Tuesday, July 7, 2009

Taman Makanan (Edible Garden)


Taman Dapur atau taman makanan (edible garden) adalah konsep lama yang kembali diuar-uarkan oleh pemimpin negara. Sebelum ini isteri bekas Perdana Menteri lalu, Tun Jean Abdullah membina edible garden di sekitar kediaman rasminya di Putrajaya. Terbaru ialah usaha Felda menggerakkan kempen supaya para penerokanya memajukan edible garden masing-masing di sekitar rumah mereka. Kempen edible garden ditekankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abd Razak sewaktu merasmikan Hari Peneroka 2009 di Labis, Johor hari ini.

Sebenarnya orang-orang kampng dahulu (sekitar 50 tahun ketika waktu saya kecil)telahpun mengamalkan konsep edible garden ini. DI sekeliling rumah ditaman dengan pelbagai tanaman makanan seperti sayur-sayuran, ulam-ulaman dan tanaman rempah-ratus. seingat saya di sekeliling rumah kami dan boleh dikatakan di semua rumah penduduk kampung, ada tanaman dapur seperti serai, kunyit, lengkuas, halia, cekur, kantan, bawang, cili (cili api dan cili besar), kesum, kaduk, sekentut, ubi kayu, salam, semangi, pegaga, ulam raja, selom, limau, karipule dan macam-macam lagi. Selain yang ditanam, tumbuh-tumbuhan yang tumbuh dan hidup sendiri pun banyak di sekitar rumah. Pokok salam, contohnya, pucuk yang enak dibuat sayur dan juga rencah masakan lain. Pucuk paku tumbuh subur di sekitar kawasan semak. Pucuk ubi, pucuk gajus, pucuk betik, pucuk labu, pucuk mengkudu semuanya boleh dijadikan ulam.

Ketika bulan puasa, arwah emak rajin membuat nasi ulam. Beberapa minit beliau meramu pelbagai jenis ulam di sekitar rumah, kemudian sudah siap untuk dijadilan ulaman yang digaul dengan nasi, ditambah dengan rencah sambal, ikan asin dan kerisik, akhirnya terhidanglah nasi ulam. Harumnya serai, daun kunyit, kaduk, pegaga dan lain-lain membangkitkan aroma yang sungguh menyelerakan. Boleh dikatakan setiap kali bulan puasa nasi ulam akan dihidangkan. Kadang-kadang berkali-kali disajikan sepanjang Ramadhan. Begitulah nikmatnya hidangan kampung yang sederhana tetapi lazat, kini menjadi nostalgia sehingga kini.

Mewahnya pelbagai sayur-sayuran, ulam-ulaman dan tanaman perencah makanan di kampung adalah berkat tradisi murni orang-orang kampung yang sudah biasa menanam pelbagai jenis tanaman tersebut, untuk kegunaan harian mereka. Suatu waktu dahulu penduduk kampung benar-benar berdikari dalam menyediakan pelbagai keperluan makanan seharian mereka. Kelapa didapati daripada pohon kelapa yang ditanam sendiri. Ada akala mereka membuat minyak masak daripada kelapa. Minyaknya harum, segar dan bebas daripada bahan kimia seperti minyak RBD. Selain minyak, kelapa diparut dan dibuat kerisik, perencah makanan yang istimewa. Bagi orang kampung, dengan adanya semua bahan-bahan makanan ini di sekitar rumah, di belakang dapur atau di halaman rumah, memudahkan mereka memetik tumbuh-tumbuhan ini ketika hendak memasak. Selain mudah, segera bahan-bahan ini juga begitu segar kerana setelah dipetik, langsung dimasak atau dihidangkan sebagai ulaman.

Hari ini kehidupan kita jauh berubah. Struktur sosial mengubah budaya ini. Tinggal di bandar, di kawasan perumahan yang padat, tiada ruang, tiada tanah untuk bercucuk-tanam. Apa lagi yang tinggal di kondo, apartmen atau rumahpangsa. Bukan sahaja di bandar, orang kampung hari ini pun tidak lagi seperti orang-orang tua mereka. Orang kampung hari ini juga sibuk dengan urusan kerja sehingga tidak lagi rajin bercucuk tanam di sekeliling rumah. Mereka lebih senang berbelanja membeli barangan makanan di kedai-kedai runcit atau pasar mini. Kata orang, serai sebatang, cili padi pun perlu dibeli. Tidak aneh kalau orang kampung sekarang ada yang tidak lagi pandai mengopek dan mengukur kelapa, kerana mereka senang membeli kelapa siap diparut di kedai atau di pasar.

Sebenarnya sikap kita yang perlu diluruskan kembali. Alasa tiada ruang, tiada tanah tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak berkebun. Bercucuk tanam bukanlah kerja yang susah. Tinggal di awangan seperti di rumahpangsa pun masih boleh bercucuk tanam kerana sebahagian tanaman tidak memerlukan tanah luas. Pot dan pasu pun boleh digunakan untuk setengah tanaman untuk makanan. Di samping itu hari ini sudah ada teknologi hidroponik dengan peralatan ringkas, tanaman dapat dibesarkan hanya menggunakan media air sahaja, tanpa tanah.

Mereka yang tinggal di rumah teres, tidak punya alasan langsung. Mereka masih mempunyai kawasan bertanah beberapa kaki di halaman dan belakang rumah. Kawasan ini sudah mencukupi untuk bertanam ulam-ulaman. Serumpun serai sudah mencukupi untuk bekalan masakan di rumah. Pegaga, ulam raja mudah tumbuh di sekitara rumah. Dua tiga pasu cili sudah mencukupi untuk perencah masakan.

Kesedaran untuk bercucuk tanam boleh membentuk sikap yang positif. Kesedaran itu dapat menjimatkan perbelanjaan dapur. Di pasar semua bahan makanan tersebut mudah didapati. Namun menanam sendiri bahan untuk dimakan adalah lebih baik kerana ia adalah hasil titik peluh sendiri. Selain jimat dan berhemat ia juga memberikan kepuasan. Selain faktor di atas, bercucuk tanam menyedarkan kita hubungan kita dengan alam. Kita akan belajar banyak perkara tentang alam di sekitara kita. Paling tidak kita akan mengenali ulam-ulaman dan perencah makanan kita. Selain itu menanam, membaja da membelai tumbuh-tmbuhan ini memberikan kesegaran minda dan kesegaran fizikal.

Jauh di sudut kesihatan pula, kita telah mengamalkan satu cara hidup sihat. Pertama kita akan berkeringat dengan kerja bercucuk tanam. Keduanya kita menjamin sumber makanan ini adalah bersih dan bebas dari bahan kimia dan racun kerana kita sendiri yang menanam dan merawatnya. Ketiga kita juga dapat memanfaatkan kaedah penanaman organik dengan memberikan tanaman kita baja-baja daripada sisa-sisa buangan organik dari rumah kita sendiri. Contohnya air basuhan beras, air basuhan ikan, sisa-sisa sayuran dan sisa makanan. Kalau kita pandai menggunakan teknologi biotek hari ini terdapat enzim pengurai kompos yang boleh didapati dengan murah. Contohnya menggunakan mikrob EM untuk membuat kompos organik secara mudah di rumah.

(EM boleh diperolehi dengan menghubungi Afagrotech 017-8782829)

1 comment:

  1. saya suka konsep edible garden.. tapi bermasalah dengan siput babi.. penat semai beih.

    ReplyDelete