Saturday, August 7, 2010

Marhaban ya Ramadhan Mubarak .....


Bebeberapa hari lagi kita umat Islam akan menyambut kedatangan Ramadhan, bulan agung, bulan istimewa yang mana 4 minggunya adalah minggu-minggu berkah, 29 atau 30harinya adalah hari-hari penuh rahmah, 720 jamnya adalah jam-jam yang sangat berharga, 43 200 minitnya adalah minit-minit yang sangat bernilai, dan 2 580 000 saatnya adalah saat-saat yang sangat bermakna dalam hidup kita. Puncaknya adalah satu malam iaitu malam Qadr yang nilainya dijanjikan Tuhan melebihi nilai 1 000 bulan. Seribu bulan menyamai 83 tahun lebih = 30 000 hari = 720 000 jam = 43 200 000 minit. Sedangkan satu malam Qadr lebih bernilai daripada jumlah tersebut.

Masa adalah kehidupan, yang mana apabila masa sudah menjadi semalam, ianya sudah hilang dan luput, manakala esok pula belum ada kepastian; sedangkan kehidupan kita adalah yang sedang kita lalui hari hari. Doa kita adalah semoga Allah SWT mengizinkan kita melalui hari-hari esok yang sangat bahagia - Ramadhan Mubarak yang bakal tiba beberapa hari lagi. Amin!

Ya Rabbi
Sudilah pandang kami
Terangilah jalan gelap ini
Jangan biarkan aku terus sendiri
Mencari mendaki dan berduri.

Ya Rabbi
Dengarlah doaku ya Rabbi
Hadirlah dalam kehidupan kematian kami .....


Demikian petikan kata-kata indah daripada lirik lagu nasyid Doa nyanyian Hadad Alwi, yang dikira sanagat sesuai untuk dihayati di saat-saat menjelang Ramadhan ini. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW ada menyebut tentang lima kelebihan yang tidak diberi kepada umat-umat lain tetapi dikurnia khusus kepada umat Islam. Salah satunya ialah Allah akan memandang kita (umat Islam) sejak awal malam Ramadhan, sedangkan pandangan Allah itu akan menyelamatkan kita daripada siksaan di akhirat nanti.


Berdoalah kita agar Allah memandang kita, dan terus memandang agar pandangan itu membawa rahmat kepada kehidupan kita seluruhnya. Doalah agar Allah sentiasa mendengar doa kita kerana hanya Dialah tempat kita berdoa, Pelindung, Penolong dan Pembimbing kita (iyyaka na'budu wa iyyaka nastaiin. Ihdinas siraatal mustaqim ...). Allah adalah Pelindung orang-orang yang beriman. Dialah yang mengeluarkan mereka daripada kegelapan kepada cahaya, (maksud al-Quran al-Baqarah 257).

Kita melihat Ramadhan penuh dengan anugerah berupa rahmah, maghfirah dan keredhaan Allah SWT. Lumrahnya orang akan merasa sangat berbahagia apabila memperolehi anugerah pemberian. Namun ingatlah bahawa di satu sisi lain, memberi adalah satu kebahagiaan yna lebih tinggi lagi. Oleh itu marilah kita melihat Ramadhann dari sisi ini. Ramadhan membukakan kesempatan kepada kita untuk lebih memberi agar kebahagiaan Ramadhan berlipat ganda lagi. Memberi boleh dilakukan dalam bentuk menghayati Ramadhan dengan ibadah ikhlas untuk Allah SWT. Ia lebih bermakna lagi dengan ibadah-ibadah tambahan (sunat) sebagaimana ditetapkan oleh syarak. Memberi apa yang kita ada dan kita miliki daripada harta (sedekah, jariah), menyumbang tenaga, masa dan buah fikiran atau idea dan mungkin yang sangat mudah iaitu berdoa untuk kebaikan orang lain. Tabiat memberi ini adalah satu kualiti hidup yang sangat dihargai. Rujuklah kepada maksud hadis Nabi SAW: sebaik-baik manusia ialah orang yang banyak berbuat kebaikan kepada orang lain. Sehinggakan memberikan sebuah senyuman ikhlas juga dinilai sebagai satu kebaikan dan kebaktian.

No comments:

Post a Comment