Friday, July 31, 2009
Mengenal Mokichi Okada dan falsafahnya.
Pertanian organik ada persamaan dengan pertanian alami (nature farming) kerana kedua-duanya menolak penggunaan bahan-bahan kimia baik baja mahupun racun (racun rumpai atau raun serangga). Namuan begitu konsep pertanian alami lebih unggul dan mantap kerana ia diasaskan kepada filosofi yang memuliakan alam.
Pertanian alami seperti yang dimajukan oleh Jepun yang dikenali sebagai Kyusei Nature Farming itu adalah didasarkan kepada suatu prinsip kepercayaan yang kukuh, iaitu prinsip memuliakan sumber alam sebagai anugerah Tuhan yang sangat bernilai. Di samping itu alam juga adalah satu ciptaan yang dianugerahkan Tuhan kepada manusia untuk dimanfaatkan semaksimumnya, juga untuk diperlihara, dijaga dan dilestarikan. Itulah asas kepercayaan masyrakat Jepun kepada prinsip alami yang dimajukan oleh Mokichi Okada.
Mokichi Okada (1882-1955) adalah seorang ahli falsafah, pemimpin spiritual, penyair, artis dan usahawan yang mengembangkan prinsip kepercayaan kepada keharmonian alam. Beliau adalah pengasas kepada pertubuhan yang dikenali sebagai Sekai Kyusei Kyo (SKK) yang kini merupakan sebuah organisasi antarabngsa yang dianggotai lebih 600 000 orang di seluruh dunia. Pertubuhan itu kini mengembangkan filosofi Mokichi Okada yang mengajak umat manusia bersatu menghadapi tiga musuh utama manusia sejagat iaitu penyakit, kemiskinan dan konflik. Oleh itu falsafah Mokichi Okada adalah ke arah kesejahteraan, kemakmuran dan keamanan dunia. Untuk mencapai matlamat tersebut beliau percaya manusia perlu kembali kepada alami (back to nature), memajukan aktiviti pertanian untuk menyediakan bekalan makanan yang mencukupi di samping yang berkualiti, menghindari penyakit dan menghindari sebarang konflik yang akan membawa kepada permusuhan sesama manusia.
Sejak diasaskan pada tahun 1935 falsafah Mokichi Okada ini telah berkembang menjadi satu ajaran baru yang dikembangkan ke Amerika Syarikat dan Amerika Selatan. Ribuan orang tertarik dan mengikuti ajaran baru ini kerana ciri-cirinya yang universal, ringkas dan sesuai dengan nilai-nilai kemanuisaan sejagat. Kepada mereka yang tidak mempunyai anutan agama, sebahagiannya yakin ajaran ini sebagai agama, manakala sebahagian pengikutnya menganggap ia satu aliran kerohanian yang membina. Secara umumnya ramai pengikut yang mengamalkan beberapa ajarannya yang menekankan kepada prinsip perawatan yang dikenali sebagai Johrei, mengamalkan pertanian alami dan juga menghayati pelbagai aktiviti seni.
Sekai Kyusei Kyo adalah pertubuhan spritual untuk menyelamatkan dunia. Ia diterjemahkan dalam bahasa Inggeris sebagai Church of World Messianity. Di Brazil di mana terdapat ramai rakyatnya yang berketurunan Jepun, ajaran Mokichi ini telah dikembangkan oleh pengikut setianya menjadi satu aliran agama baru. Contohnya Yoshikazu Okada (1901-1974) mengasaskan Sekai Mahikari Bunmei Kyudan, manakala Keishu Okada pula mengasaskan Sukyo Mahikari. Sejak digerakkan pada tahun 1930 di Brazil, pertubuhan-pertubuhan tersebut telah menarik ramai pengikut termasuk orang-orang tempatan Brazil. Dikatakan lebih sejuta orang Brazil mengikuti ajaran ini.
Di kebanyakan lokasi ajaran ini (SKK) terdapat tempat suci berupa bangunan ibadat di mana para pengikut akan berkumpul di sama. Uniknya bangunan ini tidak mempunyai simbol-simbol keagamaan seperti gereja dan kuil. Sesuai dengan ajaran yang diikuti oleh orang daripada pelbagai agama, Bangunan SKK hanya berupa dewan perhimpunan berpentas di hadapan. Ajaran ini agak liberal apabila mereka menerima siapa sahaja untuk menyertai mereka tanpa batasan bangsa dan agama. Ia benar-benar bersifat universal. Ketika melawat SKK di Sara Buri, saya berkesempatan melawat sebuah pusat SKK terbesar yang mempunyai kemudahan bangunan yang sungguh besar setinggi tiga tingkat memuatkan dewan, galeri lukisan dan kantin. Bangunan berbentuk bulat dan mempunyai kubah bermenara tinggi menjulang ke langit, adalah didasarkan kepercayaan ajaran SKK yang percaya alam ini kebanyakannya dicipta Tuhan dengan sifat bulat. Manakala ketinggian menara ke langit adalah ciri-ciri spiritual yang percaya kepada Tuhan. Cita-cita Mokichi untuk mewujudkan sebuah syurga di bumi, dijelmakan pada konsep pembangunan tempat suci SKK ini. Persekitarannya dihiasi indah dengan taman botani yang menonjolkan imej-imej alam dengan mengekalkan kehijauan persekitaran.
Bangunan SKK di Sara Buri menjadi tumpuan pengikutnya dari Thailand dan seluruh dunia
Mokichi mengajak manusia mengutamakan aspek spiritual dengan membersihkan diri daripada segala elemen-elemen yang mengotorkan jiwa. Dia mempunyai konsep sains dan kesihatan yang holistik, dengan menerapkan konsep rawatan secara spiritual yang dikenali sebagai Johrei. kaedah perawatan agak sederhana dan ringkas, iaitu menyalurkan energi kepada seseorang yang memerlukan bantuan. Sebagaimana Reiki, Johrei juga berupa pemindahan energi Tuhan melalui doa untuk membantu mereka yang memerlukan. Pengikut SKK akan melakukan terapi Johrei sesama sendiri atau kepada sesiapa sahaja (termasuk melalui jarak jauh) dengan memindahkan energi Tuhan untuk membersihkan diri seseorang dari dalam (spiritual). Kesan penyucian spiritual ini akan menyembuhkan gejala penyakit termasuk gejala fizikal. Melakukan Johrei bukan sekadar merawat tetapi juga satu cara memurnikan ruhani sendiri melalui khidmat membantu, mendoakan orang lain menjadi lebih sihat dan sejahtera.
Di Amerika Syarikat dan Amerika Selatan, Johrei dikenali sebagai Okada Purifying Therapy (OPT). Oleh kerana Johrei atau OPT ini mudah diamalkan di samping memberi kesan kesembuhan nyata, maka ramai orang mengamalkannya. Okada percaya diri manusia seperti juga alam mempunyai daya penyuciannya sendiri. Alam dibersihkan dengan hujan dan angin, maka diri manusia juga mempunyai keupayaan dalaman untuk membersihkan dirinya. OPT biasanya dilakukan dalam tempoh singkat.
Prinsip ajaran Mokichi Okada berasaskan kepada tujuh prinsip utama, iaitu: peraturan-sunnah, kesyukuran, penyucian, kekuatan spiritual, sebab-nusabbab, spiritual mendahului fizikal, kesatuan spritual dan fizikal.
Prinsip itu diterapkan dalam amalan penjagaan kesihatan melalui Johrei/OPT dan menikmati makanan bermutu (berasaskan organik dan alami), pertanian alami sebagai sumber makanan yang bermutu, dan juga menghayati aktiviti seni kerana ia dapat memurnikan spiritual. Pelbagai jenis seni seperti seni lukis, muzik, seni tari, kraf dan lain-lain merupakan aktiviti yang memeurnikan ruhani manusia.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment