Thursday, October 28, 2010

Bencana di sana sini


Dua bencana alam terjadi serentak di negara jiran kita, Indonesia. DI Kepulauan Mentawai (sebelah barat Sumatera) terjadi tsunami yag meragut lebih 370 nyawa sementara ramai lagi masih hilang. Sementara itu di Pulau Jawa, Gunung Merapi telah memuntahkan lahar panasnya membunuh 33 orang dan memusnahkan banyak binatang dan harta benda.

Kejadian di Mentawai berpunca daripada gempa bumi di lautan berhampiran dengan kekuatan 7.7 pada skala Richter. Gempa ini memnghasilkan tsunami dengan ombak berketinggian tiga meter yang memusnahkan banyak harta benda di samping meragut nyawa penduduk yang terlibat. Tsunami ini terjadi agak pantas, pada tempoh yang sangat pendek selepas kejadian gempa.


Kejadian gempa bumi dan gunung berapi adalah lumrah di Indonesia kerana ia betul-betul berada di lingkaran api gunung berapi. Gunung Merapi yang terletak berhampiran Jokyakarta adalah antara gunung berapi yang terus aktif. Ia telah beberapa kali meletus dan memuntahkan lahar panas sejak sekian lama. Ia adalaah antara 129 buah gunung berapi yang masih aktif di Indonesia. Mengikut sejarah, Gunung Merapi pernah meletus pada tahun 1006, 1786, 1822, 1872, dan 1930. Kejadian pada tahun 1930 itu meragut 1 400 nyawa mangsa. Pada tahun 2006 terjadi satu gempa bumi kuat yang malanda kawasan Jokyakarta di mana 5 000 orang mati dan ratusan ribu orang kehilangan tempat tinggal. Gempa kuat itu terjadi di selatan Merapi, kira-kira 50 km. Selepas itu Merapi turut memuntahkan larvanya.

Kejadian terbaru pada 25 Oktober ini telah meragut banyak nyawa, membunuh banyak binatang ternak dan memusnahkan harta bendanya. Antara yang terbunuh adalah Mbah Maridjan, seorang tua yang dikenali sebagai Penjaga Merapi. Beliau dikatakan diberi kepercayaan untuk menjaga Merapi. Akhirnya beliau turut menjadi mangsa Merapi di mana mayatnya ditemui dalam rumahnya dalam keadaan bersujud. Semoga ruhnya dirahmati Tuhan.


Mistik masyarakat Jawa mengaitkasn Merapai dengan pelbagai kepercayaan. Namun alam tetap alam. Hanya Tuhan yang menjadi penjaganya, dan hanya Dia jua yang Maha Mengetahui tentang ciptaan-Nya. Manusia tiada kuasa untuk menjadi penjaga.

Marilah kita menerima segala bencana alam seadanya. Kembalikan kepada kudrat Tuhan dan takdirnya. Apa daya kita untuk melawan kekuatan alam ciptaan Tuhan ini. Namun begitu masyarakat di sana haruslah lebih percaya kepada maklumat saintifik yang sentiasa dibekalkan oleh pihak pemerintah. Ketika diarahkan berpindah dan menyelamatkan diri, maka akurlah dengan fakta-fakta sains dan ketepikanlah segala kepercayaan yang tak berasas, kerana Merapi tidak mengenal sesiapa. Tentulah nyawa berharga dapat diselamatkan sekiranya penduduk di sekitar Merapi sensitif kepada arahan keselamatan yang diberikan.

Merapi dan gunung-gungung berapi lainnya akan terus memuntahkan lahar panasnya apabila tiba waktunya. Begitu juga dengan kejadian gempa bumi. Ia akan terus terjadi kerana begitulah hukum alam. Apabila alam semakin rosak akibat tuanya usia bumi, dan banyaknya kerosakan dan kemusnahan dilakukan manusia, maka kejadian-kejadian sedemikian akan terus terjadi. Begitulah kekuatan Tuhan. Untuk manusia, ambillah pelajaran dan insaflah status diri kita di depan kekuasaan Tuhan.

No comments:

Post a Comment