Wednesday, July 27, 2011

Deritanya masyarakat kita.


Hampir setiap hari akhbar kita dipenuhi berita-berita yang menjadikan kita sedih, kecewa dan mungkin marah. Akhbar memaparkan berita pembunuhan, penginayaan, penderaan, kecurian, rompak, rogol, ragut dan seumpamanya. Berita begini mempunyai nilai sensasi dan ia menjadi berita muka depan untuk mengumpan pembaca. Berita sensasi! Sensasi membawa peningkatan jualan yang bermakna peningkatan hasil kepada penerbit akhbar!

Hati kita meredam rasa setiap hari ketika membaca pelbagai berita terutama kejadian-kejadian luar jangka seperti pembunuhan ke atas bayi baru lahir, yang dibuang dan ditinggalkan di merata lokasi; kejadian penderaan bayi, penderaan anak-anak kecil (termasuk anak sendiri), penderaan ke atas orang yang ditanggung seperti isteri sendiri, membunuh saudara sendiri seumpama anak membunuh bapa atau ibu, merogol anak, dan pelbagai lagi perbuatan keji, kejam dan tak berperikemanusiaan.

Rasa-rasanya tak mahu mendengar berita-berita sebegini, kerana ia akan menurunkan darjah ketenangan hati kita. Namun ia adalah berita daripada sebuah kenyataan. Itulah kenyataan yang terjadi dalam masyarakat kita.

MasyaAllah, mengapa manusia menjadi sangat kejam, sangat zalim dan bertindak di luar batas peri kemanusiaan. Mereka ini sebahagian besarnya adalah orang kita, orang Melayu yang beragama, beragama Islam. Malangnya mereka sanggup melakukan perbuatan-perbuatan keji dan kejam. Mereka membunuh bayi sendiri, membunuh anak sendiri, membunuh ibu bapa sendiri, mendera dan menyiksa anak sendiri termasuk bayi-bayi yang masih kecil, menyimbah asid ke muka isteri dan anak-anak sendiri, tak termasuk lagi perbuatan mendera, menumbuk, menendang, menerajang dan memijak ahli-ahli keluarga sendiri. Ada pula yang menjadi haruan makan anak sendiri.


Demikianlah tenatnya penyakit masyarakat, akibat ramainya pesakit-pesakit jiwa, pesakit emosi dan pesakit ruhani dalam masyarakat kita. Inilah gambaran parahnya penderitaan jiwa anggota masyarakat kita. Sedihnya kerana mereka ini adalah orang-orang Islam. Hakikatnya orang-oang yang sihat dan waras tidak akan tergamak melakukan semua kekejian ini. Ini menunjukkan gejaka penyakit jiwa semakin berleluasa di kalangan ahli masyarakat kita.

Apakah kita tidak bersedia menangani masalah jiwa ini atau ia adalah masalah peribadi yang sulit dikesan? Masalah jiwa biasanya sukar dikesan oleh ahli keluarga, melainkan dalam kes-kes mental yang teruk. Itupun masih ramai orang yang tidak melakukan apa-apa terhadap saudara mara yang mengidap masalah jiwa. Mereka nampaknya pasrah dan membiarkan penderita mengalaminya tanpa berusaha membantu mereka merawat masalah tersebut. Sikap ini menjadikan penderita akan semakin hari semakin parah.
Sakit jiwa menjadi bertambah-tambah sejak akhir-akhir ini disebabkan pemicunya semakin banyak. Penagihan dadah adalah antara penyumbang terbesar kepada masalah jiwa di negara ini. Selain itu gangguan jiwa adalah disebabkan makhluk jin/syaitan dan oleh tekanan atau stress. Gangguan makhluk halus (jin) menyebabkan wujud gejala skizoprenia, kemurungan, menyebabkan mereka berputusasa sehingga sanggup membunuh diri. Selain itu, banyak lagi gangguan-gangguan emosi seperti panas baran, fobia, dendam yang boleh menjerumus seseorang ke dalam situasi sakit jiwa.

Sikap materialistik menarik ramai orang kepada suasana persaingan yang sangat memenatkan, menjadikan mereka stres dan berubah menjadi pementing diri, pendendam, dan pengkhianat sesama sendiri. Persaingan perniagaan, misalnya, menjadikan mereka bersaing secara tidak sihat dengan jatuh menjatuhkan lawan, merosakkan lawan termasuk usaha bomoh membomoh, sihir menyihir lawan masing-masing.

Oleh itu, menjelang Ramadhan ini, marilah kita merubah situasi ini dengan merubah diri sendiri, merubah hati sendiri. Jinakkanlah hati dengan syukur, sabar, dan redha.

No comments:

Post a Comment