Setelah sekian lama menanti lahirnya karya baru ke pasaran, maka selesailah usaha pihak penerbit, Karya Bestari melahirkan buku mutakhir saya, MERAIH CINTA AL-KHALIQ (MCaK).
Terima kasih kepada team Karya Bestari yang sungguh komited untuk menerbitkan buku ini dan beberapa buah buku lain, insyaAllah. Buku MCaK ini bukanlah sebuah karya terbaru, kerana ia dihasilkan bertahun-tahun lalu. Cuma ia sebuah buku terbaru saya yang diterbitkan. Sebetulnya masih banyak naskah buku baru yang telah disiapkan. Namun ia masih belum menjadi buku selagi ia tidak diterbitkan.
Mencari penerbit untuk menerbitkan buku bukanlah usaha yang senang. Rasa saya menulis buku lebih senang lagi, kerana akhir-akhir ini setiap bulan saya mampu menghasil sebuah naskah. Namun mendapatkan penerbit adalah perkara yang memeningkan. Mendapatkan sebuah penerbit yang sesuai dengan kita, sesuai dengan buku kita tidaklah mudah.
Ada penerbit yang ada nama, mereka agak pemilih. Mereka lebih suka menerbitkan buku-buku yang menggunakan nama dan wajah selebriti (malahan buku itu ditulis oleh editor bukan penulis). Penerbit begini tidak menilai karya tetapi memikirkan populariti selebriti yang dapat melariskan buku mereka. Kalau anda bukan selebriti, tidak mudah anda menerbitkan buku dengan mereka. Mereka tidak memilih karya tetapi memilih nama dan wajah yang sedia popular. Strategi penerbit begini menjadi. Memang buku mereka meletup.
Namun di sebaliknya wujud 'kemunafikan' dalam industri buku. Pembaca dikelirukan dengan cover bergambar besar wajah selebriti tetapi karya sebenar adalah buah tangan orang lain. Kini menjadi trend beberapa penerbit yang sanggup melakukan hal ini demi fulus.
Ketika rakaman promo untuk TV al-Hijrah.
Buku MCaK akan memasuki pasaran seminggu dua lagi. Ia sedang giat dipromosikan oleh penerbit. Baru-baru ini telah diadakan rakaman promo untuk TV Al-Hijrah. Saya sangat berharap buku mutakhir ini dapat memberi impak kepada pasaran buku, kerana kejayaan naskah-naskah terbaru akan banyak bergantung kepada penerimaan pembaca kepada buku ini.
MCaK sudah dipromo dalam fb Karya Bestari. InsyaAllah melalui usaha promosi serius penerbit, buku ini akan mudah menempuh cabaran pasaran. Buku MEMBINA IMPIAN sebelum ini yang diterbitkan oleh PTS Millenia diulangcetak. Saya mengharap hal yang sama akan berlaku ke atas buku MCaK ini, insyaAllah.
Friday, September 21, 2012
Friday, August 10, 2012
Fasa akhir Ramadhan.
Kini Ramadhan sudah memasuki fasa terakhir, fasa ketiga. Dua fasa awal iaitu fasa Rahmah (rahmat) dan fasa Maghfirah (Keampunan) telah pun berlalu; manakala fasa akhir ialah fasa Diselamatkan daripada api neraka. Inilah masa-masa terpenting dalam Ramadhan kerana ia mengandungi terlalu sarat dengan ganjaran Allah SWT. Di sinilah terdapat Malam Qadr atau Lailatul Qadr, iaitu satu malam yang nilainya melebihi seribu bulan. Dalam tempoh masa inilah terjadinya peristiwa besar iaitu penurunan al-Quran. Hal ini dijelaskan sendiri oleh al-Quran dalam beberapa ayat, iaitu pada ayat 185 al-Baqarah dan juga ayat 1 surah al-Qadr.
Selain itu terdapat pula satu malam yang sangat bernilai iaitu Lailatul Qadr. Mengenai Malam Qadr ini, ia disebut sebagai satu malam yang nilainya lebih baik daripada seribu bulan, atau 83 tahun lebih. Ia adalah satu ganjaran yang berganda-ganda (iaitu hampir 30 000 kali ganda). Al Qadr bermakna kemuliaan. Malam itu sangat mulia kerana kemuliaan nilainya di sisi Allah SWT. Di samping itu turunnya para malaikat dan juga Jibril ke bumi, merahmati umat di bumi, menyeru orang beriman, mendoakan mereka dan membawa rahmat kepada mereka. Itulah antara kemuliaan Malam Qadr.
Al Qadr juga bermakna sempit. Ia merujuk kepada keadaan bumi menjadi sangat sesak dengan para malaikat yang jumlahnya jauh lebih ramai daripada jumlah manusia di bumi. Mereka turun beramai-ramai ke bumi dengan membawa urusan Tuhan, sehingga bumi menjadi sesak dan sempit. Sepanjang malam daripada masuknya matahari hingga terbit pula keesokannnya, bumi dipenuhi dengan sejahtera atau salam. Salam adalah merujuk satu keadaan yang sangat sejahtera, aman damai, tenteram.
Bagi orang beriman yang sedar dan tahu tentang kelebihan malam Qadr ini, mereka akan mendirikan malam (qiamullail) dengan ibadah wajib dan sunat. Antaranya ialah beriktikaf (duduk di masjid), solat tarawikh, solat witir, solat sunat lainnya, membaca al-Quran, berzikir dan berdoa bermunajat. Oleh kerana tiada siapa yang pasti dengan tepat malam bila Malam Qadr itu, maka Rasulullah SAW mengingatkan umatnya supaya meningkatkan usaha dan amal di sepuluh malam terakhir Ramadhan, khususnya malam-malam ganjil.
Melalui hadis riwayat Aisyah RA,katanya: Rasulullah SAW bersungguh-sungguh bangun malam) pada sepuluh hari terakhir Ramadhan yang beliau tidak lakukan kesungguhan seperti itu pada malam-malam lainnya. (HR Ahmad, Muslim dan Tarmizi).
Antara doa yang masyhur, yang juga diriwayatkan oleh Aishah RA ialah: Allahumma innaka 'afuwwun karimun tuhibbul 'afwa fa'fuanni (Ya Allah ya Tuhanku, sesungguhnya Engkau sentiasa memaafkan kesalahan hamba-hambamu, lagi suka memaafkan, oleh itu maafkanlah salah silapku). (HR Tarmizi).
Oleh itu banyaklah berdoa, mohon kemapunan dan pembebasan daripada azab neraka. Ingatlah kepada hadis berkaitan rahmat keampunan Allah SWT kepada orang-orang yang benar-benar berpuasa dan mendirikan malam Ramadhan dengan penuh iman dan sedar.
Abu Hurairah meriwatkan, Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa yang menghayati Malam Qadr (degan solat dan beribadah), sedangkan ia beriman dan mengharapkan rahmat Allah SWT niscaya diampunkan dosa-dosanya yang lalu. (HR Bukhari).
Friday, June 15, 2012
Bermikrajlah kita.
masjidl Aqsa.Sehari dua lagi menjelanglah 27 Rajab, iaitu satu tarikh bersejarah dan sangat penting kepada kita orang-orang Islam. Pada tarikh ini terjadi satu peristiwa luar biasa dan mukjizat besar kepada nabi Muhammad SAW, iaitu Isra' dan Mi'raj. Isra' adalah perjalanan pada waktu malam, manakala mi'raj pula adalah perjalanan naik ke langit.
Melakukan perjalanan adalah satu daripada ciri-ciri kehidupan manusia. Melalui perjalanan kita dapat menambahkan ilmu, pengalaman dan membuka fikiran. Malahan perjalanan merupakan sebahagian daripada proses mematangkan diri seseorang. Benarlah kata pepatah: jauh berjalan luas pandangan, bertambah pengalaman.
Namun begitu Isra' Mi'raj adalah sebuah perjalanan yang sungguh unik dan agung, kerana ia melibatkan seorang manusia agung, nabi SAW. Ia adalah sebuah perjalanan yang dirancang, bukan oleh dirinya tetapi ia adalah sebuah perjalanan yang ditakdirkan oleh Pencipta, Tuhan Rabbul 'Alamin. Perjalanan ini menjadi antara ujian besar kepada manusia, iaitu antara orang yang beriman dan yang kufur. Isra' Mi'raj membersihkan golongan yang benar-benar beriman daripada golongan yang belum sempurna iman mereka. Ia membersihkan hati orang-orang beriman daripada apa jua keraguan.
.Inti daripada Isra' dan Mi'raj adalah perjalanan yang penuh dengan mukjizat di mana Rasulullah SAW telah didedahkan kepada beberapa peristiwa penuh pengajaran. Sepanjang perjalanan tersebut baginda SAW telah diperlihatkan kepada pelbagai gambaran kehidupan di akhirat nanti. Juga perjalanan yang menemukan baginda SAW dengan para rasul sbelumnya, dan yang paling agung ialah perjalanan ke sidratul muntaha, iaitu titik hujung perjalanan yang tidak pernah ditempuhi sesiapapun kecuali Rasulullah SAW.
Di penghujung perjalanan adalah sebuah anugerah agung iaitu kesempatan menerima jemputan istimewa daripada Allah SWT, di mana antara anugerah istimewa di pertemuan tersebut adalah solat. Solat dikurniakan di langit, tidak sebagaimana perintah ibadah-ibadah lain yang diturunkan ke bumi melalui Jibril AS. Solat merupakan sebuah anugerah istimewa kerana ia dianugerahkan di langit ketika Rasulullah SAW diundang ke sana, melewati sebuah perjalanan agung Mi'raj.
Perintah solat adalah 50 kali sehari semalam. Jumlah itu dikurangkan setelah beberapa kali melalui proses permohonan oleh Rasulullah SAW supaya jumlah itu dikurangkan. Akhirnya Allah SWT telah mengizinkan solat dikurangkan kepada hanya 5 kali sehari semalam. Walaupun jumlah dikurangkan namun nilai solat tetap kekal pada 50. Bermakna ia sebuah anugerah keringanan beban tetapi tiada kekurangan nilai. Inilah rahmat Allah SWT.
kompleks al-Aqsa.Solat merupakan sebuah anugerah, sebuah hadiah istimewa untuk kita umat Muhammad SAW. Inilah anugerah yang kekal dan diwariskan kepada kita sehingga akhir zaman. Maka solat perlulah dinilai dengan ukuran ini, kerana solat adalah sebuah ibadah terpenting, ia diterima di langit, dan solat juga adalah ibadah yang menghubungkan kita di bumi dengan langit. Solat itu sendiri merupakan mi'raj kita, yang kita lakukan sekurang-kurangnya lima kali sehari semalam.
Kepada kita umat Islam, khususnya umat hari ini, solat tidak begitu diberi perhatian sebagaimana sepatutnya. Ramai orang Islam yang tidak bersolat, ada yang tidak cukup lima waktu, ada yang melalaikannya. Buktinya sangat mudah dilihat. Lihatlah masjid-masjid umat Islam. Bangunan indah dan besar kosong ketika asolat jamaah lima waktu, terutama waktu subuh. Masjid hanya penuh ketika solat Jumaat, seminggu sekali. Lebih sesak lagi ketika solat hariraya setahun sekali. Ini semua terjadi kerana mereka tidak benar-benar mengenali solat, tidak merasai keagungan solat dan tidak merasakan kemanisannya.
Solat adalah urusan langit yang dianugerahkan di langit. Ia merupakan ibadah penghuni langit dan bagi kita solat merupakan hubungan bumi dan langit. Maka solat merupakan sebuah anugerah yang memberikan kesempatan kita umat Muhammad untuk terus menikmati pengalaman mi'raj. Oleh itu bersolatlah, bermi'rajlah.
Monday, June 11, 2012
Teruknya politik kita!
Secara politik, negara kita sedang berdepan dengan ketidaktentuan masa depan politik. Masing-msing pihak baik pemerintah mahupun pembangkang (dalam konteks parlimen dan ADUN), masing-masing sedang berangan-angan untuk menang dan menguasai pemerintahan. Politik adalah jambatan kepada pemerintahan. Orang berpolitik adalah untuk berkuasa, untuk memerintah.Akhir-akhir ini kita merasakan pelbagai hal yang tidak menyenangkan apabila melihat aktiviti orang-orang politik, iaitu orang-orang Malaysia yang begitu ghairah berpolitik. Dalam dunia demokrasi semua orang boleh bersuara. Namun dalam kes politik Malaysia kelihatan banyak sangat hal-hal yang tidak demokratik berlaku dan dilakukan sewenang-wenangnya oleh orang politik. Kita merasakan, seolah-olah orang politik begitu berkuasa melakukan apa sahaja asalkan ia dipercayai boleh memenangkan mereka.
Tanpa memihak, mana-mana pihak pun ada memperlihatkan ciri-ciri jelik ini. Dalam parlimen kita melihat menerusi media massa bagaimana wakil-wakil rakyat berdebat dan berhujah. Mereka sudah tidak merasa malu apa lagi merasa berdosa bercakap dengan bahasa yang tidak wajar dilafazkan dalam dewan yang mulia. Mereka beremosi dalam berhujah sehingga yang keluar adalah letusan emosi tak terkawal, bukan hujah bernas dan berfakta. Tuduh menuduh dan pergaduhan melalui kata-kata memperlihatkan suatu yang kita tidak mahu lihat terjadi dalam dewan rakyat dan DUN.
.Aktiviti kurang matang oleh mereka yang mahu menjadi pemimpin, membuktikan betapa politik orang Malaysia sangatlah kotor. Mereka seolah-olah membenarkan tanggapan bahwa 'politik adalah permainan kotor'. Menggunakan kebebasan dewan dengan berkelakuan seperti anak-anak adalah satu yang sepatutnya memalukan diri sendiri. Namun yang terjadi, ada orang yang bangga berkelakuan sedemikian.
Satu sikap yang amat tidak wajar adalah pebuatan menelanjangi pihak lawan (khususnya secara peribadi) dengan pendedahan yang sangat mengaibkan. Mereka lupa betapa besarnya dosa membuka aib orang. Dalam politik dosa ini jelas dipermain-mainkan. Orang kelihatan begitu suka membuka kain orang, mempamerkan aib orang supaya diketahui umum. Dengan sokongan media yang terlalu taksub kepada sensasi dan sikap taksub kepada parti-parti tertentu, aib ini menjadi bahan bukan sekadar didengar dan dibaca tetapi ditonton oleh semua orang.
Pelbagai paparan video lucah dilakukan untuk tujuan tersebut. Pelbagai pendedahan demi pendedahan, mengorek cerita peribadi orang, hanya kerana mahu menjatuhkan mereka, ghairah dilakukan oleh orang-orang tertentu. Media pula amat ghairah menyiarkannya. Kini tiba-tiba muncul pelbagai NGO yang tidak tentu arah tujunya, menonjolkan imej peribadi pemimpinnya, untuk mendapat publisiti murah, kononnya menyokong pihak-pihak politik tertentu. Mereka dalam pertubuhahn NGO, tetapi terang-terang berpihak dalam politik. Apa dan siapa sebenarnya mereka yang sangat digemari oleh media ini?
Pilihan ke-13 sangat hampir, biarpun tiada siapa dapat meneka bila diadakan. Semakin dekat pilihanraya, kita melihat melihat orng-orang politik semakin ghairah beraktiviti. Majoritinya adalah orang-orang Melayu/Islam. Sebahagian besar mereka mabuk politik hingga lupa kepada nilai-nilai budaya Melayu dan syariat agama sendiri. Apa mereka ingat bahawa KUASA adalah segala-galanya sehinggakan untuk mendapatkan KUASA itu budaya bangsa dan akidah agama dapat dikesampingkan? Fikir-fikirlah!
Thursday, December 29, 2011
Salam 2012

Kita kini berada di pinggir 2011. Sehari lagi kita akan ditinggalkan oleh tahun 2011. Maka ramailah orang yang membelek-belek kembali segala pengalaman hidup sepanjang tahun 2011. Yang gembira, yang duka, yang bahagia dan yang sengsara dikenang-kenang. Mungkin untuk dijadikan pelajaran, atau mungkin sekadar nostalgia belaka.
Kita juga baru sahaja menyambut kedatangan awal Muharam 1433, di mana tahun Hijriah menyukat waktu melalui pusingan bulan secara alamiah. Setiap bulan dikira berdasarkan pergerakan dan perubahan pada pusingan bulan mengelilingi bumi. Bermula daripada anak bulan (hilal) hinggalah ia menjadi bulat penuh dan kembali semula kepada anak bulan, maka itulah tempoh waktu sebulan. Sementara itu jumlah hari bagi setiap bulan tidaklah sama. Biasanya ia mengandungi 29 dn 30 hari sahaja.
Berbeza dengan tahun Hijriah, tahun Masehi dikira berdasarkan bilangan hari yang telah ditetapkan sebanyak 30 atau 31 hari dalam satu bulan (kecuali satu bulan berjumlah 29 hari). Oleh itu maka jumlah hari dalam tahun Masehi lebih banyak berbanding dengan tahun Hijriah.
Biar apa pun, kiraan waktu melalui detik saat, minit, jam, hari, bulan, tahun, dekad dan abad, sangatlah subjektif kerana ia adalah kiraan matematik belaka. Apa yang lebih penting daripada hal itu ialah nilai waktu atau nilai masa. Ukuran nilai waktu ini tentulah tidak sama dengan ukuran matematik di atas.
Tuhan mengingatkan kita tentang waktu melalui banyak pesanannya. Antara yang sangat dekat dengan kita ialah pesan-Nya melalui surah al-Asr, yang mengingatkan kita betapa ruginya kita kerana mensia-siakan waktu. Kita diingatkan bahawa waktu yang bernilai ialah waktu yang diisi dengan iman dan amal soleh. Hanya itulah jaminan betapa tingginya nilai waktu, yang juga bermakna nilai hidup kita. Tanpa iman dan amal soleh, hidup ini tiada nilainya di sisi Tuhan.

Oleh itu kita tidaklah perlu terlalu taksub dengan sambutan tahun baru, sebagaimana orang lain merayakannya. Orang gembira kerana menjelangnya tahun baru kerana mereka merasakan usia meeka semakin bertambah, umur semakin panjang. Lantas kegembiaan itu disambut dengan pelbagai cara dan acara penuh keseronokan. Keseronokan hedonism ini kelihatan berlebih-lebihan.
Pada hakikatnya setiap kali menjelangnya tahun baru, usia kita semakin pendek, dan hidup kita semakin singkat. Maknanya kematian semakin mendekat. Andainya kita melihat tahun baru dari sisi ini, maka barulah kita sedar bahawa itulah hakikat masa. Setiap hari yang kita lalui, mengurangi sehari demi sehari usia kita. Maka usia kita bukan semakin panjang, sebaliknya semakin berkurang atau semakin pendek.
Maka di sinilah detik waktu yang sangat menginsafkan, betapa hidup ini sebenarnya satu tempoh waktu yang sangat singkat. Insaflah......
Sunday, November 27, 2011
Maal Hijrah 1433

Marhaban ya Muharram, marhaban. Selamat datang Muharram 1433. Kami sentiasa menunggu kehadiranmu untuk meneruskan kehidupan, selama Allah SWT menganugerahkan kehidupan kepada kami.
Awal Muharram tlahpun datang dan telahpun berlalu. Maka akan menjelmalah hari-hari sesudahnya untuk kita isikan dengan amal-amal kebajikan. Semoga segala kekurangan masa lalu dapat diperbaiki di tahun baru ini. Semoga mana-mana perancangan yang belum dapat dilaksanakan, akan disempurnakan pada tahun ini, insyaAllah.
Setiap kali datangnya awal tahun baru, maka bertambahlah usia kita mengikut ukuran matematik. Orang berkata semakin panjanglah umur kita. Manakala sebenarnya umur kita semakin pendek, kerana datangnya tahun-tahun baru bermakna usia kita semakin berkurang dan mendekati kematian.
Marilah kita melihat kehidupan dan usia ini dari satu sisi yang benar. Usia hanyalah ukuran tentang masa. Biarpun tempoh satu minit, satu jam, satu hari, seminggu, sebulan dan setahun adalah sama sahaja kepada semua orang, namun nilai masa itu tentulah berbeza antara satu sama lain. Ada orang yang usianya panjang mengikut tempoh masa, namun nilai kehidupannya (nilai amalnya) tidaklah seberapa. Sementara itu ada pula orang yang usianya pendek, namun nilai kehidupannya sangatlah tinggi. Apa yang membezakan antara keduanya ialah bagaimana mereka mengisi masa-masa atau detik waktu dalam kehidupan mereka.

Oleh itu di saat-saat mengharungi detik-detik waktu tahun baru Hijriah ini, marilah kita bermuhasabah tentang nilai kehidupan kita masing-masing. Usahlah kita menghitung berapa usia kita, tetapi marilah kita menghitung-hitung nilai amal kita. Nilai amal inilah yang menentukan nilai sebenar usia kita, bukan hal-hal lain. Marilah kita renungi nilai hubungan kita antara kita dengan Tuhan dan antara kita sesama kita, juga hubungan kita dengan alam seluruhnya.
Hubungan vertikal kita dengan Allah SWT hendaklah diukur dengan neraca iman, taqwa dan ikhlas. Hitung-hitunglah amal soleh kita. Apakah timbangannya akan semakin memberat atau sebaliknya. Sementara itu perhatikan juga hubungan horizontal kita sesama manusia. Apakah hubungan itu menjadi semakin baik dan diberkati, atau sebaliknya. Janganlah lupa hubungan kita dengan alam kerana kehadiran kita di alam ini adalah satu wujud yang bersinergi dengan alam, dalam bentuk ekosistem dan kepelbagaiaan bio. Kurangkanlah aktiviti yang merosakkan alam sekitar, biarpun dengan usaha kecil seperti menghindari aktiviti membuang sampah di merata tempat.
Subscribe to:
Posts (Atom)

