Wednesday, August 25, 2010

Sisi ektrinsik Ramadhan


Lihat betapa indahnya ibadah puasa untuk menjadikan kita manusia, manusia yang sepatutnya, manusia yang terbaik. Matlamat puasa itu akhirnya membawa manusia ke martabat atau maqam taqwa iaitu satu status akhlak tertinggi di sisi Tuhan dan di sisi manusia. Ketika berpuasa kita mampu menahan diri (dengan kekuatan jiwa, minda dan fizikal) daripada hal-hal kebiasaan yang dihalalkan, apa lagi hal-hal buruk yang diharamkan. Keupayaan ini adalah satu didikan atau tarbiah yang dapat membentuk sahsiah atau peribadi berkualiti tinggi, dengan daya tahan (kesabaran) yang tinggi, dan toleransi yang tinggi.

Bayangkan ketika berpuasa, kita diajar supaya menghadapi apa sahaja perbuatan jahat daripada orang lain dengan berkata: "aku berpuasa". Ia adalah satu reaksi yang sungguh lembut, berhemah, kelihatan mengalah dan merendah hati. Itulah tahap kesabaran yang mampu melemahkan situasi panas dan provokasi syaitan melalui sifat amarah. Bayangkan jika situasi begini berterusan wujud dan menjadi amalan kita, maka tidak mungkin terjadi pertengkaran, bantah-membantah, pergaduhan, permusuhan, pembunuhan atau peperangan.

Malangnya, kita menyaksikan betapa tragedi pembunuhan terus terjadi di negara-negara umat Islam yang sedang berpuasa. Insiden letupan bom yang membunuh ramai orang terus terjadi di Iraq. Hanya kerana berbeza aliran dan fahaman mazhab atau aliran politik, orang Islam sanggup berbunuhan, dan ia bertaliarus dengan dendam kesumat yang tiada berkesudahan. Mengapa puasa tidak berjaya memperhaluskan jiwa dan hati mereka? Atau salahnya kerana mereka tidak menghayati tarbiah puasa?

Ramadhan menjadikan hati umat begitu lembut, jinak dan dermawan. Orang bersedekah, beramal jariah semurah-murahnya. Limpahan rezeki mengalir kepada golongan kurang bernasib baik dan mereka kelihatan dibelai dan disantuni setinggi-tingginya. Anak-anak yatim hidup mewah di bulan Ramadhan. Malahan ramai pula yang berbuka di hotel-hotel berbintang. Fakir miskin yang selama ini dilupa dan dipinggirkan, kini mereka dicari untuk dibantu dan diberi sedekah. MasyaAllah. Inilah rahmat Ramadhan Mubarak.


Rezeki bulan Ramadhan melimpah ruah. Peniaga memanfaatkan bazar Ramadhan untuk meraih rezaeki yang melimpah. Oleh kerana sebahagian orang merasakan belanja untuk Ramadhan perlu disediakan lebih, maka perniagaan peniaga-peniaga ini memuncak tinggi. Satu sudut, sebahagian orang melihat Ramadhan adalah musim untuk berbelanja sehingga perbelanjaan bulan ini begitu tinggi berbanding dengan bulan-bulan lain. Sementara itu ada pula golongan yang melihat cara ini tidak bercirikan Ramadhan kerana ia gagal menahan nafsu, gagal menahan keinginan selera, dan membazir. Mereka berpandangan bahawa Ramadhan sepatutnya dapat mengurangkan perbelanjaan kerana kita sedang manahan keinginan termasuk keinginan berbelanja dan berlebih-lebihan.

Bazar Ramdhan dan Buffet Ramadhan (biasanya disajikan di restoran dan hotel terkenal) adalah budaya baru yang menjelma daripada rahmat Ramadhan. Ianya adalah rahmat kepada peniaga dan pengusha tetapi tidak sedemikian kepada pengguna. Pengguna terpaksa menanggung kos tinggi seperti peningkatan harga barangan pengguna ketika Ramadhan dan hariraya. Sementara itu kos buffet di hotel adalah terlalu tinggi, di mana satu sajian untuk seorang mampu membiayai hidangan sekeluarga, mungkin untuk dua hari? Bermewah-mewah dan berlebihan begini tidakkah bertentangan dengan semangat Ramadhan dan semangat puasa?

Budaya ini akan dituruti pula dengan budaya berhariraya. Kepada masyarakat Malaysia hariraya adalah detik-detik yang dibesar-besarkan dan dilebih-lebihkan sehingga menenggelamkan syiar agama, sebaliknya membesarkan budaya. Maka jadilah adat, bukan lagi ibadat. Sesudah dua minggu berpuasa, orang mula sibuk dengan persiapan untuk berhariraya. Suasana ini dimeriahkan oleh para peniaga dan promosi media, membesar-besar promosi produk dan acara-acara hiburan (yang dikaitkan dengan hariraya). Budaya ini menguntungkan peniaga dan pengguna tanpa sedar membiarkan diri mereka dimangsakan. Maka sesudah Syawal, akan berayalah orang Malaysia sampai sebulan lamanya. Berpuasa sebulan, berhariraya pun sebulan juga. Malahan andainya diambil kira masa persediaan dua minggu sebelumnya, maka jadilah enam minggu masa dihabiskan untuk 'beraya sakan'. Sebulan rumah terbuka, mewah dengan makanan dan minuman serta hiburan.


Kita bertuah kerana berada di negara yang aman dan makmur. Keamananan dan kemakmuran ini janganlah menjadikan kita terlupa kepada saudara kita di negara-negara yang tidak aman dan tidak makmur. Sebahagian saudara kita sedang berdepan dengan ujian bencana alam, mengharungi banjir dan berpuasa terus menerus. Waktu ini jutaan saudara Muslim di Pakistan sedang menghadapi ujian banjir besar.

Apakah puasa dan Ramadhan kali sudah dapat mengetuk hati nurani kita untuk insaf dan merasai sama derita orang lain? Apakah suhu keperihatinan kita sudah meningkat 100 darjah? Atau masihkan kita seperti biasa juga?

No comments:

Post a Comment