Sunday, December 6, 2009

Maal Hijah, berhijrahlah kita ..


Masa telah membawa kita jauh, jauh meninggalkan usia. Sebenarnya usia kita bukan semakin panjang, sebaliknya semakin pendek. Masa adalah suatu yang jauh, jauh pergi meninggalkan kita. Setiap kali kita sampai ke Maal Hijrah, ia mengingatkan kita bahawa setahun sudah masa berlalu, meninggalkan kita.

Kita baru sahaja melalui masa-masa yang maha berkat. Beberapa bulan lalu, kita melewati Ramadhan Mubarak, kemudian Syawal, kemudian Zulhijjah. Ramadhan membersihkan diri kita, kemudian Haji pula tambah menyucikan lagi. Kita pun kembali kepada fitrah diri.


Di lokasi-lokasi suci Arafah, Muzdalifah, Mina, dua Haramain, Masjidil Haram dan Masjidin Nabawi, kita mendekati sejarah tauhid untuk belajar dan belajar tentang erti tauhid dan membesarkan Allah SWT. Para Hujaj dan kita yang pernah berkesempatan melakukan Haji akan sentiasa mengenang kembali lokasi-lokasi penting itu sebagai madrasah kita di mana kita belajar dan berguru tentang perkara-perkara pokok dan dasar tentang Tuhan, rasul-rasul, tauhid, taqwa, kesabaran, keihkhlasan, jihad, hijrah, perjuangan, dan tentang diri kita. Haji telah membawa kiita ke sebuah lokasi penting untuk mengimbau dan menghayati secara langsung satu pengalaman kerasulan,pengalaman menegakkan tauhid di dalam diri, di dalam jamaah dan di dalam masyarakat.

Kita merasai bagaimana beratnya ujian dan cobaan yang dialami keluarga mulia Ibrahim as. Kisah tiga beranak Nabi ibrahim as, Nabi Ismail as dan ibunya Hajar kita ikuti, kita hayati secara sedar ketika kita bertawaf, bersai, melontar dan menyembelih korban di Mina. Tiga malam di Mina memberikan kita kesempatan menyelami sedalam-dalamnya makna taqwa, makna keihklasan, penyerahan, pengorbanan; sebagaimana dibuktikan oleh Nabi ibrahim as dan keluarganya. Kita melontar (70 biji batu) sebagai lambang menghadapi musuh manusia - iblis dan sekuunya. Lontaran yang terus perlu kita kita lakukan setiap masa, dalam bentuk apa pun asalkan ianya membawa maksud kita siap siaga berperang melawan musuh manusia itu, di sepanjang masa. Iblis akan berada di mana-mana sahaja, dekat kita, dalam diri kita. Maka ingatlah bahawa kita perlu sentiasa berwaspada untuk terus melontar syaitan-syaitan tersebut.

Kini kita akan menyambut satu detik penting dalam kelendar Hijriah, iaitu awal Muharram yang menandakan permulaan tahun baru Hijriah. Hijriah itu sendiri merujuk kepada peristiwa Nabi SAW berhijrah ke Madinah, satu peristiwa penting kepada perkembangan Islam dan perkembangan umat Islam. Ia juga satu detik penting untuk setiap orang dari kita bagi melakukan muhasabah diri, menilai pencapaian masa lalu dan merancang laluan baru di hadapan.

No comments:

Post a Comment