Wednesday, August 25, 2010

Mereka sedang bermain api


Di bulan Ramadhan yang mulia ini, sekumpulan kecil (mungkin sangat kecil jika dinisbahkan dengan 260 juta orang penduduknya) orang Indonesia telah melakukan aksi hina dengan menghina maruah negara Malaysia. Dalam demonstrasi (tunjuk rasa) di depan Kedutaan Malaysia di Jakarta, bendera Malaysia diinjak-injak dan dilumuri najis. Amarah penunjuk perasaan itu berpunca daripada insiden penangkapan pegawai Indonesia di perairan Selat Melaka.

Perbuatan segelintir orang Indonesia yang kelihatan begitu ganas, penuh aksi amarah, hilang kesopanan, hilang kewarasan telah memudarkan rasa persaudaraan, rasa kejiranan serumpun. Kebebasan media dan kebebasan beraksi telah membenarkan segala tindakan tidak waras ini terjadi. Ini bukanlah insiden pertama. Sebelum ini isu tarian Bali diisukan dan dibesar-besarkan untuk meletuskan kemarahan dan kebencian terhadap negara tetangga mereka. Malahan aksi mengusir dan mengancam keselamatan orang Malaysia di Jakarta telah mendebarkan hati ramai rakyat Malaysia.

Perbuatan tidak sopan dan merendahkan nilai diri sendiri itu telah ditunjukkan secara berlebih-lebihan. Menghina negara jiran adalah perbuatan yang tidak boleh diterima. Cuba bayangkan andai orang lain melakukan hal yang serupa terhadap anda, terhadap maruah negara anda, apa anda bisa menerima?

Anda harus belajar untuk dihormati. Kekuatan sebuah negara bukan kekuatan kuantiti rakyatnya tetapi kualiti rakyatnya. Hargailah diri sendiri dengan menghargai orang lain, apa lagi orang lain itu saudara serumpun, seagama, jiran anda. Apa lagi jiran anda yang dulunya dianggap adik (adik yang sentiasa menghormati si abang), tetapi kini si abang tidak lagi menunjukkan teladan seorang abang yang boleh dihormati. Apa lagi negara jiran ini kini sedang menampung dua juta orang-orang Indonesia yang mencari rezeki di sini (Malaysia). Lupakah anda bahawa ramai saudara mara anda berada di Malaysia, dilayani dengan baik untuk menitipkan wang gaji mereka ke Indonesia.

Anda patut bersyukur kerana kami di Malaysia masih lagi waras, masih rasional, boleh bersabar, masih tidak emosional, masih berkepala dingin. InsyaAllah kami tidak akan melakukan apa yang dilakukan di Jakarta kerana kami sedar kita khususnya umat Islam, kita ada agama, ada pegangan, ada iman, yakin kepada nilai-nilai baik. Apa lagi kini bulan Ramadhan yang mulia, waktunya untuk mengiratkan silaturrahmi, bukan waktu untuk bermusuhan, berdendaman dan melayani nafsu amarrah.

Kepada pengamal media di Indonesia, nilailah kembali kebebasan yang anda banggakan, apakah ia tidak menuju anarkis, kebebasan yang akan mendera diri sendiri. Anda tidak menang apa-apa, mungkin hanya sedikit rating yang tidak menjanjikan manfaat masa depan. Negara anda mungkin akan kehilangan banyak hal-hal yang anda dambakan. Mungkin kehilangan minat pelabur luar, kehilangan pelancong yang nggak lagi mau ke negara anda, hilang hormat dari segi diplomatiknya, orang luar jadi takut dengan sikap liar rakyat anda. Bermain dengan emsoi ibarat bermain api, nanti terbakar tangan sendiri.

No comments:

Post a Comment