Friday, September 30, 2011

Nostalgia Sista dan Sahabat Ghufran.

Pada 25 September lalu, perjumpaan Idulfitri anjuran Koperasi Sahabat Ghufran telah diadakan di Cafe Ghufran, Masjid al-Ghufran, Pinggiran Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur. Koperasi Sahabat Ghufran adalah sebuah koperasi alumni Izzuddin Shah dan Raja Perempuan Taayah (Sista) yang berada di lembah Kelang dan sekitar Selangor. Ia baru ditubuhkan dan sudahpun didaftarkan dengan rasmi dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

Perjumpaan ini lebih penting daripada sekadar perjumpaan berhariraya, kerana ia telah menghimpun semula sekitar 40 orang alumni Sista dan ahli keluarga mereka. Perjumpaan ini menjadi medan melepaskan rindu dan mengimbau kembali nostalgia indah semasa belajar dahulu.

Pengerusi Koperasi, Dato' Dr Sahar Sidek adalah antara alumni paling senior. Beliau adalah pelajar kelas pertama 1959/60. Turut hadir ialah Dato' Rafei Mokhtar, Pengerusi Kopersai Sista, yang datang dari Ipoh. Selain itu dua orang bekas guru, Cikgu Jaafar dan cikgu hanafiah turut hadir.

Perjumpaan ini turut menemukan kami rakan-rakan alumni 1966-70. Saudara Ismail Basri dan Azizan Taib adalah dua orang kuat Koperasi. Selain mereka turut hadir Mohd Rashad Muhamad (Dato' Dr) kini President Multimedia Universiti, Dr Mokhtar Abu Bakar, pensyarah Fakulti Perubatan UKM, Nordin Ahmad, Imran, Khalil, Ishak Fahmi, Wahab Abdullah, Haji Mokhtar Ramli dan Dato' Murad Khalid. Selain beberapa orang yang masih bertugas, selebihnya sudah bersara.

Di usia begini, perjumpan dengan teman-teman sekolah begitu bermakna dan penuh nostalgia. Zaman persekolahan adalah zaman yang penuh dengan keceriaan dan semangat. Di sinilah tempat kita mengenal dunia, mengenal hidup dan tanggungjawab. Belajar di sebuah sekolah agama yang menekankan nilai-nilai dunia akhirat secara integratif, menjadikan kami orang-orang terdidik, terasuh dengan nilai-nilai murni.

Memandangkan sebahagian alumni Sista adalah bekas orang-orang profesional di pelbagai bidang termasuk pentadbiran, pendidikan, perbankan dan mereka pula kini mempunyai ruang waktu lapang; maka eloklah kita bersinergi menyumbangkan sesuatu yang bermakna kepada komuiniti kita dan juga masyarakat secara umumnya. Apabila ada cetusan idea untuk terlibat dalam bidang pendidikan, maka idea ini sangatlah idealistik dan munasabah. Memandangkan ramai kalangan alumni adalah bekas pendidik baik di sekolah mahupun di pusat pengajian tinggi, maka pengalaman ini sangat berharga untuk diterapkan ke arah merealisasikan idea di atas.

Trend semasa kini adalah pendidikan secara integrasi antara pendidikan agama dan profesional. Atau konsep podok (pesanteran) modern yang menekankan nilai-nilai agama di tahap penerapan dan penghayatan di level emosi dan spiritual.



Berdiri dari kiri: Hj Mokhtar Ramli, Afifi Ahmad, Dato' Dr Rashad Muhammad, Nordin Ahmad dan Hj Azizan Taib. Duduk dari kiri: Hj Ismail Basri, Dr Mokhtar Bakar dan Hj Khalil Musa. Gambar ehsan faebook Dr Mokhtar.

1 comment:

  1. salam
    memang benar bahawa sejarah persekolahan silam tidak akan dilupai sama ada manis atau sebaliknya.
    Alhamdulillah berkat keikhlasan para guru dan ustaz yang mengajar dan mendidik kita, kita dapat tampil ke dada masyarakat dan memberi sumbangan terbaik yang dapat kita lakukan.
    usaha menyambung silaturrahim melalui koperasi adalah lebih kuat dan mantap kerana ia ada program dan ikatan modal. mudahan sahabat mengambil kesempatan ini untuk menjadi ahli dan menyumbang idea dan kepimpinan.salam

    ReplyDelete