Wednesday, July 1, 2009
Organik, kekayaan di tepi rumah.
Kehidupan di alam ini saling berkongsi sumber dan melalui perkongsian itu, setiap makhluk meneruskan kelangsungan hayat masing-masing. Begitulah tertib dan teraturnya SunnatulLah, terangkum dalam apa yang kita kenali sebagai ekosistem alam. Sejak terciptanya alam, jutaan tahun lalu hinggalah ke hari ini sistem itu atau SunnatulLah itu tidak sekali-kali berubah. Malangnya apabila manusia cuba mengubahnya, maka keharmonian sistem itu mula terganggu. Gangguan kepada ekosistem akhirnya memberi kesan buruk kepada alam dan berakhir kepada kehidupan manusia juga.
Suatu waktu dahulu sistem pertanian kita dapat berjalan dengan baik kerana bekalan air mencukupi. Walaupun di musim kemarau, bekalan air kita masih ada kerana hutan hijau kita adalah sumber pembekal air yang yang boleh diyakini. Malangnya apabila manusia tamak, menebang hutan hijau untuk mendapat hasil balak, akhirnya kita berdepan dengan masalah bekalan air yang berkurangan. Banyaklah sawah-sawah di kampung kering kontang tidak dapat ditanam padi lagi. Sungai dan anak air mengecil dan kekeringan. kalau adapun, sumber air menjadi keruh berkeladak akibat pembalakan yang tidak terkawal.
Sungguhpun sawah-sawah padi di kampung-kampung tidaklah seluas mana tetapi selama ini ia dapat diusahakan dan dapat membekalkan sumber makanan kepada orang-orang kampung. Selain mengairi sawah, air dari parit dan sungai tadi turut membekalkan ikan-ikan segar yang menjadi lauk-pauk penduduk kampung. Hari ini agak sukar mendapatkan bekalan ikan keli, haruan, puyu atau belut kerana sawah sudah tiada lagi. Apa lagi hendak mencari emping, memang tiada lagi.
Beginilah jadinya apabila alam diabaikan. Suatu waktu kita leka dengan pembangunan kebendaan, dengan fokus kepada industri pembuatan dan teknologi ICT; sehingga kita mengabaikan pertanian. Pertanian dipandang rendah, sehingga sebuah universiti ditukarkan nama daripada pertanian kepada nama lain, demi melupakan bidang pertanian.
Sikap itu akhirnya tidak ke mana juga, bak kata orang: bagai seluang melaut, tak ke mana juga. Akhirnya kita mahu tidak mahu terpaksa kembali kepada pertanian kerana setiap hari kita perlukan makanan. Kita mempunyai tanah subur, mempunyai ilmu dan maklumat yang mencukupi, mengapa mahu bergantung kepada bekalan import untuk dapatkan bekalan makanan. Apakah orang lupa bahawa pertanian adalah sektor strategik mana-mana negara pun di dunia ini.
Zaman ini zaman biotek atau bioteknologi, di mana bidang pertanian didapati begitu rapat dengan biotek. Trend kembali kepada bio atau kepada sumber alami begitu ketara waktu ini. Konsep bio ini perlu difahami secara makro dan mikronya. Secara umumnya kesedaran untuk kembali kepada alami atau kepada organik adalah bermula daripada kesedaran sebahagian orang terhadap kesan buruk daripada aktiviti penggunaan sumber kimia berlebihan terutama dalam aktiviti pertanian dan juga dalam aktiviti pemerosesan hasil hingga membawa kepada penghasilan makanan. Teknologi pengilangan memproses produk makanan melalui sistem RBD di mana keaslian sumber sudah tiada lagi. Contohnya minyak masak menjadi dihidrasi, manakala bahan makanan diproses menggunakan bahan-bahan kimia sperti fomalin, MSG, pewarna tiruan dan sebagainya.
Selama ini kita terlalu bergantung kepada sumber makanan siap proses. Kita akhirnya kehilangan kualiti daripada makanan kita. Kerana kekurangan bekalan daging dan ikan segar, kita mendapatkan bekalan daging dan ikan import. Bahan ini bukan sahaja tidak segar tetapi telah diproses menggunakan bahan kimia, yang membahayakan manusia. Kita sukar untuk memastikan apakah bahan pangawet yang digunakan oleh pengimport, kerana proses pemeriksaan bukanlah mudah. Oleh itu cara paling berkesan, dan mampu kita lakukan ialah mengurangkan atau mengelak daripada menggunakan bahan import, dan dapatkan bekalan segar.
Alam tropika begitu berharga kepada kita, kerana ia menyediakan semua keperluan makanan yang kita perlukan. Malanngya pengaruh Barat telah banyak merobah tabiat makan orang-orang Asia termasuk kita di Malaysia. Diet orang Asia adalah diet yang paling baik dan sesuai untuk kita orang Asia. Hutan kita menganugerahkan pelbagai jenis sayuran, ulaman, rempah ratus dan juga herba-herba ubatan kepada kita. Malangnya kita selama ini alpa dan melupakan semua khazanah tropika yang ada di sekeliling kita. Kita bangga dengan produk asing, kerana ia produk luar negara. Persepsi inilah yang menjadikan kita tidak menghargai apa yang kita ada. Kita selalu berfikir tentang hujan emas selalu ada di negeri orang.
Sumber sayur-sayuran seumpama paku-pakis, semangi, pucuk ubi, pucuk janggus, umbut, rebung dan ubi-ubian mudah didapati di sekitar kita. Ianya percuma dan berkhasiat di samping lazat. Rempah ratus seperti serai, kunyit, halia, lengkuas, kaduk, pegaga, pandan, bunga kantan dan pelbagai lagi mudah tumbuh di sekitar rumah. Malangnya sikap kita yang menjadikan kita terasing daripada sumber-sumber alami yang kaya dengan khasiat organik ini. Orang kamapung pun sudah tidak lagi rajin menanam keperluan-keperluan ini kerana merasa selesa dan senang mendapatkannya di kedai.
Pokok lekir suatu waktu dulu banyak tumbuh di kampung-kampung. Siapa peduli kepadanya kerana ia hanya membekalkan buah kepada burung-burung sahaja. Tahukah anda bahawa tumbuhan sekeluarganya adalah kaya dengan glukomanan di mana ubinya menjadi bahan makanan berharga kepada orang-orang Jepun. Tepung daripada ubinya sangat mahal di pasaran. Malangnya kita tiada pengetahuan dan maklumat tentangnya, maka barang berharga di tepi tangga rumah kita pun, kita tidak tahu nilainya.
Kini kajian perubatan terutama perubatan herba telah menemui betapa banyaknya sumber herba kita yang kaya dengan khasiat perubatan. Malang lagi bagi kita kerana tiada ilmu, tiada maklumat, kita tidak tahu berapa banyak herba-herba yang tumbuh sendiri di tepi tangga rumah, di sekeliling rumah, di sekitar kampung laman kita, mempunyai nilai khasiat perubatan yang berharga. Sedarkah kita jus manggis dijual ratusan ringgit sebotol dalam pasaran, padahal pada musim buah-buahan manggis berlambak-lambak dan membusuk di bawah pokok.
Pokok pangkalnya kesedaran kita. Kesedaran kita tidak akan tercetus tanpa ilmu, tanpa pengetahuan, tanpa maklumat. InsyaAllah kami akan berusaha menyajikan pelbagai maklumat yang ada, untuk dikongsikan dengan pembaca dari masa ke semasa, agar kita sedar betapa kayanya alam di sekitar kita, dan kekayaan itu seharusnya kita manfaatkan untuk kesihatan dan kemakmuran hidup kita jua.
Gambar: ubi berharga ini menjadi buruan industri ubatan dan kosmetik. Sedarkah kita? Inilah Peureria
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment