Tuesday, December 15, 2009

Pemanasan Global: apa yang boleh kita buat?


Kita sedang mengalami perubahan cuaca di mana orang sedang ghairah menyebutnya sebagai pemanasan global. Apa yang berubah? perubahan pada cuaca menampilkan pelbagai gejala baru di mana ia tidak wujud suatu waktu dahulu. pertengahan abad ke-20 hingga sekarang telah memperlihatkan banyak perubahan pada cuaca dunia. Suhu panas semakin meningkat hari demi hari. Pelbagai petaka alam sering terjadi antaranya banjir, kemarau ekstrim, gempa bumi, tsunami dan letusan gunung berapi. Kejadian gempa bumi sering terjadi pada skala yang tinggi yang mengakibatkan korban jiwa ribuan orang. Peningkatan paras laut terjadi akibat cairnya bongkah ais di kutub utara.

Kita sedang menyaksi bumi meletuskan pelbagai gejala darurat, mungkin sebagai peringatan kepada kita bahawa alam sedang mengalami tahap-tahap perubahan yang sukar diduga. Sifat alam yang baru, sementara dan tertakluk kepada hukumnya (hukum alami) atau SunnatulLah, semakin terbukti. Manusia dengan kebijaksanaan dan kelebihan ilmu serta teknologinya tidak akan mampu mengubah hukum ini. Setiap kali kita melakukan sesuatu yang bertentangan dengan hukum itu, kita akan merasai hukumannya. Sejak ribuan tahun manusia mengeksploitasi sumber alam dengan rakus, tamak dan haloba, maka kesannya kita mula merasai hukuman atas dosa-dosa tersebut.


Manusia merosakkan alam dengan racun, dengan kimia, dengan sisa-sisa pencemaran, tanpa henti-henti hingga kini. Eksplorasi sumber tenaga atom dan nullear disalahgunakan melalui ciptaan senjata-senjata yang digunakan untuk membunuh sesama manusia, telah turut mengorbankan makhluk lain termasuk flora dan fauna dan mengubah struktur suhu dunia. Contohnya pelepasan radio aktif ke atmosfera, racun kimia dalam letusan bom dan peluru berpandu, ujian senjata nuklear, semuanya menyumbang kepada perubahan cuaca dunia. Tidak termasuk lagi pelepasan gas-gas beracun karbon dioksid, karbon monoksid dan kimia merbahaya ke udara setiap hari, setiap jam, setiap detik, kesan penggunaan teknologi dalam industri, di rumah, di pejabat, di jalanraya, dan di mana sahaja. Gas rumah hijau dilepaskan setiap detik, kerana kita hidup dalam suasana zaman yang 'terpaksa' demi menikmati hidup selesa.

Teknologi yang mengubah hidup kita menjadikan kita berasa selesa, mudah, nyaman dan aman, rupa-rupanya mengundang petaka yang dahsyat. Ketika kita menggunakan pendingin udara dan peralatan rumah seperti peti ais, ketuhar gelombang, kita menikmati kemudahan dan keselesaan. Namun di sebaliknya kita menyumbang kepada perubahan suhu dunia di mana akhirnya bala itu akan datang kepada kita juga.


Apakah kita mampu memutar jarum jam ke belakang? Mustahil! Kita tidak mampu menghentikan semuanya apabila semua orang sudah dibiasakan hidup dalam suasana selesa, nyaman, mudah dan megah dengan segala sumbangan teknologi tersebut. Jualan alat pendingin udara akan meningkat apabila cuaca semakin panas. Peningkatan alatan pendingin udara akan menambah lagi peningkatan gas rumah hijau. Kesannya suhu bumi akan terus meningkat. Inilah putaran ganas yang amat menyulitkan dan sukar bagi kita untuk keluar daripadanya.

Di samping itu tahap kesedaran umum terhadap kesan perubahan suhu dunia masih sangat rendah. Pemanasan global adalah isu yang kritikal kepada sebahagian kecil kelompok masyarakat. Sungguhpun kini negara-negara di dunia sudah mula berpakat untuk berusaha menangani masalah global ini, melalui pelbagai aktiviti politik namun pada umumnya orang terus tidak begitu peduli. Kelompok peduli sangat kecil berbanding kelompok yang tidak pernah ambil peduli terhadapnya. Semasa post ini ditulis pemimpin negara-negara dunia sedang berbincang di Copenhagen tentang gejala pemansaan Global. Piagam Kyoto kini menjadi antara agenda yang menarik. Mereka akan berbincang, bertukar idea, mencari formula penyelesaiannya, atau mungkin bertikam lidah, berdebat; namun di luar orang tidak begitu peduli tentang isu ini.

Aktiviti manusia yang menjadikan struktur fizik, kimia dan biologi alam berubah. Manusia ghairah melakukan pelbagai eksperimen untuk merobah ciptaan Allah atas alasan kebebasan sains, tanpa sedar akan bahayanya. Kini apabila alam mulai menghukum kita dengan pelbagai petaka, maka keinsafan kita sudah agak terlewat. Struktur bumi yang terbina dalam tempoh masa yang panjang, tidak mungkin diganti dalam masa yang singkat. Pemusnahan hutan hijau yang berusia ribuan tahun, tidak mungkin diganti dengan penghutanan semula. Kita setiap hari memusnahkan gudang oksigen dan sumber takungan air semulajadi, melalui pemusnahan hutan hijau baik untuk tujuan apa sekalipun.

Nada saya nampaknya pessimis, tetapi itulah realitinya. Optimistik kita sering terdampar pada hakikat di mana terlalu ramai orang yang masih jahil, masih belum sedar, masih belum mengerti tentang alam, tentang hukum alam, tentang SunnatulLah. Namun satu hal yang akan terus kita lakukan ialah berusaha membuka mata masyarakat untuk memahami hakikat alam, hakikat alami, dan perlunya kembali ke alami.

No comments:

Post a Comment