Wednesday, October 20, 2010

UMNO mau ke mana?


Beberapa hari ini seluruh pemimpin UMNO berada di PWTC untuk acara perhimpunan agung tahunannya. Dalam usia 60 tahun lebih, UMNO sangat jelas semakin tua. Andainya tidak dijaga kesihatannya dengan baik, ia mungkin mula sakit dan nyanyok. Kegagalan UMNO dan BN mempertahankan majoriti di parlimen dan kekalahan beberapa buah kerajaan negeri dalam pilihanraya 2008 memperlihatkan kelemahan UMNO. Paling tidaknya, ia tidaklah segagah dahulu.

Pelbagai diagnosis dilakukan ke atas UMNO baik dari dalam mahupun dari luar. Pelbagai pandangan dan pendapat dizahirkan oleh kalangan pemimpin dalamannya dan juga orang luar termasuk mereka yang berkecuali dalam politik di samping musuh-musuhnya.

Dalam usia yang semakin merangkak tua ini, UMNO dilihat sudah agak sukar mempertahankan keagungan masa silamnya, sehingga ada pihak terutama musuh politiknya beranggapan ia semakin lemah dan mungkin menjadi dinousur. Kekalahannya dalam pilihanraya umum lalu memberikan petunjuk betapa orang Melayu sendiri sudah mula menolak UMNO kerana jelak dengan karenah dan tingkahlaku para pemimpinnya. Hari ini ssegolongan orang Melayu yang dulunya menyokong UMNO dan mereka begitu patriotik, kini menyertai pertubuhan-pertubuhan NGO Melayu seperti Perkasa dan yang lain-lain. Penampilan begitu banyak NGO Melayu yang kelihatan begitu patriotik membela nasib Melayu, kelihatan sebagai kebangkitan segolongan orang Melayu yang sudah hilang keyakinan kepada UMNO untuk membela nasib bangsa mereka.


Dulunya UMNO begitu sinonim dengan perjuangan membela bangsa dan agama. Orang Melyu menyandarkan UMNO sebagai benteng mempertahankan Melayu di bumi Malaysia. Namun perkembangan mutakhir memperlihatkan ramai orang Melayu mulai meragui keikhlasan UMNO mempertahankan Melayu. Para pemimpinnya kelihatan begitu takut berhadapan dengan rakan-rakan BN lain ketika mahu mempertahankan hak-hak ketuanan Melayu. Mereka kelihatan begitu takut dilabelkan sebagai cauvanis, sedangkan dalam waktu yang sama rakan-rakan mereka dalam BN begitu berani menonjolkan tuntutan kepentingan kaum masing-masing.

Lebih dari itu, imej kepimpinan UMNO terlalu rosak oleh amalan dan budaya materialisme yang masih menebal di hati, di jiwa dan di minda mereka. Rasuah wang, penyalahgunaan kuasa, penyalahgunaan hak dan kepentingan peribadi, menjadikan rakyat semakin bosan dengan sikap begini. Dalam waktu yang sama segolongan pemimpin parti-parti politik lain (yang sering dilabel sebagai pembangkang) menampilkan imej bergaya berjiwa rakyat. Inilah cabaran besar yang terpaksa diharungi pemimpin UMNO. Bukan senang untuk benar-benar menanmpilkan imej rakyat. Slogan-slogan muluk sahaja tidak mampu merealisasikan keikhlasan untuk merakyatkan diri mereka kerana selama ini mereka telah meletakkan diri mereka jauh di atas, mewujudkan jurang dengan rakyat melalui status, pangkat, kemewahan kebendaan dan sikap angkuh.

Tidak mudah meraih kembali sokongan yang hilang. Bekas orang UMNO yang merajuk terus menyepi diri atau aktif dalam parti-parti lain. Mereka mencari tempat teduh baru. Andai UMNO gagal meraih sokongan daripada genersi muda, maka kekuatan UMNO tidak terjamin di masa depan.

Hari ini orang Melayu sudah mempunyai banyak pilihan. Mereka mempunyai PAS, Keadilan dan pelbagai pertubuhan NGO. Kepada orang Melayu yang tdak mahu terlalu berpolitik akan memilih NGO-NGO ini.

No comments:

Post a Comment