Wednesday, December 16, 2009

Sedialah untuk HIJRAH


Sehari dua lagi kita akan menyambut kedatangan hari pertama tahun baru Hijrah 1431. Kalendar Hijrah mengingatkan kita kita kepada sejarah perjuangan Islam, sejarah perjuangan Rasulullah SAW. Peristiwa Hijrah Nabi SAW ke Madinah dijadikan tarikh permulaan kalendar Islam, dan ia telah bermula sejak lebih 1400 tahun silam.

Saya antara orang yang sangat gembira apabila tahun baru Hijrah dimuliakan dengan cuti dan sambutan, yang kini dikenali dengan Maal Hijrah atau Bersama Hijrah. Di awal tahun 70-an dahulu, saya ada menulis tentang perlunya tarikh awal Muharram ini dirayakan atau dibesarkan. Ketika itu kita hanya menyambut Maulidul Rasul sahaja, sedangkan tahun baru Hijrah tidak diraikan. Akhirnya tahun baru diraikan dengan cuti dan sambutan Maal Hijrah yang dirayakan begitu meriah di seluruh negara (saya tidak pasti bila ia mula dirayakan dengan Maal Hijrah). Kesannya awal tahun baru Hijrah membangkitkan kesederan baru, sekurang-kurangnya kesedaran terhadap kalendar Islam dan perjuangan Islam itu sendiri.

Maal Hijrah bukan sekadar sambutan untuk menyambut datangnya awal tahun baru, tetapi lebih penting lagi konsep Hijrah itu sangat penting dan berpengaruh ke atas kehidupan orang Islam. Hijrah bukan sekadar satu peristiwa, satu sejarah, tetapi lebih dari itu ia adalah satu proses kehidupan, proses pendidikan, proses perjuangan dan ia adalah satu transformasi diri, tranformasi ummah. Maal Hijrah kepada kita bukan perayaan biasa sebagaimana orang lain menyambut kedatangan tahun baru mereka. Tahun baru Hijrah mempunyai nilai-nilai intrinsik, nilai dalaman yang sangat bererti. Ia mengandungi ruh Islam, ruh tauhid, ruh perjuangan. Dan ia terus akan memberi erti yang besar kepada pejuangan kita sebagai umat Islam sepanjang zaman. Hijrah Nabi SAW dari Mekah ke Madinah telah berlalu dan menjadi sejarah; namun Hijrah kita umat Islam perlu terus menerus dilakukan.

Berpuluh kata Hijrah dirakamlan oleh al-Quran. Inilah ukuran pentingnya Hijrah kepada kita umat Islam. Hijrah juga digandingkan dengan Jihad. Banyak ayat-ayat yang menggandingkan perkataan Hijrah dengan Jihad. Apakah maknanya kepada kita?


Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjihad pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan ingatlah ALlah Maha Pengampun, lagi Maha mengasihani. (maksud al-Quran 2:218).

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah, dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), mereka semuanya menjadi penyokong dan pembela antara satu sama lain. (maksud al-Quran: 8:72).

Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah (untuk membela Islam), dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia. (maksud al-Quran 8:74).

Demikian besar ertinya Hijrah kepada kita. Proses Hijrah akan sentiasa terjadi. Sepanjang kehidupan kita, pelbagai proses Hijrah telahpun kita lalui. Hijrah adalah satu hukum alam atau SunnatulLah. Kehidupan ini ditakdirkan perlu melalui proses hijrah dalam konteks berubah. Tiada kehidupan tanpa adanya perubahan. Tumbuhanan juga berubah, dari biji benih (yang nampaknya kering dan mati), tumbuh bertunas, membesar, berakar, berdaun, beranting, berdahan, kemudian membesar, menjadi pohon balak yang besar dan berusia ratusan atau ribuan tahun. Manusia dan haiwan juga serupa. Malahan sumber-sumber alam juga menjalani hukum yang serupa. Semua kehidupdan mengalami kematian, di mana proses perubahan terjadi melalui pereputan dan perubahan jisim dan bentuk. Tulang dan daging hancur menjadi humus dan tanah, kemudian menjadi makanan mikrob yang kemudian memprosesnya menjadi sumber nutrien kepada tanaman. Pereputan hidupan di bumi akan terbenam ke dalam bumi, berubah menjadi logam dan minyak, yang kemudiannya kita gali dan manfaatkannya sebagai bahan bakar dan sumber tenaga.


Dalam konteks alam, Hijrah adalah proses alamiah, proses Sunnah. Tanpa sedar proses ini terjadi dalam kehidupan kita dan kehidupan alam seluruhnya. Kita lihat muka bumi ini sendiri berubah. Aliran sungai membentuk pulau akibat hakisan. Pulau dan semenanjung mengecil hari demi hari akibat hakisan air laut. Pemanasan global meningkatkan suhu di samping meningkatkan kadar air kesan pencairan bongkah ais di kutub.

Hidup kita sendiri pun perlukan Hijrah sebagai satu proses perubahan diri. Perubahan dituntut selama mana ia dapat memperbaiki mutu hidup kita, kualiti hidup kita serta kemajuan dan pencapaian diri kita. Hijrah kita perlulah berasaskan prinsip al-Quran :

Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum itu sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. (maksud al-Quran 13:11).

No comments:

Post a Comment