Wednesday, July 8, 2009
Ke era pertanian organik – siri 1
Pada tahun 2004 lalu saya begitu teruja dengan teknologi EM (Effective Microorganisme) apabila mendengar tentang keupayaan mikrob yang mana setengah orang mnyebutnya sebagai enzim yang dapat mengatasi masalah alam sekitar. Subjek alam sekitar sememangnya menjadi minat saya, di mana saya mula memberi perhatian sejak 1979 ketika mula bertugas di akhbar Berita Harian. Waktu itu seringkali juga saya diberi tugasan menemui penyelidik alam sekitar dari luar negara dan ahli-ahli persatuan seperti Persatuan Pencinta Alam dan lain-lain. Buku Gejala yang saya hasilkan dalam tahun 85 memuatkan beberapa rencana tentang alam sekitar. Ini adalah sebagai sumbangan dan bukti komitmen saya ke arah alam sekitar yang sejahtera.
Berbalik kepada EM, maklumat-maklumat tentang EM amatlah terhad. Akhirnya saya mula melayari internet mencari sumber maklumat. Ketika ke Indonesia saya mendapat maklumat daripada majalah Trubus (yang terkenal dengan fokus kepada pertanian) bahawa terdapat kursus pertanian organik yang menggunakan teknologi EM. Kursus tersebut dianjurkan oleh Institut Perlatihan Sumberdaya Alam (IPSA) di Bali. Saya membuat keputusan untuk mengikuti program latihan tersebut untuk memahami tentang EM.
Berbekalkan hanya maklumat, saya ke Bali melalui Surabaya. Pertama kali ke Bali seorang diri agak mencabar. Lokasi tempat kursus rupanya jauh di utara pulau Bali berhampiran Singaraja. Terletak di sebuah perkampungan sunyi di Desa Bengkel. Tiga hari saya bersama lapan orang peserta daripada sebuah agensi kerajaan Indonesia mengiktui kursus aplikasi teknologi EM ini.
Di sinilah bermulanya perkenalan dengan EM. Istimewanya pengasas dan pemilik IPSA, Ir. I Ngurah Wididana adalah bekas murid kepada pengasas teknologi EM sendiri iaitu Prof Dr Teruo Higa. Pak Widi (panggilan ringkas) adalah bekas pelajar Sarjana Pertanian di Univeriti Ryukyus di Okinawa, Jepun. Beliau belajar di bawah bimbingan Profesor Teruo Higa. Di sinilah bermulanya perpindahan ilmu tentang teknologi EM ke Indonesia. Apabila pulang ke Indonesia, Pak Widi memajukan EM dan aplikasi teknologinya ke atas pertanian di Indonesia, khususnya di tempatnya di Bali.
Saya merasa bertuah kerana dapat memahami teknologi EM dari sumber yang autoritatif. Banyak ilmu yang saya perolehi selama belajar di IPSA. Biarpun kursus ini kursus pendek, tetapi apa yang lebih penting ialah ia menjadi asas atau permulaan kepada usaha saya meneroka jauh ke dalam teknologi EM.
Dari masa ke semasa saya membuat jaringan dengan akses internet untuk mengumpulkan pelbagai maklumat tentang perkembangan teknologi ini di seluruh dunia. Malaysia agak ketinggalan dalam teknologi EM atas kesilapan beberapa pihak di sini. Sebenarnya Profesor Higa pernah datang ke Malaysia sekitar tahun 90an. Saya mendapat maklumat daripada rakan-rakan di UPM (Universiti Pertanian Malaysia waktu itu) bahawa Profesor Higa pernah datang ke UPM dan membentangkan hasil penemuannya tentang teknologi EM ini. Malangnya beliau tidak diberi sambutan yang baik, dan idea-ideanya tidak begitu dihargai. Profesor Higa kelihatan kecewa dengan sambutan dingin terhadap usahanya.
Di luar negara idea EM ini diterima secara positif. Ia dibawa masuk ke negara-negara Asia seperti Thailand, Filipina, India, Indonesia, dan kini sudah diterima pakai di Amerika, Kanada dan negara-negara Eropah. Kerana manfaat teknologi ini begitu besar ke atas aktiviti pertanian dan pemeliharaan alam sekitar, negara-negara maju begitu teruja dan mengambilnya secara positif.
Akhir-akhir ini orang Malysia baru membuka mata mereka kepada teknologi EM. Beberapa pihak terutama pengusaha pertanian dan peternakan mula merasakan manfaat EM kepada aktiviti mereka. Sebahagian pengusaha mendapatkan bekalan EM daripada pihak-pihak di Thailand dan Indonesia. Sementara itu UTM di Johor Baru khabarnya ada memajukan pemerosesan EM. Kini EM sudah boleh didapati di Malaysia, namun saya pasti aplikasinya ke atas aktiviti pertanian dan alam sekitar masih sangat terbatas.
(sesiapa yang ingin mendapatkan bekalan EM atau maklumat tentangnya, bolehlah menghubungi Afagrotech di talian 017-878 2829 atau 019-416 4849.)
Gambar, atas: pemandangan sawah di Jati Nangor, Bandung. Bawah: perkebunan di Batu, Malang, Indonesia.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment