Wednesday, May 20, 2009

Sinaran Sukma: bersinar lagikah sukma orang Taiping?


Ketika menatap Majalah Susila terbitan Persatuan Sinaran Sukma tahun 1976, saya mengulang baca rencana di halaman 3 bertajuk Sejarah Sinaran Sukma yang ditulis oleh Hawari Che Teh. Rencana pendek satu halaman itu ringkas sahaja, tetapi isinya benar-benar menarik dan perlu dibaca dan direnungkan kembali.

Rencana tersebut mengulas tentang sejarah Sinaran Sukma secara ringkas. Sinaran Sukma adalah penerbit kepada Majalah Susila, dan saya adalah Pengurus penerbitan majalah ini. Majalah ini mencatatkan tarikh ia diterbitkan ialah Jun 1976. Pada kulit luarnya tercatat Jilid 1 Bilangan 1 1976. Ketika majalah ini diterbitkan saya sudah berada di tahun 1 univesiti. Majalah ini dikirimkan kepada saya dan saya sudah lupa siapa yang mengirimkannya. Namun saya pasti mereka pastilah rakan-rakan yang bersama-sama mengusahakan majalah ini. Hanya kami berempat yang bekerja menerbitkannya, iaitu Cikgu Adnan Yusof, Cikgu Hawari Che Teh, Fadzlan Yahya dan saya sendiri. Cikgu Nan dan Cikgu Hawari telah tiada lagi.

Seingat saya majalah ini diusahakan ketika saya berada di Taiping sekitar tahun 1971-72. Kemudian saya meninggalkan Taiping kerana belajar di Maktab Perguruan di Pulau Pinang. Tahun 1975 saya bertugas, mengajar di Pahang, kemudian belajar semula di UKM pada tahun 1976. Ini bermakna Susila mengambil masa hampir empat tahun untuk diterbitkan. Demikianlah sulitnya menerbitkan sebuah majalah, kerana sebab-sebab yang saya sendiri tidak tahu.

Aneh juga sebagai seorang Pengurus, dia tidak mengetahui tentang itu semua. Sebetulya nama saya tercatat sebagai Pengurus, tetapi urusan sebenarnya dijalankan oleh Fadzlan Yahya dan dua lagi rakan kami. Saya hanya menguruskan hal-hal penerbitan dan percetakan. Hal-hal kewangan dan urusan iklan saya tidak mengetahui langsung. Saya telahpun selesaikan tugas saya iaitu menyediakan kulit majalah, yang mana saya sendiri menggunakan sedikit kebolehan melukis, melakarkan gambar YAB Tun Hussein Onn menggunakan pensil hitam.

Oleh kerana peranan saya kecil sahaja, dan saya pula masih perlu belajar di Maktab waktu itu, maka saya tidak pernah lagi bertanya mereka tentang majalah ini. Apa lagi selepas 1972 saya jarang sekali bertemu dengan mereka semua. Sekali sekala saya hanya mendengar berita dan khabar daripada kawan-kawan lain. Terakhir saya mendengar Cikgu Nan dan Cikgu Hawari sudah tiada lagi. Sebenarnya mereka berdua ini jauh beza usianya dengan saya dan Fadzlan.

Ingatan kepada mereka kembali segar, terutama apbila menyemak semula naskah Susila ini. Ingatan kepada majalah ini muncul ketika saya menulis tentang pengalaman di Taiping dalam blog. Lantas saya mencari naskah ini di perpustakaan Baitul Hikmah, perpustakan kami sekeluarga. Saya membelek dan menyelak helai demi helai halaman majalah ini. Apabila terbaca nama-nama Cikgu Nan, Ckgu Hawari, Fadzlan Yahya, Dr Dali, ingatan saya ke tiga dekad silam segar kembali. Mereka adalah rakan-rakan yang rapat ketika itu, biarpun saya sangat muda usianya berbanding dengan mereka. Namun satu hal saya tidak dapat melupakan, bagaimana mereka boleh menerima saya untuk bersama mereka. Mereka adalah orang-orang berpengalaman, doktor, guru dan mereka juga adalah tokoh politik yang ada nama di daerah Larut Matang; sedangkan saya masih muda dan mentah lagi.

Hari ini ketika membaca rencana tulisan Cikgu Hawari tentang Sinaran Sukma, menyebabkan saya merasa ingin menyorot kembali sejarah Sinaran Sukama itu. Walaupun saya turut bersama mereka dalam persatuan itu, tetapi ketika itu saya tidak merasakan ianya begitu penting, sebagaimana saya rasai sekarang. Oleh kerana mereka ini sudah tiada, agak sukar untuk menyorot kembali sejarah Sinaran Sukma yang begitu berjasa kepada masyarakat di Taiping khususnya.

Marilah kita kongsi tulisan Cikgu Hawari ini:

"Diantara beberapa banyak persatuan-persatuan dalam kawasan ini, ada terselit sebuah persatuan kebudayaan dan kesenian Melayu yang dinamakan Persatuan Sinaran Sukma Larut dan Matang. Persatuan ini laksana sebuah bintang di langit daerah Larut dan Matang. Kalau pun cahayanya tidak seterang bintang-bintang yang lain, namun kewujudannya tidaklah dapat dinapikan.

Ertikata "Sinaran Sukma" mengikut huraian pengasas-pengasas dan penaja-penajanya seperti berikut:
Sinaran bererti: pancaran cahaya
Sukma bererti: Jiwa atau nyawa
jadi, paduan perkataan: "Sinaran Sukma" bererti: "Pancaran cahaya jiwa atau pancaran cahaya nyawa. Dengan kata lain Sinaran Sukma bererti "pancaran jiwa yang hidup".

Mengikut catitan yang dapat dikesan, bahawa Persatuan Sinaran Sukma ini ditubuhkan oleh dua golongan manusia: pejuang seni dan pejuang kemerdekaan. Golongan pejuang kemerdekaan tanahair terdiri daripada penyokong-penyokong partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan Angkatan Pemuda Insaf (API).

Peristiwa tertubuhnya persatuan ini bermula dalam tahun 1940an. Akhir tahun 1947 berlaku bah (banjir) besar di Kuala Kangsar dan beberapa kawasan lain yang berhampiran dengan Sungai Perak. Dalam banjir tersebut banyaklah orang-orang yang menderita kerana kehilangan harta dan sebagainya.


Dua golongan di atas berkumpul dan berbincang untuk menolong mangsa-mangsa bah itu. Mereka mengadakan pertunjukan sandiwara berjudul "Keris Melaka" di Dewan Bandaran Taiping. Berikutnya mereka bentuk satu kumpulan yang mereka namakan: "Taiping Malay Dramatic Group". Supaya persatuan itu kekal dan dapat memberikan derma baktinya kepada masyarakat dengan berpanjangan, akhirnya dalam tahun 1950 mereka mengambil persetujuan supaya persatuan tersebut didaftarkan dengan nama: Sinaran Sukma Larut dan Matang (Malay Dramatic Association) telah diluluskan pendaftarannya pada 25hb. Julai 1950 dengan nombor pendaftaran Pk. 97/50.

Sinaran Sukma ialah satu badan kebudayaan yang berasaskan kebajikan. Intisari dasar atau tujuan tersebut didirikan ialah:
1. Menggalakkan umat Melayu dalam lapangan kesenian dan kebudayaan.
2. Menghidupkan semangat kesenian Melayu dan berusaha meninggikan derajatnya.
3. Mengasuh serta memperbaiki budi-pekerti serta masyarakat hidup kebangsaan Melayu mengikut aliran zaman.
4 Menghebah serta mencerminkan ketinggian kesenian serta kebudayaan Melayu.
5. Menimbulkan bakat atau kebolehan dalam syarahan, bunyian-bunyian dan lakonan.
6. Menggalakkan umat Melayu dalam lapangan karang mengarang dan persuratan.


Berdasarkan catatan Cikgu Hawari itu, jelaslah Sinaran Sukma adalah sebuah pertubuhan yang lama dan bersejarah. Bergerak sejak tahun 1947 dan secara rasmi didaftarkan pada thun 1950. Bermakna hampir 60 tahun usianya. Saya tidak pasti apakan ianya masih wujud dan aktif sehingga ke hari ini. InsyaAllah saya akan berusaha menyemak statusnya dan cuba mengesan apakah ia masih hidup atau sebaliknya.

Ketika Majalah Susila ini diterbitkan pertengahan tahun 70an, ia masih hidup. Cikgu Hawari sendiri pernah menjadi Setiausahanya pada tahun 1970-71. Menurut catatan Cikgu Hawari, beliau menyertai Sinaran Sukma dalam tahun 1970. Beliau pernah mendengar persatuan ini pernah menubuhkan Barisan Bertindak Bahasa Kebangsaan Taiping (1965), menganjurkan ceramah sastra membantu pelajar STP dan lain-lain.

Memandangkan Sinaran Sukma adalah sebuah pertubuhan yang bersejarah dan punya peranannya tersendiri bagi memajukan masyarakat Melayu Taiping, dan Taiping sendiri dikenali sebagai bandar warisan; maka masyarakat Taiping perlu menyorot kembali sejarah ini. Sekiranya Sinaran Sukma masih lagi hidup, tentulah kita patut terus menyokong dan mengaktifkannya. Walaupun ia sebuah pertubuhan berasaskan kebudayaan tetapi penghayatan kebudayaan yang luas akan membolehkan kita menggerakkannya ke arah aktiviti yang lebih dinamik dan pelbagai.


Atas: pemandangan Taman Tasik Taiping yang indah. Bawah: pemandangan Zoo Taiping.

Saturday, May 16, 2009

Perak, nostalgia 70han.


Perak kini menjadi terkenal dan hari-hari diberi liputan oleh media massa. Sebagai anak kelahiran negeri Perak, saya sentiasa mngikuti perkembangan di sana, biarpun sebahagian besar hayat saya adalah di Selangor. Sebetulnya hanya 16 tahun terawal dari hayat saya berada di Perak, iaitu dua tahun di kampung di Bukit Gantang, dan tiga tahun lagi di Ipoh semasa bersekolah di Sekolah Agama Izzuddin Shah (1966-1968).

Sekitar tahun 1970 hingga 1972, kembali semula ke kampung berkhidmat di Sekolah rakyat al-Fallah, kemudian ke Taiping bekerja sambil belajar. Ketika mengajar di sekolah rakyat di kampung, saya dibayar RM40.00 sebulan (gaji atau elaun atau saguhati saya tidak pasti). Yang penting dapat mengajar berkongsi sedikit ilmu yang ada dengan anak-anak kampung, adalah satu kepuasan. Di situ saya bersama rakan-rakan lain dapat membentuk anak-anak kampung berpidato, berbahas, bernasyid, sehingga beberapa orang pelajar kami waktu itu menjuarai pelbagai kategori pidato, mengaji di peringkat daerah dan negeri. Itulah kepuasan yang tidak dapat dilupakan sehingga kini. Si samping melatih mereka berpidato saya juga menyediakan teks pidato sehingga beberapa orang daripada mereka menjadi juara di peringkat negeri.

Selepas berkhidmat di sekolah rakyat di kampung tak sampai setahun, saya ke Taiping untuk bekerja. Waktu itu bekerja di percetakan iaitu Percetakan Rakyat di Jalan Asam Kumbang. Kisah bekerja di percetakan ini ditulis di dalam Blog DarAfif.blogspot.com. Di sini saya mula belajar melalui kehidupan sukar dengan berdikari. Dengan pendapatan tak seberapa, masih berazam untuk belajar mengikuti kurus Homeopathy di Semanggol.

Semasa menganggur, pelbagai usaha mencari kerja dilakukan tetapi tiada satupun yang dapat. Mohon kerja kerani tidak dapat. Pernah memohon sebagai Pegawai Tentera. Pernah dipanggil temuduga di Port Dickson. Seminggu di sana, akhirnya terpaksa pulang kerana tidak lulus ujian awal sebagai Kadet tentera. Azam untuk menjadi pegawai tentera rupanya dimakbulkan juga oleh Tuhan, apabila pada tahun 1981 saya ditauliahkan sebagai Lt Muda dalam Pasukan Askar Wataniah. Saya terus berkhidmat dalam Regimen Askar Wataniah selama 17 tahun dan terakhir memakai pangkat Kapten. Selama 17 tahun itu pelbagai kursus telah diikuti bagi melayakkan kenaikan pangkat. Berbulan-bulan menjalani latihan lasak di Pusat Latihan Askar Wataniah di Jalan Tambun, Ipoh. Walaupun ketika itu usia telah melepasai 30 tahun, namun azam dan semangat serta minat dengan kehidupan tentara membolehkan saya menjalani latihan dengan jayanya. Rupa-rupanya keazaman dan cita-cita sejak kecil hendak menjadi pegawai tentera tercapai juga sepuluh tahun setelah gagal ujian pegawai kadet di Port Dickson tahun 1971 dulu.

Pertemuan dengan al-Marhum Dr Dali Muin di Taiping membawa sejarah baru dalam kehidupan saya. Waktu itu beliau menjalankan operasi Pusat Rawatan Homeopathy di tingkat satu Bangunan Seri Larut. Pertemuan itu menjadikan saya begitu rapat dan terpengaruh dengan pandangan dan pemikiran beliau. Dr Dali adalah adik ipar dan juga murid kepada al-Marhum Dr Burhanuddin Helmi, seorang nasionalis dan tokoh politik tanahair. Sungguhpun saya sendiri tidak pernah berkesempatan bertemu muka dengan al-Marhum Dr Burhanuddin, namun melalui Dr Dali, saya merasa dekat dengan Dr. Burhanuddin kerana Dr Dali sering menceritakan kisah-kisah perjuangan beliau dengan abang iparnya itu. Saya pernah bertemu dengan anak Dr Burhanuddin, Shukri dan anak saudaranyanya. Saya juga agak rapat dengan isteri Dr Dali (adik Dr Burhanuddin), Kak Yati (Ustazah Norhayati).

Dr Dali membuka gerbang baru kepada saya, iaitu bidang perubatan Homeopathy. Sebagai seorang yang meminati ilmu, saya tidak mensia-siakan kesempatan untuk mengenal dan mendalami ilmu baru ini. Saya mendaftar untuk mengikuti kursus Homeopathy di Ehya al-Syarif Gunung Semanggol. Malangnya saya berdepan dengan masalah kewangan untuk biaya kursus dan juga biaya hidup. Waktu itu tiada pekerjaan tetap. Selain pernah bekerja di percetakan, saya turut membantu emak saudara (al-Marhum Aliah Sheikh Juned Talla) berniaga kain di bazar Seri Larut. Setelah mengikuti kursus beberapa siri, saya akhirnya kecundang kerana tiada kewangan untuk meneruskannya. Tiada siapa bersedia membantu, keluarga pula susah. Akhirnya kursus Homeopathy tergendala begitu sahaja.

Sungguhpun kursus asas formal tak dapat diteruskan, namun saya sentiasa dapat berdamping dengan Dr Dali. Klinik tempat rawatannya, menjadi tempat saya bertandang, berbual, berbincang dan mendengar cerita-cerita Dr. Dali. Saya begitu kagum dengan pengetahuannya terutama semangat nasionalisme dan politiknya. Ternyata beliau mempunyai latarbelakang perjuangan politik sejak zaman sebelum merdeka, terutama di Singapura. Oleh kerana saya adalah seorang murid yang sering bertemu dan bersedia mendengar dan belajar daripadanya, saya sedar Dr. Dali begitu mengambil berat tentang saya.

Saya sangat berminat dengan pengetahuan Homeopathy. Saya beruntung kerana ketika ke Klinik Dr Dali, banyak buku-buku Homeopathy kepunyaan Dr Burhanuddin di simpan di sini. Saya adalah antara orang yang sering memanfaatkan buku-buku berharga ini. Di samping membaca saya juga turut mengemas dan menjaga perpustakaan kecil pusaka Dr Burhanuddin ini. Sebagai seorang kaki buku, saya sedar khazanah ilmu Homeopathy ada di sini. Malangnya waktu itu bahasa Inggeris saya tidaklah begitu bagus, menyebabkan khazanah itu tidak dapat digali dengan lancar.

Sungguhpun saya tidak pernah menamatkan pengetahuan Homeopathy secara formal, namun pengetahuan tentang falsafah Homeopathy saya garap dengan membaca dan belajar dari buku dan dari Dr. Dali. Hasilnya saya menulis tentang bidang Homeopathy. Antara rencana penting tentangnya pernah tersiar dalam Majalah Dewan Masyarakat sekitar tahun 1973. Di samping itu tersiar juga dalam majalah Mastika dan Panji Islam. Dengan menulis tentang Homeopathy saya berharap dapat memperkenalkan bidang perubatan ini kepada masyarakat, kerana waktu itu orang belum begitu faham dengan kaedah rawatan Homeopathy.

Pergaulan dengan Dr Dali membawa saya ke satu dimensi lain di mana saya didedahkan kepada kelompok orang-orang perjuangan di Taiping. Melalui Dr Dali, saya diketemukan dengan beberapa orang tokoh politik dan pejuang PAS tempatan seperti Cikgu Nan (Adnan), Cikgu Hawari (semuanya sudah meninggal), Fazdlan Yahya, Tuan Guru Haji Mat Saman Kati dan lain-lain. Rata-rata mereka adalah penyokong parti PAS, manakala Fadzlan Yahya adalah orang kuat DAP. Dr Dali sendiri adalah orang kuat parti PAS. Saya pernah bertemu dan berkenalan dengan Ustaz Hassan Shukri melalui Dr Dali ketika bertemu di kliniknya. Walaupun saya paling muda (dalam kumpulan ini), tetapi syukurlah kerana saya diterima untuk bersama mereka. Saya turut dibawa terlibat dalam pelbagai aktiviti persatuan seperti Persatuan Sejarah Taiping, Persatuan Kebudayaan Sinaran Sukma.

Saya begitu rapat dengan Fadzlan Yahya dan beliau sering mengajak saya mengikuti program DAP yang diikutinya. Beliau diberi kedudukan penting dalam politik DAP Taiping dan juga negeri Perak. Beliau pernah bertanding dan menjadi ADUN Pasir Berdamar beberapa penggal. Beliau pernah disebut akan menjadi Menteri Besar Perak sekiranya DAP memenangi kerusi DUN Negeri Perak suatu waktu dahulu. Saya begitu rapat dengan Fadzlan bukan saja sebagai sahabat tetapi sudah macam keluarga. Saya mengenali keluarga beliau dan sering ke rumahnya. Cuma apabila saya ke Universiti petengahan tahun 70han, kami sudah jarang ketemu dan sekali pernah ketemu di satu majlis di universiti. Ketika itu beliau menjadi ahli panel forum mewakili DAP.

Walaupun begitu rapat dengan Fadzlan saya tidak mudah dipengaruhinya untuk ikut dalam DAP. Saya menolak ideanya kerana saya berasa begitu asing dengan politik DAP ketika itu (awal 70han). Fadzlan pernah berkata kepada saya, "aku sertai DAP untuk cari makan". Betul juga kata-katanya. Saya tahu ketika kehidupan sulit (beliau sudah berkeluarga) waktu itu, hanya rakan-rakan Cina yang membantu beliau. Beliau juga pernah mengajar di Sekolah Cina di Taiping. Sebagai seorang anak muda bersemangat dan mempunyai cita-cita politik, beliau pernah memberitahu saya, beliau kecewa kerana parti Melayu tidak memberinya tempat, sebab itu dia ikut parti Cina (DAP). Saya kira berbaloi juga dia menyertai DAP kerana beliau diberi tempat yang baik dan pernah menduduki pelbagai jawatan penting dalam parti. Bersama Fadzlan, saya menguruskan penerbitan Majalah Susila. Hanya satu kali penerbitan sahaja dapat diusahakan kerana masalah kewangan. Saya menyediakan kulit luarnya dan menguruskan percetakannya. Kulit luarnya adalah wajah Perdana Menteri ketika itu, Tun Hussein Onn, yang saya lukis sendiri.

Kisah Fadzlan sudah tidak kedengaran lagi. Entah di mana dia sekarang, tiada khabar lagi dan kami tidak pernah lagi bertemu dan berhubung. Saya hanya menyimpan kenangan lama bersama beliau di Taiping dulu.

Hubungan dengan Dr Dali terputus agak lama kerana saya ke Pulau Pinang belajar di Maktab Perguruan Sri Pinang dua tahun (1973-74). Kemudian berkhidmat sebagai guru dan masuk Universiti tahun 1976-79. Sekitar awal tahun 80han, Tuhan menemukan kami kembali di Kuala Lumpur. Waktu itu kami berdua kebetulan tinggal berhampiran. Klinik beliau di Jalan Raja Abdullah Kg Baru manakala saya tinggal di Jalan Raja Mahmud, Kg Baru juga. Setelah bertemu semula, hubungan kami kembali rapat. Beliau sering berkunjung ke rumah saya dan saya juga sering mengunjunginya di kliniknya.

Hubungan kami menarik saya kembali kepada Homeopathy. Saya diajak aktif membantu Persatuan Homeopathy Malaysia, ketika itu dipimpin oleh Dr Dali dan rakan-rakannya. Saya diberi tugas baru iaitu mengendalikan penerbitan Majalah Homeopathy. Oleh kerana Dr Dali tahu kebolehan saya di bidang penerbitan, beliau pandai memujuk saya untuk membantu beliau dalam menerbitkan majalah tersebut. Bahan sudah ada, iklan juga ada, cuma tiada orang yang hendak menguruskan penerbitannya.

Akhirnya saya beri kesanggupan dan mulalah menerbitkan majalah Homeopathy. Bersama dalam Lembaga Pengarang ialah Pak Atondra (Mohd Nordin Abdul Rahman, kini Dato'). Dua kali Majalah Homeopathy diterbitkan. Beberapa rencana disediakan oleh Dr Dali sendiri, sementara saya juga turut menyumbang rencana. Kejayaan penerbitan Majalah Homeopathy ini sangat bermakna kepada diri saya, dan Dr Dali sendiri, di samping ia merupakan satu pencapaian persatuan juga.

Di penghujung tahun 80han, saya mendengar khabar Dr Dali sudah tiada lagi. Beliau meninggal akibat sakit (saya tak pasti sakit apa). Ketika itu kami sudah tiada di Kg Baru kerana berpindah ke Serdang, jadi jarang sudah bertemu beliau. Klinik beliau diteruskan oleh rakan lama saya, Dr Tajuddin Abdullah. Klinik itu tidak lagi di Jalan Raja Abdullah, tetapi berpindah ke Jalan Raja Mahmud, berdepan Masjid Jamek Kg Baru.

Tuesday, May 5, 2009

K.Trengganu dan alam pesisirnya


1 Mei adalah hari pekerja, dulunya dikenali sebagai hari buruh. Cuti hari pekerja ini membawa kami sekeluarga ke Kuala Trengganu, bandaraya warisan pesisir, ibu negeri Trengganu. Kunjungan ini sempena majlis perkahwinan anak saudara, di samping menziarah anak, menantu serta cucu tunggal yang berkhidmat di Kuala Trengganu.

Kuala Trengganu sepertimana 40 tahun dahulu ketika pertama kali menjejak kaki ke sini, mempunyai auranya tersendiri. Sebagai sebuah bandar (kini bandaraya) yang berada di pinggir kuala, sesuai dengan namanya, ia memiliki aset alaminya yang menarik kerana ada daratan, ada lautan, ada laut dan ada kuala sungainya. Wujudnya beberapa buah pulau di kuala telah membantu Kuala Trengganu berkembang menjadi bandaraya pesisir yang berpotensi untuk dikunjungi sebagai sebuah destinasi pelancongan lokal mahupun global. Kini Pulau Wan Man telahpun dimajukan dengan tersergamnya Kompleks Taman Tamddun Islam.

Uniknya Kuala Trengganu kerana orang masih menghargai sungai dan laut. Air masih dijadikan alat perhubungan yang masih berkesan. Dulunya sebelum dibina jambatan Sultan Mahmud, perhubungan antara Seberang Takir dan bandar Kuala Trengganu adalah menggunakan jalan air, iaitu berperahu. Hanya itulah satu-satunya kenderaan yang dapat membawa penduduk Seberang Takir ke bandar. Pengangkutan itu dikenali sebagai Perahu Penambang. Nama ini mungkin ada kaitan dengan perkhidmatan yang mengenakan tambang, lantas ia disebut penambang. Hari ini fungsi perahu penambang masih berkesan. Masa menyeberang dengan perahu penambnag lebih pendek iaitu kira-kira sepuluh minit sahaja, berbanding masa yang lebih lama menyeberang menggunakan jambatan Sultan Mahmud. Kos kewangan dan kos masa tentu dapat dijimatkan dengan menyeberang menggunakan perahu atau bot penambang. Di sepanjang tebing sungai sebelah bandar terdapat banyak jeti-jeti yang digunakan untuk orang awam, jabatan-jabatan kerajaan dan juga khusus untuk nelayan. Jeti-jeti ini terus berperanan sebagai lokasi penting bagi aktiviti bot, perahu dan kapal-kapal nelayan dan bot-bot jabatan Kerajaaan. Kini kapal persiaran mewah telahpun berlabuh di kuala.

Pasar Kedai Payang adalah sebuah lokasi penting dan bersejarah. Ia masih terus popular di kalangan pelancong dari luar dan juga penduduk tempatan. Nama Kedai Payang ini berasal dari nama perahu payang, iaitu perahu tradisi orang Trengganu. Oleh kerana sejak dauhulu lagi Kedai Payang ini mejadi tumpuan perahu-perahu payang berlabuh memunggah dan mengisi barangan perniagaan, maka lokasi tersebut dikenali sebagai Kedai Payang. Kini ia telah menjadi sebuah kompleks pasar basah di bahagian bawahnya, manakala di atasnya dijadikan bazar beli-belah khususnya pakaian. Dari laut, Pasar Kedai Payang ini kelihatan sebagai pasar terapung, dengan tiang-tiangnya di dalam air.

Kini sebuah kompleks yang besar dan menarik dikenali sebagai Plaza Warisan baru sahaja siap digunakan. Sungguhpun ia dibangunkan lebih moden dan selesa, namun ia nampaknya tidak dapat menandingi Pasar Kedai Payang. Orang masih ramai ke Kedai Payang untuk beli-belah terutama pakaian batik, sutera dan songket. Sungguhpun suasana di Kedai Payang agak sesak dan kecil, namun popularitinya sukar ditandingi kompleks lain.

Trengganu terkenal dengan batiknya. Sungguhpun Kelantan juga mempunyai batik, namun batik Trengganu ada keistimewaannya. Batik moden dengan bahan dan reka coraknya yang sentiasa mengikut trend mendapat sambutan ramai. Sungguhpun harganya agak mahal, namun peminatnya masih ramai. Lebih-lebih lagi sekarang ini pegawai Kerajaan perlu memakai baju batik pada hari Khamis. Sebelum ini ia pernah dipakai pada hari Sabtu.

Selain batik, Trengganu terkenal dengan tenunan songket. Songket Trengganu masih mengekalkan corak tradisi di samping perubahan di segi warnanya. Selain batik dan songket, Trengganu juga terkenal dengan ukiran tembaganya. Makanan pula Trengganu dikenali dengan kerpok lekornya. Kawasan Losong dikenali sebagai lokasi pengusaha keropok lekor beroperasi. Di sepanjang jalan pantai dari Kuala Trengganu hingga ke Marang, terdapat banyak gerai menjual keropok lekor.

Pertama kali mengunjungi Taman Tamaddun Islam di Pulau Wan Man, kami mendapati ramai pengunjung lain turut serta. Kebetulan hari minggu, ramai pelancong luar Trengganu masih bercuti di sini. Kewujudan Taman Tamaddun Islam ini membawa imbauan pengunjung kepada sejarah keagungan Islam yang ditampilkan dalam bentuk replika masjid-masjid terkenal di seluruh dunia Islam. Replika ini dibina mirip bentuk asal, dikatakan menepati 90 peratus bentuk sebenar. Lebih 20 buah replika dibina di sini. Selain itu terdapat sebuah masjid sebenar yang dikenali sebagai Masjid Kristal di bina di sini. Di samping itu sebuah kompleks serbaguna juga dibina untuk digunakan bagi acara-acara tertentu dan juga untuk kegunaan orang awam.

Tiket masuk ke kompleks berharga RM10 dan RM20 untuk pelancong asing. Tiket ini termasuk RM3 kupon untuk makanan. Kemudahan trem dikenakan RM3 lagi. Satu tarikan lain di Taman Tamaddun Islam ini ialah aktiviti berperahu mengelilingi pulau-pulau di sekitar kuala. Dari atas perahu payang (berenjin) perjalanan satu jam benar-benar memanfaatkan kerana kita boleh melihat bandaraya Kuala Trengganu dan Kompleks Taman Tamaddun Islam dari arah sungai. Keindahannya amat berbeza dengan pemandangan dari darat. Di samping itu sepanjang pesisir yang dilalui, kita disajikan dengan pemandangan menarik pulau-pulau kecil yang ada sejarahnya tersendiri. DI pesisir Seberang Takir, kita menyaksikan bengkel-bengkel membuat bot dan perahu, dan juga jeti-jeti di perkampungan sekitarnya.

Aktiviti menyisir sekitar kuala ini elok dijadikan satu tarikan pelancongan. Ia perli diwarwarkan bagi menarik lebih ramai lagi pelanconga, baik pelancong tempatan mahupu pelancong asing, untuk menikmati keindahan alam semulajadi di samping melihat perkampungan pesisir di Seberang Takir dan lokasi-lokasi penting di pesisir bandaraya. Di Thailand misalnya, pelancong dibawa menyisir sungai Chao Phraya untuk melihat pemandangan perkampungan dari arah sungai. Aktiviti ini begitu popular di kalangan pelancong di sana, dan kosnya juga bukan murah.





Gambar atas: Plaza Warisan. Bawah: Masjid Suleiman, Turki, dan pemandangan bandaraya dari atas perahu (pandangan dari kuala).

Tuesday, April 28, 2009

Semporna 3: Bum Bum dan impian kelapa


Semasa di Semporna saya berkesempatan meninjau Pulau Bum Bum, sebuah pulau yang paling besar berhampiran daratan Semporna. Perjalanan dengan sampan bermotor mengambil masa kira-kira tujuh minit sahaja dari jeti Pasar menuju jeti Pulau Bum Bum.

Kami menyewa teksi dari jeti menuju beberapa destinasi perkampungan di Bum Bum. Teksi di sini terdiri daripada kereta dan van berusia dan kelihatan lusuh dan tidak terjaga dengan sempurna. Namun khidmat mereka begitu penting kerana penduduk di sini rata-rata menggunakan khidmat teksi-teksi ini untuk ke destinasi di pulau ini mahupun untuk menyeberang lagi ke pulau-pulau lain.

Lawatan kami ke Bum Bum sebenarnya tidak berhaluan, tidak punya destinasi khusus untuk dituju. Sememangnya dirancang begitu, kerana lawatan ini adalah untuk meninjau lokasi dan apa yang ada di sana.

Ternyata Pulau Bum Bum masih lagi kekal alami dengan suasana pulau yang terasa sepi, sunyi dan tidak ramai penduduknya. Beberapa buah perkampungan kecil di pinggir pantai didiami kelompok keluarga sekitar 7-10 buah rumah. Rumah-rumah mereka terletak di dalam air sebagaimana kampung air. Sebuah jeti menghubungi rumah-rumah mereka dengan daratan. Kebanyakan rumah-rumah di sini sederhana dan kecil-kecil belaka. Ia melambangkan kehidupan penduduk di sini yang juga sederhana.

Pulau Bum Bum masih kaya dengan kelapa, dan kelapa di sini kelihatan ditanam secara rapi sebagai sebuah perkebunan. Malangnya sebahagian kebun tidak lagi terurus, kelihatan terbiar dengan semak samun dan pokok-pokok liar memenuhi kebun. Sebahagian lagi kelihatan bersih dijaga dan diurus sempurna. Kebun-kebun terbiar dijangka ditinggalkan oleh pemiliknya mungkin kerana mereka sibuk dengan urusan lain, atau mungkin juga disebabkan pasaran buah kelapa yang tidka begitu bagus. Menurut penduduk di situ harga buah kelapa di sini ialah seringgit bagi tiga biji.

Pulau Bum Bumm sangat sesuai untuk dimajukan sebagai destinasi pelancongan di masa depan. Suasana alaminya dapat dimanfaatkan sebagai lokasi pelancongan alam (echo tourisme). Keindahan pantai yang bersih dan lautnya yang jernih biru kehijauan, dengan daratan yang dipenuhi pohon kelapa. Sekiranya suasana perkampungan nelayan di pantai dapat diolah dan dilestarikan, ia boleh menjadi lokasi homestay kepada pelancong asing dan juga pelancong tempatan. Banyak lokasi-lokasi tepi pantai yang masih fresh dan sesuai dibangunkan chalet-chalet sederhana dan ringkas untuk tujuan pelancongan.

Dengan kehidupan sederhana penduduk tempatan mungkin mereka tidak terfikir untuk memanfaatkan kekayaan sumber alam di sini untuk meningkatkan taraf ekonomi mereka. Pihak-pihak luar mungkin nampak potensi ini.

Apa yang menarik pada Bum Bum ialah senario kebun kelapanya. Kesuburan kelapa di sini ada kaitannya dengan persekitaran yang sesuai dengan habitat kelapa. Kelapa mendominasi Bum Bum.

Apa yang perlu dilakukan kini ialah bagaimana memberikan nilai baru kepada kelapa yang begitu banyak di Bum Bum. Jualan buah kelapa sebagaimana biasa mungkin tidak mempunyai apa-apa signifikan lagi. Bagaimana sekiranya hasil buah kelapa diberi nilai baru, misalnya dengan memproses buah kelapa menjadi bahan-bahan hiliran yang lebih bernilai. Contohnya penghasilan minyak kelapa dara atau virgin coconut oil (vco), santan tepung, nata de coco dan lain-lain.

Di Filipina penghasilan minyak kelapa dara dijadikan satu industri yang berpotensi menghasilkan pendapatan lumayan. Mereka mengeksport vco ke serata dunia, dan vco penghasilan FIlipina dikenali sebagai antara vco bermutu tinggi. Mereka menguasai teknologi biotek dalam penghasilan vco.

DI Indonesia, kini mereka begitu tekun memajukan kelapa dengan menghasilkan vco. Oleh kerana Indonesia adalah negara yang memiliki keluasan kebun kelapa terbesar di dunia, maka mereka sedang fokus kepada usaha memanfaatkan sepenuhnya kelapa sebagai sumber ekonomi baru. Keseluruhan pohon kelapa dikaji manfaatnya. Buahnya boleh meghasilkan santan, vco, minyak masak; manakala air kelapa muda dapat dijadikan minuman segar dan minuman-minuman lain. Sementara itu sabut kelapa diproses untuk dijadikan tali, kusyen, kraf dan penutup tanah (pelembab). Serbuk dari proses sabut dikenali sebagai coco pit pula digunakan sebagai bahan untuk membuat fiber dan juga baja. Tempurung kelapa dibakar untuk mendapatkan karbon aktif (activated carbon), dan kini dibuat asap cair. Selain itu tempurung kelapa juga boleh dibuat kraf. Daun kelapa dianyam menjadi pelbagai bentuk produk kraf. Di Bali misalnya kita melihat daun kelapa dianyam menjadi bekas dan bakul sewaktu mengadakan sembahan.

Saya melihat Thailand juga begitu bijak memanfaatkan sumber kelapa. Kelapa muda tidak sahaja diminum segar, tetapi dengan kreativiti mereka, kelapa muda diolah dengan aiskrim sebagai aiskrim kelapa. Mereka juga begitu kreatif mengolah tempurung, seludang dan bahan-bahan buangan kelapa menjadi kraf yang cantik seperti terendak lampu dan lampu-lampu hiasan.

Sebenarnya Malaysia juga banyak pohon kelapa. Sekiranya kita mahu belajar dari negara-negara jiran, tidak mustahil kita juga boleh memajukan kelapa dalam pelbagai industri. Apa yang penting ialah perhatian, fokus, visi untuk melihat kelapa dari pelbagai sisi yang membolehkannya menjadi sumber baru ekonomi negara.







Gambar pemandangan kelapa di Bum Bum. Bawah: contoh kraf dari buangan kelapa dijual di Bangkok.

Saturday, April 25, 2009

Semporana 2: Haji Miskai, Lepa dan budaya


Haji Miskai dari Kampung Tunggulangan, Semporna adalah seorang penduduk kampung biasa di Semporna. Namun begitu dalam satu sisi lain Haji Miskai bukanlah seorang biasa kerana beliau mempunyai bakat, kebolehan, kreativiti dan visinya tersendiri. Dalam konteks orang Bajau, haji Miskai adalah seorang Bajau yang sebenarnya sedang mengukir nama sebagai budayawan Bajau yang patut dibangga dan dihargai.

Ketika berbual dengan beliau semasa Pesta Lepa-lepa di Semporna baru-baru ini, saya berjaya mengorek sedikit sebanyak latarbelakang Haji Miskai yang begitu sinonim dengan Lepa (perahu orang Bajau). Beliau telah menjadi juara untuk kesekian kalinya dalam Pesta Lepa-lepa baru-baru ini dengan membawa pulang RM 5 000.00 wang tunai. Hadiah itu mungkin tidaklah seberapa sekiranya dibandingkan dengan usaha kerasnya membuat dan mengukir cantik Lepa yang membawa tuah kepadanya. Menurutnya kos membuat Lepa memakan ribuan Ringgit kerana ia dibuat daripada kayu berkualiti. Itu tidak termasuk upah membuat dan mengukirnya, yang memakan masa tiga bulan.

Dari keceriaan Haji Miskai mengungkapkan pengalamannya mencipta Lepa, ternyata beliau seorang budayawan yang berbakat dan bervisi. Ketika mula berminat dengan Lepa dulu, Haji Miskai mungkin tidak terfikir beliau akan terlibat begitu serius dan komited dengan Lepa. Kepada beliau, Lepa adalah satu warisan dari ayahnya. Beliau mewarisi seni cipta dan ukir Lepa daripada orang tuanya. Warisan mencipta dan membina perahu merupakan satu traidisi orang Bajau kerana perahu adalah kenderaan utama mereka. kehidupan di pulau memerlukan setiap orang memiliki perahu untuk membolehkan mereka pergi ke mana-mana dan juga untuk mencari rezeki di laut.

Berpuluh tahun sudah Haji Miskai membuat Lepa. Paling tidak setiap tahun beliau akan mengambil masa berbulan-bulan membuat Lepa untuk menyertai pesta Lepa-lepa yang kini memasuki tahun ke-16. Namun menurut Haji Miskai, beliau telah menyertai pertandingan Lepa ini hampir 20 tahun, dan beliau begitu bangga sepanjang tempoh tersebut Lepa ciptaan beliau terus mendapat tempat pertama.

Akhir-akhir ini Lepa ciptaan Haji Miskai yang memenangi pertandingan akan ditawarkan oleh Agensi Kerajaan dan juga orang perseorangan untuk dibeli. Menurut beliau, tahun lalu, Lepanya dibeli RM15 000.00. Pada tahun ini pun sudah ada orang yang melamar Lepanya. Beliau mungkin melepaskan Lepanya jika tawarannya bagus. Oleh kerana Lepa Haji Miskai mempunyai status tersendiri apabila sentiasa menjuara pertandingan Lepa di Pesta Lepa-lepa, maka Lepanya mudah mendapat pembeli yang mampu membayar harga yang bagus. Inilah tuah Lepa Haji Miskai.

Menurut Haji Miskai sebahagian Lepa yang dibeli darinya akan digunakan pula dalam pertandingan Lepa akan datang. Bermakna beberapa buah Lepa yang memasuki pertandingan adalah hasil ciptaan tangan Haji Mikasi sendiri. Sebab itu, menurut Haji Miskai, beliau terpaksa memerah otak mencari idea-idea baru setiap tahun untuk memberikan sentuhan baru dan lebih menarik daripada ciptaan-ciptaan lalu.

Semangat Lepa begitu kuat dan mendalam pada Haji Miskai. Semangat yang sama turut dihayati oleh ahli keluarganya. Isterinya turut serta dalam setiap pertandingan. Beliau berperanan bermain alat muzik yang mengiringi persembahan tarian. Sebuah Lepa yang menyertai pertandingan akan dkendalikan oleh beberapa orang ahli yang mempunyai peranan masing-masing. Tiga empat orang akan mengendalikan alatan muzik, seorang penari dan seorang pengemudi. Biasanya tuan punya Lepa akan berdiri di depan Lepanya.

Daripada Pesta Lepa-lepa ini dapat dilihat betapa ianya bukan sekadar pertandingan perahu Bajau, tetapi juga turut menonjolkan budaya dan kesenian tradisional suku Bajau. Peserta termasuk tuanpunya Lepa akan mengenakan pakaian tradisi Bajau dengan busana khusus bermanik dan berwarna-warni, lengkap dengan pakaian kepalanya (tengkolok bagi lelaki dan mahkota bagi wanita). Mereka juga mengalun muzik tradisi mereka melalui pukulan kulintangan, gendang dan goong diikuti oleh tarian tradisi Bajau yang digayakan oleh penari yang lengkap dengan busana tradisionalnya.

Semangat Lepa seperti yang dipamerkan oleh watak Haji Miskai dan rakan-rakannya akan terus mewarnai keunikan budaya Bajau, khususnya di Semporna. Selagi kehidupan mereka masih bertaut dengan laut, Lepa akan terus bermakna kepada mereka. Walaupun teknologi telah merobah fungsi Lepa tradisi dengan penggunaan enjin dan bot fiber; namun Lepa akan terus dihargai kerana keunikan dan ciri-ciri budayanya.

Kemahiran mengukir orang Bajau sebagaimana yang ada pada Haji Miskai adalah satu warisan kesenian Malaysia yang sangat perlu dipelihara. Tidak ramai lagi orang-orang Mlaysia yang mempunyai kemahiran mengukir kayu. Selain di Kelantan dan Trengganu, tidak ramai pengukir yang masih wujud. Oleh itu warisan kesenian ukiran Bajau ini adalah antara yang perlu dipelihara dan diwariskan kepada generasi baru agar ia terus kekal.





Gambar atas: Haji Miskai berdiri di atas Lepanya. Gambar bawah: penulis di dalam Lepa Haji Miskai, bawah: pemain-pemain muzik yang mengiringi Lepa Haji Miskai.

Thursday, April 23, 2009

Semporna 1: Bajau dan Lepa sebuah tradisi unik yang perlu dilestarikan.


Pada 18 April baru-baru ini saya ke Semporna, Sabah untuk lawatan kerja di sana. Semporna adalah sebuah bandar terletak di timur dan tenggara negeri Sabah, berkedudukan di tengah-tengah antara bandar Tawau dan Lahad Datu. Dengan adanya lapanganterbang baru Tawau berhampiran Balung, jarak perjalanan ke Semporna lebih dekat, kerana ia berada di tengah jalan antara Tawau dan Semporna. Hampir sepuluh tahun saya tidak ke Semporna, kini terlalu banyak perubahan yang merobah Semporna.

Kunjungan ke Semporna dirancang supaya bertepatan dengan Pesta Lepa-lepa atau Regatta lepa-Lepa 2009. Pesta Lepa-lepa adalah satu acara tahunan yang telah dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan negeri Sabah. Ia menjadi salah satu acara penting di Sabah dan boleh dijadikan satu acara pelancongan penting bagi negara juga. Setelah 20 tahun Pesta Lepa-lepa diadakan, ia sepatutnya sudah boleh dijadikan satu acara nasional memandangkan keunikan pesta ini dari pelbagai aspek.

Lepa adalah sejenis perahu tradisional masyarakat Bajau yang menjadi penduduk dominan daerah Semporna. Keunikan lepa adalah melambangkan keunikan budaya masyarakat Bajau itu sendiri. Oleh itu Pesta Lepa-lepa ini mencerminkan penampilan budaya traidisi masyarakat Bajau yang masih dipertahankan, untuk diwarisi oleh generasi kini dan generasi mendatang. Beberapa elemen penting budaya Bajau masih lagi relevan dan patut dikekalkan sebagai khazanah budaya bangsa yang bukan sahaja unik tetapi juga penuh sejarah dan berharga, baik dari sudut pelancongan, ekonomi dan juga pengekalan warisan.

Beberapa tahun lalu, ketika Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan diterajui anak jati Semporna, Dato' Shafie Afdal, Pesta ini diangkat dan diberi energi baru sehingga ia menarik penyertaan yang begitu ramai. Ketika ditemui, Haji Miskai, salah seorang penggerak penting kepada tradisi Lepa-lepa ini menyatakan, pada thun ini penyertaan sangat berkurangan, tidak semeriah beberapa tahun lalu. Menurutnya, keadaan ini mungkin disebabkan pengurusan Pesta tidak sebagus yang lalu, atau mungkin juga kerana situasi ekonomi yang lembab waktu ini.

Katanya, Ketika kemuncaknya dulu, hadiah untuk pemenang pertandingan Lepa ini sungguh lumayan. Beliau yang telah 20 tahun menjuarai pertandingan Lepa memaklumkan pernah memenangi hadiah RM 10 000.00 sebagai juara Lepa dua tahun lalu. Waktu itu penyertaan begitu besar, mungkin juga disebabkan tarikan hadiah tersebut.

Tahun ini, Haji Miskai masih lagi mengekalkan kejuaraan dengan memenangi tempat pertama. Hadiahnya berupa wang tunai RM 5 000.00. Dengan kemenangan kesekian kalinya, bermakna sehingga kini belum ada orang lain dapat menandingi keupayaan Haji Miskai di Pesta Lepa-lepa ini. Menurut haji Miskai, kemerosotan peserta pada tahun ini mungkin juga ada kaitan dengan hadiahnya yang semakin menurun berbanding masa lalu.

Sebagai seorang peminat budaya dan kesenian, saya yang pertama kali berpelunag menyaksikan Pesata Lepa-Lepa ini begitu teruja dengan keunikannya. Apa yang unik ialah bentuk fizikal Lepa yang menampilkan imejnya tersendiri. Ia berupa sebuah perahu sederhana saiznya, dihiasi dengan rambu-rambu tirai berwarna-warni. Perahu diukir indah dengan ukiran tebuk dan timbul (ukiran tradisi Melayu) pada kebanyakan bahagian perahu. Ukiran daun, pucuk dan julur menampilkan warisan ukiran tradisi suku Bajau yang unik. Elemen ini begitu menonjol pada beberapa buah Lepa yang mengambil bahagian. Paling menonjol ialah Lepa milik Haji Miskai yang menjuarai Pesta tahun ini.

Selain dari keindahan fizikal Lepa, ia dimeriahkan dengan penampilan kesenian melalui persembahan tarian tradisi Bajau dan juga muzik mereka. Dalam setiap Lepa terdapat seorang penari muda melenggang lenggok menggayakan tarian tradisi Bajau dalam kostum tradisional mereka. Busana mereka dihiasi manik-manik berkilauan berwana-warni, dengan pakaian kepala (head gear) juga berhias indah. Mereka menari mengikut irama kulintangan, gendang dan gong, iaitu tiga alatan muzik Bajau yang mengiringinya. Pemain-pemain alatan muzik terdiri daripada orang-orang tua (kebanyakannya wanita) yang berpengalaman.

Pesta Lepa-lepa bukanlah sekadar pertunjukan perahu Bajau, tetapi juga sebuah pertunjukan kesenian tradisional mereka meliputi busana tradisi, tarian dan juga muzik tradisional Bajau. Ia sebuah penampilan budaya tradisional secara holistik, dan inilah uniknya Pesta Lepa-lepa. Ia seharusnya menjadi kebanggaan orang Semporna dan juga kebanggaan negeri Sabah dan Malaysia secara amnya.

Pertunjukan perahu terdapat di banyak negara. Perlumbaan perahu sering diadakan pada pesta-pesta air di mana-mana negara termasuk Malaysia juga. Namun perlumbaan ini lebih tertumpu kepada keupayaan mendayungnya. Ini dapat dilihat pada perlumbaan perahu panjang di Pulau Pinang misalnya. Ia lebih menonjolkan kekuatan tenaga pengendali perahu, teapi kurang menampilkan elemen budayanya. Kalau adapun, ia bukannya budaya jati Malaysia.

DI sinilah uniknya Lepa Bajau. Pesta Lepa-lepa tidak mungkin dibanding dengan pesta Perahu lain kerana ia begitu holistik penampilan budayanya. Ia harus dihargai dan dibanggakan sebagai salah satu tradisi penting baik untuk tujuan pelancongan, pengekalan warisan atau sejarah suku bangsa kita. Ia menampil ciri-ciri kehidupan tradisi dan semasa suku Bajau, salah satu suku yang agak dominan di Sabah. mereka mendiami lokasi-lokasi penting di Sabah dari Kudat, Kota Belud, Tuaran, Lahad Datu, Semporna sehingga ke Tawau. Kota-kota ini adalah kota pinggiran pantai, iaitu satu talian penting kehidupan suku Bajau dengan laut. Di Semporna sebuah bandar yang begitu sinonim dengan orang Bajau adalah bandar tepi laut. Sehingga kini masih ramai lagi mereka yang mendiami di pulau-pulau sekitar Semporna meneruskan tradisi sebagai nelayan yang bergantung hidup dengan laut.

Kebanyakan suku Bajau di Semporna berasal dari pulau-pulau di sekitarnya. Generasi tua di daratan kini sebahagian besarnya pernah hidup di pulau-pulau sebelum mereka berhijrah ke tanah besar. Di tanah besar, mereka beralih dari aktiviti sebagai nelayan di laut kepada aktiviti pertanian. Pertanian tradisi mereka agak sederhana. Banyaknya pokok-pokok kelapa di Semporna membuktikan tradisi pertanian sederhana mereka bergantung kepada hasil kelapa. Kini setelah pengaruh kelapa sawit begitu dominan, barulah mereka beralih kepada tanaman sawit. Keuntungan penanaman sawit menyebabkan kawasan penanaman kelapa semakin berkurangan di Semporna.

Sebahagian suku Bajau masih lagi mengekalkan kehidupan sederhana mereka di pulau-pulau sebagai nelayan. Sebahagian membina rumah-rumah kampung di daratan manakala sebahagian lagi membina penempatan keluarga di gigi air di tepi pantai. Terdapat keompok kecil rumah-rumah kecil dan sederhana di atas air di sekeliling pulau. Pulau Bum Bum adalah antara pulau terbesar berhampiran daratan. Perjalanan dengan bot mengambil masa tujuh minit dari jeti bandar Semporna. Pengalaman meninjau Pulau Bum Bum saya mendapati masih banyak penempatan penduduk di kawasan pantai, dan rumah mereka didirikan dalam air.

Hubungan suku Bajau dan laut adalah satu sinergi unik dan penuh makna. Mereka dikenali sebagai Bajau Laut kerana keunikan ini. Sebahagian kecil kelompok suku Bajau Laut yang benar-benar sinonim dengan laut, masih mengekalkan tradisi hidup dalam perahu. Mereka menjadikan perahu sebagai rumah di mana mereka dilahirkan, dibesarkan, dan berkeluarga. Mereka akan menukar lokasi di sekitar pulau-pulau di sana untuk mengelak angin dan ribut dari lautan. Mereka menjalani kehidupan yang begitu sederhana, dan bergaul dalam kelompok yang terbatas.

Dalam waktu yang sama, sebahagian besar orang Bajau di bandar dan kampung-kampung sekitar Semporna sudah jauh maju. Sebahagian besar orang Semporna mempamerkan status sosio-ekonomi yang mantap. Melewati kampung-kampung di sekitar bandar, kita akan melihat rumah-rumah besar (rumah banglo) baik dari papan mahupun dari batu tersergam indah dalam pelbagai bentuk penampilan dan warna-warni. Menurut rakan-rakan orang tempatan, inilah perubahan kesan kemewahan hasil kelapa sawit. Rata-rata orang Semporna mempunyai tanah yang ekonomik untuk pertanian sawit. Majoriti memiliki tanah minima seluas 10 ekar. Bagi yang memiliki tanah lebih luas, tentulah ekonomi mereka lebih mantap.

Orang-orang Bajau juga kini agak dominan dalam pentadbiran dan politik. Tun Sakaran Dandai adalah contoh tokoh penting dari suku Bajau Semporna. Beliau pernah menjadi Menteri, Ketua Menteri dan Tuan Yang Terutama Sabah. Kini Semporna sedang menyaksi bintang muda dalam politik tanahair, iaitu Dato' Shafie Afdal, ahli Parlimen Semporna, Naib Presiden UMNO dan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah. Anak jati Semporna yang mengembangkan bakat dan karier politiknya sejak zaman pelajar, kemudian memasuki gelanggang pemuda dan kini diberi tempat istimewa sebagai salah seorang dari tiga orang Naib Presiden UMNO, iaitu posisi penting dalam parti yang memerintah Malaysia. Di samping itu ramai lagi tokoh-tokoh pentadbiran dalam Kerajaan dan tokoh koporat yang berasal dari Semporna.

Faktor-faktor di atas akan membawa Semporna jauh ke hadapan sekiranya orang Semporna mampu bersinergi dan meneruskan warisan keakraban kekeluargaan orang Bajau, dalam membangunkan Semporna. Secara alami Semporna mempunyai semua aset bernilai untuk menjadi bandar pelancongan penting di Sabah. Kalau Ranau mempunyai Gunung Kinabalu dan Taman Kinabalunya, maka Semporna dianugerhkan dengan keunikan alam marinnya. Semporna kaya gengan pulau-pulau indah dan unik seperti Sipadan dan Mabul, Bohe Dulang, Bum Bum dan lain-lain pulau kecil. Sipadan terkenal di seluruh dunia sebagai lokasi marin yang terbaik di dunia. Ia menjadi lokasi impian kepada penyelam-penyelam skuba dan pencinta kehidupan marin. Keindahan terumbu karang yang masih kekal tulen dalam habitatnya yang asli menjadikan Sipadan sebuah pulau syurga kepada pencinta alam. Mereka datang jauh dari seluruh pelosok dunia hanya untuk menikmati keunikan Sipadan.

Orang Semporna harus dapat melihat potensi ini untuk dijadikan asas pembangunan Semporna. Keunikan alami alam Semporna haruslah disempurnakan lagi dengan suntikan pembangunan yang diasaskan kepada sumber-sumber alam sedia ada. Pembangunan asastani melalui suntikan teknologi biotek misalnya dapat memajukan sumber alam sedia ada, misalnya di bidang pertanian dan juga perikanan. Pembiakan rumpai laut kini begitu maju di Semporna. Satu industri hiliran dari rumpai laut perlu dimajukan di sini untuk meraih manfaat tambahan daripada aktiviti ekonomi berasaskan rumpai laut. Beberapa produk hiliran harus dicipta secara kreatif agar banyak lagi industri baru dapat dikembangkan.








Gambar atas: Haji Miskai di atas Lepanya. Gambar bawah: Pemandangan di bandar Semporna, penari di atas Lepa (perahu), dan rumah-rumah di gigi air.

Monday, April 13, 2009

Fatani, Bangkok, Gajah, Buaya dan Songkran.


8 April adalah hari yang bersejarah kepada penduduk Bukit Gantang dan rakyat Perak umumnya kerana semalam telah selesai pilihanraya kecil Parlimen Bukit Gantang P059. Rakyat Bukit Gantang telah memutuskan pilihan mereka dengan memeberikan kemenangan kerusi parlimen kepada Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin. Calon UMNO/BN, Ismail Safian gagal untuk memenangkan partinya dalam pilihanraya kecil ini. Ismail adalah adik saudara (dua pupu) saya. Kami berkongsi nenek, iaitu Ismail, antara orang Fatani yang awal datang bermukim di Bukit Gantang (Kampung Kubu). Datuk beliau adalah Talib Ismail manakala datuk saya Hjh Gayah Ismail. Nama Ismail Safian sama dengan nama nenek kami, kerana nama Ismail adalah nama yang digemari oleh orang Fatani. Orang Fatani menyebut Ismail sebagai Semail atau panggilan hariannya Mail. Nama Ismail adalah nama yang mulia kerana ia nama seorang nabi, iaitu nabi Ismail anak nabi Ibrahim (as). Saya sendiri mempunyai dua orang nenek bernama Ismail. Mereka ialah datuk kepada ibu saya (sebelah ibu dan sebelah bapanya) kedua-duanya bernama Ismail. Kedua-dua mereka berasal dari Fatani, selatan Thailand, merantau ke Bukit Gantang membawa keluarga. Generasi kedua-dua Ismail ini kini berkembang biak di beberapa kampung termasuk Kampung Pauh, Kampung Kubu, Kampung Bercat dan Kampung Senduk. DI empat buah kampung ini, generasi Ismail begitu dominan. Dulunya keluarga kami penyokong-penyokong UMNO belaka. Datuk saya Hjh Gayah begitu bangga dengan lambang Kapal Layar iaitu lambang pakatan UMNO-MCA-MIC (sebelum BN). Beliau selalu bercerita pada kami (waktu kecil dulu) tentang kejayaan Tunku Abd Rahman. Kini ramai keluarga kami sudah menjadi penyokong PAS.

Pengaruh orang Fatani dalam politik Perak begitu dominan. Ramai tokoh politik Perak adalah dari golongan orang Fatani. Benarlah tanggapan orang terhadap imej orang Fatani yang merantau ke Perak dan Kedah sebagai orang-orang agama atau orang politik. Mereka akan membuka sekolah agama (pondok) atau aktif dalam politik. Senarai Menteri Besar Perak sejak awal hingga sekarang didominasi oleh orang-orang Fatani. Antaranya Datuk Ahmad Said, Datuk Wan Muhammad, Tan Sri Ghazali Jawi, Datuk Sri Kamaruddin Mat Isa, Datuk Seri Tajul Rosli Ghazali. Orang Fatani di Perak terdapat di daerah Gerik, Lenggong membawa ke Padang Rengas dan Bukit Gantang. Dari arah utara pula daerah Selama, Batu Kurau dan ke Taiping. Di Gerik, Selama, Batu Kurau dialek Fatani masih lagi pekat; manakala di kawasan lain dialek asli mereka sudah bercampur dengan dialek tempatan iaitu dialek Perak dan dialek Utara.

Darah perjuangan orang Fatani diwarisi daripada datuk nenek mereka yang sentiasa berjuang untuk survival. Nenek moyang kami datang ke Tanah Melayu waktu itu (awal abad ke-19) melalui jalan darat melalui hutan rimba menyeberangi sempadan Thai di Gerik/Temengor dengan berjalan kaki, turun ke arah selatan. Sebahagian besar membuat penempatan di sempadan iaitu di Gerik, Temenggor, Krunai; manakala yang lain turun ke selatan ke Bukit Gantang. Kampung-kampung di Bukit Gantang dari Kampung Pauh, Kampung Kubu, Kampung Bercat, Kampung Cheh (Banggol Rendang, Banggol Nering, Bukit Cempedak), Kampung Senduk, Kampung Changkat Ibol, Kampung Sungei Petai, Kampung Jelutung, Changkat Jering, Kampung Air Kuning rata-rata dihuni orang Fatani.

Nenek moyang kami dahulu membawa diri meninggalkan kampung halaman mereka di selatan Thai berhijrah untuk membina kehidupan baru di Tanah Melayu. Mereka menerokai hutan-hutan tebal, membuka kampung atau penempatan baru. Di kampung-kampung ini mereka mengerjakan tanah menanam padi, getah dan pokok buah-buahan. Rata-rata mereka adalah petani-petani kecil yang bergantung hidup kepada hasil pertanian. Di Bukit Gantang suatu waktu dahulu terkenal dengan duriannya. Durian bukan sahaja banyak didapati di sana tetapi juga rasanya yang istimewa. Pokok-pokok durian yang diwariskan oleh nenek moyang kami kini sudah melangkaui usia ratusan tahun, dan anak cucu mereka tidak lagi menghargainya kerana harga durian kini jatuh terlalu rendah. Rata-rata generasi kini sudah keluar dari kampung, keluar dari kehidupan tradisi tani, membina kehidupan baru di bandar dan kota.

Kebetulan pada hari yang sama, 8 April, saya dan isteri ke Bangkok bercuti rehat. Selain dekat, Thailand adalah bumi asal nenek moyang kami. Sebahagian keluarga masih tinggal di Bangkok, cuma hubungan kami telah terputus. Kampung asal datuk sebelah ayah saya ialah Kokpo, dekat Pattani. Seingat saya waktu kecil dulu, masih ramai keluarga dari Bangkok datang menziarahi kami, sambil membawa barang-barang jualan. Setengah abad sudah berlalu, sukar untuk mengesan lokasi mereka di Bangkok kerana generasi tua kami telah tiada lagi.

Kami tidak menduga ketibaan kami di Bangkok adalah bertepatan dengan hari raya orang Thai. Mereka merayakan hari Songkran iaitu perayaan tahunan mereka. Kegembiraan sambutan Songkran dimeriahkan dengan air. Mereka akan menyembur air kepada sesiapa sahaja sebagai satu pesta. Menurut sejarahnya Songkran adalah perayaan di musim panas. Oleh itu dengan merenjis air adalah satu cara menyejukkan, meringankan stres dan mengambil keberkatan air. Biasanya mereka akan merenjis patung Buddha di wat untuk mendapatkan keberkatan. Bulan April-Mei adalah musim panas di Thailand terutama di Bangkok. Namun menurut penduduk Bangkok, tahun ini banyak hujan walaupun musim panas. Biasanya musim panas tiada hujan. Selam beberapa hari Bangkok, memang ada hujan hampir setiap hari.

Bangkok adalah kota besar di mana penduduknya mencecah 10 juta orang. Ia merupakan kota tumpuan pelancong antarabangsa. Bangkok dan Thailand amnya mempunyai banyak tarikan pelancongan. Ia dikenali sebagai kota penuh senyuman kerana orang Thai masih mengekalkan tradisi santun dan mesra serta murah dengan senyuman. Mereka melayani tetamu dengan santun dan mesra dan ini adalah suatu aset pelancongan yang berharga bagi mereka. Pemandu pelancong mereka begitu bangga dengan kerjaya mereka, kerana ia bukan sekadar satu kerjaya tetapi juga suatu khidmat bakti kepada bangsa dan negara mereka. Mereka sentiasa bersedia memberikan khidmat terbaik kepada tetamu dari luar kerana pendapatan negara mereka banyak bergantung kepada indutri pelancongan.

Thailand masih mengekalkan tradisi mereka untuk menjadi daya tarikan pelancongan. Di samping itu tradisi ini juga masih lagi menebal dalam jiwa dan diri orang-orang Thai kerana mereka masih memegang kuat adat dan kepercayaan agama Buddha mereka. Kuil-kuil Buddha atau Wat mereka dibangunkan dengan begitu hebat saiz dan penampilannya, menjadikan ia lokasi yang unik dan menarik kunjungan pelancong. Banyak Wat-wat besar dan cantik di sekitar Bangkok. Selain dari tempat ibadat penganut Buddha, ia juga menjadi lokasi pelancongan. Keunikan bentuk dengan warna emasnya menjadikan ia lokasi yang mahu dikunjungi pelancong.

Selain dari elemen kepercayaan agama, Thailand juga kaya dengan budaya yang merangkumi penampilan diri, pakaian, makanan dan gaya hidup mereka. Sifat ramah orang Thailand menarik ramai orang dari seluruh dunia untuk mengunjung Thailand. Keayuan dan keramahan wanita-wanitanya telah menonjolkan Thailand dan Bangkok khususnya sebagai lokasi industri seks terkenal. Ramai wanita Thai terlibat dalam industri seks yang begitu terbuka kerana ia menghasilkan pendapatan besar kepada mereka, keluarga mereka dan juga kepada negara mereka. Mereka menghalalkan aktiviti negatif ini kerana rata-rata keluarga orang Thai bersifat terbuka dan menerima aktiviti negatif anak gadis mereka sebagai suatu sumber pendapatan untuk menyara keluarga. Anak-anak gadis sejak usia muda lagi dilepaskan oleh ibu bapa mereka untuk mengharungi kehidupan unik ini demi menyara keluarga. Mungkin kepada orang Thai nilai anak gadis lebih mahal daripada anak lelaki kerana mereka boleh menyumbang pendapatan keluarga melalui aktiviti begini.

Di sebalik elemen negatif ini, banyak lagi budaya Thai yang unik dan menarik, terutama aspek kesenian, industri tekstil (sutera Siam atau Thai silk misalnya), makanan (banyak makanan unik masakan Siam kerana mereka begitu kreatif mencipta pelbagai menu) dan juga kraf tangan. Thailand kaya dengan buah-buahan tropika. Antarannya durian, mangga, laichi dan lain-lain. Walaupun durian banyak di Thailand tetapi harga durian di Bangkok sangat mahal, sepangsa atau beberapa ulas harganya menjangkau RM 10.00. Buah mangga agak murah.

Orang Thai pandai memanfaatkan sumber alamnya. Mereka begitu menghargai binatang, antaranya gajah. Gajah menjadi simbol yang penuh makna kepada kehidupan tradisi mereka. Hingga ke hari ini gajah menjadi idola yang diagung dan didewakan. Imej gajah terdapat di merata lokasi dan menghiasi pelbagai produk termasuk pakaian, perabut, cenderamata dan ukiran serta sulaman. Di mana sahaja kita akan ketemui imej gajah. Arca gajah diolah dalam bentuk arca miniatur hinggalah ke saiz gajah sebenar. Patung-patung gajah terdapat di mana sahaja, di lokasi tumpuan, di lobi-lobi hotel mahupun di dalam teksi. Adakalanya imej gajah dilihat lebih menonjol daripada imej Buddha. Mereka juga memanfaatkan gajah sebagai satu tarikan pelancongan. Mereka mempersembahkan pertunjukan (ala sarkas) gajah seperti di perkampungan gajah Samphran. Tiket masuk ke pertunjukan berharga RM 30.00. Mereka pandai mencipta pendapatan daripadanya.

Selain gajah, Thailand juga dikenali dengan buaya. Buaya diternak secara komersil. Ladang-ladang buaya dijadikan tempat tumpuan pelancongan (mereka memungut wang masuk). Di samping itu buaya-buaya tadi dimanfaatkan kulitnya untuk menghasilkan produk pakaian seperti kasut, beg, tali pinggang dan lain-lain. Harga produk berasaskan kulit buaya sangat mahal, mencecah ribuan Ringgit. Oleh kerana buaya dapat dibiakkan secara komersil, ia tidaklah mengganggu kehidupan buaya di habitat asal, dan bahaya kepupusannya dapat dielakkan. Industri ternakan buaya dilihat sebagai satu kebijaksanaan ekonomi yang dilakukan oleh Thailand.


Gambar atas: pemandangan unik pasar terapung di Damnoen Saduak, kira-kira 100km dari Bangkok. Bawah: pertunjukan gajah di Samphran Elephant Village