Friday, November 25, 2011

Sesudah Haji.


Kita sedang berada di detik-detik penghujung tahun 1432Hijriah. Dua puluh hari lalu, telah pergi hari-hari penting, hari Nahr 10 hingga 13 Zulhijjah. Hari-hari di mana jutaan umat Islam berkumpul di padang Arafah untuk menyatakan keIslaman, tauhid dan keimanan diri di hadapan Allah SWT. Kemudian diikuti dengan penyembelihan qurban di Mina. Para hujjaj atau tetamu Allah (dhuyuufur Rahman)kini telah mula meninggalkan Mekah untuk kembali ke tanahair masing-masing. Setelah tawaf wida', mulalah mereka meninggalkan Kaabah, meninggalkan Masjidil haram dan meninggalkan kota Mekah, kembali ke tanahair, kembali ke tengah keluarga, membawa segala manfaat haji.

Bulan Zulhijjah adalah bulan terakhir dalam kalendar Islam. Di bulan akhir ini terdapat waktu atau miqat Haji iaitu detik-detik penting dalam kehidupan Muslimin kerana inilah waktunya Allah SWT memanggil hamba-hamba-Nya berkunjung ke rumah-Nya, Baitullah, bertamu ke lokasi-lokasi suci dan bersejarah iaitu masy'ar atau lokasi-lokasi Haji. Maka berhaji adalah bukti pengorbanan kita untuk membuktikan keimanan dan ketuhidan kita kpeada Allah SWT.

Selepas Haji adalah sebuah kehidupan baru yang lebih jernih, lebih tenang, lebih kudus, lebih tulus. Haji telah memberikan satu pengalaman baru yang seharusnya mengubah seluruh persepsi Islam, Iman dan Ehsan kita, kepada satu tahap lebih tinggi.
Islam, iman dan ehsan kita menjadi lebih segar, lebih bugar lagi. Kita pulang membawa satu pengertian Islam, iman dan ehsan yang lebih mantap lagi. Inilah kesan pengukuhan tauhid sepanjang manasik Haji lalu.

Kita kini menjadi seorang Islam yang benar, sekurang-kurangnya lebih benar daripada masa lalu. Kita kini menjadi seorang Mukmin, orang beriman yang lebih mantap, sekurang-kurangnya lebih mantap daripada masa silam. Bagi mereka yang menjadikan Haji sebagai turning point untuk merubah kehidupan spiritual menjadi lebih baik, maka inilah saatnya dia berubah menjadi lebih baik daripada sebelumnya.


Beberapa jam lagi kita akan meninggalkan tahun 1432, apabila awal Muharram akan muncul menganugerahkan kita tahun baru, tahun 1433H. Tahun baru datang setelah dua puluh hari-hari penting bagi manasik Haji berlalu. Ia tentulah mempunyai makna penting kepada kita yang mahu merubah kehidupan kepada yang lebih baik, kerana kedatangan tahun baru Hijriah, berurutan dengan miqat haji. Selesai Haji, muncul pula fajar tahun baru, maka ramailah orang yang memanfaatkan kehadiran tahun baru untuk membuat azam, membina impian dan iltizam baru, yang tentunya lebih baik lagi.

No comments:

Post a Comment