Tuesday, October 4, 2011

Bila Tun Mahathir komen hantu.


Baru-baru ini isu hantu mendapat liputan muka hadapan akhbar, apabila orang yang membicarakannya adalah orang selebriti, Tun Dr Mahathir Muhammad, bekas PM kita. Tun Mahathir mengkritik lambakan cerita hantu di pasaran semasa, yang disifatkan sebagai usaha mempromosikan kepercayaan karut, yang tidak membantu membina masyarakat produktif. Beliau juga menyisatkan lambakan cerita hantu di panggung dan di tv banyak menyumbangkan kepada serangan histeria di kalngan pelajar Melayu.

Apabila orang yang bercakap tentang hantu ini adalah seorang doktor, berlatar belkangkan sains, seorang pemikir, seorang negarawan dan seorang yang dikenali sebagai pemikir kritis dan diterima di seluruh dunia; maka isu ini nampaknya bukanlah isu kampungan lagi.

Pada tahun 2009 yang lalu, saya telahpun membangkit hal yang serupa dalam blog ini, namun pandangan itu tidak diberi perhatian, mungkin kerna ianya adalah pandangan orang biasa. Di sini saya ambil petikan sebahagian daripada pandangan tersebut yang termuat dalam post bertarikh 16 Jun 2009.

"Saya sering terpanggil untuk menulis tentang sikap orang Melayu yang begitu taksub dengan hantu. Akhir-akhir ini kita disajikan dengan terlalu banyak cerita hantu melalui filem dan drama di televisyen tempatan. Cerita-cerita misteri tentang alam ghaib, tentang hantu dan jin serta tentang kepercayaan animisme masyarakat Melayu, nampaknya dieksploit dengan begitu berlebih-lebihan oleh pengusaha media, pengarah filem/drama, penulis skrip. Apakah kerana cerita begini mendapat rating yang tinggi, iaitu mengikut permintaan penonton yang tinggi, atau apakah mereka cuba menaja sesuatu kepada penonton. Niat sebenar mereka hanya Tuhan sahaja yang tahu.

Namun dari satu sisi, saya sungguh kecewa dengan perkembangan ini. Ada orang melihat ia fenomena biasa untuk tujuan hiburan semata-mata. Tetapi saya melihat kesan sampingan yang tidak sihat dan merosakkan minda penonton, terutama generasi muda, anak-anak yang belum mengerti apa-apa. Stesen TV, penerbit, penulis dan pelakon pastinya dapat wang daripada usaha mereka, tetapi penonton dapat apa? Selain hiburan mereka tidak memperolehi apa-apa kerana nilai informasi atau ilmu dalamnya masih boleh kita persoalkan. Apakah cerita itu ada unsur pendidikan? atau ada nilai moral? Kadang-kadang kita melihat sesuatu yang lucu dan mengelirukan apabila ada selitan maksud ayat al-Quran diselitkan dalam cerita-cerita karut yang ditayangkan. Apakah itu cukup untuk membuktikan drama mereka ada nilai pendidikan?


Cerita yang tidak berasaskan maklumat yang benar (kerana mana ada cerita hantu yang ada fakta dan angka yang saintifik?), maka semua cerita itu adalah rekaan, hasil dengar-dengar, warisan kisah turun temurun kepercayaan animisme Melayu. Apakah nilai animisme begini yang hendak dijajakan dan hendak diserap ke dalam minda generasi ICT? terutama orang-orang Melayu?

Dari sudut agama pula, apa nilai agama yang ada dalam cerita-cerita ini? Suatu yang tidak diasaskan kepada fakta dan ilmu, ia teryata tidak langsung Islamik. Janganlah diselit-selit dengan ayat-ayat al-Quran untuk menghalalkan amalan karut animisme itu. Islam tidak sekali-kali akan berkompromi dengan sikap animistik kerana ia adalah berlandaskan akidah yang sahih sedangkan animisme adalah khurafat dan syirik.

Inilah dilema orang Melayu terutama mereka yang berada di industri hiburan. Carilah topik-tpopik bernilai dan segmen hiburan yang ada nilai ilmu dan membina untuk dibuat drama atau filem. Sampai bila kalian hendak hanyut dan dihanyutkan dengan kekarutan atau apakah kalian hendak membawa penonton khususnya masyarakat Melayu ke belakang?

Media perlu melihat jauh ke hadapan, menyajikan filem/drama fiksi yang berasaskan sains dan kajian-kajian saintifik. Banyak bahan ilmu begini, tetapi pastilah ianya memerlukan banyak usaha penyelidikan, kajian dan pembacaan. Kerja begini tidak disukai kebanyakan orang termasuk orang di media.


Piramid berada di bumi yang ramai pengamal sihir dulu, dan mungkin juga hari ini?

No comments:

Post a Comment