Sunday, December 20, 2009

Ingat pada yang Kasih


Apakah kita sudah kehilangan kasih sayang? Itulah persoalan yang sering muncul di benak kita apabila membaca dan menonton berita di media massa setiap hari tentang pelbagai cerita jenayah. Jenayah dilakukan setiap hari dan laporan di media hanya sejumlah kecil daripada kejadian sebenar. Jenayah yang dilaporkan adalah penipuan, kecurian, rompakan, culik, rogol, buli di jalanraya, pembunuhan, pembuangan janin (buang anak), penderaan fizikal dan mental, peras ugut dan bermacam lagi. Pembunuhan ngeri dilakukan di mana sahaja atas sebab-sebab yang tidak masuk akal. Orang membunuh disebabkan untuk mencuri, merompak, meragut, balas dendam, upahan, malu (bunuh janin dan bayi baru lahir), bunuh diri, dan sebab-sebab yang pelbagai.

Apabila kita menamakan haiwan pemangsa sebagai 'binatang buas' kerana ciri hidupnya yang membunuh haiwan lain sebagai 'makanan' maka apakah pula istilah untuk menusia yang buas dan ganas ini? Binatang membunuh kerana sifat alaminya untuk terus hidup, dengan memakan binatang lain. Tetapi manusia membunuh tidak kerana ciri-ciri fitrahnya, sebaliknya ketika membunuh manusia berada di luar fitrah dirinya.

Secara firahnya manusia dilahir dengan perasaan kasih sayang. Emosi itu dimantapkan lagi dengan keupayaan akal yang mampu berfikir, di samping hati yang sentiasa mempertimbangkan. Gabungan perasaan, akal dan hati menjadikan manusia makhluk terbaik yang mampu menzahirkan kasih sayang kepada dirinya, kepada keluarga, kepada sesama manusia, kepada haiwan, dan alam seluruhnya. Hanya syahawah iaitu satu sisi buruk daripada jiwa (nafsu) manusia yang sering menggoda manusia supaya jauh daripada kasih sayang. Syahawah yang dipanggil 'nafsu syahwat' ini sering mengumpan manusia untuk melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan fitrah dirinya.

Syahawah ini apabila ia menguasai perasaan, hati dan akal manusia, ketika itu manusia kehilangan kasih sayang, kehilangan pertimbangan dan hilang kewarasannya. Dalam keadaan begini, manusia sanggup melakukan perbuatan keji dan merosakkan termasuk membunuh sesama manusia. Emosi negatif (mazmumah) seperti hasad dengki, marah, dendam, benci, tidak puas hati, kecewa, tamak, akan mencemarkan kejernihan hati dan kewarasan akal, hinggalah menggerakkan tindakan-tindakan jenayah. Kerana marah, benci dan dendam orang boleh membunuh. Kerana kecewa orang juga membunuh. Kerana tamak juga orang akan membunuh sebagaimana terjadi kejadian ragut, rompak, culik, peperangan dan penjajahan.


Senario dunia dipenuhi pelbagai peristiwa berdarah. Darah manusia tumpah dan ditumpahkan setiap masa, setiap hari di mana-mana sahaja. Di negara-negara yang menghadapi konflik peperangan, orang membunuh orang lain secara sedar. Pembunuhan hari ini lebih kejam dengan ledakan bom, bom kereta, peluru berpandu, roket dan sebagainya yang boleh meragut jumlah nyawa yang besar. Sebahagian besar mangsa pembunuhan adalah orang awam, kanak-kanak, orang tua dan kaum wanita yang tidak berdaya. Ini satu kekejaman manusia yang luar biasa.

Inilah cabaran kehidupan manusia. Manusia nampaknya memang sukakan kerosakan, suka menumpahkan darah. Inilah dua aktiviti buruk manusia di bumi. Aktiviti yang dimulakan oleh dua orang anak nabi Adam as Qabil dan Habil, dan diteruskan oleh zuriatnya hingga ke hari ini. Inilah imej manusia.

Apakah kita sudah gersang dengan kasih sayang? Apakah kita sudah ketandusan rasa kemanusiaan? Apakah hati kita sudah begitu gelap dengan jelaga kefasikan dan kefasadan? Apakah hati nurani kita sudah hilang cahayanya?

Marilah kita kembali ke dalam diri kiri. Marilah kita tafakur dan masuk ke dalam, ke dalam hati (kalbu), masuk lagi ke dalam hati nurani (fuad), dan masuk lagi jauh ke lubuk hati nurani. Marilah kita selami diri kita dengan mengingati (zikr) kepada ar-Rahman, ar-Rahman.


Allah SWT mahu dikenali dengan nama-nama-Nya yang baik, dan antara nama yang disenangi-Nya ialah ar-Rahman. Kita mengulangi zikr atau sebutan ar-Rahman ini berpuluh kali sehari, terutama ketika melafazkan Basmalah. Kita juga diperintah menyeru, memohon dan bermunajat dengan menyebut lafaz ar-Rahman itu: Katakanlah: "Serulah Allah atau serulah ar-Rahman" (al-Quran, Israa' 110).

Lafaz ini sangat besar kesanya ke atas jiwa, ke atas perasaan, emosi dan spiritual kita. Lafaz yang membawa makna kasih, rahmat itu melambangkan sifat Tuhan yang sangat agung. Lafaz ini mempunyai kesan magis dan magnetis ke atas hati nurani manusia. Ia adalah penawar kepada masalah emosi seumpana stres dan kemurungan. Ia akan mengembangkan perasaan damai, tenteram, bahagia (sakinah, mawaddah, saadah) di dalam hati. Emosi positif ini akan membentengi kehadiran emosi negatif seperti amarah, benci, dendam, kecewa dan lain-lain emosi yang merosakkan.

Ramai maniusia yang gersang hatinya daripada hikmah ar-Rahman, sebaliknya hatinya gelita disebabkan emosi negatif dan syahawah. Merekalah yang mencetuskan huruhara di dunia dan mereka yang gemar merosakkan dan menumpahkan darah di bumi.

No comments:

Post a Comment