Thursday, October 21, 2010

Kes hilang, apa di sebaliknya?

<
Akhir-akhirnya ini terlalu kerap berita tentang isu kehilangan orang dalam masyarakat kita di Malaysia. Isu terhangat ialah kehilangan usahawan kosmetik bersama tiga orang rakannya menjelang Idulfitri yang lalu. Terakhir ini akhbar-akhbar sibuk dengan kisah kehilangan misteri seorang gadis di pantai timur. Kehilangan itu dikaitkan dengan gangguan jin. Selain itu terdapat beberapa lagi kes gadis hilang dari rumah. Ada yang hilang kerana melarikan diri dan ada yang dilarikan orang. Sebelum ini pernah heboh dengan kehilangan gadis dan wanita Malaysia kerana dilarikan jejaka dari Lombok, Indonesia.

Kisah kehilangan sebegini adalah kisah-kisah menarik yang sentiasa mendapat tenmpat di halaman utama akhbar-akhbar tempatan dan juga media elektronik. Masyarakat sangat tertarik dengn berita-berita begini kerana ia ada unsur sensasi, mendebarkan, membimbangkan dan mungkin juga ada elemen misterius di dalamnya.

Kisah kehilangan usahawan kosmetik, Sosilawati dan rakan-rakannya dianggap kehilangan penuh mistri di peringkat awal. Ia akhirnya terdedah dan tersingkap dengan penemuan maklumat-maklumat siasatan polis. Rupa-rupanya ia adalah kehilangan yang ditabiri oleh jenayah kejam pembunuhan. Mereka hilang lenyap kerana kematian mereka tidak meninggalkan mayat akibat perbuatan kejam para penjenayah menghilangkan sebarang bukti jenayah dengan membakar dan menghanyutkan sisa-sisa pembakaran ke dalam sungai. Mereka hilang kerana dibunuh, dibakar dan dihanyutkan abu dan tulang-tulang mereka ke dalam air. Akhirnya terbongkarlah satu kisah mistri yang hebah diperkatakan oleh hampir semua media massa, dan kes ini mendapat perhatian hingga ke peringkat pimpinan negara. Dengan usaha keras pihak polis, kes kehilangan ini akhirnya semakin terbongkar, semakin hari semakin jelas berikutan penangkapan suspek yang mendalangi kehilangan tersebut. Usaha pembongkaran kes kehilangan Sosilawati dan tiga rakannya, telah menzahirkan pelbagai lagi kes serupa di mana sebelum ini telah terjadi kehilangan serupa ke atas beberapa orang yang lain, melibatkan suspek yang sama.

Kes kehilangan di atas ternyata satu perbuatan jenayah, jenayah kejam, malahan bolehlah dikatakan jenayah yang sangat kejam, yang amat sukar diterima oleh akal waras. Tidak terfikir dan terlintas, ada penjenayah yang sanggup melakukan perbuatan sedemikian. Mereka bukan sahaja membunuh tetapi sanggup membakar mayat dan menghapus sisa-sisa pembakaran demi menghapusan sebarang bukti. Perbuatan kejam ini dilakukan secara amat terancang, dan kerana seorang yang diduga sebagai perancang utama adalah seorang bekas peguam yang walaupun sudah digantung lesen guamannnya, masih beroperasi menjalankan urusniaga guaman di pejabatnya. Dari laporan media, antara motif yang boleh diandaikan ialah matlamat kebendaan, iaitu mengumpulkan kekayaan melalui penipuan terancang sehingga berakhir dengan pembunuhan mangsa-mangsa penipuannya. Berdasarkan laporan yang mengatakan suspek utama didapati memiliki jumlah harta luar biasa, maka agak jelas matlamat jenayah ini adalah didorong oleh sikap tamakkan harta.


Balqis, kehilangannya menggemparkan.

Dalam kes terbaru, kehilangan misteri gadis sunti di pantai timur itu adalah kehilangan yang benar-benar diselimuti mistri. Ia terjadi dalam keadaan amat luar biasa. Dia boleh hilang tiba-tiba daripada kawalan ahli keluarganya, berjam-jam dan berhari-hari sebelum dia ditemui semula. Kejadian begitu berulang berkali-kali dengan cara yang penuh mistri dan sukar untuk ditangani secara kebiasaan. Ia dipercayai akibat perbuatan jin atau sihir. Berdasarkan pandangan pengamal perawatan Islam, kehilangan tersebut adalah disebabkan perbuatan jahat jin yang menganggu ahli keluarga ini. Aneh dan pelik, tetapi itulah kejadian yang telah membawa masyarakat Malaysia untuk berfikir melalui satu dimensi lain.

Kes ini tentulah satu kes unik. Dalam keadaan masyarakat yang begitu ghairah dengan segala unsur mistri sebagaimana dijelmakan dalam paparan media massa (yang juga begitu ghairah memaparkan keisah-kisah mistri ini), munculnya kes kehilangan Balqis ini adalah satu petunjuk supaya kita berfikir dan menerima realiti dari satu kehidupan di dimensi lain, iaitu kehidupan alam jin.

Walaupun sebahagian ahli masyarakat kita kurang yakin dengan kewujudan kehidupan alam jin, namun sebagai orang beragama, Islam mengesahkan kewujudan alam jin melalui nas-nas sahih al-Quran dan As-Sunnah. Mweyakini kewujudan alam jin adalah satu akidah kerana ia adalah sebahagian adaripada kepercayaan kepada hal-hal ghaib. Kepada mereka yang faham tentang hal ini akan melihat kejadian itu sebagai sebahagian daripada hal-hal nyata. Ia adalah sebahagian daripada kejadian dan peristiwa yang diizinkan Tuhan untuk terjadi. Dalam situasi semasa, saya melihat zahirnya kejadian ini untuk menjadikan kita berfikir dan mengambil iktibar daripadaya. Cuma dalam usaha ini perlulah kita bersandarkan kepada iktikad dan prinsip akidah yang benar. Sekiranya tidak, kita akan hanya terus hanyut dalam akidah khurafat dan sesat serta amalam syirik yang merosakkan akidah kita.


Ibu Balqis bersama hadiah daripadan jin?

Akhir-akhir ini apabila ada suara-suara yang menzahirkan hasrat untuk melaksanakan undang-undang ke atas perbuatan dan pengamal sihir, maka ia adalah kesan daripada keyakinan bahawa banyak kejadian-kejadian aneh yang dikaitkan dengan perbuatan jin yang dikenali sebagai sihir. Amalan sihir bukanlah hal baru, ia sudah lama wujud dalam sejarah manusia, di mana sihir diamalkan oleh manusia yang disesatkan oleh jin dan mereka adalah syaitan-syaitan yang merosakkan hidup manusia lain. Gandingan mereka melakukan pelbagai perbuatan yang menyakit dan menyiksa mangsa (manusia). Perbuatan sihir dikenali dalam masyarakat Malaysia dan serantau dengan amalan santau, santet, ilmu hitam, pngasih, dan pelbagai nama lagi. Hakikatnya ia adalah sihir yang dilakukan oleh tukang-tukang sihir. Hidupnya tukang-tukang sihir adalah kerana wujudnya orang-orang yang bergantung kepada mereka, iaitu mereka yang berhajat dan meminta bantuan tukang-tukang sihir ini untuk mendapatkan apa yang mereka hajati. Seorang yang mahukan gadis idamannya, mungkin mendapat tukang sihir (yang kita panggil bomoh, dukun, pawang, paranormal atau apa sahaja gelarannya yang mengamalkan jampi serapah dan teknik-teknik sihir yang bercanggah dengan akidah dan syariah Islam); untuk mendapatkan pertolongan. Selain itu terdapat juga sihir yang menyakit dan membunuh mangsa. Oleh kerana kesan sihir adalah sama dengan perbuatan jenayah lain, iaitu menyakitkan, menyiksakan malah sampai membunuh mangsa; maka wajarlah mereka yang terlibat iaitu tukang sihir dan juga orang yang mengupahnya dibawa ke muda pengadilan dan dihukum. Perlu diingatkan bahawa pengamal sihir boleh dihukum pancung mengikut hukum Islam. Hukuman ini tentulah wajar kerana perbuatan khianat dan jenayah yang mereka lakukan sama kejamnya dengan membunuh orang.

Kita berdoa agar pihak-pihak bertangungjawab serius memikir dan mewujud peruntukan-peruntukan undang-undang yang membolehkan hukuman dilaksanakan ke atas pengamal sihir, kerana mereka adalah penjenayah tersembunyi dan merupakan syaitan-syaitan yang sesat dan menyesatkan orang lain.

No comments:

Post a Comment