka menggunakannya. Akibat keputusan mahkamah itu telah menaikkan kemarahan rata-rata umat Islam yang tidak boleh menerimanya.

Inilah isu semasa, yang sedang panas. Namun diharapkan rasional akan menguasai jiwa orang Malaysia agar terhindar segala impak buruk daripada isu ini. Perbuatan merosakkan rumah ibadat adalah kerja orang jahat, bukan kerja orang yang beragama. Ini sudah pasti, kerana orang Islam khususnya dilarang keras melakukan apa sahaja kerosakan, apa lagi merosakkan rumah ibadat, biarpun rumah ibadat agama lain. Kita masih belum mengetahui siapa pelakunya, namun perbuatan itu tentulah memberikan kesan sentimen tidak sihat di kalangan pihak-pihak yang terlibat dalam isu ini. Sedikit sebanyak rasa masam (sour) telah wujud.

Inilah realiti Malaysia, realiti rakyat Malaysia yang bersifat majmuk. Kemajmukan dalam pelbagai sudut baik suku kaum, etnik, budaya, kepercayaan dan cara hidup. Sungguhpun pelbagai pendekatan diambil untuk menyatukan rakyat Malaysia termasuk slogan mutakhir 1 Malaysia, pada hakikatnya ia tidak mampu menafikan realiti kemajmukan ini. Maka terimalah semua berbezaan dan kepelbagaian yang wujud. Sungguhpun ada waktunya kita akan bertembung dengan hal-hal sensitif terutama melibatkan isu agama dan kepercayaan, namun kebijaksanaan dan sikap tasammuh yang dapat menghindarkan kita daripada terjebak ke dalam krisis atau konflik sebagaimana pernah terjadi pada tahun 1969 dulu.


Kita sedang melalui tahap-tahap perubahan di mana masyarakat beragama sudah mula membukakan diri mereka dan menyesuaikan diri dengan persekitaran semasa. Dulu Bible hanya ditulis dalam Bahasa Inggeris. tetapi hari ini sudah ada Bible dalam bahasa Malaysia, bahasa Indonesia, kerana sebahagian penganut Kristian tidak boleh berbahasa Inggeris. Ini antara latar yang membawa kepada isu di atas. Selebihnya di Indonesia isu begini tidak timbul kerana sifat terbuka masyarakat di sana. Kristian menggunakan pelbagai istilah yang biasanya digunakan oleh orang Islam termasuk kitab, Tuhan Yang Maha Esa dan lain-lain. Pengaruh ini mungkin juga menular ke Malaysia.

Secara umumnya golongan spiritual akan mengambil sikap terbuka, kerana pada hakikatnya Tuhan kita hanya satu, iaitu Allah. Walaupun apa agama yang mereka anuti, hatta mereka yang tidak beragama sekalipun, tuhan mereka hanya Dia Yang Esa, bukan selainnya. Cuma agama-agama selain Islam menyalahi prinsip tauhid apabila menyengutukan Tuhan dengan makhluk, menghadirkan perantara dan sebagainya.

Apa yang penting orang Islam perlu mengambil teladan terbaik, iaitu kembali kepada Islam, kembali kepada ALlah SWT. Perbaiki mutu atau kualiti Islam kita, iman kita, ehsan kita. Kembali melihat ke diri sendiri, ke dalam keluarga sendiri, ke dalam masyarakat sendiri. Banyak lagi kelemahan dan ancaman dari dalam yang patutnya menjadikan kita lebih sensitif. Isu dadah, sesat (ajaran sesat bertopeng agama), khurafat (permobohan, kepercayaan kaurt pada hantu, jin, mistri), kebejatan moral, kelonggaran syariat, perpecahan, kejahilan, jenayah (membuang/membunuh janin dan bayi) dan macam-macam lagi kelemahan umat Islam adalah antara urusan besar umat Islam waktu ini. Seandainya kita mempunyai benteng kukuh, kita tidak bimbang ancaman dari luar, insyaAllah.

Friday, January 8, 2010

Malap benarkah nurani insani?


(pembunuhan bayi menjadi-jadi)
Beberapa hari lalu, berita di media berkisar tragedi pembunuhan empat sekeluarga di Gemencih Negeri Sembilan. Akhbar melaporkan pembunuhan disyaki dilakukan oleh ahli keluarga sendiri yang mana motifnya masih belum diketahui. Dalam tempoh waktu singkat pihak polis telah dapat menangkap tertuduh dan ditahan reman untuk siasatan.

Apapun motifnya, pembunuhan empat orang sekeluarga, termasuk seorang yang putus kepala adalah satu peristiwa pembunuhan ngeri, yang amat mengejutkan masyarakat. Tanpa mengambil kira apa pun motifnya, pembunuhan sebegini tidak dijangkakan berlaku. Namun ia telah pun terjadi.

Amat menyedihkan kerana ia terjadi dalam keluarga orang Melayu, beragama Islam. Tertuduh pula seorang yang disebut oleh ahli keluarganya sebagai 'anak yang baik' dan berpendidikan pula. Maka apakah pelajaran yang kita boleh ambil daripada peristiwa begini?

Pembunuhan banyak terjadi sebagaimana dilaporkan oleh media massa. Pembunuhan termasuk pembunuhan kejam dilakukan dengan motif rompakan, penculikan, balas dendam, hutang atau disebabkan oleh gangguan emosi seperti penagihan dadah, hilang kewarasan atau sakit jiwa. Tak kurang pula kejadian pembunuhan yang dilakukan atas dorongan amalan karut seperti khurafat, perbomohan atau pemujaan syaitan.

Selain daripada faktor jenayah, pembunuhan seperti kejadian di atas agak mengejutkan dan sulit juga mengesan motifnya. Umumnya pembunuhan terjadi adalah akibat tindakan balas seperti pergaduhan atau mempertahankan diri ketika diserang dan sebagainya. Selain itu faktornya adalah emosi. Apabila seorang dalam keadaan tidak waras kerana tekanan emosi, dia boleh melakukan pembunuhan. Contohnya beberapa kejadian pembunuhan di atas jalanraya adalah kesan daripada emosi amarah yang melampaui sehingga mencetuskan tindakan kejam mencederakan dan membunuh mangsa. Emosi marah yang tidak terkawal adalah pencetus ketidakwarasan yang membawa kepada tindakan ganas luar biasa. Ia boleh jadi didorong oleh kesan tindakbalas spontan, atau dicetuskan oleh kebencian, dendam yang telah lama membara. Biasanya orang yang memiliki personaliti begini mempunyai latarbelakang dan persekitaran masa lampau yang buruk.

Walau apapun hujah psikologi, satu fakta nyata adalah manusia hilang waras, hilang pertimbangan, hilang rasa belas kasihan, rasa kasih pabila dirinya telah dikuasai anasir ketiga, iaitu syaitan. Syaitan adalah musuh nombor satu manusia yang kerjanya menghasut, merosakkan emosi manusia melalui emosi marah, benci, dendam, kecewa dan emosi-emosi negatif lainnya.

Al-Quran mencatatkan kisah pembunuhan awal yang terjadi di antara Qabil dan Habil, dua orang anak Nabi Adam as. Qabil membunuh adiknya Habil kerana rasa cemburu dan dengki kepada adiknya. Syaitan menghasut Qabil melakukan pertumpahan darah, maka terjadilah jenayah pembunuhan terawal di bumi.

Tragedi pembunuhan dan pertumpahan darah terus menerus terjadi sepanjang sejarah, hinggaalah ke hari kiamat. Manusia sememangnya cenderung melakukan jenayah ini, sehingga di skala lebih besar pembunuhan terus dilakukan dengan motif peperangan, penjajahan, penguasaan politik dan perebutan kuasa. Ini yang terjadi kini, di mana setiap hari berita melaporkan puluhan, ratusan orang mati akibat ledakan bom, bom kereta dan serangan roket. Di negara-negara yang sedang bergolak akibat penjajahan, peperangan saudara dan konflik politik, pembunuhan terjadi setiap hari, setiap jam.


(nurani insan telah gersang dari rasa cinta?)
MasyaAllah, inilah realiti kehidupan manusia di bumi. Tiada kuasa apapun yang dapat menghentikannya, kerana suratannya manusia cenderung mengikuti langkah syaitan melakukan kerosakan dan menumpahkan darah di bumi. Penyesalan datang kemudian, setelah fikiran kembali waras. Namun sudah terlambat kerana pembunuhan sudah terjadi.
Hukuman gantung sampai mati, hukuman tembak, pancung atau mati atas kerusi elekterik tidak pernah menakutkan manusia untuk terus membunuh sesama sendiri.

Di manalah kasih sayayang, di manalah belas kasihan, di manalah rasa kemanusiaan? Sudah malap benarkah nurani insani?

Wednesday, December 30, 2009

lagi-lagi pesta tahun baru ...


Esok tahunn baru 2010. Baru dua minggu lalu kita menyambut awal Muharram, tahun baru Hijriah 1431. Apalah maknanya untuk terlalu ghairah menunggu detik 12 tengah malam menyambut kedatangan tahun baru? Apakah kita patut terlalu gembira menunggu kedatangan tahun baru?

Sewajarnya kita sedih setiap datangnya tahun baru, kerana kita sebenarnya telah kehilangan usia setahun. Maknanya usia kita bukan bertambah panjang, sebaliknya semakin pendek. Hayat kita semakin dekat ke penghujung. Itulah hakikatnya.

Budaya menyambut tahun baru yang keterlaluan yang kita amalkan di Malaysia ini budaya siapa? Apa faedahnya dan apa manfaatnya. Sambutan dengan pesta dan perayaan meriah, diisi dengan budaya hedonisme, bukanlah caranya kita orang-orang Islam. Malangnya yang paling ramai mengunjungi pesta-pesta dan perayaan ini adalah kita orang Melayu (orang Islam). Tdak sedar lagikah kita bahawa selama ini kita menghayati tradisi menyambut tahun baru yang bukan tradisi kita. Kita telah menghabiskan masa, mensia-siakan waktu, menghabis belanja hanya untuk berseronok dan melayani selera dan nafsu dengan aktiviti melalaikan.


Salahnya kerana pemimpin kita (orang Melayu/orang Islam) yang merelakan pesta-pesta begini diadakan. Malahan ia disokong dengan kehadiran pemimpin atasan ke pesta-pesta sedemikian seolah-olah ia satu aktiviti negara. Media massa dan jentera Kerajaan turut memberikan sokongan dan publisiti. Sudah tiba masanya semua kerja-kerja sia-sia dan tidak bermanfaat dan melalaikan ini dihentikan. Pemimpin negara perlu memulakannya.

Masyarakat pula perlu sedar, kita selama ini membuang banyak masa dengan pesta-pesta begini yang tiada manfaatnya. Mungkin syarikat-syarikat penaja membuat untung, tetapi rakyat membuang wang mereka. Lebih sedih lagi apabila ibu bapa yang begitu bersemangat akan membawa anak-anak kecil mereka ke pesta-pewta sedemikian. Ini satu pendedahan kepada budaya asing yang tidak selari dengan semangat kita orang Islam.

Menjelang 2010, apakah orang Melayu tidak juga mahu sedar lagi, dan mahu terus ber-pesta dan berheboh-heboh dengan pelbagai jenis hiburan. Apakah kita belum mahu menukar imej hedonisme di kalangan kita yang suka berpesta-pesta, berseronok, bersenang-senang, membuang masa di tempat awam. Jom Heboh, misalnya satu perniagaan besar kepada penganjur tetapi memperalatkan sikap hedonisme Melayu. Yang rugi orang Melayu, yang untung adalah penaja dan syarikat perniagaan yang mengambil bahagian.

Tahun baru akan datang, dan terus akan datang setiap tahun, tetapi orang Melayu di mana? Tidakkah Melayu akan hilang dari peta dunia?

Friday, December 25, 2009

Fobia 26 Disember


Menjelang 26 Disember setiap tahun ramai orang begitu fobia mengenangkan beberapa kejadian ngeri terjadi pada tarikh tersebut. Antara peristiwa besar yang sukar dilupakan ialah Tsunami yang melanda perairan beberapa buah negara di lautan Hindi, antaranya Indonesia, Malaysia, Thailand, Sri Lanka. Ratusan ribu korban jiwa dilaporkan. Paling teruk menerima kesan Tsunami 2004 itu ialah Aceh, sebuah provinsi Indonesia di mana ratusan ribu nyawa penduduknya terkorban.

Kejadian tsunami 26 Disember 2004 itu sungguh dahsyat. Ia merupaka petaka alam yang telah mengorbankan sejumlah nyawa yang sungguh besar. Dianggarkan ratusan ribu orang menjadi korbannya. Ia berpunca daripada kejadian gempa bumi di bawah laut yang akhirnya menghasilkan ombak besar yang dikenali sebagai tsunami. Malaysia juga turut meneruma lempias Tsunami apabila ratusan orang terkorban di beberapa bahagian pantai di uatara Semenanjung seperti di Kuala Muda dan Pulau Pinang. Pantai perangina Thailand juga turut dilanda ombak tersebut mengorbankan banyak nyawa, termasuk pelacong dari luar negara.


Mereka yang pergi telahpun pergi,kemusnahan akibat Tsunami sebahagiannya sudah dipulihkan. Sungguhpun negara yang teruk dilanda tsunami seperti Aceh di Indonesia, mengalami trauma dahsyat, namun dengan bantuan dan sokongan dari seluruh dunia, pembangunannya sudah beransur-ansur dijalankan. Begitu juga dengan lokas-lokasi lain seperti di Sri Lanka, Thailand dan Malaysia. Trauma yang sangat parah tentulah menimpa mereka yang mengalami sendiri peristiwa 26 Disember itu, antaranya mereka yang tercedera dan kehilangan saudara mara dan harta benda. Kata orang berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Kepada seluruh dunia, kita semua bagaikan diberi peringatan oleh Tuhan, dan sebenarnya begitu, supaya kita tidak terus menerus lalai, alpa, dan mengambil mudah dengan segala yang berlaku. Ia adalah peringatan, petunjuk dan pengajaran kepada seluruh umat manusia di zaman ini. Tuhan Maha Kuasa melakukankan sesuatu dengan hanya menyebut 'kun' atau jadilah, maka akan jadilah. Siapa lagi yang mampu menahan kehendak-Nya. Tentulah ALlah SWT menjadikan Tsunami sebagai satu pelajaran baru, yang diharap dapat dipelajari dari segala segi dan dari segala sisi.

Apakah bezanya kejadian Tsunami dengan pelbagai petaka alam yang telah terjadi dan sedang terjadi. Gempa bumi, Tsunami, letusan gungung berapi, letusan lumpur dari bawah tanah, tanah runtuh, banjir, ribut taufan dan pelbagai lagi dilihat sebagai gejala alam, dari pandangan sains. Manakala dari kepercayaan agama ia adalah kejadian-kejadian yang melambangkan kebesaran Tuhan, yang menjadikannya dengan penuh hikmah supaya manusia belajar daripadanya. Pastilah banyak pelajaran daripadanya baik dari sudut sains mahupun dari sudut kepercayaan agama.

A-Quran sentiasa mengingatkan kita tentang azab atau siksa Allah SWT yang diturunkan kepada beberapa kaum terdahulu akibat kezaliman dan kekufuran mereka. Kisah-kisah silam dirakamkan untuk jadi pelajaran kepada kita yang kemudian. Antaranya kisah banjir di zaman nabi Nuh AS, kisah bumi tenggelam dan terbalik di zaman nabi Lut AS, kisah kaum Ad, Tsamud dan lain-lain. Mereka mengalami pelbagai petaka alam yang membunuh mereka, sebagai hukuman Tuhan kepada kedegilan, kezaliman dan keingkaran mereka. Qarun yang angkuh dengan harta kekayaannya telah ditenggelamkan ke dalam bumi, manakala sekutunya Firaun ditenggelami laut Merah akibat keangkuhannya.


Setiap kali petaka terjadi banyak nyawa terkorban.

Terakhir ini kita di Malaysia khususnya, tentu masih teringat peritiwa ribut Grek yang melanda Keningau, sebuah bandar kecil di daerah pendalaman Sabah. Kejadian itu terjadi pada tarikh yang sama dengan Tsuami iaiitu 26 Disember 1996. Dalam kejadian tersebut ribuan orang penduduk Keningau terkorban, di mana sebahagiannya tidak ditemui mayat mereka. Ribut ganas diikuti banjir besar meruntuhkan rumah-rumah di p-inggir sungai dan menghanyutkanya bersama penghuninya. Malam kejadian tersebut adalah malam perayaan Krismas kepada penduduk di kawasan tersebut yang sebahagian besarnya berugama Kristian. Diceritakan pada malam tersebut pelbagai pesta maksiat dijalankan. Besoknya kampung-kampung setinggan di kiri kanan sungai jadi padang jarak padang tekukur. Dalam keadaan biasa, sungai di mana benjir itu terjadi adalah sungai sederhana kecil, dengan airnya yang tidak dalam; tetapi 26 Disember 1996 telah merobah fizikalnya. Entaah dari mana datangnya arus ganas tersebut, waALlahua'lam.

Mengingat kembali detik peritiwa tersebut, ketika itu saya sedang dalam perjalanan dengan bot dari Labuan ke Limbang, kerana urusan kerja. Sepanjang perjalanan ombak laut begitu besar menyebabkan feri kami terumbang ambing. Ramai yang mabuk dan muntah. Waktu itu saya tidak menyedari bahawa di Keningau terjadi ribut Greg yang membunuh ramai orang.

Mengenang segala petaka alam yang terjadi adalah satu kebaikan kepada kita selama mana ingatan itu menginsafkan kita, menyedarkan kita dan memberikan pengajaran berterusan kepada kita. Ingatlah hukum alam adalah hukum Tuhan, yang akan sentiasa berjalan. Andainya umat dahulu mengalami pelbagai hukuman Tuhan, apakah kita umat semasa boleh terlepas daripadanya. Ingatlah kita kepada dosa-dosa kita, dosa kepada Tuhan, dosa kepada sesama manuisa, dosa kepada makhluk termasuk alam dan bumi yang kita diami ini. Sedarkah kita bahawa kita menjadi antara makhluk paling kejam, paling ganas di bumi. Kita menumpahkan darah setiap hari, membunuh janin dan bayi sendiri yang tidak berdosa, membunuh sesama manusia atas sebab yang tak masuk akal, merosakkan alam, mencemari alam dan merosakkan struktur bio. Sedarkah kita bahawa kita lebih ganas daripada biantang buas di hutan?

Sunday, December 20, 2009

Ingat pada yang Kasih


Apakah kita sudah kehilangan kasih sayang? Itulah persoalan yang sering muncul di benak kita apabila membaca dan menonton berita di media massa setiap hari tentang pelbagai cerita jenayah. Jenayah dilakukan setiap hari dan laporan di media hanya sejumlah kecil daripada kejadian sebenar. Jenayah yang dilaporkan adalah penipuan, kecurian, rompakan, culik, rogol, buli di jalanraya, pembunuhan, pembuangan janin (buang anak), penderaan fizikal dan mental, peras ugut dan bermacam lagi. Pembunuhan ngeri dilakukan di mana sahaja atas sebab-sebab yang tidak masuk akal. Orang membunuh disebabkan untuk mencuri, merompak, meragut, balas dendam, upahan, malu (bunuh janin dan bayi baru lahir), bunuh diri, dan sebab-sebab yang pelbagai.

Apabila kita menamakan haiwan pemangsa sebagai 'binatang buas' kerana ciri hidupnya yang membunuh haiwan lain sebagai 'makanan' maka apakah pula istilah untuk menusia yang buas dan ganas ini? Binatang membunuh kerana sifat alaminya untuk terus hidup, dengan memakan binatang lain. Tetapi manusia membunuh tidak kerana ciri-ciri fitrahnya, sebaliknya ketika membunuh manusia berada di luar fitrah dirinya.

Secara firahnya manusia dilahir dengan perasaan kasih sayang. Emosi itu dimantapkan lagi dengan keupayaan akal yang mampu berfikir, di samping hati yang sentiasa mempertimbangkan. Gabungan perasaan, akal dan hati menjadikan manusia makhluk terbaik yang mampu menzahirkan kasih sayang kepada dirinya, kepada keluarga, kepada sesama manusia, kepada haiwan, dan alam seluruhnya. Hanya syahawah iaitu satu sisi buruk daripada jiwa (nafsu) manusia yang sering menggoda manusia supaya jauh daripada kasih sayang. Syahawah yang dipanggil 'nafsu syahwat' ini sering mengumpan manusia untuk melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan fitrah dirinya.

Syahawah ini apabila ia menguasai perasaan, hati dan akal manusia, ketika itu manusia kehilangan kasih sayang, kehilangan pertimbangan dan hilang kewarasannya. Dalam keadaan begini, manusia sanggup melakukan perbuatan keji dan merosakkan termasuk membunuh sesama manusia. Emosi negatif (mazmumah) seperti hasad dengki, marah, dendam, benci, tidak puas hati, kecewa, tamak, akan mencemarkan kejernihan hati dan kewarasan akal, hinggalah menggerakkan tindakan-tindakan jenayah. Kerana marah, benci dan dendam orang boleh membunuh. Kerana kecewa orang juga membunuh. Kerana tamak juga orang akan membunuh sebagaimana terjadi kejadian ragut, rompak, culik, peperangan dan penjajahan.


Senario dunia dipenuhi pelbagai peristiwa berdarah. Darah manusia tumpah dan ditumpahkan setiap masa, setiap hari di mana-mana sahaja. Di negara-negara yang menghadapi konflik peperangan, orang membunuh orang lain secara sedar. Pembunuhan hari ini lebih kejam dengan ledakan bom, bom kereta, peluru berpandu, roket dan sebagainya yang boleh meragut jumlah nyawa yang besar. Sebahagian besar mangsa pembunuhan adalah orang awam, kanak-kanak, orang tua dan kaum wanita yang tidak berdaya. Ini satu kekejaman manusia yang luar biasa.

Inilah cabaran kehidupan manusia. Manusia nampaknya memang sukakan kerosakan, suka menumpahkan darah. Inilah dua aktiviti buruk manusia di bumi. Aktiviti yang dimulakan oleh dua orang anak nabi Adam as Qabil dan Habil, dan diteruskan oleh zuriatnya hingga ke hari ini. Inilah imej manusia.

Apakah kita sudah gersang dengan kasih sayang? Apakah kita sudah ketandusan rasa kemanusiaan? Apakah hati kita sudah begitu gelap dengan jelaga kefasikan dan kefasadan? Apakah hati nurani kita sudah hilang cahayanya?

Marilah kita kembali ke dalam diri kiri. Marilah kita tafakur dan masuk ke dalam, ke dalam hati (kalbu), masuk lagi ke dalam hati nurani (fuad), dan masuk lagi jauh ke lubuk hati nurani. Marilah kita selami diri kita dengan mengingati (zikr) kepada ar-Rahman, ar-Rahman.


Allah SWT mahu dikenali dengan nama-nama-Nya yang baik, dan antara nama yang disenangi-Nya ialah ar-Rahman. Kita mengulangi zikr atau sebutan ar-Rahman ini berpuluh kali sehari, terutama ketika melafazkan Basmalah. Kita juga diperintah menyeru, memohon dan bermunajat dengan menyebut lafaz ar-Rahman itu: Katakanlah: "Serulah Allah atau serulah ar-Rahman" (al-Quran, Israa' 110).

Lafaz ini sangat besar kesanya ke atas jiwa, ke atas perasaan, emosi dan spiritual kita. Lafaz yang membawa makna kasih, rahmat itu melambangkan sifat Tuhan yang sangat agung. Lafaz ini mempunyai kesan magis dan magnetis ke atas hati nurani manusia. Ia adalah penawar kepada masalah emosi seumpana stres dan kemurungan. Ia akan mengembangkan perasaan damai, tenteram, bahagia (sakinah, mawaddah, saadah) di dalam hati. Emosi positif ini akan membentengi kehadiran emosi negatif seperti amarah, benci, dendam, kecewa dan lain-lain emosi yang merosakkan.

Ramai maniusia yang gersang hatinya daripada hikmah ar-Rahman, sebaliknya hatinya gelita disebabkan emosi negatif dan syahawah. Merekalah yang mencetuskan huruhara di dunia dan mereka yang gemar merosakkan dan menumpahkan darah di bumi.

Thursday, December 17, 2009

Muhasabah di gerbang Hijrah 1431.


Menjelang maghrib tadi, doa akhir tahun baru sahaja dilafazkan, diikuti pula dengan doa awal tahun. Begitulah cara umat Islam menyambut datangnya awal Muharram setiap tahun. Doa adalah saripati daripada ubudiah dan doa terus dipanjatkan untuk mengukuhkan ubudiah kita kepada Tuhan.

Akhir-akhir ini kita sedang melalui hari-hari kehidupan kita yang diselubungi suasana yang tidak selesa sekali. Media massa yang menjadi cermin kehidupan masyarakat kita saban hari dipenuhi dengan berita jenayah, curi, rompak, rogol, ragut, pembunuhan akibat dendam, permusuhan dan juga rompakan. Selain itu kisah peras ugut along, penipuan oleh sindiket dalam dan luar negara, penipuan melalui skim cepat kaya, aktiviti seksual haram, dan kisah-kisah misteri tahyul masih menjadi bahan sensasi media. TV pula terlalu ghairah dengan drama-drama tahyul dan khurafat.

Dalam masyarakat pelbagai wabak penyakit sedang menyebar baik penyakit fizikal, mental dan emosi. Wabak terbaru H1N1 selain denggi memberi ancaman kepada kesihatan fizikal. Sementara itu wabak kemurungan atau depresi dikenali sebagai satu gejala psikologi yang begitu serius. Wanita didapati lebih ramai diancam kemurungan. Kajian mendapati banyak kematian di kalangan wanita akibat kemurungan. Di kalangan remaja, penagihan dadah masih lagi menjadi penyakit nombor satu. Dadah adalah gejala penyakit menyeluruh, fizikal, psikologi, mental dan juga penyakit sosial.

Satu fenomena lama tetapi kini begitu menonjol ialah kehadiran gejala psikiatrik yang menyerang ramai orang dengan gejala histerikal, hilang ingatan, mengalami rasukan dan seumpamanya. Terasa seolah-olah pengaruh jahat jin iblis begitu berleluasa mengancam ketenteraman masyarakat. Popularnya khidmat dukun, bomoh dan para normal di samping pengamal rawatan Islamik, memberikan petanda betapa ramai orang yang sedang mengalami penyakit dalaman, penyakit ruhani.

Dari sisi holistik, semua gejala yang sedang kita depani ini adalah gejala kekurangan daya tahan tubuh atau imuniti diri. Imuniti diri dalam konteks ini adalah imuniti menyeluruh meliputi aspek fizikal, intelek, emosi, spiritual. Contohnya gejala dadah adalah satu gejala kekurangan imuniti diri. Gejala kemurungan, hesterikal yang sering dikaitkan dengan makhluk halus, adalah juga gejala kekurangan daya tahan diri, kekurangan keyakinan diri.

Sistem imuniti diri adalah rangkaian sistem tubuh yang dikawal oleh beberapa elemen diri kita sendiri. Antaranya ialah hati (hati dalam sifat ruhaniah), emosi, perasaan, sistem otak, saraf dan ia dikawal oleh sistem kepercayaan. Sistem kepercayaan bekerja pada sistem minda iaitu minda separa sedar (sub-conscious mind). Kajian psikologi moden sudah mengesahkan bahawa sistem ini begitu dominan, sebagaimana agama juga menekankan kepada sistem kepercayaan ini. Islam menamakannya sebagai iman.


Kembali kepada fitrah manusia, bermakna kembali kepada sistem ini. Kita orang Islam sudah sedia dibekalkan dengan sistem imuniti diri yang sangat kukuh, iaitu iman. Imanlah yang menyelamatkan kita selama ini daripada segala ancaman pelbagai gejala penyakit, baik penyakit fizikal, emosi, mental dan spiritual. Hasilnya kita hidup dalam sejahtera atau salam, yang jelas dalam Islam yang kita jadikan cara hidup kita selama ini.

Iman yang ditegakkan melalui tauhid membawa kita kepada satu dimensi di mana kita bebas daripada segala ancaman makhluk, baik manusia, syaitan, kuman, virus, atau apa sahaja. Oleh kerana kita sentiasa bersandarkan kepada kekuatan Khalik, Tuhan Pencipta alam ini, maka seluruh diri kita, kita bebaskan daripada segala ikatan yang melibatkan makhluk. Minda kita bebas daripada rasa takut kepada makhluk, takut kepada situasi, keadaan atau apa sahaja kemungkinan kerana minda kita berada di wilayah tawakkal: sesungguhnya semuanya adalah milik Allah, dan sesungguhnya kepada-Nya kita kembali.

Inilah prinsip Sunnah - Sunnatullah. Kita boleh mengatakannya hukum alamiah, dan ia adalah asas sains, asas kepada emperikal. Dalam semangat Hijrah ini, marilah kita kembali menggilap kefahaman dan pengertian kita pada prinsip Sunnah ini. Marilah kita bermula pada prinsip ini dalam mengatur langkah ke hadapan, menjejaki hari-hari baru di tahun baru 1431 ini. Marilah kita jadikan tahun baru Hijriah ini satu hijrah yang lebih bererti dengan kesedaran untuk kembali. Taubat dalam bahasa Arab juga bermakna kembali. Kembali adalah langkah terbaik setelah kita tersasar atau tersesat. Jalan kembali adalah jalan terbaik setelah jalan di hadapan kita sudah tidak jelas, sudah hilang matlamatnya. Marilah kita kembali kepada Sunnah ini, kembali kepada Dia yang sentiasa mendepangi tangan Rahmah-Nya, kembali kepada fitrah diri dan hidup dalam lingkungan alami.


Selama ini kita menghabiskan masa untuk berfikir, berikhtiar, berjuang, bekerja keras tetang hal-hal kehidupan di luar diri kita. Kita belajar dalam kontek mencari status intelektual melalui sijil, diploma dan ijazah; yang mana kemudiannya kita gunakannya untuk mencapai cita-cita kerjaya. Kita pun bekerja, menjawat pelbagai jawatan tinggi, dan akhirnya kita pun merasa telah berjaya dengan imej-imej besar pada pangkat (pangkat besar), kereta besar, rumah besar, keluarga besar, dan semuanya besar. Akhirnya kita pun bersara. Di hujung usia kita pun mula menilai semula hidup yang sudah dilalui. Rupa-rupanya glamour masa silam hanyalah fatamorgana belaka, dan ia rupanya bukanlah apa yang sebenarnya kita cari.

Di saat beginilah kita pun kembali, kembali kepada hakikat diri, kepada fitrah diri, fitrah alam, kembali kepada Tuhan. Kita pun menjadi lebih ghairah untuk masuk jauh ke dalam diri, ke dalam hati, ke dalam hati nurani, jauh ke lubuh hati nurani. Di situlah kita menemui qalbu, atau fuad, iaitu hakikat diri kita sebenar-benarnya.