Friday, August 13, 2010

Rahmat yang kita dambakan.


Beberapa hari lalu, awal Ramadhan, media kita rata-rata memaparkan kisah beberapa mayat bayi yang baru dilahirkan ditemui. Mereka dibuang oleh ibu-ibu yang melahirkannya. Inilah realiti masyarakat kita, satu tragedi yang tiada noktahnya. Dalam kita sibuk mencari jalan penyelesaiannya termasuk cadangan mengenakan tindakan undang-undang yang lebih berat ke atas pembunuh-pembunuh bayi tak berdosa ini, namun tragedi membuang dan membunuh bayi masih tidak mampu kita hentikan. Kita benar-benar sedang berada di zaman jahiliah kerana kita sedang berdepan dengan perbuatan kejam dan tak berperikemanusiaan - membunuh anak sendiri (tanpa memilih jantina sebagaimana orang Arab dahulu).

Daripada angka yang didedahkan media menunjukkan majoriti pelakunya adalah orang Melayu yang beragama Islam. Fakta inilah yang sungguh memedihkan. Kenapa orang Islam sanggup melakukannya, sedangkan Islam telah membawa manusia keluar daripada jahiliah. Inilah ukuran Islam sebahagian daripada kita, Islam kerana dilahirkan dalam keluarga orang Islam, tetapi tidak menghayati Islam. Kebanyakan pelaku adalah mereka yang telah terlanjur kerana melakukan dosa zina, kemudian menambah lagi dengan dosa menginayai si bayi dengan membuangnya atau membunuh mereka.

Kita bersyukur kerana ada pihak-pihak yang telah berusaha menyelamatkan sebahagian gadis-gadis atau wanita terlanjur dengan membantu mereka kembali ke pangkal jalan. Usaha mulia ini telah menyelamatkan banyak nyawa bayi yang tidak berdosa, di samping dapat menyedar dan menginsafkan para pelaku supaya tidak terus dirosakkan oleh syaitan dengan melakukan dosa tambahan yang lebih berat lagi. Di samping itu wujudnya cetusan idea untuk menyediakan sekolah khusus untuk remaja-remaja yang terlanjur sebagaimana cadangan Kerajaan Melaka, sebagai salah satu cara penyelesaian kepada gelaja sosial yang sangat berat ini.


Ketika wujud segolongan orang atau pihak yang serius menjalankan usaha untuk penyelesaian masalah, kedengaran juga suara-suara sinis, sindiran dan kritikan (tak pasti ikhlas atau sebaliknya) yang dilontarkan oleh segolongan orang. Mengapa perlu ada reaksi negatif terhadap usaha mulia, apalagi sukarela yang dilakukan segolongan orang-orang yang sungguh perihatin terhadap gejala yang sedang membarah ini. Kita seharusnya bersyukur apabila ada orang yang mahu melakukan sesuatu yang positif untuk menyelamatkan masyarakat, sedangkan kita sendiri belum tentu sanggup melakukannya. Oleh itu tidak perlulah kita menyanggah idea dan usaha-usaha baik yang mahu dilakukan orang lain, andainya kita sendiri pun tidak bersedia melakukannya. Janganlah jadi lalat dan langau!

Di bulan mulia ini, marilah kita membukakan hati, membukakan qalbu kita. Bukalah seluas-luasnya agar rahmat Ramadhan benar-benar dapat menusuk masuk jauh ke dalam, ke dalam hati nurani, ke dalam fuad dan lubb kita, hingga akhirnya kita akan benar-benar diberi kesedaran sebagai ulul-albab (orang yang benar-benar mempunyai akal fikiran, hati budi kemanusiaan). Inilah jalan dekat menuju taqwa, iaitu menyembuhhkan hati (tasfiatul qalb) dan membersihkan nafsu (tazkiatun nafs).

Ibadah puasa diwajibkan ke atas kita supaya akhirnya kita menjadi orang-orang yang bertaqwa. Andainya ibadah itu dilaksanakan dengan menghayati nilai-nilai yang optima maka akhirnya hati kita akan semakin sensitif, semakin sedar, semakin insaf. Kemanusiaan kita pun akan semakin subur sehingga ada ketikanya air mata kita mudah berlenang dan mengalir ketika kita begitu emosional mengenang segala tragedi yang sedang menimpa masyarakat kita dewasa ini. Latihan menahan nafsu sepanjang Ramadhan mendidik hati kita menjadi lebih sensitif, lebih sedar dan lebih mengerti makna-makna kebaikan, kebajikan, dan kemanusiaan.


Sedangkan di luar sana, ramai orang yang hatinya kekeringan dan sebahagiannya telah mati. Mereka sanggup melakukan perbuatan kejam seperti membuang anak, membunuh anak sendiri, akibat tekanan setelah menyedari ketelanjuran yang dilakukan. Di samping itu berapa ramai lagi yang sedang terperangkap dengan kebejatan dan kejahatan, melakukan jenayah: curi, rompak, ragut, pecah rumah, rogol, bunuh. Di samping itu ramai lagi yang tidak merasa bersalah melakukan kebejatan terselindung seperti menipu, rasuah, salah guna kuasa, penindasan, fitnah memfitnah dan seumpamanya.

Di ketika iman kita melemah kerana kita tidak mampu mengubah keadaan dengan tangan, maka usaha akhir kita ialah menadah tangan berdoa memohon Allah SWT membukakan hati saudara-saudara kita yang hatinya belum lagi terbuka. Ya Allah, buka hati-hati kami, terangilah hati-hati kami dengan nur dan rahmat-Mu, terangilah diri-diri kami dengan nur dan rahmat-Mu, terangilah hidup kami dengan nur dan rahmat-Mu. Jinaklah hati-hati kami dengan Rahmat Ramadhan ini, Amin

No comments:

Post a Comment