Wednesday, November 2, 2011

Labbaika Allahumma Labbaik

Kini di kota suci Makkah al-Mukarramah, jutaan umat Islam sedang menghitung detik, menunggu waktu menjelangnya hari ke-9 Zulhijjah. Dijangkakan Jumaat ini mereka akan mula berangkat ke Arafah, lokasi penting dalam manasik Haji. Berihram dan berangkat, melalui satu perjalanan yang dekat dari segi jarak geografinya, tetapi akan memakan waktu yang lama. Inilah antara ujian Haji. Kerana ramainya jamaah, maka kesesakan di jalanan menjadikan perjalanan ini satu cabaran besar. Inilah bahagian daripada 'perjalanan' yang menjadi intrinsik Haji.

Arafah adalah sebuah padang gersang dulunya, namun kini sudah menghijau dengan pohon-pohon Mambu yang ditanam oleh pihak berkuasa Saudi. Di sinilah lokasi yang menjadi destinasi semua jamaah Haji untuk singgah sebentar atau berhenti (wuquf) antara tempoh gelincir matahari sehingga terbenam matahari pada hari ke-9. Arafah sebuah lokasi yang sangat bermakna apabila tiba hari ke-9 Zulhijjah, dalam tempoh waktu wuquf (dari gelincir matahari hingga terbenam matahari); sedangkan pada waktu-waktu selainnya Arafah hanya sebuah lokasi biasa. Oleh itu waktu wuquf inilah waktu yang sangat bernilai demi kesempurnaan Haji. Waktu yang pendek ini menentukan sempurnanya rukun Haji kerana tanpa wuquf, tiadalah Haji.


Padang Arafah kini menghijau.

Maka dalam tempoh kira-kira 1/4 hari ini seluruh hati, fikiran dan tenaga jamaah akan fokus kepada Allah SWT, bertalbiah, berdoa, berzikir untuk bertaqarrub kepada-Nya. Kerana di sini adalah lokasi terbaik bagi makbulnya doa, maka berdoalah sebanyak-banyaknya, menangislah semahu-mahunya, tafakkurlah sedalam-dalamnya, berzikirlah sekhusyuk-khusyuknya. Inilah detik-detik rahmat dan maghfirah dari ar-Rahman dan ar-Rahim. Taubatlah, menangislah, menyesallah, merataplah, munajatlah, rukuklah, sujudlah ....... dan menangislah; kerana di sinilah lokasinya keampunan Allah SWT melimpah ruah. MasyaAllah.

Berakhirnya tempoh waktu wuquf, muncullah malam 10 Zulhijjah, di mana permulaan hari nahar dengan Idul Adha dan sembelihan qurban. Berangkatlah ke Muzdalifah untuk bermalam di sana. Biarpun jarak lokasinya hanya beberapa kilometer, namun perjalanan akan menjadi panjang kerana kesesakan jutaan jamaah. Di Muzdalifah jamaah akan memungut batu-batu kecil untuk jamrah di Mina nanti. Perjalanan diteruskan ke Mina, sebuah lagi lokasi penting dalam manasik Haji. Bergerak lagi dalam pergerakan yang perlahan dan mengambil masa biarpun jaraknya tidak jauh. Di Mina terletaknya tiga lokasi jamrah. Selesai jamrah Aqabah, bergunting dan jamaah mula menanggalkan pakaian ihramnya. Tahallul awal menandakan sebahagian daripada pantang larang ihram sudah ditanggalkan. Di Mina manasik diteruskan dengan melontar jamrah, bermalam dan menyembelih qurban.

Dari Mina jamaah akan pulang ke Mekah untuk menyempurnakan tawaf dan saii bagi menyempurnakan rukun-rukun Haji. Selesai semuanya bermakna lengkaplah manasik Haji. Di Mina jamaah meneruskan jamrah dan bermalam di sana sehingga sempurna semuanya.

>Ribuan khemah menunggu penghuni di Mina.

Berangkat dari Arafah menuju Mina melewati Muzdalifah adalah sebuah perjalanan yang dipenuhi dengan takbir dan talbiah. Jamaah akan terus menerus bertakbir kerana al-Quran menyebut tentang keutamaan mengagungkan Allah SWT di waktu ini. Malahan di seluruh pelosok alam di mana terdapat orang Islam, takbir akan dilaungkan sepanjang hari Nahar bagi membesarkan ALlah SWT.

Allahu akbar, Allahu akbar, ALlhu akbar
La ilaha illa Allah waAllahu akbar
Allahu akbar wa lilLahil hamdu.

No comments:

Post a Comment