Sunday, August 8, 2010

Mengenang tragedi 65 tahun lalu


Enam puluh lima tahun lalu pada 6 Ogos 1945 si little boy telah digugurkan di bumi Hiroshima mengorbankan ratusan ribu nyawa, sebahagian besarnya adalah orang biasa yang tidak berdosa. Sasarannya adalah 43 000 tentera yang berpusat di situ, tetapi 300 000 penduduk Hiroshima terpaksa menanggung dosa perang tentera Jepun.

Little boy adalah bom atom pertama yang diledakkan semasa Perang Dunia kedua oleh Tentera Amerika bagi menghentikan kemaraan tentera Jepun. Ternyata matlamat menamatkan perang tersebut tercapai kerana tidak lama selepas itu Jepun mengaku kalah dan menamatkan peperangan Dunia Kedua. Bom seberat 130 lb itu digugurkan oleh pesawat B 29 bernama Enola Gay dipandu Colonel Paul Tibbets, melepaskan ledakan dahsyat membunuh seramai 70 000 orang ketika letupan, sementara itu jumlah kematian dianggarkan 100 000 orang menjelang hujung tahun 1945 akibat kesan radioaktif. Sementara itu dalam tempoh lima tahun kemudian, dianggarkan 200 000 orang terbunuh termasuk kesan penyakit (antaranya kanser) kesan jangkapanjang radioaktif daripada letupan tersebut.

Peristiwa 65 tahun itu akan terus dikenang, terutama oleh orang Jepun. Mereka telah kehilangan ramai ahli keluarga dan melalui trauma yang panjang. Biarpun generasi kini sudah tidak ramai lagi yang sempat melalui detik-detik sengsara itu, namun kesan yang ditinggalkan di Hiroshima akan sentiasa mengingatkan mereka kepadanya. Ketika berkesempatan berada di lokasi kejadian, di kawasan taman peringatan Hiroshima pada tahun 1988 yang lalu, saya dapat merasakan betapa azabnya peperangan. Tiada siapa yang untung bak kata pepatah yang kalah jadi abu yang menang jadi arang. Wujudnya taman peringatan tersebut, akan terus mengingatkan siapa sahaja kepada tragedi 1945 itu. Apa lagi melihat gambar-gambar bersejarah kesan kekejaman Perang Dunia Kedua itu.


Kawasan taman peringatan perang Hiroshima.

Orang Jepun nampaknya benar-benar serik sehingga mereka tidak mahu lagi berperang. Generasi baru Jepun benar-benar sesal panjang dan maratapi tragedi Hiroshima di samping terus berasa bersalah atas kekejaman tentera Jepun sepanjang peperangan lalu. Kekejaman tenteranya menjadi buah mulut dan cerita tragis kepada mangsa-mangsanya. Dosa mereka kini terpaksa ditanggung oleh anak cucu mereka. Syukurlah apabila Jepun kian sedar atas dosa dan kesilapan masa lalunya.

Malangnya dalam waktu yang sama, Amerika yang betanggungjawab meledakkan Little Boy di Hiroshima itu nampaknya tidak pernah merasa bersalah. Mereka tidak merasa berdosa atas pembunuhan kejam tersebut. Malahan hari ini ia kelihatan lebih angkuh lagi memperagakan kekuatan ketenteraannya di seluruh dunia. Ia menjajah negara-negara berdaulat sepertimana dilakukan ke atas Irak, Afghanistan. Kini terang-terangan mengancam beberapa buah negara yang tidak mahu mengikut cakapnya. Ia juga di belakang kekejaman Zionist Israel yang terus menindas penduduk Palestin. Amerika menjadi semakin angkuh apabila Soviet Rusia mula runtuh. Negara-negara yang berani menghadapinya seperti Iran dan Korea utara, kini menjadi sasaran provokasinya.


Kubah peringatan perang.

Amerika Syarikat dan sekutunya mendabik dada sebagai pejuang hak-hak kemanusiaan dan juara demokrasi. Sikap hipokritnya tidak dapat disembunyikan apabila ia menjadi penjajah baru yang begitu ganas menceroboh dan menjajah serta menjarah negara-negara lain. Tragedi Hiroshima nampaknya bukan menginsafkan mereka, sebaliknya menjadikan mereka semakin angkuh. Mereka nampaknya bangga menjadi Syaitan no one di dunia, yang mengepalai kerja-kerja fasad dengan melakukan pelbagai kerosakan di bumi.

Kisah 6 Ogos 1945 akan sentiasa mengingatkan kita kepada kerosakan atau fasad yang dilakukan manusia. Manusia bukan sahaja sanggup membunuh, malah sanggup memusnahkan bumi ini apabila ia sudah mabuk perang. Hanya kepada Allah sahaja kita mohon perlindungan, perlindungan daripada kejahatan syaitan (baik jin mahupun manusia).

No comments:

Post a Comment