Sunday, August 30, 2009

Di ambang merdeka


Rencana ini ditulis ketika kita sedang berada di ambang merdeka. Siaran tv menyiarkan pelbagai program berupa iklan, lagu-lagu patriotik, rencana dan drama bertemakan kemerdekaan. Semuanya bertujuan membangkitkan emosi untuk mengingat kembali detik-detik kemerdekaan. Besok adalah hari kemerdekaan Malaysia ke-52.

Setiap tahun kita menyambut ketibaan tarikh kemerdekaan negara 31 Ogos 1853, penuh emosi, penuh bersemangat, penuh aktiviti. Namun akhir-akhir ini kita sedang berdepan dengan pelbagai cabaran semasa, cabaran baru yang boleh dikaitkan dengan erti kemerdekaan itu sendiri. Semua ini menuntut kita kembali merenung, berfikir dan mencari formula-formula bernas untuk memberikan makna dinamik kepada kmerdekaan itu sendiri.

Merdeka daripada cengkaman penjajah adalah satu perkembangan politk yang membolehkan kita mentadbir dan menguruskan negara dengan acuan sendiri. 50 tahun adalah umur dewasa bagi kemerdekaan, bermakna kita telahpun melalui detik-detik hidup menjadi dewasa, matang dan berpengalaman. Pada umur manusia, 50 tahun adalah umur yang cukup matang dan cukup dewasa.


(Apalah erti kemerdekaan pada penghuni di sini)

Cabaran semasa adalah cabaran mengisi kemerdekaan dan cabaran kejayaan mengisi kemerdekaan tersebut. Diukur daripada pencapaian fizikal, pembangunan negara telah melalui pelbagai zaman, yang dianggap cemerlang. Kemajuan literasi telah membolehkan Malaysia melahirkan generasi celik huruf, terpelajar. Bermula pada tahun 60an dengan sebuah universiti, kini 40 tahun kemudian kita sudah memiliki berpuluh buah univeriti tidak termasuk milik swasta. Kejayaan itu turut melonjakkan kemajuan ekonomi di mana taraf hidup meningkat maju. Rata-rata rakyat hidup selesa dan makmur dengan segala kemudahan prasarana. Kemajuan ICT yang menjadi ukuran kemajuan zaman moden menunjukkan kita berada di kelompok atas berbanding dengan negara-negara membangun lain.

Kemajuan-kemajuan di atas nampaknya tidak juga menjadikan kita bangsa yang boleh mengekalkan tempo hidup 'bebas' dalam erti kata hidup bebas dan sejahtera. Kemajuan-kemajuan di atas akhirnya telah membawa kita kepada suatu situasi yang tidak mengembirakan apabila hidup kita kini diancam oleh perpecahan politik yang sangat ketara, jenayah yang tinggi, moral yang rendah, konflik sosial yang tidak berkesudahan, toleransi yang rapuh dan perebutan kek ekonomi yang masih belum juga selesai.

Kerajaan melaungkan slogan perpaduan, kini dengan slogan 1 Malaysia. Kita pun terfikir, teruk sangatkah keadaan perpaduan kaum di negara kita? Masih rapuhkan toleransi kaum di negara ini? Atau hanya fenomena politik yang cenderung mengeksploitasi isu-isu sedemikian untuk meraih sokongan kaum? Sedarkah kita politik Malayisa masih lagi berteraskan politik suku kaum, di mana kebanyakan parti-parti politik cenderung memperjuangkan kepentingan kaumnya? Hal-hal sensitif seperti ehwal agama masih menjadi perkara-perkara sensitif yang boleh menjadi bom jankga yang merbahaya.

Sikap ekstrim walaupun tidak dapat diterima di sebuah negara demokrasi, masih dapat dikesan wujud dalam tindak-tindak berpolitik. Keinginan berkuasa menyebabkan badan-badan politik sanggup melakukan pelbagai pendekatan ekstrim. Kini demonstrasi jalanan sudah membudaya. Hari ini ia nampaknya menjadi pilihan dan pendekatan parti-parti pembangkang. Tidak mengira parti mana, apabila ia menjadi pihak pembangkang, ia akan mengambil pendekatan ini. Hari ini parti A menjadi pemerintah ia akan ditentang habis-habisan, apabila bertukar pemerintah, parti A menjadi pembangkang, ia juga akan melakukan perkara yang sama, ia pula akan menentang parti B yang memerintah habis-habisan.

Tingkah-laku dan adab berpolitik di Malaysia hari ini sudah jauh melangkaui jangkaan. Kita tidak terfikir orang-orang politik yang mahu menjadi 'pemimpin' sanggup bertindak di luar batas kesopanan kesusilan (mengambil satu prinsip Rukun Negara). Apabila sidang Parlimen diudarakan melaui siaran langsung tv, barulah kita nampak dengan jelas watak-watak jelik 'pemimpin' bersidang di parlimen. Tingkahlaku kebudak-budakan, bertikam lidah tidak lagi berasaskan intelek dan hujah akal, tetapi menonjolkan emosi dan akhlak yang rendah, mencerca, memaki-hamun dan mengeluarkan kata-kata yang tidak wajar didengar, apa lagi ditonton oleh jutaan rakyat di luar. Mereka lupa bahawa kebebasan parlimen beukan bermakna bebas bercakap dan bersikap 'tidak terpelajar'.

Perkembangan sebegini amat menyedihkan. Dalam mengisi dan menikmati hasil kemerdekaan, kita terjebak ke dalam satu situasi yang membayangkan kita seolah-olah masih tidak lagi merdeka, masih lagi tidak memahami erti demokrasi, masih tidak tahu dan tidak mahu menghormati hak-hak rakyat. Model yang ditunjukkan oleh 'pemimpin' begini sangat hodoh. Rakyat amat kecewa apabila pemimpin yang mereka pilih masih mahu mengekalkan wajah hodoh ini demi berebut kuasa.

Kita seolah-olah berada di ambang fitnah besar, di mana sukar kita meramal bagaimana masa depan dua tiga tahun akan datang, 10 tahun akan datang dan beraabad-abad akan datang. Kita merasakan demokrasi tidak diamalkan sepenuhnya, diamalkan berplih-pilih memihak kepada kepentingan sendiri, kepentingan parti, kepentingan kuasa. Beberapa institusi besar yang kita harap dapat melindungi kesejahteraan hidup kita mula diragui kerana dilihat bertindak tidak adil, memihak, tidak bersikap berkecuali. Jentera di sebalik pelbagai organisasi Kerajaan dibauri oleh imej rasuah, menyebabkan keyakinan kita kepada keupayaan mereka untuk menyumbangkan khidmat dengan jujur, ikhlas dan bertanggungjawab, semakin hari semakin menurun. Bukti prestasi penyampaian kini boleh kita jadikan hujah bernas. Kenaikan gaji penjawat-penjawat awam nampaknya tidak menunjukkan perubahan sikap yang lebih baik daripada sebelumnya.

Sedarkah kita rasuah, di bidang politik disebut 'politik wang' adalah barah yang akan membunuh kesejahteraan hidup kita semua. Baik di dalam plitik, dalam pentadbiran Kerajaan atau di sektor manapun, rasuah tetap merbahaya, ia tetap 'barah' yang boleh membunuh kita. Mengapa kita memilih rasuah sebagai pilihan kita semasa kita menikmati kemakmuran hasil kemerdekaan? Tanyalah diri sendiri. Amatlah sedih apabila rasuah bersarang di dalam kelompok orang-orang yang beragama, yang agamanya menyebut "penerima dan pemberi rasuah, kedua-duanya dalam neraka".

Apakah kemerdekaan dan nikmat kemerdekaan telah membuka mata kita melihat 'materialistik' sehingga kita lupa kepada aspek ruhaniah, lupakan prinsip-prinsip susila dan prinsip agama? Apakah kita mengukur nikmat kemerdekaan hanya dari indek kereta besar, rumah besar, duit besar dan projek besar? Apakah kuasa yang kita dapat dianggap senjata untuk kita memusnahkan orang lain? Fikirlah sendiri.


(Nikmat kemerdekaan adalah seperti air tasik yang tenang)

Dalam kita bersyukur atas nikmat kemerdekaan ini, ingatlah bahawa nikmat sebenar kemerdekaan ialah apabila kita dapat hidup dengan aman dan makmur, iaitu keadaan di mana kita bebas daripada dua musuh kita iaitu ketakutan dan kelaparan. AlhamdulilLah di segi kemakmuran, kita mungkin dapat mengekalkan keadaan ini, namun dari segi keamanan kita merasa ragu-ragu. Keamanan dari segi kerukunan hidup bermasyarakat masih lagi terjamin, tetapi gejala jenayah yang keterlaluan waktu ini bolehlah dianggap satu cabaran besar kepada kita. Orang merasa tidak selamat tinggal di rumah, tidak selamat di jalan raya, tidak selamat di mana sahaja, kerana peragut, perompak, perogol, pembunuh berada di mana-mana.

Saturday, August 29, 2009

Hadapi H1N1 melalui pilihan lain.


Terakhir ini kita sedang berdepan dengan wabak H1N1 yang telahpun mengorbankan berpuluh orang pengidapnya (71 orang semasa post ini ditulis). Wabak yanag berpunca daripada virus ini menular pantas di seluruh dunia termasuk negara maju seperti Amerika. Wabak ini terasa begitu menakutkan apabila media massa mengolah perkembangannya dengan begitu serius dan dramatik. Perhubungan di peringkat antarabangsa turut terganggu apabila wabak ini didapati dengan pantas menular akibat perhubungan dunia yang begitu terbuka. Mungkin juga kesannya ke atas sektor pelancongan terjejas kerana orang begitu berhati-hati dan berwaspada untuk bergerak dari satu negara ke satu negara, terutama negara yang wabak H1N1 mewabak.

Akhir-akhir ini stok veksin tidak mencukupi untuk menampung permintaan msyarakat. Mereka sedar untuk mengambil langkah awal membuat pencegahan. Klinik kami (pusat Perubatan Julia) menghadapi permintaan tinggi untuk mendapatkan suntikan veksin malangnya stok tiada dan perlu menungu tempoh waktu yang lama untuk mendapat stok baru. Kehadiran pesakit yang meminta pandangan tentang pencegahan penyakit juga meningkat akhir-akhir ini, menunjukkan kebimbangan masyarakat terhadap wabak ini begitu tinggi.

Sebelum ini orang takut dengan Chikungunya dan Denggi. Keduanya juga disebabkan virus dari nyamuk. Kemunculan pelbagai gejala penyakit baru memperlihatkan dari sisi lain bahawa kehidupan kita masih rapuh dan terdedah dengan bermacam faktor-faktor penyebab penyakit, termasuk wabak bawaan virus.

Dalam menghadapi pelbagai cabaran kesihatan ini, saya berfikir bahawa kita perlu melihat masalah-masalah ini dari sisi lain. Selama ini kita melihat pendekatan perubatan moden sebagai satu-satu sandaran kita, di samping itu kita masih bersikap: merawat apabila sudah sakit. Dua perkara ini eloklah difikirkan kembali demi mencari solusi lain kepada kesihatan kita.

Setelah lebih 15 tahun terlibat dalam industri herba dan mengkaji perawatan alternatif, saya membuat kesimpulan bahawa pendekatan kita perlu dianjakkan kepada pendekatan lebih holistik. Kita perlu melihat aspek kesihatan secara menyeluruh dan mengambil kira pilihan-pilihan lain yang ada. Saya melihat herba dan produk alami (natural) mempunyai pelbagai bahan aktif yang boleh membantu kita jadi sihat. Perawatan secara terapi herba didapati sangat berkesan untuk dua pendekatan menghadapi masalah kesihatan, iaitu pencegahan dan rawatan.


Sebagai pemakanan, herba diambil setiap hari sebagai langkah pencegahan. Oleh kerana ia adalah sumber alami ia tidak memudaratkan; sebaliknya ia bermanfaat membekalkan sumber nutrien yang membina daya tahan tubuh atau imuniti. Sebahagian besar herba mengandungi bahan aktif seperti antioksidan yang berfungsi menguatkan imuniti tubuh. Penyakit hanya dapat menyerang tubuh yang lemah imunitinya. Bakteria atau virus juga hanya dapat melemahkan tubuh yang tidak mempunyai sistem imuniti yang kuat. Kes-kes alahan (elergi) juga berpunca daripada rendahnya imuniti tubuh seseorang.

Pengalaman kami berpuluh tahun menggunakan beberapa herba terpilih (antaranya Natural Lingzhi dan Tropicocos VCO) membuktikan fakta ini. Kedua herba ini antara herba yang membekalkan sumber membina imuniti kerana ia mengandungi apa yang disebut immunomodulating iaitu keupayaan membina struktur mekanisme pertahanan tubuh.

Herba juga sangat berkesan untuk mengatasi pelbagai gejala penyakit semasa. Antara gejala umum di kalangan kita ialah diabetes, tekanan darah tinggi, gastrik, asthma, buasir, gout dan pelbagai lagi. Selain itu gejala yang serius seperti sakit jantung, strok, lumpuh akibat kemalangan atau strok, kanser, leukimia dan sle pun dapat dapat diatasi dengan terapi herba. Kesan pemulihan dapat dilihat dengan jelas.

Ketika kita berdepan gejala penyakit yang disebabkan oleh virus seperti Denggi dan Chikungunya (masih lagi mewabak), marilah kita lihat satu pendekatan lain, iaitu persediaan awal mencegah kerana itulah strategi terbaik menghadapi masalah kesihatan. Dengan membina imuniti melalui pengambilan pemakanan yang sesuai (herba-herba terpilih) insyaAllah serangan virus dari apa jenis pun dapat dihindarkan.

VCO adalah makanan kesihatan yang sangat berkesan untuk menghadapi virus kerana ia bersifat antiviral, antibakterial, antifungal (sila baca buku saya, Kelebihan dan manfaat VCO, dan buku-buku yang ditulis oleh Dr Bruce Fife). Hal ini terbukti apabila kami membantu pesakit denggi dan chikungunya dengan memberikan mereka Tropicocos VCO. Kesan pemulihan sangat mengagumkan. Saya yakin VCO dapat membantu kita menghadapi virus H1N1 dengan mengambilnya sebagai makanan harian. Kekuatan antivirus yang ada padanya membolehkan ia dijadikan penawar kepada wabak serangan virus. Ianya tentulah lebih jimat (lebih murah) dan lebih selamat (kerana ia bahan alami); dan juga adalah antibiotik alami yang sudah diakui ramai penggunanya.

Ubahlah persepsi tentang kaedah menghadapi masalah kesihatan dengan beberapa kaedah yang positif:
1. Memberi keutamaan kepada kesihatan keluarga
2. Bersikap terbuka dan luaskan ilmu tentang kesihatan
3. Menjaga kesihatan dengan mencegah, menghindari penyakit
4. Mengambil makanan yang sihat dan pemakanan kesihatan secara berterusan

Tuesday, August 25, 2009

Kenapa hati perlu didahulukan dan iman diutamakan.


Secara fitrah atau secara alami manusia dikawal oleh beberapa mekanisme yang bersifat metafizik iaitu akal, perasaan atau emosi dan nafsu. Antara organ yang dikaitkan dengan fungsi akal ialah otak, manakala perasaan dan nafsu sukar dikenali di mana ia bertapak. Hati dalam pengertian metafizik bukanlah hati (jantung atau liver) yang dikenali secara anatomi itu. Sementara nafsu juga bersifat non-fizik kerana ia lahir daripada keinginan-keinginan naluri seumpama dorongan untuk makan minum dan seksual.

Kesemua yang dibicarakan ini adalah unsur ruhaniah daripada diri manusia. Oleh itu ia tidak mudah difahami. Oleh kerana tabir ruh tidak dibuka seluas-luasnya kepada manusia, maka kita memerlukan pengertian dan kefahaman berasaskan bimbingan agama. Namun begitu kemajuan di bidang sains, psikologi turut memudahkan kita memahami aspek-aspek ini, insyaALlah.

Akal adalah satu kelebihan yang ada pada manusia dan tidak ada pada haiwan. Akal adalah satu mekanisme yang membantu manusia mengenali, memahami, berfikir dan menjana maklumat. Inilah kelebihan manusia kerana manusia dibekalkan Tuhan dengan akal, iaitu sebuah penjana tenaga maklumat yang sangat besar kuasanya. Bayangkan bagaimana kekuatan akal telah menjadikan dunia ini begitu maju dengan segala pencapaian sains dan teknologinya.

Sementara hati pula adalah satu institusi yang juga penting selain akal. Hati berfungsi menampung maklumat-maklumat samawi (maklumat tentang hal-hal ghaib dan ketuhanan). Hati juga dibekalkan dengan getaran-getaran emosi yang menjadikan hidup ini indah dan bahagia. Hati menjadikan kita dapat merasa. Hembusan angin mungkin sekadar menyejukkan wajah dan tubuh kita, tetapi hembusan angin yang sama menjadikan kita merasa sangat enak, sangat indah, sangat nyaman dan membahagiakan. Mata kita mungkin terpukau melihat pelangi berwarna-warni di kaki langit, tetapi hati merasakan pelbagai emosi ketika melihat pelangi yang indah itu. Perasaan kagum, rasa terharu, indah, sayu, dan pelbagai lagi adalah kesan dari hati, bukan dari mata.

Sementara itu nafsu dapat dilihat dengan jelas pada zaman kanak-kanak. Mereka akan menangis apabila kelaparan atu kehausan. Keperluan kepada makan minum telah sedia wujud sejak bayi lagi. Apabila semakin besar, berkembang pula nafsu lain seperti keinginan untuk memiliki, kemudian keinginan seksual tumbuh apabila umur baligh. Nafsu secara alami adalah elemen penggerak kepada kehidupan. Ia menjadikan hidup manusia berkembang dan maju. Namun begitu nafsu adalah satu unsur yang perlukan kawalan kerana ia tidak boleh dibiar berkembang secara sendiri. Walaupun matlamat kewujudan nafsu adalah unduk kedinamikan manusia namun sekiranya dibiar tanpa kawalan ia akan menjadi rosak dan memusnahkan kehidupan manusia.

Tuhan yang menciptakan manusia dengan ketiga-tiga elemen ruhaniah ini, telah mendidik manusia supaya memahami dan mengenali ketiga-tiga unsur ini, dan memeliharanya dengan baik demi kemanfaatan hidup manusia dan juga kehidupan alam ini. Tuhan menurunkan agama untuk tujuan pendidikan tersebut.

Menjaga akal adalah antara maslahah agama. Akal perlu dijaga supaya tidak rosak. Sebab itu perbuatan yang merosakkan akal seperti arak, dadah dan sihir dilarang kerana ia boleh merosakkan akal waras manusia. Dalam waktu yang sama akal disuburkan dengan ilmu, sebab itu kita diperintah menuntut ilmu, membaca dan berfikir kerana semua itu adalah aktiviti yang akan menajamkan akal. Ketajaman akal pelu untuk memakmurkan alam ini.

Ketiga-tiga unsur ini akan setiasa berusaha mendominasi antara satu lain. Untuk kesejateraan hidup manusia, ketiga-ketiga unsur ini perlu seimbang dan hati perlu dijadikan tempat rujukan atau pusat kawalan. Akal apabila ia sudah maju, ia mudah dipengaruhi oleh nafsu kerana nafsu sentiasa cenderung membawa manusia kepada kerosakan. Nafsu sangat bijak menggoda akal. Walaupun akal adalah lambang kebijaksanaan namun ia dapat dikuasai oleh nafsu yang lebih licik lagi. Akal waras akan tunduk dan mengalah kepada nafsu sekiranya ia tidak dibimbing oleh hati.

Hanya hati yang dapat mengawal kedua-dua ini. Hati akan selalu memberikan pertimbangan yang benar kerana hati adalah pancaran ketuhanan. Hati tempat bermukimnya iman, taqwa, dan semua sifat-sifat mahmudah. Namun begitu hati juga dapat dikotori oleh sifat-sifat mazmumah seperti angkuh, sombong, hasad, riak dan lain-lain, sekiranya ia lemah dan dapat dikuasai oleh nafsu.

Baik hati mahupun akal dan nafsu, kesemuanya terdedah kepada pengaruh-pengaruh di luar. Hati lebih sensitif dan terdedah kepada pengaruh langit. Cahaya ketuhanan terpancar di hati bukan di akal. Oleh itu cahaya ketuhanan itu perlu dimanfaatkan untuk menguatkan hati. Agama diturunkan untuk mengukuhkan hati, menggilap kekuatannya. Iman yang kuat di hati akan menjamin hati yang sejahtera. Perkataan Islam itu sendiri merujuk kepada maksud kesejahteraan di dalam hati. Kesejahteraan ini dipancarkan daripada emosi-emosi sihat dan positif seperti redha, syukur, tenang, sabar, tawakkal dan ikhlas. Sebaliknya hati yang tiada iman akan dipenuhi emosi-emosi negatif dan merosakkan seperti sombong, hasad, riak, amarah, ujub, resah, risau, murung dan lain-lain.

Oleh itu hati adalah elemen yang sangat perlu dijaga, diawasi dan dimantapkan. Hati yang bersih, bercahaya adalah hati yang dipenuhi iman dan taqwa. Hati yang begini yang dapat mengawal, menjaga dan mentadbir diri manusia. Ia akan mengawal kebijaksanaan akal dan mengawasi kelicikan nafsu. Nafsu akan dijinak dan ditundukkan supaya patuh kepada hati. Proses pendidikan nafsu ini akan berakhir dengan ia menjadi nafsu yang jinak, nafsu yang baik dan mampu meningkat darjatnya ke tahap nafsu yang mulia. Inilah yang disebut sebagai peningkatan daripada nafsu ammarah kepada nafsu lawwamah, kepada nafsu mulawwamah dan kepada nafsu mutmainnah.

Dalam keadaan lain, hati yang tiada kekuatan iman, ia tidak mampu mengawasi dan mengawal nafsu. Nafsu akan mempengaruhi akal dan melakukan perbuatan jahat. Akal yang terpengaruh oleh nafsu akan sentiasa memberikan justifikasi baik dan menyokong kehendak nafsu. Akhirnya manusia terjebak ke dalam kerosakan dan kejahatan. Nafsu yang bebas tdak dikekang akhirnya akan membinasakan tuannya sendiri. Nafsu yang tidak terkawal akan menjadikan akal semakin lemah dan hati semakin gelap. Keadaan inilah yang menjadikan orang yang jahat bertambah kejahatannya, yang sesat semakin jauh kesesatannya.

Kita melihat bagaimana orang berubah daripada jahat menjadi baik apabila hatinya yang gelap tersentuh cahaya petunjuk Tuhan. Sentuhan itu akan membukakan jendela hatinya untuk insaf, sedar dan bangun berubah. Inilah proses yang dialami oleh orang-orang yang kembali bertaubat, berubah dan berhijrah daripada kejahatan kepada kebaikan. Hati yang mula bercahaya digilap lagi hingga cahayanya semakin terang. Ketika itulah ia mula memancarkan semula emosi-emosi positif seperti tenang, damai, sabar, syukur dan sebagainya. Hidup keseluruhannya akan kembali membaik apabila hatinya sudah kuat.

(Alam akan kelihatan indah, apabila dipandang dengan hati yang bersih).

Saturday, August 22, 2009

Ramadhan: mari kembali ke alami (fitrah diri).


Ramadhan mempunyai signifikasi besar kepada kehidupan, bukan sahaja kepada Muslim tetapi juga kepada semua manusia termasuk juga kepada alam. Ramadhan adalah satu Sunnah Tuhan atau satu yang bersifat alami. Pertama, Ramadhan adalah satu proses putaran masa yang didasarkan kepada perubahan peredaran bulan pada orbit bumi. Bulan beredar mengitari bumi pada paksinya adalah satu proses alami, tidak pernah berubah sejak dulu hinggalah sekkarang, malah akan terus beredar mengiktut pusingan serupa sehingga kiamat.

Peredaran bulan mempengaruhi perubahan pada kehidupan di bumi di mana kaitan mengalami dua waktu iaitu waktu siang dana malam. Bulan hanya menjelma di waktu malam dan cahayanya lembut sekadar menampakkan dirinya, tetapi tidak mampu menerangi bumi sebagaimana fungsi matahari. Bulan bermula putarannya setiap hari dari anak bulan (hilal) menjadi purnama (bulan penuh, kemudian di hari kelima belas mengecil semula sehingga hilang daripada pandangan. Proses ini mengambil masa 29 atau 30 hari, itulah kiraan sebulan. Ilmu falak atau astronomi akan melihat fenomena bulan ini dengan lebih jelas lagi.

Ramadhan mempunyai kaitannya dengan proses penurunan al-Quran, sebuah Kitab yang datangnya dari langit, dari Tuhan Rabbul Aalamin. Kitab ini begitu bererti kepada kehidupan manusia kerana ia mengandungi petunjuk-petunjuk kepada umat manusia dari semua zaman, untuk mengenali Tuhan mereka, mengenali diri mereka dan juga mengenali alam di sekeliling mereka. Keperluan manusia kepada Kitab dari langit terletak pada kekurangan manusia sendiri di mana akal manusia tidak mampu untuk memikiri tentang dirinya sendiri, apa lagi untuk memikiri tentang hal-hal spiritual termasuk kewujudan Tuhan dan alam spiritual.

Percaya dan menerima agama juga adalah satu fitrah atau suatu yang alami kerana manusia dilahirkan dengan hati, dan hati adalah satu kewujudan ruhaniah yang sentiasa terdedah kepada aspek spiritual. Kecenderungan manusia beragama adalah satu fitrah yang tidak boleh dinafikan. Orang yang mengaku atheis pun tetap mempunyai hati yang sentiasa terdedah kepada maklumat-maklumat spiritual biarpun mulut dan akalnya cuba menafikannya. Akhirnya mereka berdepan dengan konflik iaitu konflik antara akal dan hatinya.

Tarikan kepada agama adalah alami kerana manusia mempunyai hati yang sentiasa tertarik kepada hal-hal spiritual. Sebahagian orang yang tidak mempunyai pegangan agama juga masih mempunyai asas kepercayaan kepada Tuhan dan mereka mengembangkan deria hati mereka melalui pelbagai amalan seperti meditasi, yoga dan ritual-ritual yang dapat memenuhi fitrah tersebut. Kita lihat di zaman moden ini di kalangan masyarakat yang tidak kuat berpegang dengan agama, mula tertarik dengan amalan agama-agama Timur. Orang Barat mencari amalan-amalan yoga, reiki, johrei, prana di India dan Jepun untuk memenuhi tuntutan ruhani meeka. Kebosanan dengan cara hidup yang menolak spritual akhirnya membawa mereka kepada budaya Hippies satu waktu dahulu. Akhir-akhir ini kita melihat kecenderungan orang Barat untuk mencari agama bagi memenuhi ciri-ciri alami mereka.


Akibat menolak agama, manusia semacam menolak hidup alami. Apabila faktor hati dikesampingkan, maka manusia menjadi robot dan tidak bepeperasaan lagi. Tanpa hati, tanpa perasaan, manusia tidak menjadi manusia lagi. Inilah yang kita saksi hari ini. Manusia melakukan perbuatan-perbuatan di luar kemanusiaan, melakukan jenayah, merompak, merogol, membunuh dan menumpahkan darah melalui konflik sesama sendiri, dengan bangsa lain yang berakhir dengan peperangan. Lebih zalim lagi mereka menggunakan senjata canggih untuk membunuh orang-orang yang lemah dan tidak berdosa. Tragedi di Palestin, Iraq dan Afghanistan hari ini menjadi bukti kekejaman manusia yang tidak lagi ada ciri-ciri alami - berperikemanusiaan.

Ramadhan mengingatkan manusia supaya berhenti sejenak, menerenung kembali tragedi-tragedi tak berkemanusiaan yang terus berlaku ini. Melalui puasa, manusia dididik kembali kepada hati, kembali kepada perasaan. Akhirnya kita menjadi insaf, sedar tentang diri, dengan itu kita akan sedar perasaan orang lain, terutama mereka yang tidak bernasib sebaik kita. Di sinilah lahirnya keinsafan untuk bersimpati, berempati terhadap sesama manusia.

Amalan berlapar seharian mengajar manusia erti kesabaran iaitu satu pendekatan kawalan diri yang sangat berkesan untuk mengawal diri daripada pengaruh nafsu. Nafsu yang tidak terkawal selama ini telah merosakkan hidup masnusia secara peribadi mahupun masyarakat. Nafsu menjadikan manusia tamak, haloba dan tidak pernah mengecapi kepuasan. Masyarakat menjadi begitu materialistik dan egoistik, terikut-ikut budaya hedonistik yang mementingkan hiburan, keseronokan lahiriah dan terpengaruh dengan gaya hidup kepenggunaan yang berlebih-lebihan. Nafsu membenarkan manusia menghalalkan cara demi mencapai matlamat peribadi. Mereka sanggup menceroboh hak orang lain, menipu, rasuah, melakukan jenayah demi mencapai cita-cita nafsu mereka.

Kita sudah bosan dengan pelbagai situasi dalam masyarakat. Konflik politik memecah belahkan masyarakat, jenayah menjadi-jadi, pembunuhan terjadi setiap hari oleh perkara-perkara kecil dan remeh, anak-anak muda melepaskan resah di jalanan melalui amalan lepak, rempit, hiburan, dadah dan jenayah kerena ibu bapa tidak lagi melindungi mereka dengan kasih sayang. Ibu bapa hanya tahu menyediakan wang dan kemewahan tetapi tidak memberi kasih sayang dan perhatian. Orang dewasa pula menghabiskan waktu dengan mengejar angan-angan peribadi hingga lupa kepada tanggungjawab kekeluargaan. Mereka beranggapan tanggungjawab menjaga anak-anak adalah di tangan orang gaji dan tanggungjawab masyarakat dan Kerajaan. Maka jadilahlah beban memulihkan penagih beban kepada masyarakat dan Kerajaan, padahal semuanya bermula dari dalam rumahtangga.

Ayuh di bulan berkat ini marilah kita kembali insaf, kembali sedar bahawa kita perlu memberi masa dan tumpuan untuk kembali ke alami, kembali kepada diri kita, kembali kepada HATI kita. Marilah kita rehat sejenak, tinggalkan hal-hal lain dan duduk bertafakkur, berdoa, bermunajat dan kembali kepada Tuhan. Selama ini kita telah menentang arus fitrah dan kita tidak alami. Kita umpama umang-umang yang hidup dalam kerangka cengkerang orang lain, terikut-ikut dengan keghairahan orang lain mengejar apa yang mereka sendiri tidak tahu.

(atas: tragedi atom memusnahkan Hiroshima. Pembunuhan kejam, tragedi kemanusiaan).

Thursday, August 20, 2009

Ramadhan, bulan membaca?


Besok bermulalah bulan Ramadhan, bulan penuh rahmat, kebajikan dan kemaafan. Ramadhan adalah satu bulan dalam setahun, iaitu mengikut proses pusingan masa untuk tujuan pengiraan, dan ia didasarkan kepada pergerakan bulan di langit. Kita mengira dan menghitung usia berdasarkan bulan dan jumlah 12 bulan menjadi setahun. Biasanya usia dihitung mengikut kadar tahun. Oleh kerana bulan adalah masa dan masa pula adalah kehidupan, maka bulan-bulan yang kita lalui adalah sebenarnya kehidupan kita.

Di sebalik rahsia bulan dan masa, kita menemui erti Sunnah Tuhan (SunnatulLah) yang telah mengatur kehidupan kita di bumi dan kehidupan alam sejagat mengikut ketentuan-ketentuan (takdir)-Nya. Sunnah ini adalah satu sistem alami yang tidak boleh diubah atau ditentang kerana ia adalah hukum (sebagaimana kita fahami daripada sains yang menemui pelbagai hukum, seumpama hukum graviti). Sains telah mengesahkan pelbagai hukum yang bersifat tetap dan itu adalah sebahagian daripada SunnatulLah.

Kehidupan di dunia telah diatur mengikut Sunnah tersebut. Tuhan yang mencipta Sunnah itu telah menyediakan satu panduan (manual) lengkap untuk memimpin dan membimbingi manusia supaya mereka dapat mengikuti Sunnah tersebut. Itulah agama yang diturunkan untuk menjadi pegangan dan pedoman kita. Apa sahaja tindak-tanduk yang menyanggah arah Sunnah tersebut akan memudaratkan kehidupan manusia, kerana ia tidak selari dan serasi yang ketetapan-ketetapan Tuhan.

Di penghujung Ramadhan kita akan menemui Fitrah. Umumnya orang mengaitkan fitrah dengan zakat fitrah yang dilakukan sekali setahun di penghujung Ramadhan sebelum solat Idulfitri. Ia juga dikaitkan dengan kedatangan awal Syawal yang dirayakan iaitu Hariraya Idulfitri. Makna yang lebih holistik daripada Fitrah ialah ciri-ciri semulajadi sebagaimana yang tercermin pada SunnatulLah itu. Fitrah manusia dan fitrah alam telah ditentukan mengikut Sunnah yang sempurna. Berulangnya fitrah yang dikaitkan dengan zakat dan awal Syawal adalah detik-detik penting untuk mengingatkan kita tentang makna fitrah dalam kehidupan kita.

Dalam bahasa umum kembali kepada fitrah adalah kembali kepada alami (back to nature). Sungguhpun pengertian nature dalam sains moden lebih merujuk kepada ciri-ciri alam, namun Islam telah memperkenalkan konsep nature itu secara holistik lebih awal lagi. Itulah yang terangkum dalam konsep fitrah dan SunnatulLah. Apa yang dikaji sains hanyalah untuk membuktikan kebenaran Sunnah tersebut. Kehadiran sains juga sangat membantu dalam membuka mata dan fikiran kita kepada kebenaran Sunnah itu. SunnatulLah pada alam dan kehidupan ini jauh lebih besar pengertiannya daripada apa yang kita fahami tentang perkataan Sunnah (biasanya dikaitkan dengan Sunnah Nabi saw).

Kajian sains adalah kajian untuk membuktikan kebenaran ayat-ayat Allah. Ayat-ayat ini tidak sekadar merujuk kepada perkataan atau lafaz kalam Allah yang termaktub atau tertulis (kitab-kitab Allah), tetapi merangkumi seluruh alam. Manusia, haiwan, tumbuhan, gunung ganang, air, udara, galian di dalam bumi, makhluk-makluk seni (mikrob, bakteria, virus dan fungi adalah sebahagian daripada ayat-ayat Tuhan). Ayat-ayat inilah yang disaran oleh Tuhan sendiri supaya kita baca. Oleh kerana ayat-ayat ini tidak dalam bentuk perkataan dan lafaz-lafaz tetapi dalam bentuk wujud fizik dan metafizik, maka membacanya tidak sekadar dengan mata dan suara; tetapi memerlukan akal fikiran, makmal, perkakasan saintifik sperti mikroskop, tabung uji dan lain-lain. Inilah fungsi sains, iaitu membaca ayat-ayat Tuhan yang tidak tersurat tetapi yang tersirat.

Ilmu juga adalah satu aktiviti yang bersifat holistik, dan holistik itu sendiri adalah antara hukum atau ciri-ciri fitrah. Contoh yang dekat dengan diri kita adalah diri manusia sendiri. Manusia adalah ciptaan holistik antara jasad dan ruh (ada yang mengklasifikasinya kepada jasad, akal dan ruh). Kedua-dua unsur manusia ini tidak boleh dikesampingkan mana-mana antara keduanya. Kedua-dua perlu bersama barulah kehidupan ini dapat dimaknakan. Tanpa ruh, jasad akan mati, membusuk dan akhirnya menjadi tanah. Tanpa jasad, tidaklah wujudnya diri kita.


(rupanya ada bakteria yang baik)

Alam juga ALlah ciptakan secara holistik. Manusia, haiwan, tumbuhan adalah antara makhluk dominan di bumi. Namun begitu terdapat banyak lagi makhluk hidup yang lain termasuk makhluk-makhluk seni seperti mikrob, bakteria, virus dan fungus. Makhluk-makhluk dalam bumi (yang kita anggap mati) seperti bahan-bahan galian, air, udara, angin sebenarnya hidup kerana mereka juga berfungsi. Malangnya kerana kita tidak cukup kuat membaca ayat-ayat ini, maka maklumat kita tentang kehidupan mereka sangat terbatas.

Sedarkah kita selama ini kita menggunakan tenaga untuk memajukan kehidupan kita. Tenaga elektrik, tenaga solar, tenaga elektronik melalui gelombang, tenaga enjin merupakan antara sumbangan besar kepada kemajuan hari ini. Dari mana tenaga-tenaga ini bersumber. Tenaga elektrik daripada sumber air, angin, matahari dan dari jentera. Sementara jentera pula digerakkan oleh tenaga minyak dan minyak dari bahan-bahan reputan di dasar bumi. Sedarkah kita bahawa kita banyak bergantung kepada sumber-sumber dari alam di sekeliling kita untuk membolehkan kita hidup selesa dan maju sebagaimana sekarang?

Manusia sebenarnya tidak pernah mempunyai tenaga sekuat tenaga alam. Manusia tidak mampu membanting tulang mengerjakan seekar sawah, lantas menggunakan tenaga kerbau, kemudian tenaga jentera untuk membajak. Kini manusia tidak mampu megingat berpuluh-puluh digit angka, lantas mencipta mesin untuk mengira. Manusia tidak mampu mengingat pelbagai perkara, manusia mencipta komputer untuk membantunya. Komputer-komputer ini sendiri tidak akan berfungsi tanpa wujudnya chip-chip logam yang asalnya dari dalam bumi, dibantu oleh getaran gelombang yang tidak pernah kita nampak, tak pernah kita sentuh dan tak pernah kita pegang.

Allah menciptakan alam ini dengan penuh kebijaksanaan, untuk dimanfaatkan oleh manusia. Benarlah apabila al-Quran menyebut: Sesungguhnya pada ciptaan langit dan bumi, peralihan malam dan siang terdapat ayat-ayat (tanda kebesaran) Tuhan bagi Ulul-albab, iaitu orang-orang yang mengingat Allah ketika berdiri, duduk dan berbaring, dan sentiasa berfikir tentang kejadian langit dan bumi. Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau jadikan (alam) ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau maka jauhilah kami daripada siksa neraka.

Dengan mengkaji alam melalui sains barulah fakta-fakta tentang ayat-ayat kauniah ini dapat dibaca dengan jelas. Al-Quran sendiri menyarankan kita supaya membaca ayat-ayat kauniah di sekeliling kita supaya kita lebih memahami maksud dan pengertian ayat-ayat al-Quran sendiri. Maksud ayat di atas lebih dimengerti oleh para sainstis daripada kita yang hanya membaca ayat yang tertulis tetapi tidak menghayati perintah ayat tersebut.


(diri sendiri, ayat yang belum dibaca sepenuhnya)

Kita membaca al-Quran (terutama di bulan Ramadhan ini), namun kita belum lagi membaca dengan pengertian holistik iaitu membaca dengan mata, dengan akal, dengan makmal, dengan penerokaan, dengan kajian lapangan, dengan ujikaji. Hari ini kita melihat hakikat ini apabila banyak penemuan baru di bidang sains dilakukan oleh mereka yang tidak membaca al-Quran (kerana mereka bukan Muslim) tetapi mereka menghayati perintah membaca secara holistik ini. Mereka membaca ayat-ayat kauniah (mengkaji alam) melalui penyelidikan, ujikaji, uji makmal dengan mendalam. Mereka lebih menyedari kebesaran Tuhan apabila dapat melihat makhluk-makluk seni dengan mata sendiri, sedangkan kita hanya sekadar pernah mendengar sahaja. Mereka melihat bakteria, virus dan makhluk-makhluk seni kerana mereka tahu menggunakan elektron mikroskop yang mempunyai kekuatan kanta berganda-ganda. Kita hanya sekadar mendengar tentang virus H1N1 tetapi tidak pernah melihatnya. Kita mendengar virus HIV, virus denggi dan chikungunya tetapi tidak pernah menyaksinya dengan mata sendiri.

Apakah kita hanya berpuas hati dengan hanya membaca ayat-ayat yang tertulis di dalam al-Quran? Tidakkah kita mahu membaca pengertian-pengertian al-Quran seperti saranan al-Quran sendiri, iaitu membaca ayat-ayat Tuhan yang ada di sekeliling kita? Sedarkah kita walaupun kita membaca ayat-ayat tertulis tentang kejadian manusia di dalam al-Quran, namun pengetahuan kita sangat terbatas berbanding dengan doktor dan ahli sains yang mengkaji anatomi, fisiologi dan pelbagai ilmu tentang kejadian manusia. Mereka ini lebih sedar, lebih insaf tentang kebesaran Tuhan kerana mereka menyaksi betapa hebatnya ciptaan manusia sejak dari percampuran benih lelaki dengan benih perempuan hinggalah ia membesar menjadi janin, dan membentuk sebagai manusia.

Membaca ayat-ayat kauniah dengan mengkaji, menyelidik, mengujikaji dan mengesahkan fakta secara empirikal adalah satu ibadah besar dalam konteks fardhu kifayah kerana hasil kajian tersebut akhirnya akan memberi manfaat kepada sesama manusia. Kemajuan sains dan teknologi seumpama komputer itu adalah manfaat besar yang diusahakan oleh para saintis dan ahli teknologi yang berjihad mengorbankan kepentingan diri, waktu dan wang ringgit untuk tujuan tersebut. Kita sering lupa kepada mereka di belakang tabir, yang berusaha mengkaji dan mencipta. Apakah kita hanya berpuas hati hanya menjadi pengguna? sedangkan ramai yang melakukan kerja-kerja fardhu kifayah ialah orang lain (yang tidak pernah faham apa itu fardhu kifayah).

Oleh itu di bulan Ramadhan ini, marilah kita berfikir, merenung agar kita lebih faham, kerana faham itu akan menjadikan kita lebih mengerti, dan pengertian itulah yang akan menjadikan kita lebih sedar, manakala kesedaran pula akan mendorong untuk bertindak. Marilah kita menilai diri (muhasabah) apakah selama ini kita membaca (hakikatnya ramai orang tidak suka membaca). Apakah kita faham apa yang kita baca (contohnya membaca al-Quran). Setelah faham apakah kita memperolehi pengertiannya, yang boleh menyedarkan kita? Akhirnya marilah kita tanya diri sendiri: apakah kita sudah melaksanakan kesedaran itu dalam bentuk amal?

(Gambar atas: virus H1N1 yang kita takuti sekarang)

Thursday, August 13, 2009

Berkongsi pengalaman Keith di Palawan


Ketika menghadiri Bengkel pertanian alami di Sara Buri Julai lalu, saya berpeluang menjalin hubungan (networking) dengan para peserta yang datang dari beberapa buah negara lain. Antara teman yang memiliki banyak ilmu dan pengalaman di bidang pertanian alami ialah Mr Keith O Mikkelson dari Filipina. Beliau berasal dari Wisconsin USA tetapi telah berhijrah ke Filipina dan menetap di Palawan. Bersama isterinya Narcy, asal Filipina, mereka mendirikan Rumah Aloha, rumah anak-anak yatim. Selama empat hari di Sara Buri Centre, Keith banyak mengungkap pengalamannya mengamalkan pertanian alami dengan teknologi EM kepada para peserta.


Ketika di bengkel, Keith membuat persembahan slaid yang menarik, berkongsi pengalamannya membangunkan Aloha House berasaskan pertanian alami. Beliau juga turut membawa beberapa naskah bukunya yang bertajuk A nature Farming System Sustainable Agriculture In he Tropic. Buku ini memuatkan maklumat latihan yang diberikan kepada peserta kursus yang diadakan di Palawan.

Kesempatan berbincang dengan Keith dan Narcy di coffe house hotel ketika sarapan pagi 25 Julai sangat bermakna. Dalam suasana santai dan selesa, kami berbincang bagaimana berkongsi maklumat dan pengalaman. Saya bercadang menggunakan sebahagian pengalaman Keith di Palawan untuk diterapkan di Malaysia. Memandangkan keadaan bumi dan persekitaran yang hampir sama, pengalaman di Palawan berpotensi untuk digunapakai di Malaysia juga. Malahan Keith begitu gembira andai khidmatnya dapat dimanfaatkan untuk memberi latihan kepada mereka yang berminat di Malaysia. Saya sendiri merancang untuk membawa Keith ke sini bagi berkongsi ilmunya.

Keith adalah seorang jurutera yang meminati sukan. Menjadi tenaga pengajar ski dan papan luncur air. Pada tahun 1995 beliau melakukan kerja amal gereja yang membawanya ke Filipina. Beliau mengahwini Narcy dan kini mempunyai seorang anak. Mereka membina Aloha House, sebuah penempatan anak yatim. Beliau mengamalkan pertanian alami sebagai sumber penghasilan makanan untuk menyediakan sajian yang berzat kepada anak-anak terbiar di Palawan. Dengan niat mulia, mereka bekerja membina penempatan Alohha sehingga akhirnya ia boleh berdikari dengan menghasilkan makanan bermutu. Dengan keluasan sederhana beberapa ekar sahaja, Keith membangunkan aktiviti pertanian secara integrasi. Selain menanam sayuran, buah-buahan, tanaman kontan, mereka juga menternak lembu, kambing, ayam dam khinzir. Mereka menghasilkan baja organik daripada sisa-sisa pertanian dan juga membuat baja cacing (vermicompost). Mereka menggunakan segala sumber yang terhad dan bahan terbuang. Sebagai seorang jurutera mekanikal, Keith menggunakan apa sahaja sumber terbuang untuk merekecipta peralatan mekanikal sederhana yang dapat digunakan dalam aktiviti pertaniannya.
(Keith mengendalikan kursus kepada penduduk tempatan)

Daripada bukunya, daripada ceritanya, dapatlah dibayangkan bagaimana Keith dan isterinya telah berjaya menghayati konsep pertanian alami yang sungguh holistik. Dalam waktu yang sama mereka telah menyumbang membangunkan kehidupan sebahagian masyarakat miskin dan kekurangan makanan bermutu di Palawan. Saya melihat keihlasan dan kesungguhan mereka menjalankan kerja-kerja amal ini adalah diasaskan oleh kepercayaan agama mereka serta penghyatan falsafah 'kembali ke alami' atau back to nature. Mereka tidak berteori tetapi menghayatinya, dengan sepenuh hati, dengan kesungguhan dan komitmen yang tinggi.

Keith begitu yakin bahawa kita dapat menghasilkan makanan bermutu (organik) dan berkhasiat sekiranya kita kembali kepada amalan pertanian alami, menggunakan sepenuh teknologi EM. Pada beliau, tanah atau bumi adalah sumber utama, yang perlu diperbaiki jika tidak subur, perlu diolah komposisinya supaya ia kembali subur. Penggunaan segala sumber alam termasuk sisa-sisa pertanian, ternakan adalah satu cara melakukan proses kitaran semula di samping menghindari pencemaran alam.

Apa yang dilakukan oleh Keith bukanlah suatu yang luar biasa. Namun usaha kembali ke alami serta menjalani satu kehidupan sederhana tetapi penuh makna, adalah suatu yang sukar dilakukan. Hari ini kemajuan di bidang teknologi boleh menjadikan seseorang berjaya di bidang pertanian. Sebagai seorang Amerika, semua kemajuan itu adalah hal biasa baginya kerana pertanian di sana sudah amat maju. Pada Keith dan mereka yang mencari erti sebenar alami, tidak akan terpesona dengan semua kemajuan itu sekiranya kesannya kepada kehidupan manusia dan alam adalah negatif. Penggunaan kimia, racun dan GMO tidaklah bersifat alami. Oleh itu memilih kembali ke alami adalah satu-satunya cara untuk kembali menghargai sistem alam atau sunnatulLah yang telah diaturkan Tuhan begitu sempurna melalui jaringan ekositem alam ini.

(pekerja Keith di ladang sekitar rumah Aloha)

Saturday, August 8, 2009

Mengeratkan jaringan EM


Pada 7 dan 8 Ogos lalu, bersama dengan rakan lama, Encik Shahabudin Mat Piah yang baru bersara sebagai Pensyarah di UPM, kami ke Pulau Pinang untuk menghadiri majlis pelancaran One Million Apologies to Mother Earth di samping bertemu rakan-rakan daripada komuniti EM dari rantau Asia Pasifik. (Gambar: penulis, Prof. Higa dan Shahabudin)

Pada 7 Ogos kami ke G Hotel di Gurney Drive untuk bertemu dengan Profesor Dr Higa, pengasas teknologi EM yang datang dari Okinawa, Jepun. Beliau hadir di majlis perjumpaan dengan ketua-ketua jabatan Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi memperkenalkan teknologi EM dan aktiviti-aktiviti berkaitan.

Di situ kami dapat bertemu dan menjalinkan hubungan dengan beberapa pihak yang aktif dalam perkembangan EM di rantau ini. Kami bertemu rakan-rakan penganjur daripada syarikat EM AdminS yang beroperasi di Pulau Pinang. Melalui Alice, rakan saya semasa di Sara Buri tempoh hari, kami diperkenalkan dengan beberapa orang pegawai EM AdminS. Kami juga dapat bertemu dengan tenaga pengajar dari Sara Buri Centre Thailand, Mr Koki, Mr Nishi, Mr Sano dan Mr June. Mereka mengiringi Profesor Higa untuk mengikuti program dua hari di Pulau Pinang itu.

Bersama pegawai Sara Buri Centre, dari kiri: Nishi,penulis, Sano, Koki dan Shahabudin

Kami juga berkesempatan bertemu Mr T. Sawada dan Encik Abdullah Ismail dari JAMOF Sdn. Bhd. Johor, pemegang hak pengedaran EM.1 di Malaysia. Di majlis yang sama kami bertemu dengan Pak Widi (I Ngurah Wididana) dari Bali. Pak Widi adalah pengasas Institut Perlatihan Sumberdaya Alam (IPSA) di Pulau Bali yang mengembangkan teknologi EM di Indonesia. Kebetulan sebelum ini saya pernah bertemu Pak Widi di Bali dan pernah mengikuti program di IPSA pada tahun 2004.

(Dari kri: Shahabudin, Abdullah, Sawada dan penulis)


(Dari kiri: penulis, Tsujimoto, Shahabudin, Pak Widi)

Keesokan harinya, kami bertemu dengan beberapa pihak lagi. Antaranya bertemu dengan Mr Tsujimoto Tadashi dari Singapura. Beliau adalah pengamal dan pengajar rawatan kaedah ESP Cosmic Energy. Di samping itu kami bertemu kembali dengan rakan-rakan aktivis EM dari Johor dan Sabah.

(Dari kiri: penulis, keluarga Raymond dari Johor, rakan dari Sabah)

Kunjungan dua hari ke Pulau Pinang sunguh bermakna kepada saya. Ia telah menguatkan lagi keyakinan untuk terus memajukan teknologi EM dan mengembangkannya di kalangan masyarakat Malaysia khasnya. Jaringan hubungan itu banyak manfaatnya kerana ia memudahkan usaha pertukaran informasi dan berkongsi pengalaman. Lebih penting lagi ialah sokongan dan solidarit dalam organisasi EM.

Waktu ini belum wujud lagi organisasi khusus memajukan EM, Cuma ia digerakkan oleh kalangan aktivis secara individu dan syarikat-syarikat tertentu. Adalah diharapkan jalinan baik antara aktivis-aktivis EM ini akan akhirnya mewujudkan sebuah organisasi yang mantap untuk mengembangkan EM di Malaysia.

(Dari kiri: Abdullah, Shahabudin, Liza Yong, Dato' Dayang Mahani (kedua-duanya dari Sabah), penulis)

Mohon maaf kepada bumi ....


Tarikh 08.08.09 adalah hari yang sangat bermakna dalam hubungan manusia dan alam, apabila sejuta kemaafaan dipohon kepada bumi melalui satu program melontar sejuta biji bola selut (mud ball) ke laut dan sungai di Pulau Pinang.

Projek anjuran pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) dan syarikat swasta yang diketuai oleh EM AdminS itu merupakan simbolik dan juga satu aktiviti memulihkan bumi daripada pencemaran dengan melontar sejuta bola selut mengandungi EM (mikrob bermanfaat) ke dalam laut dan sungai di tujuh daerah di Pulau Pinang. Syarikat-syarikat swasta menaja kos pembuatan bola selut manakala anggota NGO, murid-murid sekolah dan kakitangan Kerajaan turut menyertai program membaling bola selut ke laut dan sungai.

Sejuta bola selut yang dibaling ke laut dan sungai melambangkan penyesalan dan cara kita memohon maaf kepada bumi (one million apologies to mother earth) kerana kita telah melakukan dosa mencemarkan alam. Perairan di Pulau Pinang dijadikan sasaran untuk dibersih dan dipulihkan melalui penggunaan bola selut hasil teknologi EM. Program ini juga sebagai satu kaedah efektif untuk melahirkan kesedaran di kalangan rakyat tentang penjagaan alam sekitar dengan melibatkan mereka dalam aktiviti memulihkan perairan negeri.

Sejak bertahun-tahun, malahan berpuluh tahun kita mencemari perairan kita baik longkang, sungai dan laut dengan segala sisa baik sisa pepejal, sisa kumbahan dan bahan kimia. Semua golongan baik individu di rumah mahupun industri sama-sama turut bertanggungjawab mencemarkan sumber air itu. Akibat buruk daripada amalan dan tabiat buruk itu menyebabkan segala sumber air tercemar dengan teruk. Di Pulau Pinang dua buah sungai iaitu Sungai Juru dan Sungai Pinang dikenali antara sungai paling teruk tercemar di negara ini.

Beginilah teruknya laut Gurney Drive tercemar.

Projek membersihkan laut dan sungai yang dipelopori oleh EM AdminS itu dianggap satu usaha dinamik ke arah membersihkan dan merawat kesan-kesan pencemaran air di Pulau Pinang. Ketua Menteri Pulau Pinang, Encik Lim Guan Eng telah hadir merasmikan majlis pelancaran projek One Million Apologies to Mother Earth di dataran Gurney Drive pada pagi 8 Ogos lalu. beliau turut sama melontar bola selut ke laut di pinggir Gurney Drive sebagai merasmikan usaha melontar sejuta biji bola selut ke laut dan sungai di tujuh daerah Pulau Pinang.

Berucap di majlis tersebut, Encik Guan Eng menyatakan komitmen kerajaan Negeri untuk melakukan sesuatu bagi memulihkan kerosakan eko sistem terutama perairan di Pulau Pinang. Beliau memuji usaha melontar sejuta bola selut ini sebagai satu usaha murni yang penuh komitmen daripada kalangan NGO dan syarikat swasta untuk memulihkan perairan di Pulau Pinang. Katanya, sebanyak 164 batang sungai di negeri ini perlu diselamatkan daripada terus dicemari oleh tabiat buruk rakyat yang membuang sampah dan sisa-sisa kumbahan ke situ.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Profesor Dr Teruo Higa dari Okinawa Jepun. Beliau adalah pengasas kepada teknologi EM dan juga pengerusi pertubuhan Jaringan Pertanian Alami Asia Pasifik (APNAN) yang berpusat di Bangkok, Thailand. Turut hadir ialah pegawai-pegawai APNAN dari Bangkok, perwakilan dari Singapura, Indonesia dan aktivitis teknologi EM dari seluruh Malaysia. Kehadiran kumpulan ini menunjukkan komitmen pengamal teknologi EM yang begitu serius menggerakkan usaha mengembangkan teknologi EM kepada msyarakat.

Projek sejuta kemaafan kepada bumi adalah satu usaha penuh bermakna untuk menyedarkan masyarakat tentang tanggungjawab mereka menjaga dan memelihari alam sekitar. Projek ini bertujuan membangkitkan kesedaran baru di kalangan rakyat Malaysia dan warga dunia amnya tentang bencana buruk yang dihadapi oleh sumber air di merata tempat, yang teruk tecemar akibat tabiat buruk manusia sendiri. Projek ini adalah usaha dinamik untuk merawat pencemaran sedia ada dengan menggunakan teknologi EM yang terbukti sudah berkesan. Jepun telah mebuktikan beberapa perairan di negara mereka dapat dipulihkan kembali setelah dirawat dengan teknologi ini. Beberapa pertubuhan dan pengamal teknologi EM di merata tempat di dunia juga turut membuktikan bagaimana EM sangat berkesan mengatasi pencemaran air khususnya.

Projek ini dilakukan di Malaysia, di Pulau Pinang khususnya diharap akan menjadi model untuk dikembangkan ke negeri lain. Impiana Kerajaan Pulau Pinang untuk menjadikan negeri ini sebagai negeri hijau akan menjadi kenyataan sekiranya usaha serius dan berterusan dilakukan untuk memulih dan merawat sungai dan laut di persekitarannya. Di samping itu rakyat sendiri perlu disedarkan supaya menukar tabiat buruk mencemarkan alam kepada tabiat mulia menghargai dan menyayangi sumber alam.

Umumnya pihak pemerintah mempunyai kuasa untuk merobah situasi pencemaran alam di negara ini, kerana mereka mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang, peraturan atau akta bagi melindungi alam sekitar. Kita sudahpun mempunyai jabatan dan kementerian khusus untuk menjaga alam sekitar, namun melaksanakan akta dan undang-undang tidaklah mudah. Industri sebagai salah satu penyumbang besar kepada pencemaran alam perlu disedarkan supaya bertanggungjawab. Kawalan dari dalam atau disiplin diri adalah lebih berkesan daripada penguatkuasaan undang-undang. Ada baiknya jika organisasi industri sendiri menyediakan sejumlah peruntukan untuk tabung memulih dan merawat pencemaran, kerana pencemaran hari ini sebahagian besar adalah berpunca daripada aktiviti industri sendiri. Oleh itu dengan menyediakan sedikit dana untuk tujuan tersebut, industri akan dilihat mempunyai rasa tanggungjawab dan sedar akan kesilapan masa lalu mereka. Di samping itu pendidikan perlulah bermula dari sekolah dan dari rumah di mana anak-anak didedahkan dengan pelajaran dan teladan mulia menjaga kebersihan, dan memuliakan sumber alam.

Membaling bola selut mengandungi EM ke laut depan Gurney Drive. Ketua menteri berbaju biru di kiri. Gambar atas: Ketua Menteri Pulau Pinang menyerahkan cenderamta kepada pengasas dan bapa EM, Prof Higa.

Saturday, August 1, 2009

Sisi murni di Sara Buri.


Gembira dan bahagia dapat kembali ke alami. Bergambar ramai di perkebunan sayur

Kesempatan menghadiri International Workshop on Kyusei Nature Farming, anjuran APNAN di Sara Buri, Bangkok Thailand baru-baru telah membuka dimensi baru kepada falsafah dan prinsip pertanian alami. Bersama 24 orang peserta lain dari Malaysia, Singapura, Brunei, India, Filipina, Bhutan dan New Zealand, kami dibimbing oleh tenaga pengajar yang terdiri daripada sukarelawan APNAN dari Jepun, untuk memahami dan mengenal lebih dekat konsep pertanian alami berasaskan teknologi EM. Selama empat hari tinggal di Sara Buri Centre (SBC) kami diberikan ilmu, pendedahan praktikal di samping sajian makanan vegi yang dihasilkan di SBC secara alami. Belajar, berbincang dan bertukar-tukar pengalaman dengan para peserta daripada pelbagai negara telah membantu meluaskan skop pengalaman aplikasi EM khususnya.

Sungguhpun saya pernaha belajar tentang teknologi EM di Bali tahun 2004 lalu, namun pengalaman si Sara Buri memberi banyak input tambahan yang lebih mantap tentang teknologi EM. Dengan prasarana lengkap di SBC serta pengalaman dua puluh tahun mereka membangunkan SBC, banyak ilmu dan pengalaman baru dapat digali di sini. Melihat sendiri, merasakan sendiri serta menghayati gaya hidup di SBC, terasa benar bagaimana proses pemurnian diamalkan oleh semua orang yang bertugas di sana. Petugas-petugas di sini mempamaerkan sikap dan gaya hdup sederhana cerminan daripada penghayatan ajaran Sekai Kyusei Kyo (SKK) yang menekankan kepada prinsip pemurnian ruhani dan menghargai alam. Semuanya diasaskan kepada falsafah pengasas Kyusei Nature Farming, Mokichi Okada yang juga dikenali sebagai Meishu-sama (mahaguru atau grand master).

Istimewanya SBC, ia bukan sahaja tempat penyebaran ilmu tentang pertanian alami tetapi lebih holistik lagi ia turut menghayati falsafah pemurnian alam melalui sikap positif yang melihat kepada kehidupan yang lebih baik. Mokichi Okada sentiasa mengingatkan bahawa manusia menghadapi ancaman tiga faktor ini, iaitu penyakit, kemiskinan dan konflik. Maka falsafah pertanian alami adalah bermatlamat menyediakan makanan terbaik bagi membebaskan manusia daripada kemisikinan dan juga penyakit. Melalui aktiviti SBC dan APNAN di sini, mereka berusaha menyebarkan cita-cita murni ini dengan berkongsi ilmu dengan sesiapa sahaja dari seluruh pelosok dunia, dengan ikhlas dan percuma.

Setelah lebih 20 tahun SBC dimajukan sebagai tempat mengembangkan konsep Kyusei Nature Farming, ribuan orang dari seluruh asia Pasifik dan benua lain mendapat ilmu dan pengalaman yang sangat bermanfaat untuk merubah gaya pertanian daripada pertanian kimia kepada pertanian organik alami. Sejak itu juga teknologi EM yang dimajukan oleh Profesor Dr Teruo Higa menyebar luas ke seluruh dunia, di mana manfaatnya dapat dinikmati oleh ramai orang.

Apa yang kami belajar di SBC mudah sahaja, iaitu bagaimana menghasilkan makanan melalui pertanian alami, menggunakan sepenuhnya integrasi antara manusia-haiwan-tumbuhan bagi menghasilkan keperluan makanan manusia. Sokongan aplikasi mekanikal digunakan secara sederhana bagi membantu mempermudahkan kerja. Hasilnya adalah kemakmuran dan alam sekitar dapat diselamatkan. Tanpa baja kimia dan tanpa racun, alam sekitar dapat diselamatkan.

Di sini kami belajar bukan sekadar menghindari bahaya dan anacaman kimia, tetapi juga belajar bagaimana mengatasi dampak buruk daripada penggunaan kimia yang selama ini merosakkan alam sekitar. Teknologi EM digunakan sepenuhnya untuk merawat alam yang rosak, dan hasilnya MasyaALlah sungguh menakjubkan. Kandang ternakan (termasuk yang paling tinggi pencemaranya, khinzir) dapat dikawal kebersihannya, tanpa bau busuk, tanpa gangguan pencemaran sisa najis. Pengurusan sisa pencemaran dilakukan dengan sungguh berkesan melalui teknologi EM.

Sebenarnya sejak saya mula mengenali teknologi EM, saya mula mencium prospek dan manfaat besar yang bakal dinikmati oleh penduduk bumi. Suatu rahmat Tuhan apabila Tuhan membukakan penemuan baru yang kebetulan terjadi di tangan Higa di Okinawa awal tahun 80an dulu. Dengan kesungguhan dan keikhlasan beliau, penemuan itu disebarkan, dikongsikan tanpa ada rasa angkuh atau kepentingan material. Akhirnya kita melihat bahawa usaha yang ditunjangi keikhlasan akan mudah diterima ramai. Kini dalam tempoh 20 tahun lebih teknologi EM tersebar ke seluruh dunia menyumbangkan banyak manfaat kepada orang ramai.

Saya melihat prospek baru untuk merealisasikan impain Mokichi Okada dan juga impian Higa, melalui penyertaan dan komitmen kita bersama. Saya merasa tersentuh apabila membaca sejarah dan falsafah pemikiran Mokichi Okada yang meletakkan sasaran memurnikan spiritual manusia untuk menghadapi tiga ancaman utama iaitu penyeakit, kemiskinan dan konflik, demi mencapai matlamat kehidupan sihat sejahtera, kemakmuran dan keamanan sejagat. Itulah refleksi yang diimpikannya melalui apa yang disebut sebagai syurga di bumi.

Saya rasa terpanggil untuk turut menyertai usaha mereka yang berjiwa besar ini kerana situasi dunia kini sentiasa berdepan dengan tiga ancaman tersebut. Ramai lagi penduduk bumi yang masih miskin, tidak cukup makanan, sementara rata-rata penduduk lain (termasuk yang kaya juga) sedang berdepan dengan makanan yang mewah tetapi makanan yang tidak selamat. Kesannya ramai berdepan dengan pelbagai gejala penyakit, sebahagian besarnya berpunca daripada sumber makanan yang tidak lagi murni dan alami. Selain itu ancaman ketiga ialah sengketa, peperangan yang tiada noktahnya.

Marilah kita bersama berusaha menyumbangkan sesuatu untuk mencapai cita-cita kesejahteraan, kemakmuran dan keamanan sejagat. Prinsip utamanya ialah kembali kepada diri sendiri dengan memurnikan ruhani atau spiritual, mendekati Tuhan melalui agama, kembali kepada alami (kepada Sunnatullah) dengan mengurangkan amalan buruk merosakkan alam melalui pelbagai cara. Saya melihat dengan hanya usaha kecil tidak membuang sampah di merata tempat, itupun merupakan usaha murni untuk mengurangkan kesan pencemaran alam. Marilah kita renungkan betapa tabiat buruk kita selama meremehkan kebersihan persekitaran dengan membuang segala sisa (sisa pepejal dan juga sisa organik) ke longkang, parit, sungai dan ke laut. Kita mencemari sumber air sehingga hampir tiada lagi sungai yang jernih, bersih dan murni airnya. Pengusaha indstri pula (apa jua industri) mengambil jalan mudah tidak merawat sisa kumbahan mereka, sebaliknya melepaskan sisa-sisa itu ke sungai juga akhirnya.

Benarlah apabila Tuhan menyebut bahawa kerosakan yang berlaku di bumi ini adalah akibat perbuatan manusia (al-Quran S. Ar-Rum). Apakah kita mahu terus melakukan kerosakan di bumi (ingatkah kita ketika para Malaikat menyebut bahawa manusia bakal melakukan kerosakan dan menumpahkan darah di bumi, ketika terjadi dialog antara Tuhan dan malaikat ketika Tuhan hendak mencipta Adam as?). Apakah kita masih mahu terus merosakkan bumi ini melalui tangan kita sendiri?

Fikir dan insaflah. Cukuplah sampai di sini. Marilah kita berhijrah dan kembali menyususuri kesilapan masa lalu. Kita sedang berdepan dengan usaha untuk memulihkan kerosakan alam yang kita dan generasi terdahulu lakukan. Kesan pencemaran akibat penggunaan senjata atom dan nuklear sangat dahsyat kepada bumi. Penggunaan kimia keterlaluan merosakkan ekositem bumi. Persengketaan dan peperangan bukan sahaja memusnahkan manusia tetapi turut merosakkan alam sekitar, memiskinkan rakyat yang tertindas, dan mendedahkan lebih ramai orang kepada aneka penyakit. Akhirnya ramai orang sengsara dan menderita.


(bola selut (mud ball) berupa 'bom' sebagai senjata menghadapi pencemaran sungai dan laut)