Thursday, February 25, 2010

Salawat & salam untukmu ya RasululLah


Salawat dan salam ke atasmu ya RasululLah. Hari ini hari ulangtahun kelahiranmu. Hari yang sangat bersejarah dan sangat bermakna kepada kami umatmu - umat Islam di seluruh dunia. Salawat dan Salam ke atasmu!

Lebih 1400 tahun lalu, Nabi Muhammad saw dilahirkan di Mekah. Empat puluh tahun kemudian diutuskan Tuhan menjadi Rasul pilihan-Nya. Ketika itu masyarakat Arab di Mekah dan persekitarannya berada dalam zaman Jahiliah. Jahiliah ini tidaklah merujuk kepada kejahilan pengetahuan semata-mata, tetapi lebih merujuk kepada kesesatan hidup di luar iman. Jahiliah ini merujuk kepada kejahilan dan kebebalan hati nurani, bukan sekadar kejahilan akal dan budaya.

Kini setelah lebih 1400 tahun RasululLah saw berjaya membebaskan masyarakat Arab dan bangsa-bangsa lain daripada belenggu Jahiliah, nampaknya masyarakat dunia kembali kepada Jahiliah semula. Lebih malang lagi apabila sebahagian orang yang mengaku umat Islam turut terjerumus ke dalam Jahilah zaman moden ini.

Di zaman RasululLah saw, baginda membebaskan bangsa Arab daripada perangkap jahiliah di mana mereka mensyirikkan Tuhan, membunuh anak-anak perempuan kerana malu, berperang sesama sendiri hanya berpunca daripada hal-hal peribadi di samping mengagungkan kesukuan dan kaum. Mereka begitu kejam membunuh anak-anak perempuan mereka kerana bimbang ia akan memalukan hidup mereka.


Hari ini saban masa kita disajikan dengan berita dan laporan tentang pembunuhan kejam ke atas bayi melalui pelbagai cara. Orang membuang bayi yang baru dilahirkan di merata tempat. Akhirnya bayi-bayi malang itu ada yang ditemui masih hidup dan sebahagiannya sudah mati. Kematian bayi-bayi ini begitu tragik dan amat memilukan. Hari ini orang membunuh anak tanpa mengira lelaki atau perempuan. Mereka melakukannya juga kerana malu - malu atas perbuatan mereka sendiri.

Ini adalah satu ciri jelas yang membuktikan betapa jahiliah masih wujud dan lebih menyedihkan ia wujud di kalangan umat yang mengaku umat Islam, mengaku nabi Muhammad saw nabi mereka. Malangnya mereka masih tidak mampu keluar daripada kepompong jahiliah.

Di samping itu amalan-amalan khurafat, karut dan tahyul masih terus segar dalam budaya hidup orang yang mengaku umat Islam. Mereka percayakan kekuasaan lain daripada kekuasaan Allah SWT. Mereka mencari kekuatan dan kesembuhan daripada bomoh, dukun, pawang dan paranormal. Mereka percaya golongan ini adalah orang-orang sakti yang mempunyai keistimewaan untuk menolong mereka, dan menyembuhkan mereka daripada penyakit baik penyakit fizikal mahupun penyakit jiwa. Mereka ini bukanlah jahil dari segi pengetahuan kerana sebahagian mereka adalah pemilik ijazah bergulung-gulung, dari bacelor sampai PhD. Namun begitu mereka masih pergi kepada golongan 'orang sakti' ini untuk mendapatkan pertolongan, untuk mendapatkan tangkal azimat, membeli khodam dan entah apa lagi bahan khurafat yang menyesatkan. Sebahagian mereka adalah orang-orang yang dipercayai masyarakat seperti pemimpin-pemimpin politik. Mereka mencari bomoh untuk menguatkan pengaruh, mengukuhkan sokongan rakyat. Sangat malanglah apabila orang-orang yang disanjung dan diharap memimpin masyarakat terlibat dalam amalan jahiliah ini.


Hari ini khurafat, tahyul dan animisme nampaknya segar kembali dalam masyarakat, masyarakat kita umat Islam. Sangatlah malang apabila hal-hal khurafat ini memenuhi ruang siaran media elektronik dan media cetak kita, menghidangkan kekarutan animisme kepada masyarakat penonton dan pembaca. Saban hari kita disajikan dengan filem, drama dan kisah-kisah mistri, seram, cerita hantu jemmbalang dan puaka. Sedarkah kita bahawa semua ini menggambarkan kita masih berada di dalam zaman jahiliah?

Di hari ulangtahun kelahiran Nabi Muhammad saw ini, marilah kita renung dan menilai situasi semasa kita. Apakah kita benar-benar telah bebas daripada belenggu jahiliah, atau masih terus bergelumang dengan budaya jahiliah?

No comments:

Post a Comment