Tuesday, February 2, 2010

Ziarah ke Ho Chi Minh


17 Januari lalu bersama Ad dan Majid, kami ke Ho Chi Minh City, Vietnam untuk meninjau projek di sana. Tiga hari di sana agak suntuk kerana program tinjauan kami agak padat. Tidak sempat meninjau kehidupan kotaraya Ho Chi Minh kerana program lawatan kerja kami agak padat. Hanya sempat meninjau aktiviti perniagaan di sana ketika jalan-jalan mencari kedai makan - kedai makanan halal. Agak sukar mendapatkan maklumat kerana kebanyakan orang Vietnam kurang fasih berbahasa Inggeris. Namun akhirnya kerana rajin jalan-jalan, bertemu juga dengan kawasan makanan halal. Kebetulan pula di jalan yang sama terdapat sebuah masjid. Di sana terdapat beberapa buah restoran halal diusahakan oleh orang India.

Harga makanan halal di sini agak mahal, mungkin kerana tidak banyak tempat menyajikan makanan halal, atau mungkin juga kos hidup di bandaraya Ho Chi Minh agak tinggi. Lagi pula rata-rata menggunakan USdollar. Penggunaan USdolar menjadi tinggi sekiranya ditukar nilai kepada mata wang kita - RM. Selain itu harga barangan di sini agak mahal kerana faktor tadi. Harga kos penginapan ternyata sangat tinggi. Hampir sekali ganda kos hotel di Kuala Lumpur. Harga bilik hotel tiga bintang menyamai harga hotel lima bintang di KL. Mengejutkan kami. Namun menurut seorang rakan pelancong, harga bilik sekarang sudah murah berbanding dengan harga dua tahun dahulu. Agaknya harga sebelum ini lagi tinggi.

Suasana kotaraya Ho Chi Minh meriah sebagaimana kehidupan kota-kota besar lain di dunia. Kehidupan di kota membayangkan kemewahan hidup golongan berada dan golongan kaya. Kereta mewah siri mutakhir boleh dilihat di mana sahaja. Kehidupan kotaraya Ho Chi Minh memperlihatkan perkembangan gaya hidup mewah. Bangunan-bangunan besar tinggi mencakar lagi sedang rancak dibangunkan, boleh dikatakan di merata tempat di bandaraya ini. Memang pembangunan fizikalnya begitu pesat. Menurut Nguyen Tam Kanh, rakan baru kami di sana, pembangunan Ho Chi Minh kini sedang pesat. Penduduknya pada masa ini sekitar lapan juta. Kanya, dalam waktu terdekat angka itu dijangka akan menjadi 10 juta.


Gambar: bersama Tam Kanh dan Ad di kanan

Menurut Tam Khanh, orang-orang Vietnam dari luar bandar datang berhijrah mencari penghidupan di bandaraya Ho Chi Minh. Sungguhpun kos hidup yang tinggi, namun mereka merasa peluang mencari rezeki lebih banyak di bandaraya, berabanding dengan kehidupan di desa.

Nampaknya kehidupan di bandaraya Ho Chi Minh menggambarkan dua status kehidupan, iaitu kehidupan mewah di kalangan yang berada, dan kehidupan biasa bagi golongan rakyat marhain. Di sini kehidupan cara komunis seperti yang sering kita faham tidak kelihatan langsung. Rata-rata orang bekerja keras mengejar kehidupan selesa. Perniagaan di kawasan pusat kota kelihatan mewah, degan butik-butik mempamerkan produk berjenama dan berharga mahal, semuanya dalam USdollar. Umumnya kelihatan seperti pemandangan kawsan perniagaan kota-kota besar dunia yang lain.

Dua hari kami di sini, memanfaatkan masa yang padat dengan program meninjau teknologi pembinaan yang dimajukan oleh sebuah syarikat berasal dari Austria, EPS Manufacturer. Mereka memperkenalkan produk pasang siap daripada kerangka dawai besi yang praktikal dan murah. kami dibawa meninjau projek pembangunan yang menggunakan teknologi ini di bandaraya dan juga keluar jauh ke kawasan luar bandar melihat projek perumahan murah di sana. Nguyen Tam Khanh, Pengurus ESP membawa kami meninjau projek tersebut. Seharian masa diambil untuk pergi balik ke daerah luar bandar itu. Jalanraya ke sana agak baik. Kiri kanan jalan terdapat estet getah dan kawasan perumahan rakyat.

Dua tiga hari di sini tentulah tidak mkencukupi untuk mendapat pelbagai maklumat tentang kehidupan orang Vietnam. Namun sebagai satu lawatan pertama, ia membuka fikiran dan persepsi benar tentang kehidupan sebenar Vietnam hari ini, selepas puluhan tahun meninggalkan zaman gelap peperangan dengan Amerika. Ho Chi Minh adalah ibukota Vietnam Selatan ketika peperangan dahulu. Ia menjadi kubu kuat dana kubu terakhir Amerika untuk mempertahankan diri daripada pengaruh Komunis dari utara (Vietnam Utara). Kini Vietnam berada dalam satu kesatuan, dan nampaknya komunis tidak lagi dapat mempertahankan ideologinya kerana rata-rata rakyat Vietnam mahukan pembangunan. Kini mereka sebagaimana China sedang membuka dirinya kpada pengaruh luar, untuk menjadi negara maju dari masa ke semasa. Atas semangat ini Vietnam menjalinkan hubungan dagang dengan nagara-negara luar. Melalui Asean Vietnam mendapat kemudahan akses untuk mempercepatkan kemajuan ekonomi dan sosial mereka, melalui kerjasama dan bantuan rakan-rakan Asean yang lain.


No comments:

Post a Comment