Saturday, August 1, 2009

Sisi murni di Sara Buri.


Gembira dan bahagia dapat kembali ke alami. Bergambar ramai di perkebunan sayur

Kesempatan menghadiri International Workshop on Kyusei Nature Farming, anjuran APNAN di Sara Buri, Bangkok Thailand baru-baru telah membuka dimensi baru kepada falsafah dan prinsip pertanian alami. Bersama 24 orang peserta lain dari Malaysia, Singapura, Brunei, India, Filipina, Bhutan dan New Zealand, kami dibimbing oleh tenaga pengajar yang terdiri daripada sukarelawan APNAN dari Jepun, untuk memahami dan mengenal lebih dekat konsep pertanian alami berasaskan teknologi EM. Selama empat hari tinggal di Sara Buri Centre (SBC) kami diberikan ilmu, pendedahan praktikal di samping sajian makanan vegi yang dihasilkan di SBC secara alami. Belajar, berbincang dan bertukar-tukar pengalaman dengan para peserta daripada pelbagai negara telah membantu meluaskan skop pengalaman aplikasi EM khususnya.

Sungguhpun saya pernaha belajar tentang teknologi EM di Bali tahun 2004 lalu, namun pengalaman si Sara Buri memberi banyak input tambahan yang lebih mantap tentang teknologi EM. Dengan prasarana lengkap di SBC serta pengalaman dua puluh tahun mereka membangunkan SBC, banyak ilmu dan pengalaman baru dapat digali di sini. Melihat sendiri, merasakan sendiri serta menghayati gaya hidup di SBC, terasa benar bagaimana proses pemurnian diamalkan oleh semua orang yang bertugas di sana. Petugas-petugas di sini mempamaerkan sikap dan gaya hdup sederhana cerminan daripada penghayatan ajaran Sekai Kyusei Kyo (SKK) yang menekankan kepada prinsip pemurnian ruhani dan menghargai alam. Semuanya diasaskan kepada falsafah pengasas Kyusei Nature Farming, Mokichi Okada yang juga dikenali sebagai Meishu-sama (mahaguru atau grand master).

Istimewanya SBC, ia bukan sahaja tempat penyebaran ilmu tentang pertanian alami tetapi lebih holistik lagi ia turut menghayati falsafah pemurnian alam melalui sikap positif yang melihat kepada kehidupan yang lebih baik. Mokichi Okada sentiasa mengingatkan bahawa manusia menghadapi ancaman tiga faktor ini, iaitu penyakit, kemiskinan dan konflik. Maka falsafah pertanian alami adalah bermatlamat menyediakan makanan terbaik bagi membebaskan manusia daripada kemisikinan dan juga penyakit. Melalui aktiviti SBC dan APNAN di sini, mereka berusaha menyebarkan cita-cita murni ini dengan berkongsi ilmu dengan sesiapa sahaja dari seluruh pelosok dunia, dengan ikhlas dan percuma.

Setelah lebih 20 tahun SBC dimajukan sebagai tempat mengembangkan konsep Kyusei Nature Farming, ribuan orang dari seluruh asia Pasifik dan benua lain mendapat ilmu dan pengalaman yang sangat bermanfaat untuk merubah gaya pertanian daripada pertanian kimia kepada pertanian organik alami. Sejak itu juga teknologi EM yang dimajukan oleh Profesor Dr Teruo Higa menyebar luas ke seluruh dunia, di mana manfaatnya dapat dinikmati oleh ramai orang.

Apa yang kami belajar di SBC mudah sahaja, iaitu bagaimana menghasilkan makanan melalui pertanian alami, menggunakan sepenuhnya integrasi antara manusia-haiwan-tumbuhan bagi menghasilkan keperluan makanan manusia. Sokongan aplikasi mekanikal digunakan secara sederhana bagi membantu mempermudahkan kerja. Hasilnya adalah kemakmuran dan alam sekitar dapat diselamatkan. Tanpa baja kimia dan tanpa racun, alam sekitar dapat diselamatkan.

Di sini kami belajar bukan sekadar menghindari bahaya dan anacaman kimia, tetapi juga belajar bagaimana mengatasi dampak buruk daripada penggunaan kimia yang selama ini merosakkan alam sekitar. Teknologi EM digunakan sepenuhnya untuk merawat alam yang rosak, dan hasilnya MasyaALlah sungguh menakjubkan. Kandang ternakan (termasuk yang paling tinggi pencemaranya, khinzir) dapat dikawal kebersihannya, tanpa bau busuk, tanpa gangguan pencemaran sisa najis. Pengurusan sisa pencemaran dilakukan dengan sungguh berkesan melalui teknologi EM.

Sebenarnya sejak saya mula mengenali teknologi EM, saya mula mencium prospek dan manfaat besar yang bakal dinikmati oleh penduduk bumi. Suatu rahmat Tuhan apabila Tuhan membukakan penemuan baru yang kebetulan terjadi di tangan Higa di Okinawa awal tahun 80an dulu. Dengan kesungguhan dan keikhlasan beliau, penemuan itu disebarkan, dikongsikan tanpa ada rasa angkuh atau kepentingan material. Akhirnya kita melihat bahawa usaha yang ditunjangi keikhlasan akan mudah diterima ramai. Kini dalam tempoh 20 tahun lebih teknologi EM tersebar ke seluruh dunia menyumbangkan banyak manfaat kepada orang ramai.

Saya melihat prospek baru untuk merealisasikan impain Mokichi Okada dan juga impian Higa, melalui penyertaan dan komitmen kita bersama. Saya merasa tersentuh apabila membaca sejarah dan falsafah pemikiran Mokichi Okada yang meletakkan sasaran memurnikan spiritual manusia untuk menghadapi tiga ancaman utama iaitu penyeakit, kemiskinan dan konflik, demi mencapai matlamat kehidupan sihat sejahtera, kemakmuran dan keamanan sejagat. Itulah refleksi yang diimpikannya melalui apa yang disebut sebagai syurga di bumi.

Saya rasa terpanggil untuk turut menyertai usaha mereka yang berjiwa besar ini kerana situasi dunia kini sentiasa berdepan dengan tiga ancaman tersebut. Ramai lagi penduduk bumi yang masih miskin, tidak cukup makanan, sementara rata-rata penduduk lain (termasuk yang kaya juga) sedang berdepan dengan makanan yang mewah tetapi makanan yang tidak selamat. Kesannya ramai berdepan dengan pelbagai gejala penyakit, sebahagian besarnya berpunca daripada sumber makanan yang tidak lagi murni dan alami. Selain itu ancaman ketiga ialah sengketa, peperangan yang tiada noktahnya.

Marilah kita bersama berusaha menyumbangkan sesuatu untuk mencapai cita-cita kesejahteraan, kemakmuran dan keamanan sejagat. Prinsip utamanya ialah kembali kepada diri sendiri dengan memurnikan ruhani atau spiritual, mendekati Tuhan melalui agama, kembali kepada alami (kepada Sunnatullah) dengan mengurangkan amalan buruk merosakkan alam melalui pelbagai cara. Saya melihat dengan hanya usaha kecil tidak membuang sampah di merata tempat, itupun merupakan usaha murni untuk mengurangkan kesan pencemaran alam. Marilah kita renungkan betapa tabiat buruk kita selama meremehkan kebersihan persekitaran dengan membuang segala sisa (sisa pepejal dan juga sisa organik) ke longkang, parit, sungai dan ke laut. Kita mencemari sumber air sehingga hampir tiada lagi sungai yang jernih, bersih dan murni airnya. Pengusaha indstri pula (apa jua industri) mengambil jalan mudah tidak merawat sisa kumbahan mereka, sebaliknya melepaskan sisa-sisa itu ke sungai juga akhirnya.

Benarlah apabila Tuhan menyebut bahawa kerosakan yang berlaku di bumi ini adalah akibat perbuatan manusia (al-Quran S. Ar-Rum). Apakah kita mahu terus melakukan kerosakan di bumi (ingatkah kita ketika para Malaikat menyebut bahawa manusia bakal melakukan kerosakan dan menumpahkan darah di bumi, ketika terjadi dialog antara Tuhan dan malaikat ketika Tuhan hendak mencipta Adam as?). Apakah kita masih mahu terus merosakkan bumi ini melalui tangan kita sendiri?

Fikir dan insaflah. Cukuplah sampai di sini. Marilah kita berhijrah dan kembali menyususuri kesilapan masa lalu. Kita sedang berdepan dengan usaha untuk memulihkan kerosakan alam yang kita dan generasi terdahulu lakukan. Kesan pencemaran akibat penggunaan senjata atom dan nuklear sangat dahsyat kepada bumi. Penggunaan kimia keterlaluan merosakkan ekositem bumi. Persengketaan dan peperangan bukan sahaja memusnahkan manusia tetapi turut merosakkan alam sekitar, memiskinkan rakyat yang tertindas, dan mendedahkan lebih ramai orang kepada aneka penyakit. Akhirnya ramai orang sengsara dan menderita.


(bola selut (mud ball) berupa 'bom' sebagai senjata menghadapi pencemaran sungai dan laut)

No comments:

Post a Comment