Thursday, August 20, 2009

Ramadhan, bulan membaca?


Besok bermulalah bulan Ramadhan, bulan penuh rahmat, kebajikan dan kemaafan. Ramadhan adalah satu bulan dalam setahun, iaitu mengikut proses pusingan masa untuk tujuan pengiraan, dan ia didasarkan kepada pergerakan bulan di langit. Kita mengira dan menghitung usia berdasarkan bulan dan jumlah 12 bulan menjadi setahun. Biasanya usia dihitung mengikut kadar tahun. Oleh kerana bulan adalah masa dan masa pula adalah kehidupan, maka bulan-bulan yang kita lalui adalah sebenarnya kehidupan kita.

Di sebalik rahsia bulan dan masa, kita menemui erti Sunnah Tuhan (SunnatulLah) yang telah mengatur kehidupan kita di bumi dan kehidupan alam sejagat mengikut ketentuan-ketentuan (takdir)-Nya. Sunnah ini adalah satu sistem alami yang tidak boleh diubah atau ditentang kerana ia adalah hukum (sebagaimana kita fahami daripada sains yang menemui pelbagai hukum, seumpama hukum graviti). Sains telah mengesahkan pelbagai hukum yang bersifat tetap dan itu adalah sebahagian daripada SunnatulLah.

Kehidupan di dunia telah diatur mengikut Sunnah tersebut. Tuhan yang mencipta Sunnah itu telah menyediakan satu panduan (manual) lengkap untuk memimpin dan membimbingi manusia supaya mereka dapat mengikuti Sunnah tersebut. Itulah agama yang diturunkan untuk menjadi pegangan dan pedoman kita. Apa sahaja tindak-tanduk yang menyanggah arah Sunnah tersebut akan memudaratkan kehidupan manusia, kerana ia tidak selari dan serasi yang ketetapan-ketetapan Tuhan.

Di penghujung Ramadhan kita akan menemui Fitrah. Umumnya orang mengaitkan fitrah dengan zakat fitrah yang dilakukan sekali setahun di penghujung Ramadhan sebelum solat Idulfitri. Ia juga dikaitkan dengan kedatangan awal Syawal yang dirayakan iaitu Hariraya Idulfitri. Makna yang lebih holistik daripada Fitrah ialah ciri-ciri semulajadi sebagaimana yang tercermin pada SunnatulLah itu. Fitrah manusia dan fitrah alam telah ditentukan mengikut Sunnah yang sempurna. Berulangnya fitrah yang dikaitkan dengan zakat dan awal Syawal adalah detik-detik penting untuk mengingatkan kita tentang makna fitrah dalam kehidupan kita.

Dalam bahasa umum kembali kepada fitrah adalah kembali kepada alami (back to nature). Sungguhpun pengertian nature dalam sains moden lebih merujuk kepada ciri-ciri alam, namun Islam telah memperkenalkan konsep nature itu secara holistik lebih awal lagi. Itulah yang terangkum dalam konsep fitrah dan SunnatulLah. Apa yang dikaji sains hanyalah untuk membuktikan kebenaran Sunnah tersebut. Kehadiran sains juga sangat membantu dalam membuka mata dan fikiran kita kepada kebenaran Sunnah itu. SunnatulLah pada alam dan kehidupan ini jauh lebih besar pengertiannya daripada apa yang kita fahami tentang perkataan Sunnah (biasanya dikaitkan dengan Sunnah Nabi saw).

Kajian sains adalah kajian untuk membuktikan kebenaran ayat-ayat Allah. Ayat-ayat ini tidak sekadar merujuk kepada perkataan atau lafaz kalam Allah yang termaktub atau tertulis (kitab-kitab Allah), tetapi merangkumi seluruh alam. Manusia, haiwan, tumbuhan, gunung ganang, air, udara, galian di dalam bumi, makhluk-makluk seni (mikrob, bakteria, virus dan fungi adalah sebahagian daripada ayat-ayat Tuhan). Ayat-ayat inilah yang disaran oleh Tuhan sendiri supaya kita baca. Oleh kerana ayat-ayat ini tidak dalam bentuk perkataan dan lafaz-lafaz tetapi dalam bentuk wujud fizik dan metafizik, maka membacanya tidak sekadar dengan mata dan suara; tetapi memerlukan akal fikiran, makmal, perkakasan saintifik sperti mikroskop, tabung uji dan lain-lain. Inilah fungsi sains, iaitu membaca ayat-ayat Tuhan yang tidak tersurat tetapi yang tersirat.

Ilmu juga adalah satu aktiviti yang bersifat holistik, dan holistik itu sendiri adalah antara hukum atau ciri-ciri fitrah. Contoh yang dekat dengan diri kita adalah diri manusia sendiri. Manusia adalah ciptaan holistik antara jasad dan ruh (ada yang mengklasifikasinya kepada jasad, akal dan ruh). Kedua-dua unsur manusia ini tidak boleh dikesampingkan mana-mana antara keduanya. Kedua-dua perlu bersama barulah kehidupan ini dapat dimaknakan. Tanpa ruh, jasad akan mati, membusuk dan akhirnya menjadi tanah. Tanpa jasad, tidaklah wujudnya diri kita.


(rupanya ada bakteria yang baik)

Alam juga ALlah ciptakan secara holistik. Manusia, haiwan, tumbuhan adalah antara makhluk dominan di bumi. Namun begitu terdapat banyak lagi makhluk hidup yang lain termasuk makhluk-makhluk seni seperti mikrob, bakteria, virus dan fungus. Makhluk-makhluk dalam bumi (yang kita anggap mati) seperti bahan-bahan galian, air, udara, angin sebenarnya hidup kerana mereka juga berfungsi. Malangnya kerana kita tidak cukup kuat membaca ayat-ayat ini, maka maklumat kita tentang kehidupan mereka sangat terbatas.

Sedarkah kita selama ini kita menggunakan tenaga untuk memajukan kehidupan kita. Tenaga elektrik, tenaga solar, tenaga elektronik melalui gelombang, tenaga enjin merupakan antara sumbangan besar kepada kemajuan hari ini. Dari mana tenaga-tenaga ini bersumber. Tenaga elektrik daripada sumber air, angin, matahari dan dari jentera. Sementara jentera pula digerakkan oleh tenaga minyak dan minyak dari bahan-bahan reputan di dasar bumi. Sedarkah kita bahawa kita banyak bergantung kepada sumber-sumber dari alam di sekeliling kita untuk membolehkan kita hidup selesa dan maju sebagaimana sekarang?

Manusia sebenarnya tidak pernah mempunyai tenaga sekuat tenaga alam. Manusia tidak mampu membanting tulang mengerjakan seekar sawah, lantas menggunakan tenaga kerbau, kemudian tenaga jentera untuk membajak. Kini manusia tidak mampu megingat berpuluh-puluh digit angka, lantas mencipta mesin untuk mengira. Manusia tidak mampu mengingat pelbagai perkara, manusia mencipta komputer untuk membantunya. Komputer-komputer ini sendiri tidak akan berfungsi tanpa wujudnya chip-chip logam yang asalnya dari dalam bumi, dibantu oleh getaran gelombang yang tidak pernah kita nampak, tak pernah kita sentuh dan tak pernah kita pegang.

Allah menciptakan alam ini dengan penuh kebijaksanaan, untuk dimanfaatkan oleh manusia. Benarlah apabila al-Quran menyebut: Sesungguhnya pada ciptaan langit dan bumi, peralihan malam dan siang terdapat ayat-ayat (tanda kebesaran) Tuhan bagi Ulul-albab, iaitu orang-orang yang mengingat Allah ketika berdiri, duduk dan berbaring, dan sentiasa berfikir tentang kejadian langit dan bumi. Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau jadikan (alam) ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau maka jauhilah kami daripada siksa neraka.

Dengan mengkaji alam melalui sains barulah fakta-fakta tentang ayat-ayat kauniah ini dapat dibaca dengan jelas. Al-Quran sendiri menyarankan kita supaya membaca ayat-ayat kauniah di sekeliling kita supaya kita lebih memahami maksud dan pengertian ayat-ayat al-Quran sendiri. Maksud ayat di atas lebih dimengerti oleh para sainstis daripada kita yang hanya membaca ayat yang tertulis tetapi tidak menghayati perintah ayat tersebut.


(diri sendiri, ayat yang belum dibaca sepenuhnya)

Kita membaca al-Quran (terutama di bulan Ramadhan ini), namun kita belum lagi membaca dengan pengertian holistik iaitu membaca dengan mata, dengan akal, dengan makmal, dengan penerokaan, dengan kajian lapangan, dengan ujikaji. Hari ini kita melihat hakikat ini apabila banyak penemuan baru di bidang sains dilakukan oleh mereka yang tidak membaca al-Quran (kerana mereka bukan Muslim) tetapi mereka menghayati perintah membaca secara holistik ini. Mereka membaca ayat-ayat kauniah (mengkaji alam) melalui penyelidikan, ujikaji, uji makmal dengan mendalam. Mereka lebih menyedari kebesaran Tuhan apabila dapat melihat makhluk-makluk seni dengan mata sendiri, sedangkan kita hanya sekadar pernah mendengar sahaja. Mereka melihat bakteria, virus dan makhluk-makhluk seni kerana mereka tahu menggunakan elektron mikroskop yang mempunyai kekuatan kanta berganda-ganda. Kita hanya sekadar mendengar tentang virus H1N1 tetapi tidak pernah melihatnya. Kita mendengar virus HIV, virus denggi dan chikungunya tetapi tidak pernah menyaksinya dengan mata sendiri.

Apakah kita hanya berpuas hati dengan hanya membaca ayat-ayat yang tertulis di dalam al-Quran? Tidakkah kita mahu membaca pengertian-pengertian al-Quran seperti saranan al-Quran sendiri, iaitu membaca ayat-ayat Tuhan yang ada di sekeliling kita? Sedarkah kita walaupun kita membaca ayat-ayat tertulis tentang kejadian manusia di dalam al-Quran, namun pengetahuan kita sangat terbatas berbanding dengan doktor dan ahli sains yang mengkaji anatomi, fisiologi dan pelbagai ilmu tentang kejadian manusia. Mereka ini lebih sedar, lebih insaf tentang kebesaran Tuhan kerana mereka menyaksi betapa hebatnya ciptaan manusia sejak dari percampuran benih lelaki dengan benih perempuan hinggalah ia membesar menjadi janin, dan membentuk sebagai manusia.

Membaca ayat-ayat kauniah dengan mengkaji, menyelidik, mengujikaji dan mengesahkan fakta secara empirikal adalah satu ibadah besar dalam konteks fardhu kifayah kerana hasil kajian tersebut akhirnya akan memberi manfaat kepada sesama manusia. Kemajuan sains dan teknologi seumpama komputer itu adalah manfaat besar yang diusahakan oleh para saintis dan ahli teknologi yang berjihad mengorbankan kepentingan diri, waktu dan wang ringgit untuk tujuan tersebut. Kita sering lupa kepada mereka di belakang tabir, yang berusaha mengkaji dan mencipta. Apakah kita hanya berpuas hati hanya menjadi pengguna? sedangkan ramai yang melakukan kerja-kerja fardhu kifayah ialah orang lain (yang tidak pernah faham apa itu fardhu kifayah).

Oleh itu di bulan Ramadhan ini, marilah kita berfikir, merenung agar kita lebih faham, kerana faham itu akan menjadikan kita lebih mengerti, dan pengertian itulah yang akan menjadikan kita lebih sedar, manakala kesedaran pula akan mendorong untuk bertindak. Marilah kita menilai diri (muhasabah) apakah selama ini kita membaca (hakikatnya ramai orang tidak suka membaca). Apakah kita faham apa yang kita baca (contohnya membaca al-Quran). Setelah faham apakah kita memperolehi pengertiannya, yang boleh menyedarkan kita? Akhirnya marilah kita tanya diri sendiri: apakah kita sudah melaksanakan kesedaran itu dalam bentuk amal?

(Gambar atas: virus H1N1 yang kita takuti sekarang)

No comments:

Post a Comment