Saturday, July 16, 2011

Mana adat, mana syariat?


Sungguhpun orang Melayu itu boleh dikatakan semuanya Islam, namun masih ramai orang Melayu yang belum benar-benar menjadi orang Islam. Apabila disebutkan tentang hal ini, ramai orang begitu sensitif kerana ia menyentuh isu agama. Namun begitu cara hidup sebahagian orang Melayu tidak bertunjangkan akidah dan syariat Islam. Sebahagian besarnya pula hanya mengambil Islam dalam hal-hal ibadat sahaja. Itupun tidak mengambilnya dengan sempurna.

Ramai orang yang masih meremeh dan mengabaikan ibadah wajib terutama solat. Sebahagian besar bersolat tetapi tidak melakukannya dengan sebaik-baiknya. Contohnya solat tidak cukup lima kali sehari, solat tidak pada waktunya yang wajar, solat tidak sempurna khusyuknya. Malahan ada yang langsung tidak solat, kecuali sekali setahun iaitu ketika solat hariraya. Lebih malang lagi kalau ada yang langsung tidak pernah solat, kecuali dia disolatkan ketika meninggalnya.

Manakala zakat dan haji, ramai orang yang masih belum melaksanakannya dengan sempurna. Haji contohnya, mereka lewat-lewatkan biarpu syarat telah sempurna. Menunggu hari tua atas alasan klise supaya selepas haji tidak lagi melakukan dosa. Menangguhkan ibadah haji tanpa alasan syarii akan hanya menyusahkan diri kerana ketika usia semakin tua, pergerakan haji menjadi sulit dan sukar. Ingatlah, haji adalah ibadah pergerakan fizikal, oleh itu ia memerlukan kudrat dan tenaga.

Orang Melayu kelihatan sempurna dalam hal puasa, walaupun masih ramai yang tidak berpuasa. Malahan ada orang-orang tua-tua yang melakukan puasa tiga bulan genap, sejenis amalan yang tidak diketemukan dalam sunnah, tetapi masih ada orang mengamalkannya. Ia tentulah satu amalan yang berlebihan, yang tiada asas hukum. Namun berpuasa mengikut syariat tentulah sangat berbeza dengan berpuasa mengikut adat.


Ramadhan akan menjelang dalam waktu dua minggu lagi. Ramadhan akan menjadi bulan pesta, pesta selera, pesta pegguna. Orang Islam yang mengikut syariat akan menjalani Ramadhan sebagai bulan yang penuh keberkatan, mencari keredhaan Allah SWT sebanyak-banyaknya dengan melakukan sebanyak-sebanyak amal, seikhlas-ikhlas yang terdaya, kerana di bulan Ramdhan ini nilai amalan menjadi sangat tinggi. Ia satu anugerah istimewa di mana terdapat satu malam (hanya 12 jam) yang nilainya melebihi 1000 bulan (melebihi 83 tahun).

Sebaliknya orang-orang Melayu akan terus berpesta sejak awal Ramadhan hinggalah ke bulan Syawal. Sementara bulan Syawal pula, sebulan penuh akan dirayakan dengan pesta makan-minum. Di awal Ramadhan, semangat Ramdhan sangat tinggi, saf-saf solat di masjid penuh, dan melimpah keluar. Semakin hari saf tersebut semakin mengurang dan di penghujung Ramadhan, tinggalah jemaah yang benar-benar ikhlas mencari keberkatan Ramdhan.

Kerana salah mengerti hakikat puasa dan Ramadhan ini, orang-orang Melayu terus leka dan dilalaikan oleh bdaya pengguna, yang bijak mengeksploitasi Ramadhan sebagai bulan pesta: pesta makanan, pesta beli-belah pakaian dan hiasan. Sejak belum lagi bermula Ramadhan, pusat-pusat beli-belah sudah mula mengada promosi besar-besaran. Pelbagai tawaran harga musim raya disediakan. Peniaga pasar Ramadhan pula sibuk dengan urusniaga makanan yang luar biasa. Jualan mereka meningkat luar biasa di bulan Ramadha. Kata orang, orang-orang Melayu akan shopping sakan ketika Ramadhan ini.


Inilah bdaya Melayu ketika Ramdhan, satu budaya yang sangat asing dan tidak Islamik. Ramadhan adalah bulan berkah untuk beribadah, mendekatkan diri kepada Allah, bukan bulan untuk berpesta meriah, siang malam membeli-belah. Puasa mendidik kita menjadi orang yang berjimat cermat, mengurangi belanja terutama makanan. Sebaliknya budaya Melayu menjadikan puasa sebagai alasan menghalalkan pembaziran yang sangat ketara. Belanja untuk makan minum begitu tinggi seolah-olah nafsu makan di bulan Ramadhan begitu drastik. Ini sangat bertentangan dengan semangat puasa, yang mendidik supaya lebih bersabar, bersederhana, mengurangkan tuntutan nafsu. Nanti apabila Syawal, lebih banyak pembaziran terutama di segi makanan dilakukan. Puasa sebulan, maka raya pun sebulan. Ini budaya Melayu yang tidak pernah diajarkan oleh Islam. Sepanjang Syawal, rumah terbuka di sana sini, pejabat terbuka, premis terbuka. Makan minum mewah sebulan di sana sini, menjadi tradisi yang membanggakan tuan rumah. Memberi makan kepada orang lain adalah amalan yang baik, terutama kepada orang-orang yang miskin, anak-anak yatim dan seumpamanya. Namun berlumba-lumba mengadakan rumah terbuka sesama kawan dan rakan, tidak bawa kita ke mana-mana, apa lagi kalau niatnya hanya untuk menunjuk-nunjuk atau ria'.

Marilah kita tukar persepsi karut yang berteraskan adat, kepada kesedaran untuk bersyariat. Marilah kita berpuasa dan menjalani Ramadhan kali ini atas semangat syariat, agar kita benar-benar menjalani sunnah dan menjadi orang Islam yang benar.

No comments:

Post a Comment