Friday, July 29, 2011

Bersedekah dengan senyuman.


Nabi SAW mengajar kita satu pelajaran yang sangat mudah tetapi ia sangat bernilai. Katanya "senyuman itu sedekah". Tersenyum adalah satu usaha yang sangat mudah. Kalau dibiasakan ia menjadi tersangat mudah. Namun apabila ia dikaitkan dengan sedekah maka senyuman bukan lagi sesuatu yang murah. Mudah tetapi tetapi bukan murah.

Senyuman adalah aktiviti bibir membentuk satu posisi yang akan mencipta suasana dan kesan yang sangat menyenangkan. Menyenangkan, ceria, bahagia baik kepada pemilik bibir tersebut dan kepada mereka yang berada di sekitarnya. Tersenyum adalah satu proses yang tidak pernah diajar oleh sesiapa. Ia zahir sendiri secara alamiah. Ia adalah bahagian daripada fitrah manusia. Ketika melalui detik dan ketika yang menyenangkan, mengembirakan, bersyukur maka senyuman akan zahir dengan sendiri.

Senyuman adalah pancaran hati. Ia menggambarkan suasana hati pemiliknya. Oleh itu orang akan dapat menilai senyuman yang kita berikan. Ada senyuman ikhlas, ada senyuman yang dipaksa-paksakan dan ada pula senyuman hambar. Manis tidaknya senyuman adalah bergantung kepada sejauh mana keikhlasan hati kita. Senyuman manis dan ikhlas akan memancarkan sinar keyakinan padanya. Manakala senyuman yang dipaksa atau dibuat-buat akan juga memperlihatkan kehambarannya. Oleh itu awasilah ketika kita memberikan senyuman.


Senyuman adalah bahasa tubuh (body language) yang sangat dominan. Ia akan memberikan pelbagai makna kepada orang yang menerima senyuman, bergantung kepada situasi dan persepsinya. Senyuman kepada orang yang belum pernah dikenali adalah merupakan salam untuk persahabatan. Senyuman kepada orang yang sudah dikenali adalah sapaan keakraban sedia ada. Senyuman kepada orang yang melakukan kesalahan kepada kita akan memberi makna sindiran atau boleh jadi juga kemaafan. Senyuman disertai dengan tangisan atau rasa sebak menunjukkan kita sukar untuk berpisah dengan mereka yang disayangi. Ada waktunya senyuman memberi makna kita turut berkongsi kgembiraan atau kebahagiaan dengan orang lain. Secara positifnya, senyuman adalah satu proses yang menyenangkan hati dan emosi orang lain, juga diri kita sendiri.

Oleh itu senyumlah, dan teruskan memberikan senyuman. Senyuman kita akan menjadi ubat dan penawar luka kepada orang yang sedang dirundung derita. Ia akan mengurangkan rasa sakit, dan derita mereka. Dengan niat positif, nawaitu yang baik, senyuman itu menjadi sebuah hadiah. Itulah sebuah sedekah. Senyuman yang diikhlaskan kerana Allah SWT, pastilah dijanjikan kebaikan pahala di sisi-Nya.

Percayakah kita bahawa senyuman akan menjanjikan kesihatan kepada kita? Ketika kita senyum penuh bahagia, otak kita akan merembeskan hormon kebahagiaan yang dikenali sebagai Endorphin. Di antara endorphin itu beta-endorphin adalah hormon kebahagiaan yang paling hebat. Hormon beta-endorphin akan menjadikan sel-sel tubuh lebih kuat, lebih kebal. Bermakna ia membantu meningkatkan dayatahan atau imuniti tubuh. Senyuman adalah gerakfizik dan gerakjiwa yang akan memicu atau mengaktifkan beta-endorphin. Dengan itu senyuman juga adalah pemicu kepada peningkatan imuniti tubuh.

Kekuatan beta-endorphin dikatakan dapat melawan penyakit kurang daya tahan tubuh seperti AIDS. Dalam masalah kanser, beta-endorphin dapat mengurangkan derita dan kesakitan akibat kanser. Kajian perubatan membuktikan bahawa kanser adalah gejala penyakit yang aneh kerana ia bukan berpunca daripada faktor luaran seperti bakteria atau virus. Ia berpunca daripada kerosakan sel-sel tubuh, yang dianggap melakukan kerosakan sendiri. Sel-sel membunuh diri dan saling berbunuhan sesama sendiri. Proses ini disebut sebagai radikal bebas atau free radical. Kajian juga menunjukkan bahawa stres adalah adalah pemicu kepada radikal bebas. Bertambah stres, meningkatlah aktiviti radikal bebas. Ketika stres, otak mengeluarkan hormon beracun bernama noradrenalin.


Untuk melawan situasi ini, kita perlu meredakan stres. Kaedah mudah dan juga murah ialah dengan senyuman. Senyumlah kerana senyuman akan merembeskan beta-endorphin yang akan mengalahkan noradrenalin. Beta-endorphin akan meredakan aktiviti radikal bebas. Dengan itu kesan kanser akan semakin mereda.

AlhamduliLlah kami mempunyai pengalaman merawat pengidap kanser tahap akhir. Kami memberikan rawatan sokongan dengan kaedah psikoterapi. Kaedahnya mudah, iaitu mengajak pesakit bersama-sama menghayati doa buka hati. Melalui proses setengah jam ini pesakit dibawa masuk ke tahap alpha dan theta dan terus berdoa kepada Allah SAW. Semasa di tahap itu dia menangis, dan berakhir dengan emosi yang lebih baik. Doa buka hati adalah satu proses yang mewajibkan senyuman ketika melakukankannya. Rupa-rupanya kesan senyuman itu sungguh mendalam ke atas emosi kita. Berbalik kepada pesakit tersebut, beliau akhirnya kembali kepada Tuhan dalam keadaan yang tenang dan tidak menunjukkn gejala derita (trauma) sebagaimana biasanya ditunjukkan pesakit kanser.

Kami sangat yakin dengan berkat senyuman ini. Di sinilah nampak sangat jelas keberkatan dan rahmat daripada senyuman, maka Nabi SAW sangat menekankan senyuman itu. Apabila dikaitkan pula dengan amalan sedekah sebagai salah satu kaedah sokongan dalam merawat penyakit, maka jelas-jelaslah bahawa senyuman itu sebuah sedekah.

No comments:

Post a Comment